Trip Ke Batu Gajah, Perak - Bhg 2
Hari Ke - 2
Pagi sewaktu itik dan angsa di belakang rumah ibu Lan berdendang, mata saya sudah terbuka. Tetapi dek kerana keletihan bergendang dan perjalanan ke sana, saya terlelap semula. Namun apabila merasakan sudah agak lambat, kami bergegas bangun dan bersiap-sedia pula untuk ke rumah Syam. Katanya nak berlatih gendang di sana.
Setibanya kami di sana, kami disambut oleh bapa Sham yang ramah dan mencuit hati dengan lawaknya. Saya senyum, merasakan ada aura kemesraan yang menyambut kami di rumah Syam. Kami berbual-bual dulu sementara nak panaskan badan untuk bergendang. Malam tadi semasa meniup serunai di Arena Square, jari-jemari saya semacam agak kaku. Tidak tahu mengapa, mungkin kerana kesejukan yang melampau menyebabkan begitu. Di rumah Syam, saya meniup sepuas-puasnya.
Kemudian sdr Sharul menunjuk-ajar sedikit permainan dan buah-buah lagu Berjalan kepada Syam sera Eja. Ditambah pula dengan kehadiran Rizal, Famy, suasana menjadi bertambah ceria dan bersemangat. Lewat hingga jam 2.30 ptg barulah kami berhenti. Kali ini mengikuti mereka ke SK Toh Indera Wangsa Ahmad untuk mengikuti sesi latihan Silat Serimau Hitam di sekolah tersebut.
Melihatkan jumlah adik-adik pesilat di situ memang mengujakan kami. Sempat juga saya mengambil beberapa keping foto untuk diabadikan di blog KGGK. Di sana, kami berkenalan pula dengan jurulatih di situ, jurulatih silat kepada K-GAR, sdr Saiful. Saya berbual-bual seketika dengannya sewaktu berhenti rehat dan hujan pula melanda seketika. Sehabis sesi latihan kami minum petang di sebuah kedai. Suasana mesra dan keramahan sdr Saiful dan rakan-rakan Serimau Hitam menyebabkan kami tidak terasa asing berada bersama mereka. Inilah yang kita mahukan, sama ada bersilat atau bergendang - kata guru, nak cari kawan.
Di senggang waktu bersilat, saya dan rakan-rakan K-GAR bergendang bersama. Sambil itu mengiringi beberapa adik yang membuat persembahan silat.
Malam
Malam tersebut kami dimaklumkan harijadi Rizal dan akan disambut di rumahnya. Kami seronok apabila mendengarnya, dan tentunya ada makan-makan di sana. Hehehe ... Setibanya ti rumah Rizal sudah banyak kereta yang parkir di luar rumahnya. Bau ayam bakar dan sate yang dibakar menambahkan semangat kami untuk menyantap. Sementara itu, gendang dan gong sudah diangkat. Kata Rizal, di rumahnya bolehlah bergendang takat jam 12 malam. Ya, itupun sudah memadai bagi saya jika dibandingkan dengan KL. Jangan harap boleh bergendang di kawasan taman! Orang di taman tersebut memang sporting, saya puji sungguh!
Namun sebelum itu, sesi tahana (mengena orang). Dan tentunya Rizal lah yang menjadi mangsa kerana dia adalah birthday boy pada malam itu. Saya dan Sharul tumpang seronok, terkenang pula masa zaman sekolah dahulu. Kesian juga tengok Rizal kena baling telur dan tepung. Suasana menjadi meriah dengan gelak dan tawa, saya kira ini adalah antara peristiwa yang akan menjadi kenangan indah untuk dibawa pulang ke KL.
Sesudah sesi makan dan tahana, sesi bergendang berjalan. Semua yang pada mulanya malu-malu alah bergendang, bergendang. Famy, pengendali blog dan FB K-GAR turut bergendang. Saya kira kesungguhan mereka dalam menggali ilmu pergendangan mencuit hati saya. Tentunya saya akan ke sana lagi sekiranya dibawa oleh Rizal.
Sesi bergendang tidak terhenti takat itu sahaja. Selepas itu, kami bergerak ke Arena Aquare untuk menyambung berlatih. Sharul membawa kelas pada malam itu yang berakhir jam 3 pagi lagi. Fuh, memang dahsyat mereka ni. Tapi itulah semangat yang ditunjukkan oleh K-GAR yang menyebabkan kami juga tepalit sama semangat mereka.
0 comments:
Post a Comment