Malam Pengantin Di Batu Gajah
Malam tadi sampai KL lebih kurang jam 12.30.
-----------------------------------------------------------------------------
Demi menunaikan sebuah hajat, KGGK meredah PLUS ke utara lewat jam 8.00 malam. Sdr Rizal, dari K-GAR melangsungkan majlis walimatul urusnya pada 5 Disember. Ini merupakan kali kedua kami bertandang ke Batu Gajah. Sampai di sana, terus ke rumah Sham. Minum-minum dan bersembang terlebih dahulu sebelum ke sesi jamming di Arena Square. Santak ke jam 3 pagi, barulah kami beransur ke rumah untuk berehat.
5 Dis
Setelah siap semuanya, kami terus ke rumah pengantin baru di Taman Laluan Lembah Permai. Kami cuma berbaju biasa sahaja, meraikan pengantin dan rakan-rakan. Selebihnya rakan K-GAR yang lengkap berpakaian hitam untuk menyambut pengantin (majlis berarak). Tepat jam 1.30 ptg, pengantin yang segak berpakaian songket penuh tiba dan diiringi oleh paluan irama gendang. Lagu Layang Mas berkumandang. Kali ini saya menyusun agar K-GAR menggunakan 2 pasang gendang. Biar nampak ramai dan meriah. Mungkin kalau ada seorang lagi yang meniup serunai, bertambah meriah jadinya. (Kami mendoakan moga akan datang agar ada lagi seorang peniup serunai).
Kemudian majlis diteruskan dengan silat sembah oleh rakan dari Perguruan Serimau Hitam. Habis semua penggendang mereka bersilat, sudahnya KGGK mengambil tempat untuk bermain gendang silat bagi mereka bersilat. Seorang demi seorang mempamerkan tari silat yang cantik, kami meneruskan permainan hingga tamat. Lewat jam 3.30 petang, saya mengajak rakan-rakan K-GAR beransur ke rumah Sham. Di sana kami bergendang lagi, sehingga puas.
Malam, lebih kurang jam 10, kami beransur. Letih tapi menyeronokan. Insya-Allah kalau tiada apa-apa aral, kami akan sampai lagi ke Batu Gajah, amin. Terima kasih KGGK ucapkan kepada sdr Rizal atas jemputan mereka, kepada sdr Sham dan Eja yang membenarkan kami bermalam di rumahnya, Sdr Saiful (jurulatih Serimau Hitam), Jett, Famy, Cik Dukun, Cik Ajis, Lan dan semuanya atas layanan mesra yang diberikan kepada KGGK.
Laporan majlis Rizal di blog K-GAR
0 comments:
Post a Comment