Showing posts with label Jengka. Show all posts
Showing posts with label Jengka. Show all posts

Sunday, December 19, 2010

Dari KL Ke Jengka 6

Perjalanan diiringi dengan hujan yang turun tidak berhenti-henti
dari KL hinggalah ke destinasi.

Perjalanan ke Jengka 6 tidaklah jauh mana. Hanya dalam 2 jam setengah, melalui lebuhraya Pantai Timur dan masuk ke exit Kg. Awah. Tapi kami tidaklah terus ke Jengka 6, setibanya kami di sana, kami menginap dulu di homestay yang terletak di Jengka 25. Ia sebuah rumah yang selesa, tiga bilik yang boleh digunakan dan ruang tamu yang sangat besar. Tidak cukup dengan itu, ada kolam ikan di belakang rumah. Memang rasa nak datang sekali lagilah! Kalau setakat untuk berehat dan melepaskan serabut kepala duduk di KL, rumah yang dipunyai oleh Encik Ramli Ahmad ini cukup, cukup sesuai. Lega kepala berada di situ. Kami bermalam di situ, bayangkan, tiga keluarga muat dengan selesa.

Homestay yang kami menginap

Malam, perut masing-masing berbunyi. Kami tidak tahu kawasan kedai makan di situ, cari punya cari, sekali tersalah singgah pula. Maka, makan malam kami diringi dengan lagu2 karaoke yang berdengung bagai nak rak di kawasan Jengka 21. Rupa-rupanya kedai itu memang kedai karaoke. Kami terpaksa bercakap dengan suara yang kuat. Ini merupakan satu pengalaman manis pada hari tersebut. Minta-minta janganlah tersalah masuk kedai makan lagi. :)

Syam Karaoke - bikin kepala berdengung!

Pagi 18.12.10


Kami sudah bersiap-sedia untuk ke Jengka 6. Hari ini merupakan hari yang cukup bersejarah bagi salah seorang ahli KGGK yang melangsungkan hari pperkahwinannya, sdr Sharul. Kepada mereka yang biasa dengan kehidupan felda pasti tahu bahawa dari satu bahagian felda ke bahagian felda yang lain memang jauh. Maka, perjalanan dari Jengka 25 ke Jengka 6 mengambil masa lebih kurang 40 minit, termasuklah dengan lori yang merata dan jalan yang bengkang-bengkok.

Setibanya di sana, majlis sudah berlangsung. Kami hanya singgah sebentar di masjid sementara menantikan kedatangan tok imam. Apabila sudah siap semua, kami terus ke rumah pengantin perempuan. Senyum-senyum sahaja pengantin lelaki, maklumlah... dengan keadaan orang ramai dan diperhatikan oleh kedua-dua keluarga. Tok imam yang berbual-bual dengan bapa pengantin. Mujurlah Cikgu Ramli dapat hadir dan menjadi 'orang tua' bagi pihak kami. Sempat juga cikgu berlawak, kendurlah sedikit suasana. :)

Menanti saat-saat ijab kabul dengan penuh debaran

Pasangan mempelai

Selepas majlis akad-nikah, kami menyinggah dulu di rumah Kak Ti. Jam 1.20 petang, kami bergerak, dengan disambut oleh bunyian kompang, kami dijemput terus untuk menikmati hidangan tengah hari bersama pasangan mempelai. Sesi usik mengusik terjadi, mana boleh elak kan? Sudah nama pengantin baru, tahan sahajalah telinga. Tapi sayang, saya terlupa merakamkan permainan gendang silat yang berlangsung di depan rumah. Hanya menggunakan kamera pengantin sahaja, entah bila boleh tengok gambarnya, tak tahulah.

Cikgu Ramli tak main serunai, tapi menyumbangkan lagu-lagu karaoke
{Cikgu Ramli berkaraoke! Penangan Syam karaoke!}

Lewat jam 3. 30 petang, baharulah Azam dan Azhar tiba, namun saya sudah bersiap-siap untuk pulang semula ke KL. Enggan bergerak dari situ pada waktu malam, saya fikir-fikir biar penat sekaligus. Kalau mahu menginap semalaman, masih boleh tapi jam 4 selepas bersalam-salaman dengan keluarga pengantin dan rakan, kereta terus meluncur ke KL. Kembali ke suasana jalanraya yang sibuk.

p/s : Terima kasih kepada pihak pengantin perempuan, rombongan pengantin yang mengiringi pengantin, Cikgu Ramli dan keluarga serta rakan-rakan KGGK serta kumpulan gendang silat yang turut memeriahkan majlis tersebut.

Read more...

Tuesday, October 28, 2008

Kenduri di Jengka 2, Pahang

Seawal-awal lagi guru kami di Kedah sudah mengingatkan agar dapat meluangkan masa ke rumah Pak Man Misai di Jengka 2, Pahang. Syukur alhamdulillah, kami diberikan kelapangan itu, tiba pada masanya kami bergerak jam 9 pebih kurang dan tiba di sana hampir jam 11.30 pagi. Sementara rakan kami, Bulat dan Un sudah bergerak sehari awal. Saya dan rakan-rakan hanya duduk di belakang pentas orang bergendang sahaja. Pada awalnya, saya malas untuk bergendang apabila menjangkakan sudah tentu ramai orang yang akan bergendang di rumah Pak Man. Namun jangkaan kami meleset kerana hanya ada kumpulan gendang dari Bera sahaja.
Tapi lama-kelamaan kaki tangan saya menjadi sejuk, hati mula berdebar-debar kerana semangat ingin bergendang mula menyelinap perlahan. Bunyi serunai, gendang dan gong bagaikan memanggil-manggil saya untuk turut menyertai kumpulan yang ada. Perlahan saya menghampiri mereka, tiba-tiba Pak Li tersengih dan melambai. Pucuk dicita, ulam mendatang. Tanpa bertangguh saya dan rakan-rakan naik ke pentas bergendang setelah bersalaman dengan mereka.Apa yang mngejutkan saya adalah berjumpa semula dengan abang Bad, yang hampir 10 tahun tidak dutemui. Saya gembira sekali, tidak menyangka abang Bad sudah menyertai kumpulan gendang Bera walaupun tinggal di Felda Bukit Mendi. Tanpa bertangguh kami pun memulakan dengan 'lagu buka' dan diikuti dengan beberapa lagu 'berjalan'. Setelah itu, kami berhenti untuk seketika dan bersembang dengan Tok Awang dan Pak Li.


"Kami baru ja bergendang di Selanca kelmarin, pastu mai malam tadi. Ambuih, bergendang sakan sampai jam 3 pagi," ujar Pak Li. Dari percakapannya saya sudah mengagak, pastinya kami yang akan memukul lagi-lagu yang seterusnya. Begitulah komitednya masyarakat bergendang yang tidak peduli dengan keletihan melainkan dapat berjumpa dan mengeratkan silaturrahim walaupun penat tak terkira. Tidak lama kemudian, kami pun bergendang untuk 5 pasangan silat tanpa henti dan juga pasangan tomoi. Masuk ke pasangan terakhir, air liur saya mula meleleh keluar dari tepi mulut tanpa dapat dikawal lagi.

Namun saya teruskan juga, enggan mengalah dengan keadaan, hinggalah pasangan terakhir tamat bersilat.Hati saya lega bukan kepalang kerana dapat melaksanakan tugas tersebut. Selesai sahaja bermain, kami berhenti dan bersembang panjang dengan Tok Awang dan Pak Li. Memang sudah beberapa kali bertemu dengan kumpulan gendang dari Bera ini, tapi kali inilah yang dapat berbual betul-betulnya. Hujan pun mulai turun, wah saya kata ini hujan rahmat. Syukurlah hujan turun kerana kurang sikit panasnya. Setelah makan untuk kali kedua, kami bergendang lagi hingga hampir jam 5 petang, kemudian barulah kami beredar ke rumah guru kami di Jengka 6, Pakcik Din Guai. Malam selepas isya' barulah kami beransur ke KL setelah makan dan berehat di rumah Pakcik Din.

Read more...
Related Posts with Thumbnails

  © Blogger templates ProBlogger Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP