Showing posts with label Perak. Show all posts
Showing posts with label Perak. Show all posts

Thursday, June 14, 2012

Selamat Pengantin Baru Buat Amir Lela Rentaka - 3.6.12

Gambar kenangan
Lela Rentaka, Lawi Merah, Gemala Kasturi &
Persatuan Seni Silat Terlak Lintau & Kuntau Jawa

Selamat pengantin baru kepada sdr Amir (Lela Rentaka), tahniah serta dengan ini dapat menjalani hidup rumah tangga yang bahagia dan kekal sampai bila-bila, Insya-Allah. Pada mulanya, wakil KGGK tidak dapat hadir tapi disebabkan adanya wakil dari KG Lawi Merah, kami dapatlah menghantar wakil KGGK untuk menghadiri majlis yang penuh bersejarah buat pasangan mempelai tersebut.

KG Lawi Merah sampai di KL, kurang lebih jam 5.30 pagi. Melihatkan mereka agak keletihan, saya menyarankan mereka agar berehat seketika. Tepat jam 7 pagi, kami bertolak ke Perak. Sempat jugalah kami berhenti singgah di RnR Rawang bagi mengisi perut yang kelaparan. Kemudian kami beransur semula dan tiba di sana lebih kurang jam 11 pagi. Tengok-tengok Kump Lela Rentaka sedang berlatih gendang. Kami pun turut serta.

Sesi jamming

Jam 12 tgh baru kami bergerak ke rumah pengantin. Tempat bergendang sudah siap, kami ngap dulu apa-apa yang patut di atas meja, sementara menantikan giliran untuk bergendang. Kemudian, kami bergendang. Gabungan KGGK dan Lawi Merah serta Lela Rentaka. Alhamdulillah, bersyukur amat saya melihatkan kemesraan yang terjalin. Namun bergendang tetap diteruskan.



Perarakan pengantin

Apabila pengantin sampai sahaja, kami berarak terlebih dahulu dan persembahan silat dari kumpulan Silat Terlak Lintau dan Kuntau Jawa. Majlis diteruskan dengan acara persembahan silat dari mereka. Kemudian, baharulah kami berhenti untuk makan tengahari. Kump Lela Rentaka pula meneruskan permainan gendang.

Gabungan Lawi Merah dan Lela Rentaka

Gabungan Lawi Merah dan Gemala Kasturi

Rehat seketika ...

Pengantin lelaki kena dera tiup serunai ... :)

Sesudah majlis, kami bergambar dengan pengantin dan perlahan-lahan beransur pulang, kerana Lawi Merah harus balik Muar pula. Tahniah sekali lagi kepada pasangan pengantin dan terima kasih buat Lawi Merah yang menumpangkan saya. Moga ikatan ahli KAGEM bertambah kukuh dan mesra terjalin sesama kita, Insya-Allah.

Perjalanan pulang dari Ipoh - Lebuh raya PLUS sesak!

Laporan dari blog Lawi Merah
Laporan dari blog Lela Rentaka

Read more...

Sunday, April 8, 2012

Yeop Kejor Yeop, Kami Datang Lagi

6 - 7 April 2012 - Ke Pengkalan Pegoh, Perak

Keadaan di Tol Sungai Buloh

Alhamdulillah, walaupun jalan keluar dari KL untuk ke Ipoh agak sibuk, kami selamat sampai di sana, lebih kurang jam 10.30 malam. Ia sudah dijangka sehari sebelum kami beransur ke sana, pukul 6.40 petang bergerak, mana-mana jalan di KL sesak, tambahan pula hari Jumaat. Di tol Sungai Buloh pun boleh tahan sesak, kerana orang mahu pulang ke kampung.

Sesi jamming

Setibanya kami di rumah Yop, Lela Rentaka, berbual-bual sekejap dan terus bergendang. Hampir jam 12 baharulah kami berhenti. Dan seperti biasa, ia diakhiri dengan sesi mengeteh di kedai Tom Yam, sambil menikmati sate Pengkalan yang enak. Gerai sate itu pula dikendalikan oleh Sdr Akasha (salah seorang ahli Lela Rentaka), maka dapatlah makan percuma (Idan belanja hehehe...). Banyak perkara juga yang dibincangkan seputar perkembangan gendang Lela Rentaka dan hal-hal yang lain.

Sesi santai - mengeteh

Esoknya, kami merayap ke Jelapang, menziarahi rakan gendang di sana. Selesai sesi ziarah, kami ke rumah Akasha - ada jamuan sedikit. Tak hilang penat lagi, petang kami sesi latihan gendang dijalankan hinggalah jam 7 petang. Selesai rehat, dan solat Maghrib, kami bergerak semula ke KL. Alhamdulillah, jam 11 malam kami sampai di sini dengan selamatnya.

Latihan di sebelah petang

Jamuan di rumah Akasha

Read more...

Sunday, March 11, 2012

Oi Kome Derian Dah Berbunge ...

Jam 3 pagi - masih selera untuk makan!
( Restoran Nasi Kandar Karisma)

Undangan kali ini ke Tambun, Perak. Tuan rumah merupakan rakan kepada Cikgu Ramli yang pernah di tempat yang sama. Dengan izin Allah, kami sampai di Simpang Pulai jam 4 pagi. Dek kerana tiada tempat, kami menyinggah tidur di rumah abang kepada Sdr Ejam Lela Rentaka. Terima kasih sangat-sangat kepada beliau dan abang yang membenarkan kami menumpang semalaman.

10 Mac - Pagi

Sarapan pagi rumah Sdr Ejam


Persembahan KGGK

Selesai persiapan, kami dijemput oleh Sdr Ejam ke rumahnya untuk menikmati sarapan pagi. Alhamdulillah, sekali lagi ucapkan terima kasih atas kebaikan keluarga beliau. Jam 11 pagi, baru kami bergerak dari Pengkalan Pegoh ke Tambun. Perjalanan tidaklah jauh sangat, lebih kurang setengah jam sahaja. Setibanya di sana, tuan rumah terus membawa kami ke tempat untuk bergendang. Tak bertangguh, kurang lebih jam 12 tgh, kami mula bermain santak ke 1 petang.

Dan kemudiannya mengiringi pasangan mempelai atas permintaan pihak tuan rumah. Rupa-rupanya tiada pasukan kompang, kami sangkakan ada. Tapi tak mengapa, dapatlah juga KGGK menyumbang serba-sedikit untuk memeriahkan majlis tuan rumah walaupun di saat-saat akhir.


Lauk pengantin! Ula la la ...

Lebih kurang jam 3.30 kami menutup tirai dan makan time! Menjadi orang terakhir, alhamdulillah, kami dihidangkan lauk pengantin (pengantin tak lalu nak makan - hehehe). Memandangkan cuaca sudah mendung, maka kami meminta izin untuk bergerak semula ke KL. Namun sebelum itu, kami sekali lagi singgah di Pengkalan Pegoh kerana mahu menghantar gendang.

Perjalanan balik ke KL diiringi hujan yang tidak henti-henti

Jika tidak dikeranakan Cikgu Ramli dan Sdr Azam ada hal yang perlu diselirahkan, tentu kami akan bermalam lagi untuk bersama Lela Rentaka. Tapi apakan daya, sudah tertulis untuk kembali semula ke KL :(

p/s : Terima kasih kepada Sdr Ejam, Grup Lela Rentaka yang menunggu kami hingga jam 4 pagi - walaupun dapat berbual sebentar sahaja. Khususnya kepada tuan rumah yang menjemput kami ke sana; juga atas makanan yang sedap - layanan tip-top sey!

Read more...

Monday, November 21, 2011

Semalam Di Perak

Sesi latihan

Belumpun sempat melangsaikan penat yang memanjat, saya dan sdr Sharul sudah ke Pengkalan Pegoh, Perak pada Sabtu tengahari. Tujuannya untuk memulangkan set gendang silat yang dipinjam dari Kump Gendang Lela Rentaka; yang digunakan dalam kursus gendang silat sekolah2 KL. Tapi janji tetap ditunaikan untuk memulangkannya.

Cadangnya malam itu mahu ke rumah Cikgu Jusnizan tapi tak kesampaian kerana menyambung silaturrahim dan ukhuwah. Disamping itu dapat juga merayap di sana. Mahu ke Jelapang juga tidak jadi, akhirnya kepenatan mengalahkan kami berdua. Hanya sempat berlatih gendang dengan Lela Rentaka dan bersembang bual. Ahad tengahari kami beransur pulang ke kota kesibukan.

Insya-Allah mungkin akan datang, akan sampai ke sana jika diizinkan Allah.

Read more...

Monday, April 11, 2011

Kejor Yeop Kejor! Bersama Lela Rentaka di Pengkalan Pegoh : 8-10 April 2011

8 April (Jumaat)


Hampir beberapa kali kunjungan ke Pengkalan Pegoh, Perak ditunda atas halangan masing-masing. Tapi dengan izin Allah, tanggal 8hb April dapatlah kami ke sana untuk menziarahi rakan sepergendangan, yakni Kump Gendang Lela Rentaka bagi merapatkan lagi silaturrahim. Syukur alhamdulillah, perjalanan mengambil masa lebih kurang 2 jam lebih, lancar dan dipermudahkan Allah. Saya, Sharul dan Nizam (Ijam - salah seorang ahli Lela Rentaka, belajar di Universiti Tenaga Nasional), bergerak satu kereta. Lebih kurang jam 3/3.30 petang kami dibawa ke rumah Ijam terlebih dahulu, sementara menantikan Yeop (panggilan utk sdr Khairul Lela Rentaka) balik dari Pulau Pinang.

Sampai saja di sana, kami dijamu makan oleh keluarga Ijam. Malu alah, sebab sampai2 terus dijamu makan tengahari. Tapi apa boleh buat, pesan orang tua-tua bab makan tak boleh malu, nanti lapar. Hehehe ... Hanya lewat petang, barulah kami beransur ke rumah Yeop. Bersembang tak dan lama, terus bergendang. Begitulah istilahnya, bergendang bagai satu wadah untuk merapatkan hubungan dan silaturrahim. Jam 7 kami berhenti dan bersiap diri untuk menunaikan solat maghrib.

Malam

Selepas sahaja makan malam, kami bergendang lagi. Kali ini lebih ramai ahli Lela Rentaka yang hadir berbanding dengan siang. Seorang demi seorang kami kenali. Dan dalam masa yang singkat, saya cuba untuk mengingati seorang demi seorang. Sehingga lewat malam acara bergendang diteruskan dengan disulam beberapa pembelajaran dalam bergendang. Kami yang tidak berapa reti ini, cuma dapatlah berkongsi serba sedikit mana-mana yang boleh.

Alhamdulillah,memang ahli Lela Rentaka mudah faham dan cepat tangkap. Meskipun terdapat sana sini kelemahan, namun Insyallah akan dapat diatasi sekiranya latihan yang berterusan dijalankan. Hanya lewat malam, barulah kami berhenti.

9 April (Sabtu)


Pagi tersebut, program sedikit berbeza. Kami dibawa oleh sdr Yeop ke dusun durian pula; di Chemor Memandangkan kami berdua tidak makan durian, boleh tengok aje lah. Namun suasana berada di dusun amat menyegarkan. Maklumkan duduk di kota yang hiruk-pikuk, sesekali bertandang ke tempat yang sebegini memang mengamankan. Kepala jadi lapang untuk seketika. Udara nyaman terasa menusuk ke dalam dada.

berlatih di SMK Pasir Puteh

Sesi petang pula kami terus berjamming hingga jam 7. Seorang demi seorang ahli Lela Rentaka kami kenali. Disebabkan tuntutan kerja, jadi tidak semua yang dapat hadir untuk sesi jamming. Tidak mengapalah, yang penting dapat juga serba sedikit mengenali mereka.

minum-minum selepas jamming

Malam

Perancangan untuk menziarahi sdr Zahir Zack dari Kump Gendang Cenderawasih 9. Setibanya di sana Zahir dan rakan-rakannya menyambut kami. Sesi jamming diadakan di rumah Cik Mat yang amat bermurah hati, sambil2 bergendang kami dijamu pula dengan keow teow - peh memang padat perut kami malam tu. Namun sesi jamming tetap juga berjalan, walaupun seawalnya sudah menikmati hidangan malam di rumah Yeop.

jamming dengan kumpulan
gendang Cenderawasih 9, Jelapang


Sesekali kami bersembang-sembang perihal gendang dan pelbagai kisah. Namun sesi bergendang diteruskan. Akib, Ramadhan, Syawal dan Syaaban, antara ahli Cenderawasih 9 yang kami kenali pada malam itu selain dari Zahir. Sesungguhnya perkembangan silat dan gendang di situ amat menyenangkan hati saya. Melihatkan boleh bergendang dalam kawasan taman, maksudnya masyarakat di situ merestui dan membenarkan budaya bergendang bertapak di situ. Hanya lewat malam, satu demi satu balik. Kami paling akhir balik, setelah puas bersembang dan bergendang.

10 April (Ahad)

jamming di gelanggang lama

Tidak ada perkataan lain, melainkan bergendang. Pagi itu pula kami bergendang di rumah Yeop sementara menanti dia balik. Tengahari barulah kami dibawa bergendang di gelanggang lama mereka di sekitar kawasan rumah Kashah (salah seorang ahli Lela Rentaka). Sehingga hujan hampir turun dengan lebatnya, barulah kami beransur ke rumah Yeop dan menikmati hidangan tengahari + petang. Kadang2 orang bergendang sampai terlupa yang perut dah mendidih lapar. Bila tiba di rumah, sekali ngap memang tak ingat.

makan malam sebelum balik ke KL di rumah Yeop

Selepas maghrib kami beransur, dan sekali lagi makan di rumah Ijam. Mujurlah tidak dihidangkan nasi, kalau tak, tak taulah camna nak cakap. Bayangkan kalau drive waktu malam dalam keadaan perut penuh terisi. Apa pun kami amat berterima kasih kepada keluarga Ijam dan Yeop kerana menjamu kami dengan hidangan yang terbaik! Jam kurang lebih 9.30/10 kami beransur pulang ke KL. Sesungguhnya kenangan berada di sana takkan kami lupakan.

p/s : Terima kasih kepada keluarga Lela Rentaka, terutama kepada Yeop dan famili yang menyediakan hospitali yang terbaik. Keluarga Ijam - peh, perut kami sentiasa penuh. Rakan-rakan Lela Rentaka - Idan, Kashah, Amir, Deli dll yang kami temui di sana. Semoga ukhuwah perpanjangan sampai bila-bila : teruskan latihan sampai bila-bila.

Read more...

Monday, December 6, 2010

Malam Pengantin Di Batu Gajah

Malam tadi sampai KL lebih kurang jam 12.30.


-----------------------------------------------------------------------------

Arena Square, Batu Gajah

Sesi jamming KGGK dan K-GAR

Demi menunaikan sebuah hajat, KGGK meredah PLUS ke utara lewat jam 8.00 malam. Sdr Rizal, dari K-GAR melangsungkan majlis walimatul urusnya pada 5 Disember. Ini merupakan kali kedua kami bertandang ke Batu Gajah. Sampai di sana, terus ke rumah Sham. Minum-minum dan bersembang terlebih dahulu sebelum ke sesi jamming di Arena Square. Santak ke jam 3 pagi, barulah kami beransur ke rumah untuk berehat.


5 Dis

Bersama K-GAR

Setelah siap semuanya, kami terus ke rumah pengantin baru di Taman Laluan Lembah Permai. Kami cuma berbaju biasa sahaja, meraikan pengantin dan rakan-rakan. Selebihnya rakan K-GAR yang lengkap berpakaian hitam untuk menyambut pengantin (majlis berarak). Tepat jam 1.30 ptg, pengantin yang segak berpakaian songket penuh tiba dan diiringi oleh paluan irama gendang. Lagu Layang Mas berkumandang. Kali ini saya menyusun agar K-GAR menggunakan 2 pasang gendang. Biar nampak ramai dan meriah. Mungkin kalau ada seorang lagi yang meniup serunai, bertambah meriah jadinya. (Kami mendoakan moga akan datang agar ada lagi seorang peniup serunai).

Pasangan mempelai, Rizal & isteri
(sumber gambar : FB Tn Hj Yein)

Kemudian majlis diteruskan dengan silat sembah oleh rakan dari Perguruan Serimau Hitam. Habis semua penggendang mereka bersilat, sudahnya KGGK mengambil tempat untuk bermain gendang silat bagi mereka bersilat. Seorang demi seorang mempamerkan tari silat yang cantik, kami meneruskan permainan hingga tamat. Lewat jam 3.30 petang, saya mengajak rakan-rakan K-GAR beransur ke rumah Sham. Di sana kami bergendang lagi, sehingga puas.

Latihan di rumah salah seorang ahli K-GAR

Malam, lebih kurang jam 10, kami beransur. Letih tapi menyeronokan. Insya-Allah kalau tiada apa-apa aral, kami akan sampai lagi ke Batu Gajah, amin. Terima kasih KGGK ucapkan kepada sdr Rizal atas jemputan mereka, kepada sdr Sham dan Eja yang membenarkan kami bermalam di rumahnya, Sdr Saiful (jurulatih Serimau Hitam), Jett, Famy, Cik Dukun, Cik Ajis, Lan dan semuanya atas layanan mesra yang diberikan kepada KGGK.

Laporan majlis Rizal di blog K-GAR

Read more...

Tuesday, November 2, 2010

Kejuaraan Silat Kebangsaan Ke-15, 2010 (2 - 7 Nov )


Jemputan ke Kejuaraan Silat Kebangsaan Ke-15, 2010 bermula dari 2 hingga 7 Nov 2010 di Kolej Matrikulasi Perak, KPM, Gopeng, Perak Darul Ridzuan..Majlis PEMBUKAAN pd 2 Nov 2010 jam 8.00 mlm oleh YAB Dato' Seri Dr. Zambry Abd Kadir, Menteri Besar Perak dan Majlis PENUTUP pd 7 Nov 2010 jam 2.00 ptg oleh YAB Datuk Seri Hj. Mohd Ali Mohd Rustam, Presiden PESAKA MALAYSIA..Semua dijemput hadir memeriahkan kejuaraan ini.

Read more...

Saturday, August 7, 2010

Terkenang Pak Teh Cha : 1998 - 2009 (Ketika mula mengenali hingga saat pemergiannya)

Pak Teh Cha

Al-Fatihah


Hampir setahun berlalu, hati saya tiba-tiba terkenang kepada salah seorang guru serunai dan gendang kami di Batu Kurau, Perak. Tambahan pula, bulan ramadhan menjelang tiba. Kenangan-kenangan lalu menusuk dan bermain di layar benak. Namanya panggilannya Pak Teh Cha. Namun Allah lebih menyayanginya, pemergiannya amat memilukan saya.

Bermain di Taiping dengan kump Pak Teh Cha

Mulanya saya mendapat berita yang pakteh tidak berapa sihat. Lalu saya menelefon bertanyakan khabar beliau. Lama saya berbual dengannya di telefon. Keadaan ekonomi dan masa ketika itu tidak mengizinkan saya untuk menziarahi beliau sewaktu itu. Jadi, telefonlah sebagai penghubung bertanyakan khabar berita pakteh di sana. Sedari itu, saya dan Bulat merancang untuk melawat pakteh pada hari raya, namun sms yang diterima daripada Cikgu Deen (salah seorang murid pakteh), membuatkan saya kemamar sebentar. Hari raya hampir menjelang 2, 3 hari lagi. Hati saya menangis hiba, tertunduk pilu dalam keadaan yang terdiam. Diam, sediam-diamnya. Apa pun saya redha dan menerima berita itu sebagai satu ketentuan yang sudah tertulis.

Saya bermain (tiup serunai) ketika kenduri kahwin di rumah Pak Teh Cha

Saya mula mengenali pakteh pada tahun 1998, iaitu ketika saya terlibat dalam dunia pergendangan Melayu ini. Mengikuti Cikgu Ramli yang ketika itu sering bertandang ke rumahnya untuk menziarahi dan membeli gendang buatan beliau. Ketika itu jugalah saya mengenali rakan sekumpulan beliau, Awang Peteh, Pak Su, Din Setera dan ramai lagi.

Kalau kami tiba di sana, selalu sahaja pakteh akan menelefon terlebih dahulu rakan-rakannya untuk bergendang bersama. Sayang, ketika itu saya tidak punya kamera dan tidak pernah terfikir untuk merakamkannya dalam bentuk visual; hanya dalam kotak memori sahaja. Bukan setakat itu, malah pakteh membawa kami untuk bergendang di sekitar kampung di Batu Kurau atau Taiping sekiranya beliau mendapat jemputan dan kami berada di sana sewaktu itu.


Dengan beliau jugalah, pertama kali saya mendengar perkataan Bismillah serunai (salah satu istilah dalam permainan serunai untuk merujuk kepada siapa kita berguru). Namun saya tidak bersembang panjang lebar dengan pakteh kerana tak tahu apa yang diperbualkan. Saya hanya menjadi pendengar setia apabila Cikgu Ramli berbual-bual dengannya serta rakan-rakan pakteh yang lain. Seingat saya, hanya apabila KGGK tertubuh dan pergi ke sana sendiri, barulah saya pandai sikit berbual dengan pakteh dan faham sedikit tentang perbualan berkenaan dunia bergendang serba sedikit.

Dari situ saya mula menaruh azam untuk mempelajari pengetahuan yang dan bunyi yang diajar oleh pakteh. Pada pendengaran saya (orang lain saya tak tahu), Bismillah dan lagu silat yang ditiup semacam 'pedih' tapi 'aman' di telinga. Saya kira Cikgu Deen dan rakan-rakan KGGK faham apa yang saya maksudkan. Begitu juga dalam perihal pergendangan, tidak sedikit usaha dan jasa yang dicurahkan kepada kami. Baik dari segi ilmu bergendang mahupun bimbingan dalam dunia pergendangan. Semuanya masih tersemat kukuh dalam ingatan. Itu tidak dikira pula, entah berapa banyak gendang yang kami borong daripadanya.

Pak Teh Cha - dalam kenangan KGGK ...

Entri Lepas KGGK bergendang di Baru Kurau bersama Pak Teh Cha.
Entri Cikgu Deen - salah seorang murid Pak Teh Cha

Read more...

Friday, August 6, 2010

Sdr Hasmil - Tahniah dari KGGK


Alhamdulilah, lewat malam tadi KGGK menerima berita isteri sdr Hasmil (Lan) dari K-GAR, selamat melahirkan puteri sulungnya. Semoga Allah merahmati dan menambah rezeki kalian.

Read more...

Wednesday, August 4, 2010

Trip Ke Batu Gajah, Perak - Bhg 3

Hari Ke-3


Saya kira hari ini adalah hari yang terakhir untuk kali ini kami bersama-sama K-GAR. Walaupun kami lebih senang sekiranya sesi ini berakhir dengan pulun gendang kaw-kaw, namun rakan K-GAR sudah punya program yang diatur. Tidak dapat tidak, keputusan tuan rumah mesti dihormati. Kami akur bahawa hari ke-3 tidak dapat berlatih bersama, memandangkan entah bila lagi kami akan menjejakkan kaki ke tanah Batu Gajah, wuallahua'lam.

Kali ini, hanya Lan & isteri, Jett, Syam dan kami berdua sahaja, yang lain-lain tidak dapat menyertai atas komitmen masing-masing. Kami dibawa melawat ke Tebing Tinggi, melihat pelbagai aneka jualan cenderamata untuk pelawat di situ. Rambang juga mata melihatnya tapi apakan daya, fulus tidak mengizinkan (senyum). Dari situ, kami dibawa pula ke Ulu Kenas, sebuah tempat rekreasi air terjun yang menarik.

Suasana memang menyegarkan mata dan jiwa. Tapi saya tidak mandi, hanya sekadar merakamkan beberapa keping foto digital untuk diabadikan di blog. Selebihnya, saya hanya menumpang gembira melihat rakan-rakan mandi-manda. Selepas balik, kami singgah ke rumah Lan untuk berehat seketika. Habis semua membongkang kepenatan. Disamping itu, kami bersembang bual sementara menantikan waktu maghrib. Mujur jugalah tuan rumah menyediakan makanan petang.

Pada malamnya, jam lebih kurang 9.00 malam, kami dihantar ke rumah Rizal. Perjalanan agak panjang kerana kesibukan kereta di hujung minggu yang mahu balik ke arah selatan. Jam 11.45 malam kami sampai di KL membawa seribu kenangan yang manis di Batu Gajah. Apa yang penting adalah ukhuwah yang terjalin sesama ahli pergendangan, itu yang paling penting. Apatah lagi dengan semangat dan kesungguhan yang ditunjukan membakar semangat kami. Insya-Allah, kalau ada rezeki, mungkin kami akan sampai lagi di sana.

Juga terima kasih tak terhingga diucapkan kepada Rizal, Syam, Lan, Eja, Famy, Jett, Dukun, Cik Ajis, Bro Saipul (Ketua Gelanggan Serimau Hitam, Bt. Gajah), keluarga Lan, keluarga Rizal dan rakan-rakan dari persilatan Serimau Hitam yang sudi menerima kedatangan kami.

Kalau ada sumur di ladang,
Bolehlah kami menumpang mandi;
Kalau ada umur yang panjang;
Insya-Allah kita berjumpa lagi.
Intro

Read more...

Tuesday, August 3, 2010

Trip Ke Batu Gajah, Perak - Bhg 2

Hari Ke - 2

Kereta sport Lan (Hasmil) yang membawa kami ke sana-sini.

Pagi sewaktu itik dan angsa di belakang rumah ibu Lan berdendang, mata saya sudah terbuka. Tetapi dek kerana keletihan bergendang dan perjalanan ke sana, saya terlelap semula. Namun apabila merasakan sudah agak lambat, kami bergegas bangun dan bersiap-sedia pula untuk ke rumah Syam. Katanya nak berlatih gendang di sana.

Setibanya kami di sana, kami disambut oleh bapa Sham yang ramah dan mencuit hati dengan lawaknya. Saya senyum, merasakan ada aura kemesraan yang menyambut kami di rumah Syam. Kami berbual-bual dulu sementara nak panaskan badan untuk bergendang. Malam tadi semasa meniup serunai di Arena Square, jari-jemari saya semacam agak kaku. Tidak tahu mengapa, mungkin kerana kesejukan yang melampau menyebabkan begitu. Di rumah Syam, saya meniup sepuas-puasnya.

Kemudian sdr Sharul menunjuk-ajar sedikit permainan dan buah-buah lagu Berjalan kepada Syam sera Eja. Ditambah pula dengan kehadiran Rizal, Famy, suasana menjadi bertambah ceria dan bersemangat. Lewat hingga jam 2.30 ptg barulah kami berhenti. Kali ini mengikuti mereka ke SK Toh Indera Wangsa Ahmad untuk mengikuti sesi latihan Silat Serimau Hitam di sekolah tersebut.

Sdr Saiful sendang 'mengerjakan' kaki seorang pelatih yang terseliuh

Melihatkan jumlah adik-adik pesilat di situ memang mengujakan kami. Sempat juga saya mengambil beberapa keping foto untuk diabadikan di blog KGGK. Di sana, kami berkenalan pula dengan jurulatih di situ, jurulatih silat kepada K-GAR, sdr Saiful. Saya berbual-bual seketika dengannya sewaktu berhenti rehat dan hujan pula melanda seketika. Sehabis sesi latihan kami minum petang di sebuah kedai. Suasana mesra dan keramahan sdr Saiful dan rakan-rakan Serimau Hitam menyebabkan kami tidak terasa asing berada bersama mereka. Inilah yang kita mahukan, sama ada bersilat atau bergendang - kata guru, nak cari kawan.

Di senggang waktu bersilat, saya dan rakan-rakan K-GAR bergendang bersama. Sambil itu mengiringi beberapa adik yang membuat persembahan silat.

Malam

Malam tersebut kami dimaklumkan harijadi Rizal dan akan disambut di rumahnya. Kami seronok apabila mendengarnya, dan tentunya ada makan-makan di sana. Hehehe ... Setibanya ti rumah Rizal sudah banyak kereta yang parkir di luar rumahnya. Bau ayam bakar dan sate yang dibakar menambahkan semangat kami untuk menyantap. Sementara itu, gendang dan gong sudah diangkat. Kata Rizal, di rumahnya bolehlah bergendang takat jam 12 malam. Ya, itupun sudah memadai bagi saya jika dibandingkan dengan KL. Jangan harap boleh bergendang di kawasan taman! Orang di taman tersebut memang sporting, saya puji sungguh!

Namun sebelum itu, sesi tahana (mengena orang). Dan tentunya Rizal lah yang menjadi mangsa kerana dia adalah birthday boy pada malam itu. Saya dan Sharul tumpang seronok, terkenang pula masa zaman sekolah dahulu. Kesian juga tengok Rizal kena baling telur dan tepung. Suasana menjadi meriah dengan gelak dan tawa, saya kira ini adalah antara peristiwa yang akan menjadi kenangan indah untuk dibawa pulang ke KL.


Sesudah sesi makan dan tahana, sesi bergendang berjalan. Semua yang pada mulanya malu-malu alah bergendang, bergendang. Famy, pengendali blog dan FB K-GAR turut bergendang. Saya kira kesungguhan mereka dalam menggali ilmu pergendangan mencuit hati saya. Tentunya saya akan ke sana lagi sekiranya dibawa oleh Rizal.


Sesi bergendang tidak terhenti takat itu sahaja. Selepas itu, kami bergerak ke Arena Aquare untuk menyambung berlatih. Sharul membawa kelas pada malam itu yang berakhir jam 3 pagi lagi. Fuh, memang dahsyat mereka ni. Tapi itulah semangat yang ditunjukkan oleh K-GAR yang menyebabkan kami juga tepalit sama semangat mereka.

Read more...
Related Posts with Thumbnails

  © Blogger templates ProBlogger Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP