Terkenang Pak Teh Cha : 1998 - 2009 (Ketika mula mengenali hingga saat pemergiannya)
Pak Teh Cha
Al-Fatihah
Hampir setahun berlalu, hati saya tiba-tiba terkenang kepada salah seorang guru serunai dan gendang kami di Batu Kurau, Perak. Tambahan pula, bulan ramadhan menjelang tiba. Kenangan-kenangan lalu menusuk dan bermain di layar benak. Namanya panggilannya Pak Teh Cha. Namun Allah lebih menyayanginya, pemergiannya amat memilukan saya.
Bermain di Taiping dengan kump Pak Teh Cha
Mulanya saya mendapat berita yang pakteh tidak berapa sihat. Lalu saya menelefon bertanyakan khabar beliau. Lama saya berbual dengannya di telefon. Keadaan ekonomi dan masa ketika itu tidak mengizinkan saya untuk menziarahi beliau sewaktu itu. Jadi, telefonlah sebagai penghubung bertanyakan khabar berita pakteh di sana. Sedari itu, saya dan Bulat merancang untuk melawat pakteh pada hari raya, namun sms yang diterima daripada Cikgu Deen (salah seorang murid pakteh), membuatkan saya kemamar sebentar. Hari raya hampir menjelang 2, 3 hari lagi. Hati saya menangis hiba, tertunduk pilu dalam keadaan yang terdiam. Diam, sediam-diamnya. Apa pun saya redha dan menerima berita itu sebagai satu ketentuan yang sudah tertulis.
Saya bermain (tiup serunai) ketika kenduri kahwin di rumah Pak Teh Cha
Saya mula mengenali pakteh pada tahun 1998, iaitu ketika saya terlibat dalam dunia pergendangan Melayu ini. Mengikuti Cikgu Ramli yang ketika itu sering bertandang ke rumahnya untuk menziarahi dan membeli gendang buatan beliau. Ketika itu jugalah saya mengenali rakan sekumpulan beliau, Awang Peteh, Pak Su, Din Setera dan ramai lagi.
Kalau kami tiba di sana, selalu sahaja pakteh akan menelefon terlebih dahulu rakan-rakannya untuk bergendang bersama. Sayang, ketika itu saya tidak punya kamera dan tidak pernah terfikir untuk merakamkannya dalam bentuk visual; hanya dalam kotak memori sahaja. Bukan setakat itu, malah pakteh membawa kami untuk bergendang di sekitar kampung di Batu Kurau atau Taiping sekiranya beliau mendapat jemputan dan kami berada di sana sewaktu itu.
Dengan beliau jugalah, pertama kali saya mendengar perkataan Bismillah serunai (salah satu istilah dalam permainan serunai untuk merujuk kepada siapa kita berguru). Namun saya tidak bersembang panjang lebar dengan pakteh kerana tak tahu apa yang diperbualkan. Saya hanya menjadi pendengar setia apabila Cikgu Ramli berbual-bual dengannya serta rakan-rakan pakteh yang lain. Seingat saya, hanya apabila KGGK tertubuh dan pergi ke sana sendiri, barulah saya pandai sikit berbual dengan pakteh dan faham sedikit tentang perbualan berkenaan dunia bergendang serba sedikit.
Dari situ saya mula menaruh azam untuk mempelajari pengetahuan yang dan bunyi yang diajar oleh pakteh. Pada pendengaran saya (orang lain saya tak tahu), Bismillah dan lagu silat yang ditiup semacam 'pedih' tapi 'aman' di telinga. Saya kira Cikgu Deen dan rakan-rakan KGGK faham apa yang saya maksudkan. Begitu juga dalam perihal pergendangan, tidak sedikit usaha dan jasa yang dicurahkan kepada kami. Baik dari segi ilmu bergendang mahupun bimbingan dalam dunia pergendangan. Semuanya masih tersemat kukuh dalam ingatan. Itu tidak dikira pula, entah berapa banyak gendang yang kami borong daripadanya.
Pak Teh Cha - dalam kenangan KGGK ...
Entri Lepas KGGK bergendang di Baru Kurau bersama Pak Teh Cha.
Entri Cikgu Deen - salah seorang murid Pak Teh Cha
0 comments:
Post a Comment