Wednesday, May 18, 2011

Laporan Bengkel Penyelarasan Muzik Seni Silat Kebangsaan 1994

Sekali lalu membaca laporan ini, dapat saya mengertikan bahawa ia adalah suatu bengkel yang memperbincangkan tentang penyelarasan untuk menghasilkan muzik silat Malaysia. Ia diadakan selama 3 hari oleh Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan (nama lama bagi Kementerian Penerangan, Komunikasi & Kebudayaan), dengan kerjasama PESAKA, UM, DBKL. Menurut senarai peserta dalam laporan ini adalah seramai 37 peserta yang mewakili pelbagai badan, aliran, majlis dan perguruan silat.

Diantara perbincangan yang diadakan meliputi sekitar :

i) Penyelarasan identiti muzik silat
ii) Pergerakan persembahan silat
iii) Peta wilayah muzik silat
iv) Kategori silat seni dalam pertandingan
v) Alat muzik asas
vi) Ciptaan baru
vii) Ciri-ciri muzik silat
viii) Peraturan pertandingan gendang
viiii) Alat dan nama lagu

Umum mengetahui bahawa irama gendang silat di tanah air terdiri daripada pelbagai bentuk, rupa peralatan dan bunyiannya. Maka bengkel ini antara lain adalah untuk menyelaras dan menghasilkan bentuk-bentuk muzik gendang silat baru tanpa menjejaskan keaslian muzik gendang tradisi yang asal. Usaha ini suatu perkara yang harus dipuji tapi ke manakah agaknya pergi resolusi yang diputuskan dalam bengkel tersebut? Ke mana hilang semuanya?

Dan bagaimana agaknya pula mahu memadukkan bunyian utara, pantai timur dan selatan? Apakah secara tidak langsung ianya akan menjejaskan keaslian bunyian gendang silat yang asal? Meskipun pada telinga orang luar yang tak tahu menahu tentang muzik gendang silat di Malaysia, merasakan bahawa itulah muzik kita, namun masyarakat di tanah air lebih mengerti. Saya tidak nampak logiknya di situ. Apapun perbahasan dan perbincangan ini sudah lama berlalu, hampir 17 tahun ia sudah berlalu. Kini, gendang silat masih di takuk yang lama. Bukanlah maksud saya untuk menidakkan hasil dan usaha yang dilakukan selama ini untuk menaikkan gendang silat Melayu, tapi apakah kini ia sudah berganjak ke suatu arah yang lebih baik atau bagaimana? Atau kini ia sudah terbengkalai begitu sahaja?

Sebab itu, KGGK dengan kerjasama AVA, mengambil inisiatif untuk mengadakan bengkel gendang silat secara sendiri tanpa pertolongan dan bantuan mana-mana pihak, demi melihat perkembangan khususnya aliran gendang silat utara, terutama di sebelah KL dan ke negeri di bawahnya, seperti Melaka, Negeri Sembilan, Johor dan termasuklah Singapura.

Ini semua dilakukan tidak lain tidak bukan demi melihat kesinambungan muzik ini agar berterusan sampai bila-bila. Biarpun tanpa kemudahan yang fasiliti yang lengkap, namun inilah sekadar usaha yang mampu dilakukan oleh KGGK bagi menyambung usaha barisan guru yang sudah sekian jerih menyampaikan ilmu ini kepada generasi kini. Bak pepatah kata lama, "Bagaimana gendang, begitulah tarinya." Bagaimana pula sekarang muzik gendang silat boleh dimansuhkan dari pertandingan peringkat kebangsaan dan dunia? Ini sangat-sangat tidak boleh diterima, di manakah logik dan berapa kuatkah alasan yang diberikan hingga terjadi sedemikian rupa? Sedangkan muzik silat sudah bergema berbelas-belas tahun di arena pertandingan di setiap peringkat, bagaimana ia boleh dimansuhkan begitu sahaja?

Tinggalah kini (kalau ditinjau dari pihak Kementerian), hanya Kementerian Pelajaran yang masih mengekalkan muzik gendang silat dan sekaligus dipertandingkan di peringkat sekolah. Terima kasih KGGK ucapkan kepada seluruh warga Kementerian Pelajaran. Sekurang-kurangnya, KPM menjadi agen penggalak ke arah perkembangan muzik ini. Biarpun hanya di peringkat sekolah, namun ia menjadi petanda bahawa muzik gendang silat, insyallah tidak akan pupus sampai bila-bila.

Kepada seluruh penggiat pergendangan silat Melayu, saya ucapkan terima kasih kerana ANDALAH penyambung warisan bagi memastikan muzik gendang silat tidak akan berkubur sampai bila-bila. Teruskan usaha yang murni ini, dan jangan sesekali kita berundur walau apa jua rintangan yang melanda. Hadapilah dengan tabah dan sentiasa berdoa dan bertawakkal kepada Allah agar akan terus ada penyambung wadah seni budaya Melayu ini. "TAKKAN MELAYU HILANG DI DUNIA!

0 comments:

Related Posts with Thumbnails

  © Blogger templates ProBlogger Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP