Showing posts with label TV3. Show all posts
Showing posts with label TV3. Show all posts

Thursday, February 17, 2011

KGGK Di tonton.com


Kepada rakan-rakan yang tidak berkesempatan menonton siaran Majalah 3 yang menampilkan KGGK, boleh tonton di sini, tapi kena daftar terlebih dahulu. Atau juga boleh lihat di you-tube di bhg 1 dan bhg 2.

Read more...

Friday, February 11, 2011

KGGK Di Majalah 3, TV3 : 12 Febuari (sabtu)

Cikgu Ramli diwawancara

Menurut En Amin, bos Majalah 3 yang menelefon kami tempoh hari, penggambaran segmen sf, penulisan dan gendang silat yang dilakukan akan disiarkan tanggal 12hb Febuari, sabtu, jam 9 malam. Semoga dengan tersiarnya kisah ini akan menambahkan inspirasi serta semangat juang kepada rakan pergendangan yang lain di seluruh tanah air.

KGGK menanti dalam debaran!
Terima kasih kepada semua pihak yang memberikan kerjasama untuk menjayakan penggambaran bersama krew Majalah 3.

p/s : Kami terkilan benar kerana tidak dapat melakukan penggambaran dengan almarhum Pakcik Din Guai kerana beliau gering. Kalau mengikut jadual, penggambaran bersama almarhum adalah penggambaran terakhir untuk segmen tersebut. Allah lebih mengetahui.

Read more...

Wednesday, December 1, 2010

Tabuh Gendang dan Langsing Serunai di Jitra & Pendang

26.11 - Menuju Destinasi


Jam 11.30, saya tercangak-cangak di hentias bas Bukit Jalil. Rasanya, lama juga tidak ke Kedah menaiki bas. Termenung bila melihat suasana di situ sambil mencari-cari platfom 7. Matahari di atas kepala menggigit ubun-ubun. Melihatkan jam jarum jam sudah tepat menunjukkan waktu jam 12, bas masih tidak kelihatan.

Apabila bas tiba, saya cepat-cepat menaiki - untuk menghilangkan rengsa bahang di hentian tersebut. Seat untuk seorang, cantik - tidak bertangguh bas Durian Burung meluncur ke destinasi yang ditetapkan. Lebih kurang jam 6.45 petang, saya turun di Jitra.

Rakan sealiran sudah menunggu - sdr Fauzi. Kami pun pekena kueh teow di depan Yawata. Kata Fauzi, sedap kueh teow di situ. Tapi sebabkan cap free, saya sental sahaja. Hanya hampir jam 12.30 malam, barulah sdr Bulat sampai. Kami sambung sembang dan akhirnya masing-masing sudah keletihan. Beransurlah kami ke rumah Pak Teh Mat.

Hari Pertama 27.10 (Penggambaran di rumah Pak Teh Mat Khir, Pak Teh Mid, Hanim dan Tok Saat)

Pagi

Pagi-pagi lagi En Amin sudah menelefon mengatakan bahawa mereka akan sampai sekejap lagi. Menggelupur saya bangun kerana risau mereka sampai, saya takdan mandi lagi ... hehehe. Memang tepat jam 9, van TV3 terpacul di hadapan rumah. Tabik! Masa memang depa jaga sungguh, Tak bertangguh pula saya menelefon Pakteh yang sibuk menguruskan beberapa majlis pada hari tersebut. Memang sejak dari mula penggambaran, depa memang tepat dari segi masa.

Sekitar penggambaran di rumah Pak Teh Mat

Apabila semua sudah ada, penggambaran dijalankan di luar rumah. Lokasi yang dirasakan mempunyai sudut yang terbaik dan cantik dipilih oleh krew tv3. Tikar dibentang, gendang, gong dibawa. Sementara itu, krew tv3 sibuk memasang alat dan kamera. Saya dan Bulat hanya memerhatikan sambil mengambil beberapa keping gambar untuk diabadikan di FB KGGK dan blog.

Selanjutnya sesi penggambaran dimulakan. En Amin mula menemuramah Pakteh dengan pelbagai pertanyaan dan persoalan. Satu demi satu dijawab dan diterangkan, hinggalah membawa pada demo gendang silat Kedah dan Patani. Saya pun disuruh berlakon juga, memukul gendang. Hentam!

Di rumah Hanim

Dari rumah Pakteh, kami ke rumah Hanim pula, kenduri kahwin dia. Hanim dulu ni merupakan salah seorang (penggendang anak) ahli kumpulan Srikandi, di bawah seliaan Pakteh juga. Tapi kini sudah berpecah kerana masing-masing membawa haluan.

Tidak cukup dengan rumah Hanim, kami ke Kampung Malau pula. Menurut Pakteh ada kenduri cucunya berkhatan. Apa lagi krew tv3 macam pucuk dicita ulam mendatang, selepas Zohor kami tiba di sana, jam 2 petang. Kami tumpang van mereka, dan dari tepi jalan kami dapat melihat beberapa khemah didirikan. Bunyi paluan gendang silat dan tiupan serunai segera menyucuk dan menggesa saya untuk keluar dari perut van dengan pantas. Dapatlah berjumpa dengan rakan2 yang lama tak jumpa.

Persembahan silat pulut oleh otai-otai

Sementara krew tv3 macam lipas kudung, mengambil gambar dan rakaman orang bergendang dan bersilat. Satu demi satu pasukan dan pasangan silat masuk bermain. Saya rasa puas benar dapat melihat orang bersilat dan bergendang. Dan bertambah puashati dapat membawa krew tv3 ke rumah Tok Saat untuk merakam di majlisnya.

Namun masa berlalu begitu pantas, jam sudah menunjukkan 3 petang. Saya dan krew tv3 bergegas pula untuk ke rumah Pakteh Mid di Kuala Lanjut, Pendang. Perjalanan hanya mengambil masa 40 minit sahaja dari Jitra.

Petang

Setibanya di sana, saya dapat melihat satu suasana yang menarik. Bangsal dipenuhi oleh pemain gendang yang asyik dan leka mengalunkan irama warisan. Sementara ibu2 dan anak2 memenuhi ruang dan bagaikan ada temasya kecil yang berlangsung. Namun, akhirnya barulah saya tahu Pakteh Mid membuat kenduri kecil sempena kehadiran krew tv3 dan kami yang hadir.

Penggambaran di rumah Pak Teh Mid

Pihak krew tv3 tidak bertangguh. Terus mengatur tempat dan lokasi yang terbaik untuk merakam perjalanan hidup Pakteh dan juga permainan irama gendang silat. Saya dan Bulat keletihan, hanya melepak di tepi dan menyaksikan krew tv3 yang sibuk menjalankan tugasannya. Duduk di tepi rumah, kami berbual-bual dengan anak-anak Pakteh. Sehingga lewat jam 7 petang, barulah penggambaran selesai.

Dari wawancara, hinggalah rakaman ringkas cara membuar serunai dilakukan. Saya hanya senyum lega kerana dapat membawa mereka ke sini. Dan bertambah lega pula, kerana tidak perlu berlakon. Diri memang kepenatan yang sangat amat. Hujan renyai-renyai turun tatkala senja menginjak tubir masa, saya dan Bulat keletihan.

Malam

Meskipun sesi penggambara sudah selesai, namun pada sebelah malam selepas Isyak, sesi bergendang di teruskan. Mula-mula saya dan bulat bermain. Santak ke pukul 10, Bang Li (peniup serunai), datang. Saya lega, kerana masih belum mandi sedari petang tadi. Dalam masa kesibukan orang bergendang, saya menyelinap keluar dari bangsal dan membersihkan diri. Selepas itu, hanya duduk di bawah dan memerhatikan dari jauh.

Sesi bergendang dengan geng Pak Teh Mid

Semakin larut, semakin jadi bergendangnya. Lagu yang ditiup tak putus-putus. Irama padang pasir, lagu-lagu lama Melayu, lagu Hindustan sulam menyulam. Hanya sesudah hampir selesai bergendang, saya menghampir bangsal kerana terasa ingin mencuba tiup serunai Bang Li yang merengek-rengek. Memang sedap sungguh serunai beliau, tapi kalau tak pandai ambil angin dan menggayakan, jadi sumbanglah. Dalam hati, teringin juga nak ada serunai yang bunyi macam itu.

Selesai orang bergendang, saya dan Pakteh Mid, meniup pula serunai-serunai yang dipesan oleh rakan-rakan dari Melaka. Jenuh mencari suara, mali yang sesuai, pipit yang elok. Dalam hati saya, memang tak mudah untuk memilikki serunai yang elok suaranya. Patutlah harga serunai agak tinggi, padanlah dengan kesukaran untuk membuat dan mencari suaranya. Santak jam 3 pagi, barulah selesai lima batang serunai. Sobri (anak pakteh) pula sibuk membuat mali tambahan yang dipesan oleh rakan-rakan gendang di KL dan Perak.

Serunai yang dipesan oleh rakan-rakan

Hampir dua jam, Sobri dengan teliti membuatnya. Saya puashati melihat keadaan mali yang begitu. Pakteh kepenatan, saya sambung menyembang pula dengan Sobri sehingga jam 5 pagi. Ayam sudah berkokok, barulah saya merebahkan diri di atas tilam yang disediakan. Sungguh, sungguh bukan mudah untuk menghasilkan serunai yang baik. Jadi, padanlah dengan harga yang sebegitu. Kalau orang dengar macam mahal, tapi bila sudah lihat sendiri baru saya tahu betapa bukan mudah untuk menghasilkan serunai yang baik suaranya.

28.11

Oleh kerana perjalanan krew tv3 akan ke Gurun dan balik ke KL, saya minta jasa baik En Amin untuk menumpang van. Alhamdulillah, akhirnya kami terdampar pula di Gurun. En Amin singah sebentar untuk membuat rakaman majlis Seminar ADMAA (Awang Daud Martial Arts Academy). Lama juga kami berada di situ sementara menantikan majlis selesai.

Persembahan oleh krew ADMAA

Hingga jam lebih kurang 3/3.30 petang, kami bergerak semula ke KL dalam keadaan hujan lebat dan renyai hinggalah sampai KL. Jam lebih kurang 12.30 kami tiba di KL dengan selamatnya, alhamdulillah.

Hujan lebat mencurah-curah sepanjang perjalanan balik

Ucapan terima kasih kepada : Pak Teh Mat Khir sekeluarga, keluarga Hanim, Keluarga dan rakan-rakan Tok Saat, keluarga Pak Teh Mid dan rakan-rakan beliau. Juga kepada krew tv3 yang bertungkus-lumus mengambil gambar dan rakaman.

Akan datang di Jengka 6, Pahang - sesi penggambaran terakhir, Insya-Allah.

Read more...

Tuesday, November 23, 2010

Sesi Kedua Bersama Krew Majalah3 : 13.11.10

Hampir semuanya tidak berapa biasa dengan kawasan Shah Alam. Tiada pun antara kami yang benar-benar mengetahui di manakah lokasinya penggambaran malam itu. Hanya dipetakan melalui alamat yang diberikan oleh sdr Hisham - Dewan MBSA, Sek.8.

Namun perjalanan sudah dirancang lebih awal, jam kurang lebih 7.45 mlm, kami terus ke masjid Shah Alam, itupun berpandukan pada pengalaman yang lepas. Seminggu sebelum itu saya pergi ke Pejabat Pelajaran.

Alhamdulillah, seusai solat, kami menjamu makan percuma yang disediakan oleh pihak masjid. Saya kira itu adalah sedekah dari para jemaah yang menderma. Syukurlah. Ada orang tu sampai layan sampai tiga bungkus (phewww ...).

Keluar sahaja dari masjid, berposah kami mencari dewan. Ingatkan Dewan MBSA yang besar tu, rupa-rupanya - Dewan Angsana, bersebelahan dengan kawasan perumahan. Memang mencabar kalau tak biasa dengan jalan di sana.

Cikgu Ramli diwawancara

Malam itu tidak ada apa-apa sangat bagi pasukan gendang, hanya bermain lagu silat dan patani; berulang 2 kali seperti sebelum ini. Bezanya kali ini ada Mat Arip dan Alang - kedua-dua dapat bermain, serta Cikgu Ramli. Selesai sesi bergendang, En Amin menemuramah rakan-rakan yang belum ditemuramah sebelum ini. Saya hanya berehat sambil memerhatikan rakan-rakan Silat Gayong yang bersilat untuk dirakam dan juga ada beberapa yang memasak minyak - mandi minyak.

Krew KGGK pada malam tersebut

Tidak berapa lama, kami berehat sesudah selesai penggambaran. Cikgu pula berbual panjang dengan En Amin. Saya dan rakan-rakan berkemas, siap-siap untuk pulang. Tengok jam, sudah hampir 12 tengah malam. Sesudah bersalaman dengan rakan-rakan silat dan krew Majalah3, kami beransur. Penat ... esok paginya ada tugasan lain menunggu.

'Kalau aku bersilat ...'

p/s : Gambar tidak berapa jelas, guna kamera selfon sahaja. :)

Bhg 1 - klik sini

Read more...

Saturday, October 30, 2010

Bergendang Untuk Majalah 3

Semuanya atas izin Allah. Bermula dengan En Isa (salah seorang jurugambar tv3) yang menghubungi lebih kurang sebulan yang lepas. Pada mulanya, saya menyangka beliau menghubungi saya untuk tujuan persembahan, tapi akhirnya barulah saya tahu bahawa beliau mencadangkan KGGK dan kisah kehidupan seorang penulis, Serunai Faqir sebagai subjek utama untuk program Majalah 3. Beberapa ketika juga kami berurusan, termasuklah memberikan beliau cd gendang silat dan novel LSI untuk tujuan proposal beliau.

Tidak lama kemudian, Encik Amin, produser Majalah 3 menghubungi saya. Kata beliau, KGGK dipilih sebagai salah satu subjek dalam kehidupan penulis, Serunai Faqir. Saya kata ok, dan gembira dengan cadangan beliau untuk shooting KGGK. Kata beliau lagi, mungkin dalam bulan 11 nanti saya akan dimaklumkan tarikh dan masa untuk penggambaran tersebut. Tengok-tengok, hari Isnin yang, saya dihubungi untuk menjalankan penggambaran KGGK (lebih awal dari yang dijangka).

Memahami tugas dan jadual yang menggeluti beliau, saya bersetuju dan memaklumkan kepada ahli KGGK yang berkelapangan untuk turun. Hari yang diputuskan adalah Jumaat malam.

29 Oktober

En Amin dan krew sudah sampai di rumah saya lebih kurang jam 6 petang. Setelah penggambaran di Tasik View (belakang Carrefour Taman Tun Husin Onn) tergendala akibat hujan tiba-tiba, keputusan diambil oleh En Amin untuk menjalani penggambaran KGGK di kawasan Cheras Utama sahaja. Kebetulan beliau terpandang Dewan Komuniti penduduk flat Cheras Utama, blok C, beliau terus sahaja mencadangkan untuk menjalani penggambaran KGGK di situ. Dek terkejut, saya terus menghubungi sdr Zul, tenaga pengajar kompang di situ berkenaan hal penggambaran tersebut. Alhamdulillah, kerjasama yang diberika oleh sdr Zul amat memuashatikan. Berterima kasih benar KGGK kepada sdr Zul, Abg Din dan penduduk taman tersebut, terutamanya blok C yang memberikan kerjasama yang amat baik. Sehubungan itu, KGGK juga memohon maaf kepada sdr Zul dan tenaga pengajar kompang kerana akibat penggambaran tersebut, latihan kompang tidak dapat dijalankan di situ seperti biasa.

Jam sudah menunjukan angka 9. Tidak lama kemudian ahli KGGK semua sampai. Bulat, Alang, Azam, Sopik. Lega hati saya. Namun penggambaran hanya dimulakan setelah selesai solat Isya' di masjid yang bersebelahan. En Amin memberi penerangan ringkas apa kehendak mereka pada malam itu.

Dimulakan dengan saya, sebagai pemain serunai, Bulat - gendang ibu, Azam - gendang anak, dan Sopik - gong. Tapi sayang sekali, saya terkilan benar kerana Alang yang hadir dari Klang Gate tidak dapat masuk untuk rakaman kerana ada alat yang tertinggal. Walhal, tujuan saya memanggil rakan-rakan adalah supaya semua dapat menyertai untuk sesi penggambaran tersebut. Begitu juga dengan Cikgu Ramli yang tidak dapat hadir atas urusan peribadi.

Kemudian sesi penggambaran diteruskan. Pihak Majalah3 mahukan kami bermain sebuah lagu untuk dirakam. Dalam kepala saya sama ada main lagu Tomoi, Silat atau Ayam Didik. Akhirnya saya memilih Ayam Didik sebagai lagu pembukaan. Tapi syukurlah saya memilih lagu tersebut, kerana kami terpaksa mengulangnya hingga 4-5 kali. Peh, kalau tiup lagu silat, alamat jenuhnya nak tiup, orang gendang tentu-tentu pecah tangan.

Selesai sesi tersebut, seorang demi seorang pemain KGGK diwawancara secara ringkas. Saya sudah diwawancara seawalnya semasa di rumah. Jadi, apa laig, duduk di luar dan layan rokok. Namun tidak sempat dengan Sopik, hujan mula turun dengan lebat, menyebabkan rakaman terpaksa dihentikan kerana mengganggu sistem rakaman audio. Sudahnya kami bersembang untuk beberapa ketika dan beransur sesudah hujan mulai sidang. Kami bersalam-salaman dan mengucapkan ribuan terima kasih kepada penduduk Cheras Utama, Blok C yang mengizinkan kami menggunakan dewan tersebut untuk sesi rakaman gendang, terutamanya sdr Zul dan Abg Din.

- Rakaman di Pahang dan Kedah, insya-Allah akan dijalankan. Dalam perbincangan dengan En Amin

p/s : Terima kasih kepada penduduk Cheras Utama, Blok C.
Terima kasih juga kepada pihak Majalah 3, terutama En Amin dan krew.
Khusus ucapan terima kasih KGGK kepada En Isa yang bersusah-payah mencadangkan KGGK kepada Majalah3. Jazakallahu khairon kathiro.

Read more...
Related Posts with Thumbnails

  © Blogger templates ProBlogger Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP