Wednesday, February 23, 2011

Semalam Di Melaka - Bengkel Gendang Silat Aliran Utara Siri Ke-2

Para peserta bengkel

Akhirnya jam 4 pagi kami tiba ke destinasi. Sesat meraban kami entah ke mana, akhirnya talian telefon menjadi penghubung kami dengan sdr Abu Huzaifah, Biro Kebudayaan GPMS Cawangan Melaka yang menjemput kami ke sana. Entah kenapa kali ini kami boleh cuba lalu jalan yang akhirnya menurut sdr Huzaifah adalah jalan yang dilalui oleh kebanyakan bas ekspres sahaja. Melilau kami dibuatnya, akhirnya tersadai di hadapan UTEM (Universiti Teknikal Melaka) di Kg Bandar kata Sdr Huzaifah.

belakang kami, UTEM

Keletihan yang amat, namun saya dan Cikgu Ramli tidak dapat melelapkan mata hinggalah larut pagi. Namun syukur alhamdulillah, pieganjur menyediakan tempat penginapan yang amat selesa untuk kami. Katanya tempat itu mahu dibuat homestay pada masa akan datang. Ketika bergendang di gelanggan Gerak Tepat, ayah sdr Huzaifah sempat bergurau dengan kami, "Awak orang ambil daralah ya." Kami tergelak besar.

Suasana di Bukit Baru, kawasan rumah penganjur, memang sedap dan indah pada pandangan mata kami. Entah mengapa saya sedikit nostalgik apabila berada di suasana begitu. Agaknya mungkin terlalu lama tinggal di KL menyebabkan saya jadi begitu. Namun apa-apa pun, jam 8.30 keesokan harinya kami sudah siap untuk ke bengkel.

19.2.2011 - Hari Pertama

Hari pertama bengkel adalah suatu perkara yang dinanti-nanti. Mahu melihat wajah-wajah mereka yang datang untuk berbengkel. Hati bagai digaru-garu mahu melihat aksi dan gaya mereka nanti apabila menepuk gendang dan belajar mengambil nafas untuk meniup serunai. Saya dan kawan-kawan memang teruja, tambahan pula ini bengkel yang ke-2, jadi kami mahu lihat perkembangan peserta dari bengkel pertama. Tapi sayang sekali kerana tidak ramai peserta dari bengkel pertama yang menyertai. Hanya beberapa orang sahaja, selain itu, adalah peserta baru. Namun tugas perlu dilaksanakan untuk mengembangkan irama ini. Baru atau lama, tidak menjadi persoalan.

Taklimat ringkas pembukaan bengkel

Namun perkembangan yang sangat menggembirakan kami adalah munculnya peniup serunai baru yang sudah mampu menyambung nafas dan meniup beberapa lagu 'berjalan.' Tapi ada satu perkara yang mengejutkan kami adalah apabila ada penyertaan dari bangsa lain, iaitu seoran Cina berketurunan Baba Melaka, yang menghadiri bengkel dan mempunyai minat yang begitu mendalam pada seni tradisi orang Melayu. Namun kalau dibaca sejarah Baba Nyonya Melaka memang tidak menghairankalah apabila keturunan mereka sendiri memegang beberapa adat Melayu dalam kehidupan mereka. Lebih mengujakan lagi, apabila beliau adalah seorang jurulatih Yoga yang mempunyai pusat Yoga nya yang sendiri.

para peserta sedang tekun berlatih

Baik, berbalik pada kisah berbengkel ini, saya dapati lebih kurang 14 orang yang menghadiri, alhamdulillah, ini merupakan perkembangan yang baik untuk permulaan. Seperti bengkel yang lalu, ia dibahagikan kepada dua kumpulan, gendang dan serunai. Cikgu Ramli mengambil kelas pelatih baru yang bermain serunai. Memandangkan yang mahu belajar serunai adalah terdiri dari otai-otai yang sebaya Cikgu, saya pula melatih sdr Huzaifah untuk menajamkan lagi lagu serunai yang sudah mampu ditiupnya. Bahagian gendang pula dikendalikan oleh sdr Sharul dan Azam. Kelas berpecah pada tiga seksyen.

Pak Guru Aziz - Guru Utama Seni Silat Gerak Tepat, Melaka

latihan ...

Syukur, alhamdulillah. Perkembangan para pelatih kali ini amat cepat. Mereka mudah menerima dan memahami pelajaran yang disampaikan. Sehingga petang, mereka sudah mampu menguasai beberapa pukulan dan selak gendang ibu lagu berjalan. Dalam hati saya berkata, kalau mereka terus rajin berlatih, insyallah akan dapat bermain tidak lama lagi. Dan alhamdulillah, mereka sudah pun mendapat jemputan untuk bermain di kenduri walaupun masih agak baru di bawah nama Kump Gendang Arya Putra. Semoga Allah memberi mudah dan kefahaman pada pelajaran yang akan datang serta mendapat sambutan di Melaka.

Kali ini juga menyaksikan otai-otai dari perguruan Seni Silat Gerak Tepat dan Anggerik Jingga. Sementara wakil Kuntau Harimau juga ada, walaupun gurunya tidak dapat turun kali ini. Saya kita penyertaan kali ini ramai terdiri daripada rakan-rakan silat, termasuklah wakil dari Cekak Malaysia dan Gayung Fatani. Alangkah indahnya gendang silat dapat menemu dan menyatukan mereka di bawah payung dan atas nama pergendangan silat tanpa mengira aliran. Syukurlah. Salah satu matlamat kami untuk menyatukan orang silat di bawah bumbung gendang silat berhasil dengan izin Allah.

Dari pagi sampai ke petang mereka berlatih tanpa henti dan dilanjutkan sehingga 6.30 petang kerana sesi malam dibatalkan.

19.2.2011 - Malam

pondok khas dibina untuk bergendang

Cikgu Ramli, di belakang - barisan ibu bapa yang menunggu anak-anaknya berlatih silat

Sesi malam pula kali ini kami diminta bergendang oleh sdr Huzaifah di gelanggang Gerak Tepat, di kawasan sekitar rumahnya. Sesudah dibawa makan malam, kami berlabuh di gelanggang sana. Agak menggembirakan apabila saya dapat melihat wajah-wajah ibu bapa yang menunggu anak masing-masing di gelanggang silat. Ini suatu pemandangan yang jarang kedapatan di mana-mana gelanggang silat. Jarang benar kita dapat menyaksikan ibu bapa menunggu anak-anak mereka di gelanggang silat. Tapi malam tersebut, kami dapat merasakan suasana itu kembali.

Adik-adik berlatih silat di gelanggang Gerak Tepat

Dengan bilangan anak-anak yang bersilat, jurulatih yang mengajar, saya kira ini suatu perkembangan yang baik, sangat sangat baik. Harapnya ia dapat berterusan sampai bila-bila. Dan kami pun 'menyibuklah' di situ, memukul barang tidak selagu dua. Walaupun begitu sampai jam 11.30 juga kami bergendang, disertai juga oleh sdr Huzaifah. Saya kata kepada beliau, "Ini kira berlatih."

Namun keletihan tidak mengizinkan kami bergendang lama-lama, lagipun masa di situ hanya hingga jam 12 sahaja, bunyian gendang dihentikan. Itu menurut sdr Huzaifah apabila mereka berlatih di situ, demi menghormati jiran-jiran di situ. Tidak sempat apa, lepas solat Isya', letak kepala terus lena sampai ke pagi.

20.2.2011 - Hari Kedua

Hari kedua sedikit santai, dan lebih dipenuhi dengan praktikal pelajaran pada hari pertama. Sesi berlatih gendang bersama dijalankan. Syukurlah pelajaran hari pertama dapat oleh perserta, jadi mudah kisahnya. Kami terus berlatih sampai ke petang. Sekali-sekala, kami rehat dan bersembang di luar bilik bengkel. Cara ini dilihat dapat merapatkan lagi ukhuwah dengan peserta. Sedikit sebanyak dapat juga mendengar pengalaman peserta yang bukan calang-calang orang.

Sebelah petang, selepas makan kami teruskan latihan sementara menanti majlis penutup yang dilakukan oleh sdr Marwan, presiden GPMS cawangan Melaka. Setibanya beliau, para peserta membuat persembahan khas untuk memperlihatkan skil yang sudah dipelajari. Alhamdulillah beberapa lagu dapat dimainkan dengan sempurna.

pemandangan sekitar Umbai, kawasan gerai makan makanan laut

Selepas dari majlis perasmian penutupan bengkel itu, kami ramai-ramai menikmati makanan laut di Umbai. Memang lazat tak terkata. Phewww .... malatop!!!

p/s : Terima kasih dan tahniah diucapkan kepada GPMS Cawangan Melaka yang menjemput kami, khususnya sdr abu Huzaifah, keluarga Abu Huzaifah, KGGK, rakan-rakan peserta dan mereka yang terus menyokong muzik gendang silat. Semoga gendang silat akan terus berkembang, amin, amin, amin.

Lagi kisah bengkel gendang silat di blog AVA.

1 comments:

!_Eo February 26, 2011 at 1:29 PM  

ermmmm... best lau dpt ikut kannnnn...
bile nak wat kat Tganu dan Kdah plak...???

Related Posts with Thumbnails

  © Blogger templates ProBlogger Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP