Tuesday, May 31, 2011

Irama Serunai Kan Bergema Lagi - Amin!

Gambar peserta bengkel

Seharian menjadi jemputan AVA di bengkel asas serunai, agak meletihkan tetapi kepuasan tidak dapat diperkatakan lagi apabila melihat peserta dapat setidak-tidaknya menyambung nafas untuk bermain serunai. Sesi dimulakan dengan teori dan pengenalan pada serunai. Memandangkan bengkel seperti ini memerlukan praktikal hand to hand, maka ia tidak lama. Terus saja ke sesi cara untuk mengambil nafas agar sentiasa bersambung. Syukurlah, dapat juga peserta melaksanakan teori yang diberikan. Teknik yang mudah cuba diberikan melalui pengalaman bengkel yang lepas. Lebih kurang setengah jam, barulah semua peserta dapat mengaplikasikan teori dan teknik yang diberikan.

Masuk pula ke sesi ke-2, penerangan tentang alat 'serunai' diberikan. Saya cuba seboleh mungkin untuk memperkenalkan secara rinci agar peserta dapat mengetahuinya. Mudah-mudahan ia dapat memberikan satu pengetahuan baru tentang serunai yang selama ini disebut-sebut. Kata orang, 'tak kenal, maka tak cinta.' Kemudian teori dan praktikal meniup 'mali' tanpa serunai diadakan. Memandangkan ia adalah suatu perkara yang baru, maka penerangan diberikan agar dapat menjaga ia sebaik mungkin. Risau juga saya, kerana mali serunai kawan2 KGGK. Kalau rosak ke patah ke ... aduhai. Alhamdulillah tiada yang rosak sehingga ke akhir bengkel.Seronok, akhirnya para peserta dapat meniup mali tanpa putus angin, meskipun kesukaran tergaris di wajah peserta, namun dapat juga akhirnya para peserta meniup.

Melihatkan 13 orang peserta dari pelbagai aliran persilatan, dari pelbagai negeri, saya sangat teruja dan berharap agar ia tidak terputus hanya di bengkel sahaja. Yang datang dari Johor, dari Melaka, Selangor - saya respek sungguh. Memang begitulah caranya untuk mendapat ilmu, kata orang - hendak seribu daya.

Seketika berehat, teman-teman dari KGGK tiba. Alhamdulillah, saya beterima kasih kepada semua ahli KGGK yang hadir pada hari tersebut untuk memberi sokongan kepada saya dan para peserta. KGGK membuat persembahan, walaupun menurut AVA, akan bermain dengan peserta, namun tidak ada lagi yang mampu untuk meniup lagu. Dek kerana itu, saya menukar program dengan menjemput ahli KGGK yang lain membuat persembahan.


Kemudian sesi ketiga diambil oleh Cikgu Ramli. Kali ini para peserta diberi peluang untuk meniup peralatan serunai dengan lengkap. Cikgu terus saja menerangkan kaedah dan teknik yang 'ringan' dan mudah agar para peserta dapat mengikuti. Pelbagai bunyi yang dihasilkan, meski begitu, peserta tetap tabah untuk meniup. Sampai kembung2 pipi masing-masing menahan nafas dan cuba menyambungnya semula. Gelihati juga melihat ragam dalam bengkel ini.

Hingga jam 5, barulah bengkel berakhir. Harapan saya moga2 peserta dapat menjalani latihan dengan sedikit ilmu yang dicurahkan. Ada juga katanya peserta yang sudah mempunyai set gendang silat, wah ... itu sudah bagus. Mudah-mudahan para peserta tidak pulang dengan tangan kosong dan dapat mempraktikan ilmu yang diperolehi.

Kesimpulannya - bengkel ini menjadi bukti bahawa segelintir kecil dari kita masih sayangkan seni budaya bergendang. Alhamdulillah.

laporan lain di AVA -sila klik sini.

0 comments:

Related Posts with Thumbnails

  © Blogger templates ProBlogger Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP