Showing posts with label Warisan Tebrau. Show all posts
Showing posts with label Warisan Tebrau. Show all posts

Monday, April 23, 2012

Kenangan Di Kota Tinggi : 21 & 22 April 2012

Peserta bengkel (gambar - kredit pada Cikgu Alwee)

Tempat : Wisma Belia, Kota Tinggi
Tarikh : 21 & 22 April 2012
Penganjur : Akademi Alam Satria

Am

Seperti perancangan awal sejak bulan Mac, kami dihubungi oleh pihak penganjur untuk mengadakan bengkel berkaitan di Johor Bahru. Namun pada saat-saat akhir, lokasi bertukar jauh, di Kota Tinggi, Johor. Begitu juga dengan jumlah penyertaan 25 orang, menyusut hingga ke 10 orang pada hari yang berlangsung. Meskipun begitu, ia tidak mematahkan semangat kami untuk berkongsi serba-sedikit permainan aliran utara ini. Jauh tidak menjadi halangan dengan izin Allah. Yang penting misi untuk mengembangkan permainan gendang ini.

20 April (Jumaat)

Sedari awal, saya sudah merancang perjalanan untuk ke sana. Memandangkan Johor Bahru bukanlah tempat yang saya biasa, maka ia harus dirancang dengan teliti. Tup, tup, ia bertukar tempat ke Kota Tinggi (KT) dan peserta menjadi kurang. Mula-mula saya mahu seorang sahaja ke KT, tapi fikir-fikir perjalanan agak jauh dan kereta Insya-Allah muat lagi penumpang, saya mengajak Ijam dari Lela Rentaka untuk menemani saya, sambil dapat mendedahkan pada dunia perbengkelan.

Lapar!

Jam 3 kami bergerak ke Muar, untuk mengambil Sdr Zahir dan Taufik (Kump Lawi Merah) untuk membantu saya di sana kelak. Jadi, alhamdulillah kami berempat dapat ke sana. Tambahan pula mereka lebih cekap jalan di Johor berbanding saya dan Ijam. Jam 6 pula, kami terus ke Kota Tinggi, namun sempat juga di Hentian Machap untuk menikmati hidangan malam.

Hanya jam lebih kurang 10.30 malam, barulah kami sampai di bandar KT. Saya anggar-anggar, perjalanan dari KL ke KT mengambil masa 6 jam, peh! Sama macam dari KL ke Kedah. Setibanya kami di sana, disambut oleh Cikgu Alwee Shamrin dari Akademi Alam Satria (AAS). Sempat jugalah kami mengeteh dan berborak panjang sebelum kepala menyinggah ke bantal.

21 April


Tempat kami berbengkel

Pagi-pagi lami sudah bersiap, memandangkan jadual kami bermula 8 pagi. Selesai sarapan lebih kurang, kami ke Wisma Belia dengan Cikgu Alwee. Wajah-wajah peserta yang terdiri dari adik-adik yang masih bersekolah, bercahaya-cahaya, tahulah saya bahawa harapan yang tinggi terpancar dari wajah mereka. Dan dapatlah juga saya berkenalan dengan En Man (Silat Lintau) yang membawa anak-anak buahnya untuk mempelajari, disamping beliau sendiri menjadi peserta.

Kelas serunai

Kelas gendang

Setelah memberi serba-sedikit penerangan ringkas, saya terus masuk ke topik utama - bergendang. Bengkel seperti ini tidak sesuai untuk bercakap panjang, praktikal adalah lebih utama. Terus sahaja mereka dibahagikan kepada dua kumpulan; kumpulan gendang dan kumpulan serunai untuk menjalani latihan teori dan praktikal. Kumpulan gendang dipandu oleh Sdr Taufik dan Ijam; manakala kumpulan serunai dibimbing oleh Sdr Zahir dan saya. Pun begitu, saya memantau dua-duanya sekaligus.

Alhamdulillah menjelang tengahari, para peserta dapatlah juga memahami asas permainan gendang dan serunai; meski agak keletihan mereka tetap bersemangat. Selepas solat Zohor dan makan tengahari, sesi kedua diteruskan. Pelbagai ragam dan gaya dapat dilihat, namun peserta tidak berputus asa dan meneruskan latihan. Perkara seumpama ini sudah menjadi asam garam dalam bengkel gendang silat. Ada yang sakit tangan, sakit leher dan sebagainya, namun semangat mengatasi segala. Peserta terus berlatih dengan gigih.

Malam

Pada sebelah malam juga latihan diteruskan. Memandangkan masa hanya sehari setengah, amat singkat. Kami cuba seberapa yang terbaik untuk mengongsikan maklumat dan ilmu bergendang gaya aliran utara dengan sebaik mungkin. Sahabat-sahabat saya, Sdr Zahir, Taufik dan Ijam mempelajari suatu perkara baru dalam mengendalikan bengkel, semangat mereka saya puji kerana tidak mengenal penat dan lelah bagi membimbing para peserta.

Sesi bengkel pada sebelah malam

Tapi apabila sesi sebelah malam, keletihan terlukis di wajah para peserta. Saya maklum perkara tersebut dan menghabiskan sesi malam pada jam 10 bagi memberikan laluan mereka untuk berehat; kerana esok ada satu sesi lagi yang perlu disudahkan. Sambil-sambil itu, saya menanti kedatangan tetamu dari Warisan Tebrau (Pasir Gudang) dan Langgam Mustika (Temasik).

Warisan Tebrau tiba dahulu lebih awal, kurang lebih jam 10.30/11.00. Kami berbual terlebih dahulu. Bilik kami sederhana besar menjadi ceria dan gempita dengan rakan-rakan yang hadir. Selang tak berapa lama, kami menerima kunjungan Langgam Mustika dalam jam 1 pagi kalau tidak silap saya.

Sesi dengan Warisan Tebrau ditangguhkan untuk sementara waktu, dan sesi bersama Langgam Mustika diteruskan hingga lebih kurang jam 2.30 pagi. Selesai berbual dan bertanya khabar, kami bersama-sama. Tapi sayang, saya terlupa benar untuk mengambil gambar ramai-ramai. Mungkin keletihan yang bergayut membuatkan saya lupa tentang semua itu. Alhamdulillah, moga dapat bersua kembali pada bengkel yang akan datang sekiranya dianjurkan lagi, Insya-Allah.

Kemudian kami berbual lagi, jam 4.30 pagi baru tidur. Huhuhu ...

22 April (Ahad)

Pagi

Memandangkan hari ini adalah hari terakhir, maka latihan diteruskan mengikut kumpulan masing-masing. Saya mendapat respon dari sahabat-sahabat saya yang menyatakan bahawa mereka boleh dapat bermain dengan baik walaupun asas. Untuk mula lagu, tutup lagu mereka faham dan dapat melakukannya. Syukurlah, saya bersyukur sangat.

Petang

Bengkel kali ini ditutup pada jam lebih kurang 2.30 petang. Kami sudah bersiap-siap dengan baju dan sebagainya untuk terus pulang. Selesai majlis, kami bergambar serba-sedikit dan bersalam-salaman, tanda kemesraan terjalin. Moga ukhuwah yang sudah tersemai, hidup subur dengan baik sampaila pada bila-bila masa. Jam lebih kurang, 6 petang, kami tiba di Muar untuk menghantar Sdr Taufik dan Zahir. Perjalan diteruskan pula ke Melaka.


p/s : Terima kasih kepada Cikgu Alwee Shamrin, Cikgu Sulaiman dari Akademi Alam Satria, En Man (Silat Lintau), rakan-rakan Warisan Tebrau dan Langgam Mustika yang menziarahi kami. Jazakallahu khoiron kathiro, moga bersua lagi dengan izin Allah. Amin.

Perjalanan pulang ke Muar

Laporan di blog Lela Rentaka - klik sini
Laporan di blog Lawi Merah - klik sini

Read more...

Wednesday, January 4, 2012

Angin Selat Tebrau

Latihan

Alhamdulillah, dapat juga saya sampai ke Pasir Gudang, Johor untuk melihat perkembangan Kumpulan Warisan Tebrau. Hajat untuk ke sana sudah agak lama, baru-baru ini sahajalah diizinkan Allah, syukurlah. Pada 30/12 saya bergerak ke sana dari stesen bas TBS (Terminal Bersepadu Selatan). Bersama Ijam (Lela Rentaka), kami beransur lebih kurang jam 12.30 tgh dan tiba di sana pada jam 4.30 petang.

Sesi menyembang

Kehadiran kami di sambut oleh sdr Khairul dan dibawa terus minum-minum sebelum ke rumahnya. Malam tersebut kami hanya berbual-bual kosong dan sedikit aktiviti bergendang dijalankan di rumahnya. Jam 4 pagi, baru kami tidur. Esok pagi, jam 9, kami mula berlatih dan bergendang santak ke tengahari. Kemudian, perlahan-lahan ahli Warisan Tebrau beransur pulang kerana komitmen kerja.

Aksi ahli Persatuan Seni Silat Gerak Tepat, cawangan Pasir Gudang

Pada sebelah malamnya, kami dapat menyaksikan latihan silat Gerak Tepat, di mana boleh dikatakan seluruh ahli Warisan Tebrau juga merupakan ahli persilatan aliran ini. Kemudian, kami dibawa berjalan ke kawasan sekitar Pandan City untuk melihat suasana di sebelah malamnya. Kawasan sekitaran di situ tidak ubah seperti Downtown Cheras. Dipenuhi dengan jualan baju, barang permainan dan sebagainya. Untuk seketika kami merasa teruja berada di sana.

Merayap di sekitar kawasan Pandan City

Keesokan harinya, kami beransur pulang ke KL. Tepat jam 2 petang, kami menaiki bas dan kembali ke KL dengan seribu kenangan yang terpahat di ingatan. Insya-Allah kalau tiada apa-apa aral, saya akan ke sana lagi. :)

Laporan dari Warisan Tebrau - klik sini
Laporan dari Ejam, Lela Rentaka - klik sini

Read more...

Tuesday, August 2, 2011

Semalam Di Pasir Gudang

Berbetulan dengan urusan di Johor Bahru pada 30 Julai yang lepas, sempat saya menyinggah di Pasir Gudang, mengunjungi rakan2 dari Kump Gendang Warisan Tebrau untuk meninjau sejauh mana perkembangan mereka. Sesampai di sana, sdr Khairul menunggu saya di Perhentian Bas Larkin. Kami terus minum2 dan menyembang terlebih sebelum dibawa ke rumahnya. Malam selepas Isyak, kami berlatih dan kemudiannya bergendang. Alhamdulillah mereka masih lagi ingat pelajaran yang diambil sewaktu hadir ke KL.

Tempat latihan KGWT (dalam rumah sahaja!)

Sesi latihan

Selang tidak berapa lama, sebelum jam 12 malam, kami berhenti latih. Tempat berlatih di rumah sdr Khairul sendiri tidak mengizinkan untuk berlatih lebih lama. Rumah taman, al-maklum sahajalah. Tapi tak mengapa, semangat mereka untuk terus berlatih, wajar dicontohi. Teruskan latihan, Insya-Allah. Kami mendoakan semoga KGWT terus maju di persada pergendangan silat Melayu, amin.

p/s : Terima kasih kepada Khairul yang mengambil saya di Hentian Bas Larkin, juga membenarkan saya menginap di rumahnya. Juga kepada mereka yang hadir. Gambar tidak berapa terang - guna selfon saja. ;)

Read more...

Tuesday, July 5, 2011

Bersama Kump Gendang Warisan Tebrau (2-3 Julai 2011)

Bersama para pelatih

Syukur alhamdulillah, bengkel gendang silat yang diadakan pada 2-3 Julai 2011 yang lepas selamat dan dipermudahkan Allah perjalanannya. Meski sebelum itu sudah ada penangguhan tarikh, namun sudah tertulis, tarikh yang tertera kami bertemu dengan pelatih-pelatih baru dari kumpulan gendang yang berasal dari Pasir Gudang, Johor. Awal-awal lagi dimaklumkan bahawa mereka akan beransur dari sana jam 12/12.30 malam dan terus ke Stadium Bolasepak Cheras.

2 Julai (Sabtu)

Awal pagi, saya sudah menerima mesej bahawa mereka sudah sampai. Bergegas terus ke sana dan mendapat mereka berada di kolam renang. Saya katakan bahawa kita berlatih di stadium bola. Dan tidak bertangguh lagi, terus sahaja peralatan dikeluarkan dan terus bergendang. Sementara menantikan kehadiran Cikgu Ramli, Sdr Azam dan Sharul, beberapa pukulan asas ditunjukkan.

Suasana latihan

Kemudian, apabila mereka sampai, saya dan Cikgu melatih pemain serunai. Sdr Sharul dan Azam melatih pemain gendang. Pada peringkat ini, kami hanya menyampaikan pelajaran 'Lagu Berjalan' untuk asas dan pengenalan. Selang beberapa jam, alhamdulillah pelatih2 dapat mengikuti pelajaran yang disampaikan. Sementara pemain serunai sudah mula meniup asas lagu Aladom. Tinggal saya menambaikkan mana-mana yang patut sahaja.

Tunjuk ajarku, sifu ...

Tok Kalau ...

Para pelatih pula dengan tidak mengenal jemu dan kesakitan, terus bergendang sehinggalah Zohor menjelma. Kami berhenti sebentar dan menunaikan solat Zohor di Masjid Az-Zubair Cheras dan menikmati makan tengahari. Namun masa yang singkat tidak membenarkan pelatih2 berehat lama, terus sahaja kembali ke tempat latihan dan berlatih sehingga jam 6 petang lebih kurang. Kami pun beransur untuk berehat.

3hb Julai (Ahad)

Kami bermula lewat sedikit, namun latihan tetap diteruskan. Semangat yang ditunjukan oleh para pelatih membuatkan kami turut teruja. Hari ini, latihan gendang dan serunai diadakan. Lagu yang dilatih oleh pemain serunai, digabungkan untuk melihat keserasian dan beberapa kesilapan diperbetulkan. Namun secara keseluruhannya, alhamdulillah. Dapatlah juga sedikit sebanyak ilmu yang disampaikan.


Latihan yang dijalankan dihentikan tepat jam 6. Oleh kerana ahli kump gendang Warisan Tebrau akan beransur, maka kami berehat. Sesudah menunaikan solat Maghrib, mereka beransur dengan seribu harapan dan kenangan. Kami di sini mendoakan agar rakan2 terus berlatih dan menjadi kumpulan yang berjaya di sana nanti, amin.

p/s : Terima kasih kepada ahli KGGK yang bersama - Cikgu Ramli, Sdr Azam dan Sharul.

Read more...
Related Posts with Thumbnails

  © Blogger templates ProBlogger Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP