Showing posts with label Laporan Kembara. Show all posts
Showing posts with label Laporan Kembara. Show all posts

Wednesday, January 4, 2012

Angin Selat Tebrau

Latihan

Alhamdulillah, dapat juga saya sampai ke Pasir Gudang, Johor untuk melihat perkembangan Kumpulan Warisan Tebrau. Hajat untuk ke sana sudah agak lama, baru-baru ini sahajalah diizinkan Allah, syukurlah. Pada 30/12 saya bergerak ke sana dari stesen bas TBS (Terminal Bersepadu Selatan). Bersama Ijam (Lela Rentaka), kami beransur lebih kurang jam 12.30 tgh dan tiba di sana pada jam 4.30 petang.

Sesi menyembang

Kehadiran kami di sambut oleh sdr Khairul dan dibawa terus minum-minum sebelum ke rumahnya. Malam tersebut kami hanya berbual-bual kosong dan sedikit aktiviti bergendang dijalankan di rumahnya. Jam 4 pagi, baru kami tidur. Esok pagi, jam 9, kami mula berlatih dan bergendang santak ke tengahari. Kemudian, perlahan-lahan ahli Warisan Tebrau beransur pulang kerana komitmen kerja.

Aksi ahli Persatuan Seni Silat Gerak Tepat, cawangan Pasir Gudang

Pada sebelah malamnya, kami dapat menyaksikan latihan silat Gerak Tepat, di mana boleh dikatakan seluruh ahli Warisan Tebrau juga merupakan ahli persilatan aliran ini. Kemudian, kami dibawa berjalan ke kawasan sekitar Pandan City untuk melihat suasana di sebelah malamnya. Kawasan sekitaran di situ tidak ubah seperti Downtown Cheras. Dipenuhi dengan jualan baju, barang permainan dan sebagainya. Untuk seketika kami merasa teruja berada di sana.

Merayap di sekitar kawasan Pandan City

Keesokan harinya, kami beransur pulang ke KL. Tepat jam 2 petang, kami menaiki bas dan kembali ke KL dengan seribu kenangan yang terpahat di ingatan. Insya-Allah kalau tiada apa-apa aral, saya akan ke sana lagi. :)

Laporan dari Warisan Tebrau - klik sini
Laporan dari Ejam, Lela Rentaka - klik sini

Read more...

Thursday, March 31, 2011

Kembara Seorang Diri - Ke Pendang : 13-15 Mac 2011

13 Mac


Perkara ini sudah lama dirancang. Disebabkan acapkali rakan-rakan di sini bertanyakan gendang dan serunai, maka saya mengambil keputusan untuk menempah empat set gendang silat sekaligus dengan Pak Teh Mid di Kuala Lanjut, Pendang. Selalunya saya akan bersama sdr Sharul, tapi kali ini saya terpaksa pergi berseorangan, memandangkan dia punya tugasan lain yang perlu dilunasi. dalam benak saya terfikir, " Ke Kedah 5-6 jam berseorangan dalam kereta, aduh!" Tapi janji sudah dimeterai. Cukup masa, saya tidak bertangguh lagi, hari Ahad menjadi pilihan saya. Tanggal 13 Mac, kereta meluncur ke sana.

Memang, memang bosan bila memandu seorang diri ke sana! Tiada rakan bersembang, hanyalah radio yang menjadi teman setia. Sesekali diserang kantuk, saya berhenti di hentian atau RnR yang setia menanti pengembara seperti saya. Seawal pagi, jam 6.45 saya sudah ke sana, hampir jam 1.30 petang, baru saya sampai di rumah Pak Teh. Tiba di sana, saya disambut oleh abang Kob yang menjadi rakan sembang, sementara menanti Pak Teh balik dari tiga buah rumah katanya. Pak Teh ada juga menelefon abang Kob agar saya menyertainya bergendang, tapi saya tak larat. Terlalu mengantuk kerana malam sebelumnya, saya tidur jam 5.30 pagi. Alhamdulillah, bersyukur sangat saya kerana perjalanan dipermudahkan Allah.

Apabila Pak Teh balik, kami bersembang pelbagai topik. Dan tentunya perkembangan gendang silat menjadi topik utama kami, begitu juga dengan khabar rakan-rakan di sini. Sempat juga saya menghubungi rakan di Alor Setar untuk berjumpa di rumah Pak Teh. Alang pula, kebetulan balik ke Perlis, rumah mentuanya. Wah, ada rakan lain juga yang boleh dibawa bersembang nanti, fikir saya. Tapi sebelum itu, Pak Teh menerima panggilan untuk bermain di kampung Telaga Emas. Katanya, main untuk kenduri kahwin seorang imam dan juga rakan kepada allahyarham Tok Baunui @ Tok Banui (bapa Pak Teh Mid).

Malam

Kami lewat sedikit ke sana kampung Telaga Emas kerana menantikan rakan saya dari Alor Setar, Fauzi. Namun kelibat mereka pada jam 9.30 malam melegakan hati saya. Kami ke sana beramai-ramai. Tiga buah kereta cukup untuk membayangkan rombongan kami ke sana, Setibanya di sana, hati saya sedikit berdebar. Maklumkan bergendang di tempat orang lain takkan sama dengan bergendang di tempat sendiri.

Set gendang sudah tercatuk, menanti untuk dimainkan. Seperti biasa, saya digesa oleh Pak Teh untuk membuka tirai. Sebenarnya malu alah untuk buka majlis di tempat orang, tapi saya turuti sahaja walaupun saya bergurau pada seorang abang yang tiup serunai di situ. Namun saya tetap juga digesa olehnya. Tak berlengah, majlis bergendang dibuka dengan Lagu Buka. Selesai 4-5 lagu, tiupan serunai berpindah pada seorang rakan di situ. Majlis bergendang diteruskan. Semakin lama, semakin ramai ahli bergendang yang hadir. Hati saya lega apabila tuan rumah menjemput untuk makan malam. Dapatlah pula saya mendengar orang lain bergendang.

Hampir jam 12.30 rasanya, kami balik. Alang sudah sampai. Kami berborak panjang dengan Pak Teh dan yang lain.

14 Mac

Pagi itu saya berazam untuk mempelajari serba-sedikit tentang perihal pembuatan gendang. Memandangkan gendang yang saya tempah masih ada 2, 3 biji yang belum siap, maka dapatlah saya mempelajari sesuatu. Dimulakan dengan membuang bulu pada kulit kambing, saya tersengih. Pada tangan orang yang tidak pakar seperti saya, memakan masa hampir 30 minit untuk menyiapkannya. Berpeluh sakan saya mengerjakannya. Abang Kob bermurah hati mengajar saya kaedah untuk membuangnya dengan betul agar kulit tidak rosak atau terkoyak.

Sambil-sambil itu, saya menyibukkan diri bertanya macam-macam kepada Sobri dan abang Kob tentang cara-cara untuk membuat gendang. Memang bukannya pekerjaan yang mudah. Bila sudah siap, memang seronok, tapi kalau sudah tahu penat lelah orang membuat gendang, kita tak perlulah tawar menawar tentang harga gendang. Beli sahajalah, jangan banyak soal atau keterlaluan dalam menawar harga sepasang gendang.

Malam

Bergendang lagi! Pada petang sebelumnya, saya dan Alang berlatih-latih juga tiup serunai dan bergendang. Tapi malam ini dengan kehadiran Un Istana Budaya dan rakannya, Man (kalau tak silap saya), gendang berbunyi lagi. Sesudah panjang borak, Un berteriak kepada saya, "Haa dok watpa lagi tu? Buat lagu aaa."

Saya senyum, dan melambai mereka agar menyertai kami di atas wakaf bergendang. Saya, Pak Teh, Alang dan rakan lain bergendang pula. Lepas satu, satu lagu yang dimainkan. Silir berganti irama serunai dan gendang. Dari 'Lagu Berjalan' hinggalah ke permainan gendang silat. Sehinggalah larut malamm, barulah sesi gendang ditamatkan.

Walapun semua sudah mengantuk dan tidur awal, saya dan Sobri masih menyembang hinggalah jam 4 pagi. Letih tapi menyeronokan.

15 Mac

Pagi-pagi lagi saya sudah bersiap. Melihatkan beberapa pasang gendang sudah siap, hati saya berbunga-bunga. Lega, dapatlah kali saya bawa balik 4 sete gendang, dan tak perlulah saya ke sana untuk jangka masa yang panjang bagi mengambil gendang yang ditempah oleh kawan-kawan. Alhamdulillah beberapa set gendang sudah terjual, hanya 2 set saja yang tinggal pada saya, menanti saat dan ketika ia dibeli oleh orang yang berhajat.

Hampir lewat tengahari barulah gendang anak yang terakhir siap. Selesai makan tengahari dan solat zohor, saya mengemaskan barang-barang untuk mengisi dengan gendang. Akhirnya penuh kereta saya. Selesai bersalam-salaman, saya meminta diri untuk beransur, kerana mahu melepasi kawasan Perak sebelum malam menjelma. Hanya lewat jam 11.30 malam saya sampai semula ke KL. Alhamdulillah, selamat semuanya.

p/s : terima kasih kepad Pak Teh sekeluarga, Mak Teh - masakan terbaik! Sobri dan abang Kob yang menunjuk ajar cara-cara memproses gendang. Rakan-rakan di Telaga Emas - teruskan usaha bergendang.

Read more...

Wednesday, December 1, 2010

Tabuh Gendang dan Langsing Serunai di Jitra & Pendang

26.11 - Menuju Destinasi


Jam 11.30, saya tercangak-cangak di hentias bas Bukit Jalil. Rasanya, lama juga tidak ke Kedah menaiki bas. Termenung bila melihat suasana di situ sambil mencari-cari platfom 7. Matahari di atas kepala menggigit ubun-ubun. Melihatkan jam jarum jam sudah tepat menunjukkan waktu jam 12, bas masih tidak kelihatan.

Apabila bas tiba, saya cepat-cepat menaiki - untuk menghilangkan rengsa bahang di hentian tersebut. Seat untuk seorang, cantik - tidak bertangguh bas Durian Burung meluncur ke destinasi yang ditetapkan. Lebih kurang jam 6.45 petang, saya turun di Jitra.

Rakan sealiran sudah menunggu - sdr Fauzi. Kami pun pekena kueh teow di depan Yawata. Kata Fauzi, sedap kueh teow di situ. Tapi sebabkan cap free, saya sental sahaja. Hanya hampir jam 12.30 malam, barulah sdr Bulat sampai. Kami sambung sembang dan akhirnya masing-masing sudah keletihan. Beransurlah kami ke rumah Pak Teh Mat.

Hari Pertama 27.10 (Penggambaran di rumah Pak Teh Mat Khir, Pak Teh Mid, Hanim dan Tok Saat)

Pagi

Pagi-pagi lagi En Amin sudah menelefon mengatakan bahawa mereka akan sampai sekejap lagi. Menggelupur saya bangun kerana risau mereka sampai, saya takdan mandi lagi ... hehehe. Memang tepat jam 9, van TV3 terpacul di hadapan rumah. Tabik! Masa memang depa jaga sungguh, Tak bertangguh pula saya menelefon Pakteh yang sibuk menguruskan beberapa majlis pada hari tersebut. Memang sejak dari mula penggambaran, depa memang tepat dari segi masa.

Sekitar penggambaran di rumah Pak Teh Mat

Apabila semua sudah ada, penggambaran dijalankan di luar rumah. Lokasi yang dirasakan mempunyai sudut yang terbaik dan cantik dipilih oleh krew tv3. Tikar dibentang, gendang, gong dibawa. Sementara itu, krew tv3 sibuk memasang alat dan kamera. Saya dan Bulat hanya memerhatikan sambil mengambil beberapa keping gambar untuk diabadikan di FB KGGK dan blog.

Selanjutnya sesi penggambaran dimulakan. En Amin mula menemuramah Pakteh dengan pelbagai pertanyaan dan persoalan. Satu demi satu dijawab dan diterangkan, hinggalah membawa pada demo gendang silat Kedah dan Patani. Saya pun disuruh berlakon juga, memukul gendang. Hentam!

Di rumah Hanim

Dari rumah Pakteh, kami ke rumah Hanim pula, kenduri kahwin dia. Hanim dulu ni merupakan salah seorang (penggendang anak) ahli kumpulan Srikandi, di bawah seliaan Pakteh juga. Tapi kini sudah berpecah kerana masing-masing membawa haluan.

Tidak cukup dengan rumah Hanim, kami ke Kampung Malau pula. Menurut Pakteh ada kenduri cucunya berkhatan. Apa lagi krew tv3 macam pucuk dicita ulam mendatang, selepas Zohor kami tiba di sana, jam 2 petang. Kami tumpang van mereka, dan dari tepi jalan kami dapat melihat beberapa khemah didirikan. Bunyi paluan gendang silat dan tiupan serunai segera menyucuk dan menggesa saya untuk keluar dari perut van dengan pantas. Dapatlah berjumpa dengan rakan2 yang lama tak jumpa.

Persembahan silat pulut oleh otai-otai

Sementara krew tv3 macam lipas kudung, mengambil gambar dan rakaman orang bergendang dan bersilat. Satu demi satu pasukan dan pasangan silat masuk bermain. Saya rasa puas benar dapat melihat orang bersilat dan bergendang. Dan bertambah puashati dapat membawa krew tv3 ke rumah Tok Saat untuk merakam di majlisnya.

Namun masa berlalu begitu pantas, jam sudah menunjukkan 3 petang. Saya dan krew tv3 bergegas pula untuk ke rumah Pakteh Mid di Kuala Lanjut, Pendang. Perjalanan hanya mengambil masa 40 minit sahaja dari Jitra.

Petang

Setibanya di sana, saya dapat melihat satu suasana yang menarik. Bangsal dipenuhi oleh pemain gendang yang asyik dan leka mengalunkan irama warisan. Sementara ibu2 dan anak2 memenuhi ruang dan bagaikan ada temasya kecil yang berlangsung. Namun, akhirnya barulah saya tahu Pakteh Mid membuat kenduri kecil sempena kehadiran krew tv3 dan kami yang hadir.

Penggambaran di rumah Pak Teh Mid

Pihak krew tv3 tidak bertangguh. Terus mengatur tempat dan lokasi yang terbaik untuk merakam perjalanan hidup Pakteh dan juga permainan irama gendang silat. Saya dan Bulat keletihan, hanya melepak di tepi dan menyaksikan krew tv3 yang sibuk menjalankan tugasannya. Duduk di tepi rumah, kami berbual-bual dengan anak-anak Pakteh. Sehingga lewat jam 7 petang, barulah penggambaran selesai.

Dari wawancara, hinggalah rakaman ringkas cara membuar serunai dilakukan. Saya hanya senyum lega kerana dapat membawa mereka ke sini. Dan bertambah lega pula, kerana tidak perlu berlakon. Diri memang kepenatan yang sangat amat. Hujan renyai-renyai turun tatkala senja menginjak tubir masa, saya dan Bulat keletihan.

Malam

Meskipun sesi penggambara sudah selesai, namun pada sebelah malam selepas Isyak, sesi bergendang di teruskan. Mula-mula saya dan bulat bermain. Santak ke pukul 10, Bang Li (peniup serunai), datang. Saya lega, kerana masih belum mandi sedari petang tadi. Dalam masa kesibukan orang bergendang, saya menyelinap keluar dari bangsal dan membersihkan diri. Selepas itu, hanya duduk di bawah dan memerhatikan dari jauh.

Sesi bergendang dengan geng Pak Teh Mid

Semakin larut, semakin jadi bergendangnya. Lagu yang ditiup tak putus-putus. Irama padang pasir, lagu-lagu lama Melayu, lagu Hindustan sulam menyulam. Hanya sesudah hampir selesai bergendang, saya menghampir bangsal kerana terasa ingin mencuba tiup serunai Bang Li yang merengek-rengek. Memang sedap sungguh serunai beliau, tapi kalau tak pandai ambil angin dan menggayakan, jadi sumbanglah. Dalam hati, teringin juga nak ada serunai yang bunyi macam itu.

Selesai orang bergendang, saya dan Pakteh Mid, meniup pula serunai-serunai yang dipesan oleh rakan-rakan dari Melaka. Jenuh mencari suara, mali yang sesuai, pipit yang elok. Dalam hati saya, memang tak mudah untuk memilikki serunai yang elok suaranya. Patutlah harga serunai agak tinggi, padanlah dengan kesukaran untuk membuat dan mencari suaranya. Santak jam 3 pagi, barulah selesai lima batang serunai. Sobri (anak pakteh) pula sibuk membuat mali tambahan yang dipesan oleh rakan-rakan gendang di KL dan Perak.

Serunai yang dipesan oleh rakan-rakan

Hampir dua jam, Sobri dengan teliti membuatnya. Saya puashati melihat keadaan mali yang begitu. Pakteh kepenatan, saya sambung menyembang pula dengan Sobri sehingga jam 5 pagi. Ayam sudah berkokok, barulah saya merebahkan diri di atas tilam yang disediakan. Sungguh, sungguh bukan mudah untuk menghasilkan serunai yang baik. Jadi, padanlah dengan harga yang sebegitu. Kalau orang dengar macam mahal, tapi bila sudah lihat sendiri baru saya tahu betapa bukan mudah untuk menghasilkan serunai yang baik suaranya.

28.11

Oleh kerana perjalanan krew tv3 akan ke Gurun dan balik ke KL, saya minta jasa baik En Amin untuk menumpang van. Alhamdulillah, akhirnya kami terdampar pula di Gurun. En Amin singah sebentar untuk membuat rakaman majlis Seminar ADMAA (Awang Daud Martial Arts Academy). Lama juga kami berada di situ sementara menantikan majlis selesai.

Persembahan oleh krew ADMAA

Hingga jam lebih kurang 3/3.30 petang, kami bergerak semula ke KL dalam keadaan hujan lebat dan renyai hinggalah sampai KL. Jam lebih kurang 12.30 kami tiba di KL dengan selamatnya, alhamdulillah.

Hujan lebat mencurah-curah sepanjang perjalanan balik

Ucapan terima kasih kepada : Pak Teh Mat Khir sekeluarga, keluarga Hanim, Keluarga dan rakan-rakan Tok Saat, keluarga Pak Teh Mid dan rakan-rakan beliau. Juga kepada krew tv3 yang bertungkus-lumus mengambil gambar dan rakaman.

Akan datang di Jengka 6, Pahang - sesi penggambaran terakhir, Insya-Allah.

Read more...

Saturday, October 30, 2010

Kembara Ke Kedah 23-24 Oktober : Bhg 2


24 Oktober

Awal pagi lagi kamu sudah bangkit. Menurut Pak Teh Mat, pagi itu kami akan bermain untuk acara berarak Menteri dan tandu. Tidak banyak sangatlah perkaranya, tapi maklumlah majlis rasmi, penuh dengan protokol menyebabkan kami keletihan menunggu. Namun tidak lama, apabila menteri sampai kami menjalankan tugas yang diamanahkan - berarak menteri. Syukur alhamdulillah permain berjalan lancar hingga ke sudah. Lewat petang itu, kami ke rumah Pak Teh Mid pula.

Petang

Perjalanan ke Pendang kali ini terasa begitu cepat. Lebih kurang setengah jam sahaja kami sampai. Tujuan selain menziarahi beliau, kami sudah menempah sepasang gendang (untuk rakan di KL), beberapa biji gendang yang sudah siap dibetulkan, menghantarkan gendang lain untuk dibetulkan semula dan tentunya mencari serunai untuk Mbah Dukun (K-GAR).

Sembang-sembang punya sembang, sambil-sambil itu mencari 'mali' yang sesuai untuk serunai Dukun. Peh, berasap, hampir-hampir sahaja saya berputus asa kerana pipit serunai yang dibuat semuanya tidak sesuai. Lama-kelamaan, Sobri (anak Pak Teh Mid) membuat pula mali yang baru. Setelah di 'taghak' barulah, suara sebenar serunai timbul, lega ... Lebuh kurang jam 10 malam, kami beransur pula ke KL.

Dalam perjalanan, kami singgah di tol Simpang Pulai untuk menyerahkan serunai dan gendang-gendang milik K-GAR yang diambil sebelum itu di rumah Pak Teh Mid. Saya senyum, puashati melihat rakan K-GAR, Syam dan Dukun tersengih mengambil barang yang sudah lama ditunggu. Apa lagi, malam itu, Syam kena 'paw'. Bolehlah roti telur dan teh tarik. Lebih kurang sejam kami menyembang, kami meminta izin untuk beransur ke KL.

Hanya tiba di KL serentak dengan azan subuh. Letih yang amat ...
p/s : Blog K-GAR dah naik hutan dan ada bela dinosaur! hehehe (sila abaikan ayat kami)

Bahagian 1

Read more...

Friday, October 29, 2010

Kembara Ke Kedah 23-24 Oktober



Perancangan untuk ke Jitra, sudah lama dirancang. Sambil mengambil gendang baru yang ditempah dan gendang yang diperbaiki, sambil itu jugalah menziarahi guru di sana. Perjalanan dari KL bermula pada detik 11 malam. Awalnya, Rizak dari K-Gar ingin ikut bersama, tapi di saat-saat akhir hanya saya dan sdr Sharul sahaja yang dizinkan Allah ke sana pada tarikh tersebut. Perjalanan di waktu malam menyebabkan mengantuk mudah benar menyerang, untuk terus segar, dua kali kami singgah di RNR di lebuh raya. Hanya 6 pagi, ketika azan berkumandang, kami tiba di rumah Pak Teh Mat.

Sempat jugalah, kami bersembang sebelum rebah dek kepenatan dan mengantuk. Namun mimpi dan lena tidak lama, tengahari kami diajak oleh Pak Teh untuk rehersel. Ada majlis perasmian Modul Pengajian Separuh Masa yang dirasmikan oleh Menteri Pengajian Tinggi pada keesokan harinya (ahad). Agak lama juga kami menunggu untuk sesi rehersel, hanya jam 5.30 petang, barulah langsai rehersel tersebut.

Suatu perkara yang sukar untuk saya lepaskan selain bergendang adalah pekena laksa kedah yang memang saya tunggu-tunggu. Seperti biasa, kereta kami bergerak ke Kepala Batas - ada satu gerai yang menjual laksa kedah yang memang enak - ula la la ... sulam dengan chikang. Peh, meletup! Tup, tup ... kedai tutup pula, hampa rasanya. Tapi melihatkan ada deretan kedai yang dibuka, kami membuat keputusan untuk mencuba nasib di situ.


Yah! Memang ada laksa kedah juga dijual di situ. Hentam! Kali ini, mata saya tertumpu juga pada pasembor yang ada. Pesan, jangan tak pesan. Memang sedap pasembor di situ. Boleh ulang lagi kalau ke sana. Malam

Pada sebelah malam pula, kami dibawa ke Kampung Bukit Derang untuk bergendang. Melihatkan suasana gelanggang silat (tempat bergendang malam itu), saya terkenangkan bangsal-bangsal silat tradisi yang kini sudah jarang ada. Namun, bergendang pada malam itu sempena untuk memulakan sesi latihan silat yang bercuti sewaktu bulan ramadhan dan syawal. Adik-adik di situ ramai yang boleh bergendang. Kami disambut oleh abang Alim yang begitu ramah setibanya di sana. Keramahan abg Alim membuat kami tidak terasa asing berada di situ. Terima kasih abang Alim.

Makin lama, makin ramai yang datang bergendang. Tua, muda, kanak-kanak - semua turut hadir, walaupun pada malam tersebut ada perlawanan bola antara Kedah dan Kelantan. Sambil itu, mata saya sempat menjeling pada tulisan yang berbunyi - 'Seni Silat Peninjaun'. Agak lama juga tidak mendengar nama yang semacam dengan silat ini, e.g : Silat Panding Juan, Silat Peninjau (ada lagikah yang sama dengan ini?)

Semangat yang ditunjukan oleh orang di kawasan situ amat mengujakan. Saya dan Sharul turut sama memeriahkan majlis dengan bergendang. Paling menarik adalah apabila merasa tiup serunai yang diperbuat dari batang cabai (cili) - memang mersik! Fuh ... memang kalau sudah main serunai, ini adalah serunai yang menjadi idaman untuk dimilikki, tapi bukan mudah. Bayangkan batang cabai - halus, tapi anggarkan berapa lama untuk memperolehi batang cabai yang besar untuk dibuat serunai. Hmmm ...

Read more...

Wednesday, August 4, 2010

Trip Ke Batu Gajah, Perak - Bhg 3

Hari Ke-3


Saya kira hari ini adalah hari yang terakhir untuk kali ini kami bersama-sama K-GAR. Walaupun kami lebih senang sekiranya sesi ini berakhir dengan pulun gendang kaw-kaw, namun rakan K-GAR sudah punya program yang diatur. Tidak dapat tidak, keputusan tuan rumah mesti dihormati. Kami akur bahawa hari ke-3 tidak dapat berlatih bersama, memandangkan entah bila lagi kami akan menjejakkan kaki ke tanah Batu Gajah, wuallahua'lam.

Kali ini, hanya Lan & isteri, Jett, Syam dan kami berdua sahaja, yang lain-lain tidak dapat menyertai atas komitmen masing-masing. Kami dibawa melawat ke Tebing Tinggi, melihat pelbagai aneka jualan cenderamata untuk pelawat di situ. Rambang juga mata melihatnya tapi apakan daya, fulus tidak mengizinkan (senyum). Dari situ, kami dibawa pula ke Ulu Kenas, sebuah tempat rekreasi air terjun yang menarik.

Suasana memang menyegarkan mata dan jiwa. Tapi saya tidak mandi, hanya sekadar merakamkan beberapa keping foto digital untuk diabadikan di blog. Selebihnya, saya hanya menumpang gembira melihat rakan-rakan mandi-manda. Selepas balik, kami singgah ke rumah Lan untuk berehat seketika. Habis semua membongkang kepenatan. Disamping itu, kami bersembang bual sementara menantikan waktu maghrib. Mujur jugalah tuan rumah menyediakan makanan petang.

Pada malamnya, jam lebih kurang 9.00 malam, kami dihantar ke rumah Rizal. Perjalanan agak panjang kerana kesibukan kereta di hujung minggu yang mahu balik ke arah selatan. Jam 11.45 malam kami sampai di KL membawa seribu kenangan yang manis di Batu Gajah. Apa yang penting adalah ukhuwah yang terjalin sesama ahli pergendangan, itu yang paling penting. Apatah lagi dengan semangat dan kesungguhan yang ditunjukan membakar semangat kami. Insya-Allah, kalau ada rezeki, mungkin kami akan sampai lagi di sana.

Juga terima kasih tak terhingga diucapkan kepada Rizal, Syam, Lan, Eja, Famy, Jett, Dukun, Cik Ajis, Bro Saipul (Ketua Gelanggan Serimau Hitam, Bt. Gajah), keluarga Lan, keluarga Rizal dan rakan-rakan dari persilatan Serimau Hitam yang sudi menerima kedatangan kami.

Kalau ada sumur di ladang,
Bolehlah kami menumpang mandi;
Kalau ada umur yang panjang;
Insya-Allah kita berjumpa lagi.
Intro

Read more...

Tuesday, August 3, 2010

Trip Ke Batu Gajah, Perak - Bhg 2

Hari Ke - 2

Kereta sport Lan (Hasmil) yang membawa kami ke sana-sini.

Pagi sewaktu itik dan angsa di belakang rumah ibu Lan berdendang, mata saya sudah terbuka. Tetapi dek kerana keletihan bergendang dan perjalanan ke sana, saya terlelap semula. Namun apabila merasakan sudah agak lambat, kami bergegas bangun dan bersiap-sedia pula untuk ke rumah Syam. Katanya nak berlatih gendang di sana.

Setibanya kami di sana, kami disambut oleh bapa Sham yang ramah dan mencuit hati dengan lawaknya. Saya senyum, merasakan ada aura kemesraan yang menyambut kami di rumah Syam. Kami berbual-bual dulu sementara nak panaskan badan untuk bergendang. Malam tadi semasa meniup serunai di Arena Square, jari-jemari saya semacam agak kaku. Tidak tahu mengapa, mungkin kerana kesejukan yang melampau menyebabkan begitu. Di rumah Syam, saya meniup sepuas-puasnya.

Kemudian sdr Sharul menunjuk-ajar sedikit permainan dan buah-buah lagu Berjalan kepada Syam sera Eja. Ditambah pula dengan kehadiran Rizal, Famy, suasana menjadi bertambah ceria dan bersemangat. Lewat hingga jam 2.30 ptg barulah kami berhenti. Kali ini mengikuti mereka ke SK Toh Indera Wangsa Ahmad untuk mengikuti sesi latihan Silat Serimau Hitam di sekolah tersebut.

Sdr Saiful sendang 'mengerjakan' kaki seorang pelatih yang terseliuh

Melihatkan jumlah adik-adik pesilat di situ memang mengujakan kami. Sempat juga saya mengambil beberapa keping foto untuk diabadikan di blog KGGK. Di sana, kami berkenalan pula dengan jurulatih di situ, jurulatih silat kepada K-GAR, sdr Saiful. Saya berbual-bual seketika dengannya sewaktu berhenti rehat dan hujan pula melanda seketika. Sehabis sesi latihan kami minum petang di sebuah kedai. Suasana mesra dan keramahan sdr Saiful dan rakan-rakan Serimau Hitam menyebabkan kami tidak terasa asing berada bersama mereka. Inilah yang kita mahukan, sama ada bersilat atau bergendang - kata guru, nak cari kawan.

Di senggang waktu bersilat, saya dan rakan-rakan K-GAR bergendang bersama. Sambil itu mengiringi beberapa adik yang membuat persembahan silat.

Malam

Malam tersebut kami dimaklumkan harijadi Rizal dan akan disambut di rumahnya. Kami seronok apabila mendengarnya, dan tentunya ada makan-makan di sana. Hehehe ... Setibanya ti rumah Rizal sudah banyak kereta yang parkir di luar rumahnya. Bau ayam bakar dan sate yang dibakar menambahkan semangat kami untuk menyantap. Sementara itu, gendang dan gong sudah diangkat. Kata Rizal, di rumahnya bolehlah bergendang takat jam 12 malam. Ya, itupun sudah memadai bagi saya jika dibandingkan dengan KL. Jangan harap boleh bergendang di kawasan taman! Orang di taman tersebut memang sporting, saya puji sungguh!

Namun sebelum itu, sesi tahana (mengena orang). Dan tentunya Rizal lah yang menjadi mangsa kerana dia adalah birthday boy pada malam itu. Saya dan Sharul tumpang seronok, terkenang pula masa zaman sekolah dahulu. Kesian juga tengok Rizal kena baling telur dan tepung. Suasana menjadi meriah dengan gelak dan tawa, saya kira ini adalah antara peristiwa yang akan menjadi kenangan indah untuk dibawa pulang ke KL.


Sesudah sesi makan dan tahana, sesi bergendang berjalan. Semua yang pada mulanya malu-malu alah bergendang, bergendang. Famy, pengendali blog dan FB K-GAR turut bergendang. Saya kira kesungguhan mereka dalam menggali ilmu pergendangan mencuit hati saya. Tentunya saya akan ke sana lagi sekiranya dibawa oleh Rizal.


Sesi bergendang tidak terhenti takat itu sahaja. Selepas itu, kami bergerak ke Arena Aquare untuk menyambung berlatih. Sharul membawa kelas pada malam itu yang berakhir jam 3 pagi lagi. Fuh, memang dahsyat mereka ni. Tapi itulah semangat yang ditunjukkan oleh K-GAR yang menyebabkan kami juga tepalit sama semangat mereka.

Read more...
Related Posts with Thumbnails

  © Blogger templates ProBlogger Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP