Lambaian Sukma Di Kalumpang Resort : 1 Mac 2011
Lebih kurang dua minggu saya dimaklumkan oleh sdr Kamarul Azhar dari Ahadancoach bahawa beliau berminat untuk membawa kelainan dalam kursus motivasi yang dikendalikan oleh beliau, anjuran Kementerian Pengajian Tinggi. Berderau darah saya apabila mendengarkan 40 orang peserta, sekaligus mencabar minda untuk saya selesaikan. Tidak bertangguh, rakan2 dihubungi. Kami berbincang bagaimana untuk memenuhi harapan Ahadancoach. Dalam erti kata yang lain, KGGK juga akan menempuh pengalaman baru dan ini bagus untuk penambahnilaian dalam profil kami.
1 Mac - Perjalanan
Seawal jam 4 petang kami sudah bergerak ke sana bagi mengelakan tersangkut di sesak lalu lintas KL. Meskipun slot gendang silat bermula jam 8.30 malam, namun destinasi yang ditujui agak asing. Kami harus cepat ke sana, tambahan pula persediaan awal harus dilakukan - melihat tempat, berbincang dengan Ahadancoach dan sebagainya. Lebih kurang sejam lebih kami tiba di sana. Bau rumput segar mengapung. Bunyian unggas dan nyanyian alam menyambut kedatangan kami. Cepat-cepat saya menggesa agar Sharul menurunkan tingkap kereta, kerana ingin berinteraksi dengan alam.
Kalumpang Resort terletak sedikit ke dalam, lebih kurang 15-20 minit untuk sampai kerana jalannya semakin kecil dan hanya boleh dilalui oleh sebiji kereta sahaja akhirnya. Namun bunyi sungai mungkin akan menghilangkan segala kegundahan dan resah. Ah ... jalan sempit tak ada hal!
"Salam bro. Kami dah sampai, ada kat parkir."
"Ok, ok," jawab sdr Kamarul, otai Ahadancoach.
Kami pun bersalam-salaman dan terus berbincang, sementara Sharul dan Soufikh sudah terjun ke dalam sungai. Cikgu Ramli pula berjalan-jalan di sekitaran sambil menikmati keindahan alam semulajadi.
Malam - Jam 8.30
Sebelum kami dipanggil masuk, sdr Kamarul sudah menayangkan klip video KGGK yang tersiar di Majalah 3 baru-baru ini. Selesai saja, kami masuk dan terus memperkenalkan diri lalu bermain dua lagu sebagai pembukaan.
Seterusnya majlis dikendalikan oleh Sharul, kumpulan dibahagikan kepada empat. Penerangan ringkas diberikan; bagaimana teori permainan dan praktikalnya nanti kelak. Sesudah itu, kami masing-masing mengendalikan kumpulan yang sudah dibahagikan. Bunyi serunai dan paluan gendang mula kedengaran di sana-sini. Empat kumpulan berpecah dan latihan dijalankan.
Walaupun masa yang diberikan oleh Ahadancoach hanyalah 2 jam sahaja, tapi alhamdulillah. Kerjasama dan kecekapan pelatih kursus menjadikan ia tampak seperti mudah, walaupun sebenarnya agak sukar bagi mereka yang tiada langsung asas dalam mana-mana pukulan muzik tradisi Melayu. Gelak tawa dan usik mengusik di antara peserta terjadi, saya hanya tumpang senyum melihatkan gelagat mereka yang ceria itu.
Sampai waktu, jam 10.15 malam, 4 kumpulan yang mempunyai nama masing-masing mempersembahkan paluan yang dipelajari. Satu demi satu memukul dan suasana menjadi gamat dengan tepuk sorak dan sorai kumpulan masing-masing. Setiap kumpulan mempunyai cara dan corak persembahan yang tersendiri. Saya dan rakan KGGK senyum sahaja melihat telatah mereka yang adakalanya mencuit hati.
Selesai saja persembahan, sdr Kamarul selaku camcom mengulas apakah maksud dan tujuan permainan gendang itu diselitkan dalam kursus ini. Namun ia tidak mengambil masa yang lama kerana selepas sesi itu, peserta mempunyai aktiviti lain untuk diteruskan. Kami dijemput oleh sdr Kamarul untuk menikmati hidangan ringan. Selesai semua, kami bergerak semula, perlahan-lahan menuju ke KL.
p/s : Terima kasih kepada sdr Kamarul Azhar (Ahadancoach) yang menjemput kami, KPT yang membenarkan slot ini, para peserta, dan anggota KGGK yang memberi kerjasama yang baik. Semoga akan ada lagi sesi seperti ini. Selain dari mencara salah satu acara mereka, secara tidak langsung mempromosi semula permainan gendang silat. Alhamdulillah.
Laporan di blog Ahadancoach - di sini
1 comments:
alhamdulilah Ahadan Coach mengucapkan tahniah diatas kecekapan KGGK dalam mengendalikan peserta yg walaupun tak sampai 2 jam mereka sudah dpt menguasai sedikit asas gendang....
Post a Comment