Tuesday, August 19, 2008

Bengkel Gendang Silat - 22 Mac 2006

Makluman - Sebetulnya ini adalah artikel lama di blog lama saya. Sengaja saya pindahkan di sini supaya dapat disatukan dalam blog gendang. Blog lama tersebut adalah blog yang melibatkan dunia penulisan. Jadi saya khususkan di sini.
---------------------------

Kami dilayan dengan mesra oleh cikgu Ismail Jantan yang menceritakan pengalaman beliau dalam dunia persilatan.


Genap 3 hari berbengkel di Kg Masjid Tanah, Melaka – kami balik ke KL seperti biasa dengan hati yang sebak dan terharu kerana telah mesra dengan pelatih-pelatih di sana. Dalam pada masa yang sama menurut Cikgu Ismail Jantan, kursus fasa ke – 2 gendang silat baku akan diadakan lagi, kali ini di Taman Budaya, Melaka. Hari pertama di sana agak membosankan kerana kami sampai agak awal kira-kira jam 11.00pg sedangkan program tersebut dimulakan pada jam 2.30 ptg, iaitu sesi pendaftaran. Kami ditempatkan di rumah seorang nenek berhampiran dengan pusat Silat Seni Gayong Malaysia. Kira-kira jam 5.00 ptg, baru dimulakan sesi taklimat ringkas mengenai kursus dan tujuan diadakan.


Sejurus kemudian, Cikgu Ramli mengambil slot yang pertama bagi menerangkan serba-sedikit tentang gendang silat dan peralatannya. Kelihatan pelatih-pelatih begitu bersemangat, tidak sabar untuk menerima pelajaran baru tentang gendang silat. Sesi kedua dikendalikan oleh Shahrul Nizam bagi sesi penerangan berkenaan penalaan dan penjagaan gendang silat. Tujuannya adalah mengekalkan hayat gendang agar dapat dimainkan dalam jangkamasa yang lama.

Sesudah sesi tersebut, terus sahaja saya bahagikan pelatih-pelatih yang berminat untuk belajar gendang dan serunai.Sesi mengajar serunai dibawa oleh cikgu Ramli dan saya. Oleh kerana masa yang begitu terhad, kaedah dicipta bagi membolehkan mereka belajar mengambil nafas dengan cepat. (namun begitu diakhir program, hanya 2 orang sahaja yang berupaya menyambung nafas).

Hahaha … Belon yang ditiup kembang-kempis tidak tentu hala. Walaupun petua untuk menyambung nafas sudah diberikan, namun tidak semudah yang dikata. Akibatnya pelatih-pelatih serunai mengalami kesakitan di pipi masing-masing. Rupa-rupanya semangat untuk mempelajari serunai mula mengendur dengan penarikan diri seorang pelatih dan terus balik rumah. Selain dari praktikal, kami juga mengadakan sesi peperiksaan untuk menguji sejauh manakah tahap penumpuan di dalam kelas.

Sesi pembelajaran dikendalikan oleh Sharul dan Izal. 10 minit pertama pembelajaran gendang amat menyeronokkan, namun setelah hampir sejam berlalu, masing-masing resah kerana tangannya sudah merah menyala! Hehehe Manakala pelatih serunai pula terkembung-kembung pipinya untuk menympan nafas.


Sambil kami turut bermain untuk menyambut kedatangan dan kepulangan tetamu iaitu, Timbalan Pengarah Jabatan Kesenian Melaka. Beliau memuji program yang telah dianjurkan oleh Pertubuhan Seni Gayung Melaka dan berharap agar diteruskan kepada fasa yang kedua, dijangka diadakan pada bulan Jun.

3 comments:

Anonymous,  August 21, 2008 at 10:17 AM  

Salam perkenalan,

Saya Kasmara, pensyarah di Kolej Komuniti Rompin. Mempunyai kumpulan dikir barat kolej, namun turut meminati gendang silat.

Lama sudah berhasrat mempelajari ilmu gendang silat ni, namun tidak ketemu pengajar terutama di Rompin, Pahang.

Tertarik dengan bengkel yang Tuan jalankan di Melaka. Agaknya bengkel tersebut boleh dijalankan oleh sesiapa yang berminatkah?

Martabatkan seni bangsa.

Anonymous,  August 27, 2008 at 9:35 AM  

kursus bengkel gendang silat tentu boleh ditawarkan di Kolej Komuniti. mesti ramai yg minat

dulu (masa muda2) rajin jugak ikut-ikut main silat di MATIC Jln Ampang. sekali-kala cikgu bawa anak-anak buah bermain gendang. terasa aura persilatan melayu bila bergendang

malah kalau kenduri kahwin diserikan dengan kompang dan gendang silat untuk menggantikan lagu-lagu moden mungkin juga lebih unik kemelayuannya

salam perkenalan

Gayongmk May 20, 2011 at 5:44 PM  

Ini adalah saat paling indah dalam PSSGM Melaka .

Dr Kak Yam

Related Posts with Thumbnails

  © Blogger templates ProBlogger Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP