Showing posts with label Latihan KAGEM. Show all posts
Showing posts with label Latihan KAGEM. Show all posts

Thursday, June 21, 2012

Waris Dari Temasik


Gambar kenang-kenangan

Sudah hampir dua tahun Kump Langgam Mustika (KGLM), dari Temasik menjalani latihan yang sekali-sekala. Namun, baharu kali inilah, kami merasakan ada tenaga yang terpancar dari sanubari mereka yang hadir. Kesungguhan dan iltizam untuk menguasai permainan gendang silat terpapar dari kecepatan mereka menguasai irama asas lagu berjalan sebelum melangkah jauh. Sesekali ada juga undangan yang dipenuhi oleh mereka.

Untuk itu, tahniah diucapkan kepada KGLM yang hadir selama 3 hari untuk menjalani latihan bersama. Tidak bertangguh, hari pertama menjejakkan kaki di sini pada 14 Jun, latihan sudah dimulakan apabila selesai mendaftar di hotel yang berhampiran dengan Jusco Cheras Selatan. Lebih kurang jam 11 pagi latihan dimulakan hinggalah jam 6.30 petang.

Konspirasi kek birthday ... hehehe

Selamat hari lahir kepada Fizah

Sebelah malam, mereka dibenarkan berehat. Memandangkan kepenatan masih belum usai, dapatlah bersiap-sedia untuk latihan pada 15 Jun. Jam 3.00 petang, lebih kurang (hari Jumaat), latihan kedua dijalankan. Kali ini kehadiran sdr Nizam (Lela Rentaka), menghidupkan lagi suasana latihan. Tambah menarik, hari tersebut merupakan ulang tahun kelahiran salah seorang anggota KGLM, iaitu Fizah aka merangkap pengurus KGLM. Meskipun disambut secara sederhana, namun kemeriahannya tetap dirasakan. Alhamdulillah. Lebih-lebih lagi sdr Nizam 'dipekena' oleh kami semua. :) Jangan marah aaa Nizam. Latihan diteruskan hinggalah petang menjelma, dan akhirnya sampai masa untuk mereka berehat.

Cikgu Ramli dengan kata-kata hikmah

Sdr Azam - memerhatikan ...

Hari terakhir latihan, 16 Jun, menyaksikan kehadiran Cikgu Ramli, Sdr Azam (KGGK) untuk memantapkan lagi sesi latihan bagi mereka. Latihan diteruskan, namun dua anggota KGLM terpaksa pulang dulu ke Temasik atas tugasan lain yang menanti. Namun latihan tetap diteruskan. Alhamdulillah, hinggalah penutup majlis latihan, dapatlah Cikgu Ramli dan kami mengongsikan sedikit sebanyak pengalaman, panduan dan nasihat - diberikan kepada mereka agar terus gigih berlatih dan tidak putus asa. Jam 5, kami berhenti latihan.

Tempat Latihan

Pada sebelah malamnya, saya membawa mereka ke AnW yang berhampiran. Menurut mereka, di Temasik sudah tiada. Saya katakan bahawa di sini juga payah untuk jumpa. Tak laku agaknya. Namun demi KGLM, saya tunaikan hasrat mereka kerana restoran segera itu agak dekat dengan rumah.

Makan di kawasan Masjid India

Esok pagi, KGLM dihantar oleh saya ke kawasan Masjid India di KL. Memandangkan ada benda yang saya cari, maka saya juga ke sana. Kami makan-makan, borak dan bergelak ketawa. Moga-moga KGLM akan datang lagi ke sini untuk meneruskan tradisi pergendangan silat di Temasik kelak. Apapun yang diperolehi, moga menjadi kebaikan dunia akhirat, amin.

ps/ : Terima kasih khas kepada Cikgu Ramli, Sdr Azam dan Sdr Nizam yang turut hadir untuk sesi latihan KGLM.

Read more...

Tuesday, April 24, 2012

Lagi - Bergendang di Melaka


22.4.12 - Ahad (Malam)

sambungan sebelum ini - klik sini

Daripada Muar ke Melaka tidaklah jauh, tapi memandangkan kami tidak mahu tersangkut dalam kesesakan jalan raya - terus sahaja kereta kami meluncur ke sana. Destinasi adalah Bukit Baru Dalam, rumah Sdr Huzaifah. Alhamdulillah, lebih kurang 1 jam kami tiba di sana. Waktu sudah Maghrib, kami pun menunaikan solat.


Tidak lama kemudian, rakan-rakan pergendangan dari Melaka tiba. Penuh sesak di rumah Sdr Huzaifah. Menurut Sdr Huzaifah, mereka menubuhkan Keluarga Angkatan Bergendang Silat Melaka (KABES), dengan tujuan murni agar dapat menyatukan orang silat di bawah panji-panji pergendangan Melayu. Latihan juga mempunyai 3 tempat, hari Ahad malam - di rumah Sdr Huzaifah, Selasa malam - di rumah guru Aziz (Guru Utama Silat Gerak Tepat Melaka), dan hari Khamis - di Dataran Bukit Baru.

Alhamdulillah, perkembangan di sekitar Melaka sangat menggalakan. Moga-moga ia akan terus dan berkekalan sampai bila-bila. Saya dan Sdr Ijam tidak melepaskan peluang dan bermain bersama-sama dengan mereka. Lebih kurang jam 12.45 malam, kami beransur pulang ke KL dengan seribu kenangan yang takkan dilupakan. Jam 3.00 lebih kurang, kami sampai - pewai gila!

p/s : Terima kasih kepada sdr Huzaifah yang menjadi tuan rumah pada malam tersebut.

Read more...

Sunday, April 8, 2012

Yeop Kejor Yeop, Kami Datang Lagi

6 - 7 April 2012 - Ke Pengkalan Pegoh, Perak

Keadaan di Tol Sungai Buloh

Alhamdulillah, walaupun jalan keluar dari KL untuk ke Ipoh agak sibuk, kami selamat sampai di sana, lebih kurang jam 10.30 malam. Ia sudah dijangka sehari sebelum kami beransur ke sana, pukul 6.40 petang bergerak, mana-mana jalan di KL sesak, tambahan pula hari Jumaat. Di tol Sungai Buloh pun boleh tahan sesak, kerana orang mahu pulang ke kampung.

Sesi jamming

Setibanya kami di rumah Yop, Lela Rentaka, berbual-bual sekejap dan terus bergendang. Hampir jam 12 baharulah kami berhenti. Dan seperti biasa, ia diakhiri dengan sesi mengeteh di kedai Tom Yam, sambil menikmati sate Pengkalan yang enak. Gerai sate itu pula dikendalikan oleh Sdr Akasha (salah seorang ahli Lela Rentaka), maka dapatlah makan percuma (Idan belanja hehehe...). Banyak perkara juga yang dibincangkan seputar perkembangan gendang Lela Rentaka dan hal-hal yang lain.

Sesi santai - mengeteh

Esoknya, kami merayap ke Jelapang, menziarahi rakan gendang di sana. Selesai sesi ziarah, kami ke rumah Akasha - ada jamuan sedikit. Tak hilang penat lagi, petang kami sesi latihan gendang dijalankan hinggalah jam 7 petang. Selesai rehat, dan solat Maghrib, kami bergerak semula ke KL. Alhamdulillah, jam 11 malam kami sampai di sini dengan selamatnya.

Latihan di sebelah petang

Jamuan di rumah Akasha

Read more...

Saturday, March 31, 2012

Apo Kono Eh Jang : 2

Kebetulan hari ini menyinggah ke Senawang untuk mengambil isteri saya, terus saya berhubung dengan Kump Gendang Sidang Kencana untuk melihat perkembangan mereka. Alhamdulillah walaupun agak lama tidak berjumpa dengan mereka, namun pelajaran masih diingati, cuma ditambah sedikit pelajaran baru. Moga-moga pergendangan silat aliran utara terus bercambah dan berkembang biak di sebelah selatan dengan izin Allah, amin.

Read more...

Wednesday, March 28, 2012

Dari Muar Ke KL - Lawi Merah


25.3.12

Penat masih bergayut, namun semangat mengatasi segala, sama ada Lawi Merah, mahupun Gemala Kasturi. Kerana semangat cintakan seni ini, kami berlatih gendang pula selepas majlis Wajadiri malam sebelumnya. Manakala Lawi Merah baru sampai dari Muar malam tadi dan tidak dapat bersama kami untuk majlis Wajadiri PLKU tersebut.

Sekali lagi Lawi Merah hadir dari Muar untuk menjalani latihan gendang silat sebagai salah satu dari proses pembelajaran dan penambahbaikkan pelajaran lalu yang sudah diajar. Alhamdulillah, perkembangan amat memberangsakan kami. Moga Lawi Merah dan mana-mana ahli KAGEM yang gigih dan bersungguh, kami doakan agar mencapai apa yang dihajati dan beroleh kejayaan dunia akhirat, amin, dan juga untuk semua ahli KAGEM amnya, amin.

Read more...

Monday, January 9, 2012

Latihan Bersama Lawi Merah

Gambar Kenangan
Gemala Kasturi, Lawi Merah dan Warisan Tebrau

Gambar Kenangan
Gemala Kasturi, Lawi Merah & Sri Tribuana

Tirai 2012 dibuka dengan menyambut kedatangan Kump Gendang Lawi Merah (Muar, Johor) yang bertandang ke sini untuk menjalani latihan bersama. Alhamdulillah, syukurlah kerana majlis latihan berjalan lancar hingga ke hari sudah. Tapi apa yang lebih menyeronokan, ialah bila dapat menghimpunkan dan menemukan beberapa kumpulan gendang untuk menjalin ukhuwah yang selama ini hanya terjalin di dalam grup FB.

Sesi latihan

Hari kedua latihan, Kump Gendang Warisan Tebrau (Pasir Gudang) kebetulan datang ke KL atas urusan kerja, namun sempat menyinggah untuk bertemu dengan rakan taulan yang ada. Begitu juga, kesempatan yang ada, kami membawa Lawi Merah bertemu dengan Kump Gendang Sri Tribuana (Kajang Utama) yang berlatih pada Ahad petang.

Sdr Mohd Zahir,
peniup serunai utama Kump Gendang Lawi Merah

Hanya lewat jam 9.30 malam, barulah Lawi Merah beransur pulang ke Muar. Sewaktu latihan, peningkatan dan kemajuan yang ditunjukkan agak baik dan semoga diteruskan sepanjang masa. Dan terlebih penting seperti yang dipesan oleh guru-guru, 'bergendang ni nak cari kawan.'

Terima kasih kepada Kump Gendang Lawi Merah, Warisan Tebrau yang hadir dan Sri Tribuana. Semoga ikatan persahabatan berkekalan sampai bila-bila, amin. Dan teruskan perjuangan untuk memartabatkan seni budaya Melayu, Insya-Allah. Juga terima kasih kepada krew Gemala Kasturi yang hadir - Sdr Sharul, Khairul dan Cikgu Ramli.

Read more...

Wednesday, November 2, 2011

Kejor Yeop Kejor!


29 Okt


Hampir beberapa bulan sebenarnya mereka merancang untuk datang ke sini. Cuma pada 29 Okt baru sampai. Alhamdulillah, sesi latihan dimulakan pada hari Sabtu, meskipun kedatangan mereka pada tengahari, namun tiada masa yang dapat dibazirkan dengan melainkan berlatih. Sepanjang hari Sabtu tersebut, mulia tengahari sampai ke malam, Lela Rentaka dilatih perlahan-lahan. Irama lagu berjalan diperkemaskan supaya dapat bermain dengan baik, Insya-Allah.

Ahli Lela Rentaka yang hadir

Kedatangan 3 anak muda dari Pengkalan Pegoh ini membuatkan saya dah Sdr Sharul bersemangat. Sikit bilangan tidak menjadi soal, yang penting harus bersungguh. Sepanjang latihan beberapa perkara ditekankan agar dapat memantapkan lagi permainan. Sampai lewat jam 11.30 barulah kami berhenti berlatih. Sesi jamming juga diadakan sebelum latihan berakhir.

30 Okt

Sesi latihan

Jam 10, latihan dimulakan. Mana-mana pelajaran yang dipelajari semalam diulang dan ditambah lagi. Namun lebih kurang jam 2.30 kami berhenti latihan, kerana mereka mahu beransur pulang ke Perak. Moga-moga latihan yang dijalani bersama dapat membuahkan hasil dan mengindahkan lagi permainan Lela Rentaka, amin.

Read more...

Tuesday, October 18, 2011

Bersama Lawi Merah 15-16 Okt 2011

Di sesi akhir latihan

Seperti sebelumnya, perancangan Lawi Merah untuk sesi latihan dan pengisian seterusnya, dirancang beberapa bulan awal. Setelah mencapai kata sepakat, akhirnya dengan izin Allah, dapatlah mereka hadir ke KL untuk sesi latihan yang ke-3. Secara dasarnya, banyak kemajuan yang terpamer, kesan dari latihan mereka yang berterusan. Alhamdulillah, syukurlah kerana kesabaran dan usaha berlatih tidak hanya terhenti di sini, dan diteruskan lagi.

Sesi latihan

Kami mendapat makluman bahawa KGLM mempunyai masa latihan mereka pada setiap minggu. Hari tersebut dikhaskan untuk berlatih gendang. Pada sesi kali ini, KGLM berlatih dengan gigih. Meski dalam serius, gurau tetap ada bagi menjalin kemesraan yang sudah sedia ada. Cikgu Ramli yang sekiannya menjadi pembimbing dan penasihat, tetap bersama menjalankan tugas dan amanah untuk mendidik anak bangsa, khususnya KGLM. Beliau sudi berkongsi pengalaman, pesan dan petua demi melihat perkembangan irama ini agar sentiasa berterusan.

Pada sesi pertama, irama lagu berjalan ditekankan sangat agar menjadi platfom awal untuk para pelatih mempelajari lagu silat. Seharian mulai jam 9 pagi santak jam 6 petang, baharulah KGLM dibenarkan berehat. Pada sebelah malam, kami hanya berehat sahaja.

Sesi seterus, hari ke-2 latihan irama lagu berjalan diteruskan. Dan kemudiannya asas lagu silat diajarkan sedikit sebagai hadiah atas latihan KGLM yang bersungguh-sungguh dalam memartabatkan permainan gendang silat. Moga-moga, KGLM terus berlatih dengan gigih dan mencapai kejayaan yang cemerlang, disamping dapat mengembangkan pula irama ini di daerah Muar, amnya di negeri Johor.

Sebelum berpamitan

Read more...

Tuesday, July 5, 2011

Bersama Kump Gendang Warisan Tebrau (2-3 Julai 2011)

Bersama para pelatih

Syukur alhamdulillah, bengkel gendang silat yang diadakan pada 2-3 Julai 2011 yang lepas selamat dan dipermudahkan Allah perjalanannya. Meski sebelum itu sudah ada penangguhan tarikh, namun sudah tertulis, tarikh yang tertera kami bertemu dengan pelatih-pelatih baru dari kumpulan gendang yang berasal dari Pasir Gudang, Johor. Awal-awal lagi dimaklumkan bahawa mereka akan beransur dari sana jam 12/12.30 malam dan terus ke Stadium Bolasepak Cheras.

2 Julai (Sabtu)

Awal pagi, saya sudah menerima mesej bahawa mereka sudah sampai. Bergegas terus ke sana dan mendapat mereka berada di kolam renang. Saya katakan bahawa kita berlatih di stadium bola. Dan tidak bertangguh lagi, terus sahaja peralatan dikeluarkan dan terus bergendang. Sementara menantikan kehadiran Cikgu Ramli, Sdr Azam dan Sharul, beberapa pukulan asas ditunjukkan.

Suasana latihan

Kemudian, apabila mereka sampai, saya dan Cikgu melatih pemain serunai. Sdr Sharul dan Azam melatih pemain gendang. Pada peringkat ini, kami hanya menyampaikan pelajaran 'Lagu Berjalan' untuk asas dan pengenalan. Selang beberapa jam, alhamdulillah pelatih2 dapat mengikuti pelajaran yang disampaikan. Sementara pemain serunai sudah mula meniup asas lagu Aladom. Tinggal saya menambaikkan mana-mana yang patut sahaja.

Tunjuk ajarku, sifu ...

Tok Kalau ...

Para pelatih pula dengan tidak mengenal jemu dan kesakitan, terus bergendang sehinggalah Zohor menjelma. Kami berhenti sebentar dan menunaikan solat Zohor di Masjid Az-Zubair Cheras dan menikmati makan tengahari. Namun masa yang singkat tidak membenarkan pelatih2 berehat lama, terus sahaja kembali ke tempat latihan dan berlatih sehingga jam 6 petang lebih kurang. Kami pun beransur untuk berehat.

3hb Julai (Ahad)

Kami bermula lewat sedikit, namun latihan tetap diteruskan. Semangat yang ditunjukan oleh para pelatih membuatkan kami turut teruja. Hari ini, latihan gendang dan serunai diadakan. Lagu yang dilatih oleh pemain serunai, digabungkan untuk melihat keserasian dan beberapa kesilapan diperbetulkan. Namun secara keseluruhannya, alhamdulillah. Dapatlah juga sedikit sebanyak ilmu yang disampaikan.


Latihan yang dijalankan dihentikan tepat jam 6. Oleh kerana ahli kump gendang Warisan Tebrau akan beransur, maka kami berehat. Sesudah menunaikan solat Maghrib, mereka beransur dengan seribu harapan dan kenangan. Kami di sini mendoakan agar rakan2 terus berlatih dan menjadi kumpulan yang berjaya di sana nanti, amin.

p/s : Terima kasih kepada ahli KGGK yang bersama - Cikgu Ramli, Sdr Azam dan Sharul.

Read more...

Monday, June 13, 2011

Kem Gendang Silat 1 (11-12 Julai 2011)

Gambar beramai bersama
Kump Gendang Lawi Merah


Asal idea ini sebenarnya adalah kerana memikirkan masing-masing (ahli KGGK) ada kekangan dan komitmen kerja, lalu memikirkan cara yang terbaik - maka timbullah ilham untuk mengadakan Kem Gendang Silat (KGS) bagi memudahkan semua pihak. Untuk kali ini hanya pelatih2 dari Kump Gendang Lawi Merah (KGLM) saja yang dapat menghadirkan diri. Namun perjuangan untuk menghidupkan gendang silat diteruskan. Rancangan sudah bermula kurang lebih 2 bulan sebelum.

Ahli KGLM yang hadir

Jam 11.30 malam, KGLM sebelumnya mereka sampai satu kereta. Menginap di rumah sdr Khairul. Dan malam itu juga sempat kami mengeteh di kedai mamak sebagai sesi takruf yang pertama utk KGLM dan KGGK.

Hari 1 (11.7)

Jam 11.00 pg, barulah sesi latihan dimulakan. Dengan mengambil kira kemajuan yang ada, dapatlah sedikit sebanyak penilaian dilakukan, beberapa lagu dimainkan oleh KGLM. Sebelum ini mereka sudah mengikuti kursus jangka pendek di Muar, maka beberapa progres dilakukan bagi memantapkan permainan mereka, Insya-Allah. Latih rubi dijalankan, Sdr Sharul melatih mereka yang bergendang, Cikgu Ramli pula melatih pemain serunai. Saya hanya membantu cikgu dan mengambil foto-foto untuk diabadikan di blog sebagai jurnal KGGK.

Sesi latihan

Hinggalah waktu Zohor, kami berhenti seketika dan singgah makan di Taman Tenaga. Selepas solat zohor di masjid Az-Zubair, kami meneruskan latihan santak ke jam 6 petang. Malam - kami hanya berehat. Keletihan mula memanjat di wajah ahli KGLM, mana tidaknya cuaca yang tidak menentu mengiring latihan mereka. Termasuklah juga kami, letih tapi kepuasan adalah segalanya.

Hari ke-2 (12.7)

Latihan diteruskan. Dengan sedikit penerangan daripda Cikgu Ramli, latihan diselang-seli dengan permainan KGLM. Sempat juga saya mengambil gambar dan video untuk koleksi peribadi. Sepertinya tidak dilanda kejemuan, KGLM terus berlatih sambil dibimbing oleh sdr Sharul dan Cikgu Ramli. Alhamdulillah, perubahan mula nampak, berbanding dengan hari sebelumnya, permainan sudah ada perubahan. Ketekunan KGLM nyata membuahkan hasil dengan izin Allah.

Segala nasihat, panduan diberikan secara santai. Sambil berlatih, sambil menyakat - untuk menghilangkan rasa penat yang bergayutan. Hampir jam 3.30 petang, barulah kami berhenti dan makan tengahari di rumah sdr Sharul. Lewat petang, beransur semula ke rumah saya untuk berehat. Memandangkan semua letih, kami menyarankan agar ahli KGLM beransur balik selepas maghrib, siap mandi dan rehat dulu.

Jam kurang lebih 8.30 kami bersalam-salaman. Saya menghantar cikgu balik dan KGLM beransur pulang ke Muar. Apabila malamnya, saya mendapat mesej dari KGLM, mereka selamat sampai ke Muar jam 12.30. Kami mendoakan agar KGLM meneruskan latihan dan terus berlatih hingga mencapai kejayaan, Insya-Allah.

Pesan aruah Cikgu Ismail (Guru Utama Silat Sendeng) - "Petua yang paling besar adalah tidak lain tidak bukan - "LATIH, LATIH dan LATIH!"

p/s : Terima kasih kepada semua yang terlibat dengan KGS 1, Sdr Sharul, Cikgu Ramli, KGLM dan keluarga ahli KGGK.

Kem Gendang Silat - Anjuran KGGK
Laporan dari blog Lawi Merah - Klik sini

Read more...

Thursday, March 31, 2011

Sirih Pulang Ke Gagang - Muar, Johor

Kursus Singkat Gendang Silat (Irama Lagu Berjalan) 18-19 Mac 2011

Gambar kenang-kenangan dengan peserta kursus

Bagai sirih pulang ke gagang, saya menerima undangan dari beberapa ahli Persatuan Seni Silat Sendeng Daerah Muar untuk mengadakan kursus singkat ini. Sebelum apa-apa, saya ucapkan tahniah kepada mereka atas semangat dan dedikasi yang ditunjukan sepanjang kursus berlangsung. Memandangkan mereka semua memang sudah boleh bergendang dan meniup serunai, jadi tugas yang diberikan menjadi sedikit mudah untuk ditangani.

Al-maklumlah, balik ke rumah keluarga saya di sana, perbincangan untuk ke sana sudah berlangsung lebih kurang dua bulan sebelum kalau tidak silap saya. Zahir, yang menjadi pengantara bersetuju dalam perbincangan atas tarikh tersebut. Saya memang seronoklah, nak balik kampung sendiri. Dan alhamdulillah, saya sekeluarga balik pada hari Khamis malam, 12 Mac. Dapatlah saya meluangkan masa dengan ibu bapa dan adik beradik yang sudah lama tidak ketemu.

19 Mac (Jumaat malam)

Majlis bermula lebih kurang jam 9 selepas Isyak. Saya dapat rasakan aura semangat apabila tiba di Parit Nipah. Sdr Taufik, sebagai tuan rumah menyambut kedatangan saya. Kami bersembang terlebih dahulu untuk mengetahui latarbelakang peserta kursus yang hadir. Dan tidak lama kemudian Huzaifah dan rakan-rakannya (Kump Gendang Arya Putra) dari Melaka sampai untuk menyertai majlis pada malam tersebut. sifu Aziz (Persatuan Seni Silat Gerak Tepat) yang lebih mesra dengan panggilan abang ajis juga turut hadir.

Kump Gendang Arya Putra, Bukit Bahru, Melaka

Malam itu saya dapat saksikan bahawa apa yang selama ini disebut-sebut oleh barisan guru yang mengatakan bahawa permainan gendang itu insyallah dapat menyatukan dan 'mencari kawan'. Saya bersyukur sangat, alhamdulillah. Gendang hanyalah menjadi asbab, semuanya sudah tertulis bahawa pertemuan dua perguruan atas nama 'gendang silat'. Tidak bertangguh, majlis diserikan dengan permainan kedua-dua belah pihak.

Tidak lama kemudian, Kump Gendang Arya Putra beransur kerana esoknya mereka ada tugasan lain untuk dihadap. Maka tinggalah kami, majlis bergendang diteruskan. Asas-asas 'lagu berjalan' diberikan sebagai pemula ilmu. Beberapa buah dan selak yang ringkas ditunjukan. Alhamdulillah, memang mereka yang asas ini agak mudah memahami dan menerima pelajaran baru. Hampir jam 12 baru kami berhenti.

19 Mac (sabtu)

Majlis diteruskan, seawal pagi saya dan Zahir tiba di sana. Kali ini latih tubi dijalankan. Pemain gendang diasak dengan hebat, latihan dijalankan tanpa rehat hinggalah saya merasa puashati dengan permainan yang ditunjukan. Latihan untuk serunai juga dijalankan dengan serentak. Alhamdulillah, sdr Zahir dan Lokman dapat bermain serunai dengan baik. Semoga latihan serunai dapat dilakukan secara berterusan.

latihan ...

Peserta-peserta yang menjalani latihan dapat saya rasakan kesungguhannya apabila pelajaran yang ditunjukkan dapat dipraktikan sebaik mungkin. Saya sangat berpuashati dengan kesungguhan yang ditunjukan. Sesi diteruskan tanpa henti, walaupun saya maklum pemain gendang mula merasa resah kerana tangan kelihatan merah, namun atas nama semangat, latihan diteruskan.

Menyinggah di masjid Parit Jawa yang
sudah jauh berubah


Sehinggalah pada malam hari, latihan diteruskan. Dengan kehadiran jurulatih mereka, abang mi, saya merasa lega kerana sokongan yang diberikan amatlah memberangsangkan. Kemudian hadir pula seorang lagi jurulatih. Akhirnya lebuh kurang jam 11.45 malam, sesi latihan ditamatkan dengan memberikan kata-kata nasihat. Segala apa yang dicurahkan oleh barisan guru, disampaikan pula kepada mereka. Akhirnya, kami bergambar beramai-ramai dan bersembang panjang sampai larut malam. Tapi kali ini saya balik ke rumah awal sedikit, memandangkan esok pandu ke KL.

Semoga wadah permainan gendang silat dapat memberikan manfaat kepada semua, termasuklah peserta dan mana-mana penggendang silat yang ada.

p/s : Terima kasih kepada Zahir yang menjadi orang kuat untuk mengadakan majlis ini, Taufik - tuan rumah yang menyediakan makan minum, terbaik! Rakan-rakan peserta - teruskan latihan kamu semua sampai berjaya.

Laporan lain di blog Sdr Zahir - klik sini.

Read more...
Related Posts with Thumbnails

  © Blogger templates ProBlogger Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP