Thursday, March 31, 2011

Sirih Pulang Ke Gagang - Muar, Johor

Kursus Singkat Gendang Silat (Irama Lagu Berjalan) 18-19 Mac 2011

Gambar kenang-kenangan dengan peserta kursus

Bagai sirih pulang ke gagang, saya menerima undangan dari beberapa ahli Persatuan Seni Silat Sendeng Daerah Muar untuk mengadakan kursus singkat ini. Sebelum apa-apa, saya ucapkan tahniah kepada mereka atas semangat dan dedikasi yang ditunjukan sepanjang kursus berlangsung. Memandangkan mereka semua memang sudah boleh bergendang dan meniup serunai, jadi tugas yang diberikan menjadi sedikit mudah untuk ditangani.

Al-maklumlah, balik ke rumah keluarga saya di sana, perbincangan untuk ke sana sudah berlangsung lebih kurang dua bulan sebelum kalau tidak silap saya. Zahir, yang menjadi pengantara bersetuju dalam perbincangan atas tarikh tersebut. Saya memang seronoklah, nak balik kampung sendiri. Dan alhamdulillah, saya sekeluarga balik pada hari Khamis malam, 12 Mac. Dapatlah saya meluangkan masa dengan ibu bapa dan adik beradik yang sudah lama tidak ketemu.

19 Mac (Jumaat malam)

Majlis bermula lebih kurang jam 9 selepas Isyak. Saya dapat rasakan aura semangat apabila tiba di Parit Nipah. Sdr Taufik, sebagai tuan rumah menyambut kedatangan saya. Kami bersembang terlebih dahulu untuk mengetahui latarbelakang peserta kursus yang hadir. Dan tidak lama kemudian Huzaifah dan rakan-rakannya (Kump Gendang Arya Putra) dari Melaka sampai untuk menyertai majlis pada malam tersebut. sifu Aziz (Persatuan Seni Silat Gerak Tepat) yang lebih mesra dengan panggilan abang ajis juga turut hadir.

Kump Gendang Arya Putra, Bukit Bahru, Melaka

Malam itu saya dapat saksikan bahawa apa yang selama ini disebut-sebut oleh barisan guru yang mengatakan bahawa permainan gendang itu insyallah dapat menyatukan dan 'mencari kawan'. Saya bersyukur sangat, alhamdulillah. Gendang hanyalah menjadi asbab, semuanya sudah tertulis bahawa pertemuan dua perguruan atas nama 'gendang silat'. Tidak bertangguh, majlis diserikan dengan permainan kedua-dua belah pihak.

Tidak lama kemudian, Kump Gendang Arya Putra beransur kerana esoknya mereka ada tugasan lain untuk dihadap. Maka tinggalah kami, majlis bergendang diteruskan. Asas-asas 'lagu berjalan' diberikan sebagai pemula ilmu. Beberapa buah dan selak yang ringkas ditunjukan. Alhamdulillah, memang mereka yang asas ini agak mudah memahami dan menerima pelajaran baru. Hampir jam 12 baru kami berhenti.

19 Mac (sabtu)

Majlis diteruskan, seawal pagi saya dan Zahir tiba di sana. Kali ini latih tubi dijalankan. Pemain gendang diasak dengan hebat, latihan dijalankan tanpa rehat hinggalah saya merasa puashati dengan permainan yang ditunjukan. Latihan untuk serunai juga dijalankan dengan serentak. Alhamdulillah, sdr Zahir dan Lokman dapat bermain serunai dengan baik. Semoga latihan serunai dapat dilakukan secara berterusan.

latihan ...

Peserta-peserta yang menjalani latihan dapat saya rasakan kesungguhannya apabila pelajaran yang ditunjukkan dapat dipraktikan sebaik mungkin. Saya sangat berpuashati dengan kesungguhan yang ditunjukan. Sesi diteruskan tanpa henti, walaupun saya maklum pemain gendang mula merasa resah kerana tangan kelihatan merah, namun atas nama semangat, latihan diteruskan.

Menyinggah di masjid Parit Jawa yang
sudah jauh berubah


Sehinggalah pada malam hari, latihan diteruskan. Dengan kehadiran jurulatih mereka, abang mi, saya merasa lega kerana sokongan yang diberikan amatlah memberangsangkan. Kemudian hadir pula seorang lagi jurulatih. Akhirnya lebuh kurang jam 11.45 malam, sesi latihan ditamatkan dengan memberikan kata-kata nasihat. Segala apa yang dicurahkan oleh barisan guru, disampaikan pula kepada mereka. Akhirnya, kami bergambar beramai-ramai dan bersembang panjang sampai larut malam. Tapi kali ini saya balik ke rumah awal sedikit, memandangkan esok pandu ke KL.

Semoga wadah permainan gendang silat dapat memberikan manfaat kepada semua, termasuklah peserta dan mana-mana penggendang silat yang ada.

p/s : Terima kasih kepada Zahir yang menjadi orang kuat untuk mengadakan majlis ini, Taufik - tuan rumah yang menyediakan makan minum, terbaik! Rakan-rakan peserta - teruskan latihan kamu semua sampai berjaya.

Laporan lain di blog Sdr Zahir - klik sini.

0 comments:

Related Posts with Thumbnails

  © Blogger templates ProBlogger Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP