Trip Ke Batu Gajah, Perak - Bhg 1
"Assalamualaikum." Suara seorang pemuda jelas di pintu rumah saya.
Saya sudah dapat mengagak suara itu milik Sham. Saya senyum dan tahu bahawa masanya sudah sampai untuk bergerak ke Batu Gajah. Sdr Sharul sudah pun berada di rumah saya. Tanpa membuang masa, kami bergegas memasukkan barang ke bonet kereta Rizal. Malam itu, Gen-2 Rizal akan membawa kami ke sana. Perjalanan tidaklah sejauh mana, namun perasaan teruja sudah mula menyelinap masuk ke dalam hati saya.


Lebih kurang jam 11.30 malam, kami tiba di sana dan dibawa ke kedai makan milik bapa Famy. Tanpa membuang masa, makanan dipesan. Perut sudah mendidih lapar. (Depa tak berhenti makan di highway - adehhh, hehehe). Makan dipesan licin dengan cemerlang dalam masa beberapa minit sahaja. Dengan ditemani suara karaoke yang saling berlawanan, akhirnya kami dibawa ke Arena Square. Di sana, Lan dan rakan-rakannya sudah menunggu kami.


Sumber gambar : kredit - pemilik blog Intan Hijau
Mata saya tertumpu pada peralatan muzik gendang silat yang terbentang di atas tikar. Kami berbual untuk seketika. Sementara angin malam mula menggigit tulang sum-sum. Saya menggigil kesejukan. Dengan hanya memakai vest, tubuh saya tidak berupaya menahan dingin yang semakin menular. Namun keterujaan mengatasi segala. Saya dan Sharul turut bergendang dengan rakan-rakan K-Gar. Di situ dapatlah kami berkenalan pula dengan Eja, Cik Aziz dan Dukun.



0 comments:
Post a Comment