Trip Ke Batu Gajah, Perak - Bhg 3
Hari Ke-3
Saya kira hari ini adalah hari yang terakhir untuk kali ini kami bersama-sama K-GAR. Walaupun kami lebih senang sekiranya sesi ini berakhir dengan pulun gendang kaw-kaw, namun rakan K-GAR sudah punya program yang diatur. Tidak dapat tidak, keputusan tuan rumah mesti dihormati. Kami akur bahawa hari ke-3 tidak dapat berlatih bersama, memandangkan entah bila lagi kami akan menjejakkan kaki ke tanah Batu Gajah, wuallahua'lam.
Kali ini, hanya Lan & isteri, Jett, Syam dan kami berdua sahaja, yang lain-lain tidak dapat menyertai atas komitmen masing-masing. Kami dibawa melawat ke Tebing Tinggi, melihat pelbagai aneka jualan cenderamata untuk pelawat di situ. Rambang juga mata melihatnya tapi apakan daya, fulus tidak mengizinkan (senyum). Dari situ, kami dibawa pula ke Ulu Kenas, sebuah tempat rekreasi air terjun yang menarik.
Suasana memang menyegarkan mata dan jiwa. Tapi saya tidak mandi, hanya sekadar merakamkan beberapa keping foto digital untuk diabadikan di blog. Selebihnya, saya hanya menumpang gembira melihat rakan-rakan mandi-manda. Selepas balik, kami singgah ke rumah Lan untuk berehat seketika. Habis semua membongkang kepenatan. Disamping itu, kami bersembang bual sementara menantikan waktu maghrib. Mujur jugalah tuan rumah menyediakan makanan petang.
Pada malamnya, jam lebih kurang 9.00 malam, kami dihantar ke rumah Rizal. Perjalanan agak panjang kerana kesibukan kereta di hujung minggu yang mahu balik ke arah selatan. Jam 11.45 malam kami sampai di KL membawa seribu kenangan yang manis di Batu Gajah. Apa yang penting adalah ukhuwah yang terjalin sesama ahli pergendangan, itu yang paling penting. Apatah lagi dengan semangat dan kesungguhan yang ditunjukan membakar semangat kami. Insya-Allah, kalau ada rezeki, mungkin kami akan sampai lagi di sana.
Juga terima kasih tak terhingga diucapkan kepada Rizal, Syam, Lan, Eja, Famy, Jett, Dukun, Cik Ajis, Bro Saipul (Ketua Gelanggan Serimau Hitam, Bt. Gajah), keluarga Lan, keluarga Rizal dan rakan-rakan dari persilatan Serimau Hitam yang sudi menerima kedatangan kami.
Kalau ada sumur di ladang,
Bolehlah kami menumpang mandi;
Kalau ada umur yang panjang;
Insya-Allah kita berjumpa lagi.
0 comments:
Post a Comment