Showing posts with label Bengkel Gendang Silat. Show all posts
Showing posts with label Bengkel Gendang Silat. Show all posts

Monday, April 23, 2012

Kenangan Di Kota Tinggi : 21 & 22 April 2012

Peserta bengkel (gambar - kredit pada Cikgu Alwee)

Tempat : Wisma Belia, Kota Tinggi
Tarikh : 21 & 22 April 2012
Penganjur : Akademi Alam Satria

Am

Seperti perancangan awal sejak bulan Mac, kami dihubungi oleh pihak penganjur untuk mengadakan bengkel berkaitan di Johor Bahru. Namun pada saat-saat akhir, lokasi bertukar jauh, di Kota Tinggi, Johor. Begitu juga dengan jumlah penyertaan 25 orang, menyusut hingga ke 10 orang pada hari yang berlangsung. Meskipun begitu, ia tidak mematahkan semangat kami untuk berkongsi serba-sedikit permainan aliran utara ini. Jauh tidak menjadi halangan dengan izin Allah. Yang penting misi untuk mengembangkan permainan gendang ini.

20 April (Jumaat)

Sedari awal, saya sudah merancang perjalanan untuk ke sana. Memandangkan Johor Bahru bukanlah tempat yang saya biasa, maka ia harus dirancang dengan teliti. Tup, tup, ia bertukar tempat ke Kota Tinggi (KT) dan peserta menjadi kurang. Mula-mula saya mahu seorang sahaja ke KT, tapi fikir-fikir perjalanan agak jauh dan kereta Insya-Allah muat lagi penumpang, saya mengajak Ijam dari Lela Rentaka untuk menemani saya, sambil dapat mendedahkan pada dunia perbengkelan.

Lapar!

Jam 3 kami bergerak ke Muar, untuk mengambil Sdr Zahir dan Taufik (Kump Lawi Merah) untuk membantu saya di sana kelak. Jadi, alhamdulillah kami berempat dapat ke sana. Tambahan pula mereka lebih cekap jalan di Johor berbanding saya dan Ijam. Jam 6 pula, kami terus ke Kota Tinggi, namun sempat juga di Hentian Machap untuk menikmati hidangan malam.

Hanya jam lebih kurang 10.30 malam, barulah kami sampai di bandar KT. Saya anggar-anggar, perjalanan dari KL ke KT mengambil masa 6 jam, peh! Sama macam dari KL ke Kedah. Setibanya kami di sana, disambut oleh Cikgu Alwee Shamrin dari Akademi Alam Satria (AAS). Sempat jugalah kami mengeteh dan berborak panjang sebelum kepala menyinggah ke bantal.

21 April


Tempat kami berbengkel

Pagi-pagi lami sudah bersiap, memandangkan jadual kami bermula 8 pagi. Selesai sarapan lebih kurang, kami ke Wisma Belia dengan Cikgu Alwee. Wajah-wajah peserta yang terdiri dari adik-adik yang masih bersekolah, bercahaya-cahaya, tahulah saya bahawa harapan yang tinggi terpancar dari wajah mereka. Dan dapatlah juga saya berkenalan dengan En Man (Silat Lintau) yang membawa anak-anak buahnya untuk mempelajari, disamping beliau sendiri menjadi peserta.

Kelas serunai

Kelas gendang

Setelah memberi serba-sedikit penerangan ringkas, saya terus masuk ke topik utama - bergendang. Bengkel seperti ini tidak sesuai untuk bercakap panjang, praktikal adalah lebih utama. Terus sahaja mereka dibahagikan kepada dua kumpulan; kumpulan gendang dan kumpulan serunai untuk menjalani latihan teori dan praktikal. Kumpulan gendang dipandu oleh Sdr Taufik dan Ijam; manakala kumpulan serunai dibimbing oleh Sdr Zahir dan saya. Pun begitu, saya memantau dua-duanya sekaligus.

Alhamdulillah menjelang tengahari, para peserta dapatlah juga memahami asas permainan gendang dan serunai; meski agak keletihan mereka tetap bersemangat. Selepas solat Zohor dan makan tengahari, sesi kedua diteruskan. Pelbagai ragam dan gaya dapat dilihat, namun peserta tidak berputus asa dan meneruskan latihan. Perkara seumpama ini sudah menjadi asam garam dalam bengkel gendang silat. Ada yang sakit tangan, sakit leher dan sebagainya, namun semangat mengatasi segala. Peserta terus berlatih dengan gigih.

Malam

Pada sebelah malam juga latihan diteruskan. Memandangkan masa hanya sehari setengah, amat singkat. Kami cuba seberapa yang terbaik untuk mengongsikan maklumat dan ilmu bergendang gaya aliran utara dengan sebaik mungkin. Sahabat-sahabat saya, Sdr Zahir, Taufik dan Ijam mempelajari suatu perkara baru dalam mengendalikan bengkel, semangat mereka saya puji kerana tidak mengenal penat dan lelah bagi membimbing para peserta.

Sesi bengkel pada sebelah malam

Tapi apabila sesi sebelah malam, keletihan terlukis di wajah para peserta. Saya maklum perkara tersebut dan menghabiskan sesi malam pada jam 10 bagi memberikan laluan mereka untuk berehat; kerana esok ada satu sesi lagi yang perlu disudahkan. Sambil-sambil itu, saya menanti kedatangan tetamu dari Warisan Tebrau (Pasir Gudang) dan Langgam Mustika (Temasik).

Warisan Tebrau tiba dahulu lebih awal, kurang lebih jam 10.30/11.00. Kami berbual terlebih dahulu. Bilik kami sederhana besar menjadi ceria dan gempita dengan rakan-rakan yang hadir. Selang tak berapa lama, kami menerima kunjungan Langgam Mustika dalam jam 1 pagi kalau tidak silap saya.

Sesi dengan Warisan Tebrau ditangguhkan untuk sementara waktu, dan sesi bersama Langgam Mustika diteruskan hingga lebih kurang jam 2.30 pagi. Selesai berbual dan bertanya khabar, kami bersama-sama. Tapi sayang, saya terlupa benar untuk mengambil gambar ramai-ramai. Mungkin keletihan yang bergayut membuatkan saya lupa tentang semua itu. Alhamdulillah, moga dapat bersua kembali pada bengkel yang akan datang sekiranya dianjurkan lagi, Insya-Allah.

Kemudian kami berbual lagi, jam 4.30 pagi baru tidur. Huhuhu ...

22 April (Ahad)

Pagi

Memandangkan hari ini adalah hari terakhir, maka latihan diteruskan mengikut kumpulan masing-masing. Saya mendapat respon dari sahabat-sahabat saya yang menyatakan bahawa mereka boleh dapat bermain dengan baik walaupun asas. Untuk mula lagu, tutup lagu mereka faham dan dapat melakukannya. Syukurlah, saya bersyukur sangat.

Petang

Bengkel kali ini ditutup pada jam lebih kurang 2.30 petang. Kami sudah bersiap-siap dengan baju dan sebagainya untuk terus pulang. Selesai majlis, kami bergambar serba-sedikit dan bersalam-salaman, tanda kemesraan terjalin. Moga ukhuwah yang sudah tersemai, hidup subur dengan baik sampaila pada bila-bila masa. Jam lebih kurang, 6 petang, kami tiba di Muar untuk menghantar Sdr Taufik dan Zahir. Perjalan diteruskan pula ke Melaka.


p/s : Terima kasih kepada Cikgu Alwee Shamrin, Cikgu Sulaiman dari Akademi Alam Satria, En Man (Silat Lintau), rakan-rakan Warisan Tebrau dan Langgam Mustika yang menziarahi kami. Jazakallahu khoiron kathiro, moga bersua lagi dengan izin Allah. Amin.

Perjalanan pulang ke Muar

Laporan di blog Lela Rentaka - klik sini
Laporan di blog Lawi Merah - klik sini

Read more...

Tuesday, July 5, 2011

Bersama Kump Gendang Warisan Tebrau (2-3 Julai 2011)

Bersama para pelatih

Syukur alhamdulillah, bengkel gendang silat yang diadakan pada 2-3 Julai 2011 yang lepas selamat dan dipermudahkan Allah perjalanannya. Meski sebelum itu sudah ada penangguhan tarikh, namun sudah tertulis, tarikh yang tertera kami bertemu dengan pelatih-pelatih baru dari kumpulan gendang yang berasal dari Pasir Gudang, Johor. Awal-awal lagi dimaklumkan bahawa mereka akan beransur dari sana jam 12/12.30 malam dan terus ke Stadium Bolasepak Cheras.

2 Julai (Sabtu)

Awal pagi, saya sudah menerima mesej bahawa mereka sudah sampai. Bergegas terus ke sana dan mendapat mereka berada di kolam renang. Saya katakan bahawa kita berlatih di stadium bola. Dan tidak bertangguh lagi, terus sahaja peralatan dikeluarkan dan terus bergendang. Sementara menantikan kehadiran Cikgu Ramli, Sdr Azam dan Sharul, beberapa pukulan asas ditunjukkan.

Suasana latihan

Kemudian, apabila mereka sampai, saya dan Cikgu melatih pemain serunai. Sdr Sharul dan Azam melatih pemain gendang. Pada peringkat ini, kami hanya menyampaikan pelajaran 'Lagu Berjalan' untuk asas dan pengenalan. Selang beberapa jam, alhamdulillah pelatih2 dapat mengikuti pelajaran yang disampaikan. Sementara pemain serunai sudah mula meniup asas lagu Aladom. Tinggal saya menambaikkan mana-mana yang patut sahaja.

Tunjuk ajarku, sifu ...

Tok Kalau ...

Para pelatih pula dengan tidak mengenal jemu dan kesakitan, terus bergendang sehinggalah Zohor menjelma. Kami berhenti sebentar dan menunaikan solat Zohor di Masjid Az-Zubair Cheras dan menikmati makan tengahari. Namun masa yang singkat tidak membenarkan pelatih2 berehat lama, terus sahaja kembali ke tempat latihan dan berlatih sehingga jam 6 petang lebih kurang. Kami pun beransur untuk berehat.

3hb Julai (Ahad)

Kami bermula lewat sedikit, namun latihan tetap diteruskan. Semangat yang ditunjukan oleh para pelatih membuatkan kami turut teruja. Hari ini, latihan gendang dan serunai diadakan. Lagu yang dilatih oleh pemain serunai, digabungkan untuk melihat keserasian dan beberapa kesilapan diperbetulkan. Namun secara keseluruhannya, alhamdulillah. Dapatlah juga sedikit sebanyak ilmu yang disampaikan.


Latihan yang dijalankan dihentikan tepat jam 6. Oleh kerana ahli kump gendang Warisan Tebrau akan beransur, maka kami berehat. Sesudah menunaikan solat Maghrib, mereka beransur dengan seribu harapan dan kenangan. Kami di sini mendoakan agar rakan2 terus berlatih dan menjadi kumpulan yang berjaya di sana nanti, amin.

p/s : Terima kasih kepada ahli KGGK yang bersama - Cikgu Ramli, Sdr Azam dan Sharul.

Read more...

Tuesday, May 31, 2011

Irama Serunai Kan Bergema Lagi - Amin!

Gambar peserta bengkel

Seharian menjadi jemputan AVA di bengkel asas serunai, agak meletihkan tetapi kepuasan tidak dapat diperkatakan lagi apabila melihat peserta dapat setidak-tidaknya menyambung nafas untuk bermain serunai. Sesi dimulakan dengan teori dan pengenalan pada serunai. Memandangkan bengkel seperti ini memerlukan praktikal hand to hand, maka ia tidak lama. Terus saja ke sesi cara untuk mengambil nafas agar sentiasa bersambung. Syukurlah, dapat juga peserta melaksanakan teori yang diberikan. Teknik yang mudah cuba diberikan melalui pengalaman bengkel yang lepas. Lebih kurang setengah jam, barulah semua peserta dapat mengaplikasikan teori dan teknik yang diberikan.

Masuk pula ke sesi ke-2, penerangan tentang alat 'serunai' diberikan. Saya cuba seboleh mungkin untuk memperkenalkan secara rinci agar peserta dapat mengetahuinya. Mudah-mudahan ia dapat memberikan satu pengetahuan baru tentang serunai yang selama ini disebut-sebut. Kata orang, 'tak kenal, maka tak cinta.' Kemudian teori dan praktikal meniup 'mali' tanpa serunai diadakan. Memandangkan ia adalah suatu perkara yang baru, maka penerangan diberikan agar dapat menjaga ia sebaik mungkin. Risau juga saya, kerana mali serunai kawan2 KGGK. Kalau rosak ke patah ke ... aduhai. Alhamdulillah tiada yang rosak sehingga ke akhir bengkel.Seronok, akhirnya para peserta dapat meniup mali tanpa putus angin, meskipun kesukaran tergaris di wajah peserta, namun dapat juga akhirnya para peserta meniup.

Melihatkan 13 orang peserta dari pelbagai aliran persilatan, dari pelbagai negeri, saya sangat teruja dan berharap agar ia tidak terputus hanya di bengkel sahaja. Yang datang dari Johor, dari Melaka, Selangor - saya respek sungguh. Memang begitulah caranya untuk mendapat ilmu, kata orang - hendak seribu daya.

Seketika berehat, teman-teman dari KGGK tiba. Alhamdulillah, saya beterima kasih kepada semua ahli KGGK yang hadir pada hari tersebut untuk memberi sokongan kepada saya dan para peserta. KGGK membuat persembahan, walaupun menurut AVA, akan bermain dengan peserta, namun tidak ada lagi yang mampu untuk meniup lagu. Dek kerana itu, saya menukar program dengan menjemput ahli KGGK yang lain membuat persembahan.


Kemudian sesi ketiga diambil oleh Cikgu Ramli. Kali ini para peserta diberi peluang untuk meniup peralatan serunai dengan lengkap. Cikgu terus saja menerangkan kaedah dan teknik yang 'ringan' dan mudah agar para peserta dapat mengikuti. Pelbagai bunyi yang dihasilkan, meski begitu, peserta tetap tabah untuk meniup. Sampai kembung2 pipi masing-masing menahan nafas dan cuba menyambungnya semula. Gelihati juga melihat ragam dalam bengkel ini.

Hingga jam 5, barulah bengkel berakhir. Harapan saya moga2 peserta dapat menjalani latihan dengan sedikit ilmu yang dicurahkan. Ada juga katanya peserta yang sudah mempunyai set gendang silat, wah ... itu sudah bagus. Mudah-mudahan para peserta tidak pulang dengan tangan kosong dan dapat mempraktikan ilmu yang diperolehi.

Kesimpulannya - bengkel ini menjadi bukti bahawa segelintir kecil dari kita masih sayangkan seni budaya bergendang. Alhamdulillah.

laporan lain di AVA -sila klik sini.

Read more...

Thursday, March 31, 2011

Sirih Pulang Ke Gagang - Muar, Johor

Kursus Singkat Gendang Silat (Irama Lagu Berjalan) 18-19 Mac 2011

Gambar kenang-kenangan dengan peserta kursus

Bagai sirih pulang ke gagang, saya menerima undangan dari beberapa ahli Persatuan Seni Silat Sendeng Daerah Muar untuk mengadakan kursus singkat ini. Sebelum apa-apa, saya ucapkan tahniah kepada mereka atas semangat dan dedikasi yang ditunjukan sepanjang kursus berlangsung. Memandangkan mereka semua memang sudah boleh bergendang dan meniup serunai, jadi tugas yang diberikan menjadi sedikit mudah untuk ditangani.

Al-maklumlah, balik ke rumah keluarga saya di sana, perbincangan untuk ke sana sudah berlangsung lebih kurang dua bulan sebelum kalau tidak silap saya. Zahir, yang menjadi pengantara bersetuju dalam perbincangan atas tarikh tersebut. Saya memang seronoklah, nak balik kampung sendiri. Dan alhamdulillah, saya sekeluarga balik pada hari Khamis malam, 12 Mac. Dapatlah saya meluangkan masa dengan ibu bapa dan adik beradik yang sudah lama tidak ketemu.

19 Mac (Jumaat malam)

Majlis bermula lebih kurang jam 9 selepas Isyak. Saya dapat rasakan aura semangat apabila tiba di Parit Nipah. Sdr Taufik, sebagai tuan rumah menyambut kedatangan saya. Kami bersembang terlebih dahulu untuk mengetahui latarbelakang peserta kursus yang hadir. Dan tidak lama kemudian Huzaifah dan rakan-rakannya (Kump Gendang Arya Putra) dari Melaka sampai untuk menyertai majlis pada malam tersebut. sifu Aziz (Persatuan Seni Silat Gerak Tepat) yang lebih mesra dengan panggilan abang ajis juga turut hadir.

Kump Gendang Arya Putra, Bukit Bahru, Melaka

Malam itu saya dapat saksikan bahawa apa yang selama ini disebut-sebut oleh barisan guru yang mengatakan bahawa permainan gendang itu insyallah dapat menyatukan dan 'mencari kawan'. Saya bersyukur sangat, alhamdulillah. Gendang hanyalah menjadi asbab, semuanya sudah tertulis bahawa pertemuan dua perguruan atas nama 'gendang silat'. Tidak bertangguh, majlis diserikan dengan permainan kedua-dua belah pihak.

Tidak lama kemudian, Kump Gendang Arya Putra beransur kerana esoknya mereka ada tugasan lain untuk dihadap. Maka tinggalah kami, majlis bergendang diteruskan. Asas-asas 'lagu berjalan' diberikan sebagai pemula ilmu. Beberapa buah dan selak yang ringkas ditunjukan. Alhamdulillah, memang mereka yang asas ini agak mudah memahami dan menerima pelajaran baru. Hampir jam 12 baru kami berhenti.

19 Mac (sabtu)

Majlis diteruskan, seawal pagi saya dan Zahir tiba di sana. Kali ini latih tubi dijalankan. Pemain gendang diasak dengan hebat, latihan dijalankan tanpa rehat hinggalah saya merasa puashati dengan permainan yang ditunjukan. Latihan untuk serunai juga dijalankan dengan serentak. Alhamdulillah, sdr Zahir dan Lokman dapat bermain serunai dengan baik. Semoga latihan serunai dapat dilakukan secara berterusan.

latihan ...

Peserta-peserta yang menjalani latihan dapat saya rasakan kesungguhannya apabila pelajaran yang ditunjukkan dapat dipraktikan sebaik mungkin. Saya sangat berpuashati dengan kesungguhan yang ditunjukan. Sesi diteruskan tanpa henti, walaupun saya maklum pemain gendang mula merasa resah kerana tangan kelihatan merah, namun atas nama semangat, latihan diteruskan.

Menyinggah di masjid Parit Jawa yang
sudah jauh berubah


Sehinggalah pada malam hari, latihan diteruskan. Dengan kehadiran jurulatih mereka, abang mi, saya merasa lega kerana sokongan yang diberikan amatlah memberangsangkan. Kemudian hadir pula seorang lagi jurulatih. Akhirnya lebuh kurang jam 11.45 malam, sesi latihan ditamatkan dengan memberikan kata-kata nasihat. Segala apa yang dicurahkan oleh barisan guru, disampaikan pula kepada mereka. Akhirnya, kami bergambar beramai-ramai dan bersembang panjang sampai larut malam. Tapi kali ini saya balik ke rumah awal sedikit, memandangkan esok pandu ke KL.

Semoga wadah permainan gendang silat dapat memberikan manfaat kepada semua, termasuklah peserta dan mana-mana penggendang silat yang ada.

p/s : Terima kasih kepada Zahir yang menjadi orang kuat untuk mengadakan majlis ini, Taufik - tuan rumah yang menyediakan makan minum, terbaik! Rakan-rakan peserta - teruskan latihan kamu semua sampai berjaya.

Laporan lain di blog Sdr Zahir - klik sini.

Read more...

Saturday, March 5, 2011

Lambaian Sukma Di Kalumpang Resort : 1 Mac 2011


Lebih kurang dua minggu saya dimaklumkan oleh sdr Kamarul Azhar dari Ahadancoach bahawa beliau berminat untuk membawa kelainan dalam kursus motivasi yang dikendalikan oleh beliau, anjuran Kementerian Pengajian Tinggi. Berderau darah saya apabila mendengarkan 40 orang peserta, sekaligus mencabar minda untuk saya selesaikan. Tidak bertangguh, rakan2 dihubungi. Kami berbincang bagaimana untuk memenuhi harapan Ahadancoach. Dalam erti kata yang lain, KGGK juga akan menempuh pengalaman baru dan ini bagus untuk penambahnilaian dalam profil kami.

1 Mac - Perjalanan

Seawal jam 4 petang kami sudah bergerak ke sana bagi mengelakan tersangkut di sesak lalu lintas KL. Meskipun slot gendang silat bermula jam 8.30 malam, namun destinasi yang ditujui agak asing. Kami harus cepat ke sana, tambahan pula persediaan awal harus dilakukan - melihat tempat, berbincang dengan Ahadancoach dan sebagainya. Lebih kurang sejam lebih kami tiba di sana. Bau rumput segar mengapung. Bunyian unggas dan nyanyian alam menyambut kedatangan kami. Cepat-cepat saya menggesa agar Sharul menurunkan tingkap kereta, kerana ingin berinteraksi dengan alam.

suasana di Kalumpang Resort

Kalumpang Resort terletak sedikit ke dalam, lebih kurang 15-20 minit untuk sampai kerana jalannya semakin kecil dan hanya boleh dilalui oleh sebiji kereta sahaja akhirnya. Namun bunyi sungai mungkin akan menghilangkan segala kegundahan dan resah. Ah ... jalan sempit tak ada hal!

"Salam bro. Kami dah sampai, ada kat parkir."

"Ok, ok," jawab sdr Kamarul, otai Ahadancoach.

Cikgu Ramli

Kami pun bersalam-salaman dan terus berbincang, sementara Sharul dan Soufikh sudah terjun ke dalam sungai. Cikgu Ramli pula berjalan-jalan di sekitaran sambil menikmati keindahan alam semulajadi.

Malam - Jam 8.30

Sebelum kami dipanggil masuk, sdr Kamarul sudah menayangkan klip video KGGK yang tersiar di Majalah 3 baru-baru ini. Selesai saja, kami masuk dan terus memperkenalkan diri lalu bermain dua lagu sebagai pembukaan.

Sesi penerangan dan latihan dalam kumpulan

Seterusnya majlis dikendalikan oleh Sharul, kumpulan dibahagikan kepada empat. Penerangan ringkas diberikan; bagaimana teori permainan dan praktikalnya nanti kelak. Sesudah itu, kami masing-masing mengendalikan kumpulan yang sudah dibahagikan. Bunyi serunai dan paluan gendang mula kedengaran di sana-sini. Empat kumpulan berpecah dan latihan dijalankan.

persembahan @ pertandingan

Walaupun masa yang diberikan oleh Ahadancoach hanyalah 2 jam sahaja, tapi alhamdulillah. Kerjasama dan kecekapan pelatih kursus menjadikan ia tampak seperti mudah, walaupun sebenarnya agak sukar bagi mereka yang tiada langsung asas dalam mana-mana pukulan muzik tradisi Melayu. Gelak tawa dan usik mengusik di antara peserta terjadi, saya hanya tumpang senyum melihatkan gelagat mereka yang ceria itu.

nama kumpulan dan sesi persembahan @ pertandingan

Sampai waktu, jam 10.15 malam, 4 kumpulan yang mempunyai nama masing-masing mempersembahkan paluan yang dipelajari. Satu demi satu memukul dan suasana menjadi gamat dengan tepuk sorak dan sorai kumpulan masing-masing. Setiap kumpulan mempunyai cara dan corak persembahan yang tersendiri. Saya dan rakan KGGK senyum sahaja melihat telatah mereka yang adakalanya mencuit hati.

kenangan bersama beberapa peserta kursus

Selesai saja persembahan, sdr Kamarul selaku camcom mengulas apakah maksud dan tujuan permainan gendang itu diselitkan dalam kursus ini. Namun ia tidak mengambil masa yang lama kerana selepas sesi itu, peserta mempunyai aktiviti lain untuk diteruskan. Kami dijemput oleh sdr Kamarul untuk menikmati hidangan ringan. Selesai semua, kami bergerak semula, perlahan-lahan menuju ke KL.

p/s : Terima kasih kepada sdr Kamarul Azhar (Ahadancoach) yang menjemput kami, KPT yang membenarkan slot ini, para peserta, dan anggota KGGK yang memberi kerjasama yang baik. Semoga akan ada lagi sesi seperti ini. Selain dari mencara salah satu acara mereka, secara tidak langsung mempromosi semula permainan gendang silat. Alhamdulillah.

Laporan di blog Ahadancoach - di sini

Read more...

Wednesday, February 23, 2011

Semalam Di Melaka - Bengkel Gendang Silat Aliran Utara Siri Ke-2

Para peserta bengkel

Akhirnya jam 4 pagi kami tiba ke destinasi. Sesat meraban kami entah ke mana, akhirnya talian telefon menjadi penghubung kami dengan sdr Abu Huzaifah, Biro Kebudayaan GPMS Cawangan Melaka yang menjemput kami ke sana. Entah kenapa kali ini kami boleh cuba lalu jalan yang akhirnya menurut sdr Huzaifah adalah jalan yang dilalui oleh kebanyakan bas ekspres sahaja. Melilau kami dibuatnya, akhirnya tersadai di hadapan UTEM (Universiti Teknikal Melaka) di Kg Bandar kata Sdr Huzaifah.

belakang kami, UTEM

Keletihan yang amat, namun saya dan Cikgu Ramli tidak dapat melelapkan mata hinggalah larut pagi. Namun syukur alhamdulillah, pieganjur menyediakan tempat penginapan yang amat selesa untuk kami. Katanya tempat itu mahu dibuat homestay pada masa akan datang. Ketika bergendang di gelanggan Gerak Tepat, ayah sdr Huzaifah sempat bergurau dengan kami, "Awak orang ambil daralah ya." Kami tergelak besar.

Suasana di Bukit Baru, kawasan rumah penganjur, memang sedap dan indah pada pandangan mata kami. Entah mengapa saya sedikit nostalgik apabila berada di suasana begitu. Agaknya mungkin terlalu lama tinggal di KL menyebabkan saya jadi begitu. Namun apa-apa pun, jam 8.30 keesokan harinya kami sudah siap untuk ke bengkel.

19.2.2011 - Hari Pertama

Hari pertama bengkel adalah suatu perkara yang dinanti-nanti. Mahu melihat wajah-wajah mereka yang datang untuk berbengkel. Hati bagai digaru-garu mahu melihat aksi dan gaya mereka nanti apabila menepuk gendang dan belajar mengambil nafas untuk meniup serunai. Saya dan kawan-kawan memang teruja, tambahan pula ini bengkel yang ke-2, jadi kami mahu lihat perkembangan peserta dari bengkel pertama. Tapi sayang sekali kerana tidak ramai peserta dari bengkel pertama yang menyertai. Hanya beberapa orang sahaja, selain itu, adalah peserta baru. Namun tugas perlu dilaksanakan untuk mengembangkan irama ini. Baru atau lama, tidak menjadi persoalan.

Taklimat ringkas pembukaan bengkel

Namun perkembangan yang sangat menggembirakan kami adalah munculnya peniup serunai baru yang sudah mampu menyambung nafas dan meniup beberapa lagu 'berjalan.' Tapi ada satu perkara yang mengejutkan kami adalah apabila ada penyertaan dari bangsa lain, iaitu seoran Cina berketurunan Baba Melaka, yang menghadiri bengkel dan mempunyai minat yang begitu mendalam pada seni tradisi orang Melayu. Namun kalau dibaca sejarah Baba Nyonya Melaka memang tidak menghairankalah apabila keturunan mereka sendiri memegang beberapa adat Melayu dalam kehidupan mereka. Lebih mengujakan lagi, apabila beliau adalah seorang jurulatih Yoga yang mempunyai pusat Yoga nya yang sendiri.

para peserta sedang tekun berlatih

Baik, berbalik pada kisah berbengkel ini, saya dapati lebih kurang 14 orang yang menghadiri, alhamdulillah, ini merupakan perkembangan yang baik untuk permulaan. Seperti bengkel yang lalu, ia dibahagikan kepada dua kumpulan, gendang dan serunai. Cikgu Ramli mengambil kelas pelatih baru yang bermain serunai. Memandangkan yang mahu belajar serunai adalah terdiri dari otai-otai yang sebaya Cikgu, saya pula melatih sdr Huzaifah untuk menajamkan lagi lagu serunai yang sudah mampu ditiupnya. Bahagian gendang pula dikendalikan oleh sdr Sharul dan Azam. Kelas berpecah pada tiga seksyen.

Pak Guru Aziz - Guru Utama Seni Silat Gerak Tepat, Melaka

latihan ...

Syukur, alhamdulillah. Perkembangan para pelatih kali ini amat cepat. Mereka mudah menerima dan memahami pelajaran yang disampaikan. Sehingga petang, mereka sudah mampu menguasai beberapa pukulan dan selak gendang ibu lagu berjalan. Dalam hati saya berkata, kalau mereka terus rajin berlatih, insyallah akan dapat bermain tidak lama lagi. Dan alhamdulillah, mereka sudah pun mendapat jemputan untuk bermain di kenduri walaupun masih agak baru di bawah nama Kump Gendang Arya Putra. Semoga Allah memberi mudah dan kefahaman pada pelajaran yang akan datang serta mendapat sambutan di Melaka.

Kali ini juga menyaksikan otai-otai dari perguruan Seni Silat Gerak Tepat dan Anggerik Jingga. Sementara wakil Kuntau Harimau juga ada, walaupun gurunya tidak dapat turun kali ini. Saya kita penyertaan kali ini ramai terdiri daripada rakan-rakan silat, termasuklah wakil dari Cekak Malaysia dan Gayung Fatani. Alangkah indahnya gendang silat dapat menemu dan menyatukan mereka di bawah payung dan atas nama pergendangan silat tanpa mengira aliran. Syukurlah. Salah satu matlamat kami untuk menyatukan orang silat di bawah bumbung gendang silat berhasil dengan izin Allah.

Dari pagi sampai ke petang mereka berlatih tanpa henti dan dilanjutkan sehingga 6.30 petang kerana sesi malam dibatalkan.

19.2.2011 - Malam

pondok khas dibina untuk bergendang

Cikgu Ramli, di belakang - barisan ibu bapa yang menunggu anak-anaknya berlatih silat

Sesi malam pula kali ini kami diminta bergendang oleh sdr Huzaifah di gelanggang Gerak Tepat, di kawasan sekitar rumahnya. Sesudah dibawa makan malam, kami berlabuh di gelanggang sana. Agak menggembirakan apabila saya dapat melihat wajah-wajah ibu bapa yang menunggu anak masing-masing di gelanggang silat. Ini suatu pemandangan yang jarang kedapatan di mana-mana gelanggang silat. Jarang benar kita dapat menyaksikan ibu bapa menunggu anak-anak mereka di gelanggang silat. Tapi malam tersebut, kami dapat merasakan suasana itu kembali.

Adik-adik berlatih silat di gelanggang Gerak Tepat

Dengan bilangan anak-anak yang bersilat, jurulatih yang mengajar, saya kira ini suatu perkembangan yang baik, sangat sangat baik. Harapnya ia dapat berterusan sampai bila-bila. Dan kami pun 'menyibuklah' di situ, memukul barang tidak selagu dua. Walaupun begitu sampai jam 11.30 juga kami bergendang, disertai juga oleh sdr Huzaifah. Saya kata kepada beliau, "Ini kira berlatih."

Namun keletihan tidak mengizinkan kami bergendang lama-lama, lagipun masa di situ hanya hingga jam 12 sahaja, bunyian gendang dihentikan. Itu menurut sdr Huzaifah apabila mereka berlatih di situ, demi menghormati jiran-jiran di situ. Tidak sempat apa, lepas solat Isya', letak kepala terus lena sampai ke pagi.

20.2.2011 - Hari Kedua

Hari kedua sedikit santai, dan lebih dipenuhi dengan praktikal pelajaran pada hari pertama. Sesi berlatih gendang bersama dijalankan. Syukurlah pelajaran hari pertama dapat oleh perserta, jadi mudah kisahnya. Kami terus berlatih sampai ke petang. Sekali-sekala, kami rehat dan bersembang di luar bilik bengkel. Cara ini dilihat dapat merapatkan lagi ukhuwah dengan peserta. Sedikit sebanyak dapat juga mendengar pengalaman peserta yang bukan calang-calang orang.

Sebelah petang, selepas makan kami teruskan latihan sementara menanti majlis penutup yang dilakukan oleh sdr Marwan, presiden GPMS cawangan Melaka. Setibanya beliau, para peserta membuat persembahan khas untuk memperlihatkan skil yang sudah dipelajari. Alhamdulillah beberapa lagu dapat dimainkan dengan sempurna.

pemandangan sekitar Umbai, kawasan gerai makan makanan laut

Selepas dari majlis perasmian penutupan bengkel itu, kami ramai-ramai menikmati makanan laut di Umbai. Memang lazat tak terkata. Phewww .... malatop!!!

p/s : Terima kasih dan tahniah diucapkan kepada GPMS Cawangan Melaka yang menjemput kami, khususnya sdr abu Huzaifah, keluarga Abu Huzaifah, KGGK, rakan-rakan peserta dan mereka yang terus menyokong muzik gendang silat. Semoga gendang silat akan terus berkembang, amin, amin, amin.

Lagi kisah bengkel gendang silat di blog AVA.

Read more...

Thursday, December 16, 2010

Falsafah Gendang Silat

Bengkel gendang silat ini hanya merupakan slot di dalam Kursus Motivasi kelolaan Ahadancoach di Ulu Tiram, JB dahulu. Kami dijemput oleh mereka untuk memberikan penerangan ringkas tentang gendang silat dan sekaligus mengadakan satu aktiviti permainan bersama perserta yang terdiri daripada murid-murid sekolah di sekitar Johor Bahru.


Teringat apabila sekali lagi Ahadancoach meminta AVA dengan kerjasama KGGK membuat kertas konsep berkenaan kaitan gendang silat di dalam kursus motivasi yang bakal diusahakan kelak, insya-allah; maka saya teringat gambar-gambar ini untuk diabadikan dalam blog KGGK. Ini sebagai suatu tandaan bahawa seni muzik gendang silat ini tidaklah hanya tertakluk dalam permainannya sahaja, malah dapat diketengahkan sebagai suatu yang bermanfaat dalam perihal yang lain jika dihayati. Intipati dalam permainan gendang silat diambil untuk dijadikan kertas konsep yang sudah dihantar ke Ahadancoach.

Sekiranya ada rezeki, ke JB sekali lagi insya-allah. Kami mengucapkan terima kasih kepada Ahadancoach yang memberi kepercayaan kepada kami. Terima kasih abang Bro ...

Read more...

Wednesday, November 17, 2010

Melaka - Semangatmu Kuseru! Bhg 2

7 Nov - Hari Kedua & Terakhir


Hari Kedua menyaksikan semangat perserta lebih membara. Tidak kira sama ada pemain gendang atau serunai mempamerkan semangat yang jitu dalam menekuni pelajaran yang ditunjuk ajar oleh anggota KGGK. Sebagai tenaga pembimbing, perkembangan ini merupakan satu petanda bahawa gendang silat aliran utara ini insya-Allah akan bertapak di bumi Melaka. Sebenarnya tidak kira aliran mana sekalipun, yang penting adalah kemahuan untuk mempelajari ilmu bergendang. Cuma lebihnya aliran utara mempunyai alat serunai yang sedikit berbeza dengan mana-mana aliran gendang silat (tapi sama dengan aliran pantai timur, juga mempunya serunai) yang mana di sebelah kawasan selatan tidak ada permainan jenis ini.

Sdr Azam melatih perserta

Sdr Shahrul melatih perserta

Cuma yang diketahui oleh saya, hanya aliran Silat Sendeng Malaysia sahaja yang ada. Tapi menurut pertemuan saya dengan aruah Pak Lias (duduk di Cohong, Melaka), asalnya tiada, namun bapanya dahulu (orang Kelantan) berkawan rapat dengan allahyarham Cikgu Hamid (mantan Guru Utama PSSSM). Jadi, beliau menjemput bapa Pak Lias untuk bermain serunai dengan PSSSM, sampailah ke zaman aruah Pak Lias, dia meneruskannya. Tapi kini, hanya tinggal beberapa kerat sahaja pemain serunai silat sendeng Malaysia. (nanti saya akan ceritakan kisah ini).

Jadi, arah perkembangan permainan gendang silat di kawasan selatan kebanyakanya kemirip-miripan dengan permainan gendang silat aliran Jawa. Memandangkan ramai di antara penduduk di sana berketurunan Jawa, maka permainan itu dibawa masuk sama. Itu satu perkara.

Perserta berlatih lagu Ayam Didik

Berbalik semula pada bengkel gendang silat ini, saya tanpa berlengah menunjukan cara untuk meniup lagu Ayam Didik kepada perserta yang belajar serunai. Alhamdulillah, dalam masa yang agak singkat, mereka berjaya memainkan irama itu walaupun ada yang terlupa sedikit. Perancangan saya adalah di akhir, mereka akan bermain dengan sama ada KGGK atau KGGK bermain dengan mereka. Maka saat-saat yang dinanti-nanti sudah tiba. Pemain serunai KGGK, saya dan Cikgu Ramli meniup dengan perserta yang bermain gendang silat dan pemain serunai (perserta0 bermain dengan penggendang KGGK. Alhamdulillah, meskipun ada kekurangan di sana-sini, namun perserta terus mencuba dan akhirnya berjaya menamatkan misi persembahan dari para perserta.

Bergambar salah seorang perserta bengkel

Syukur alhamdulilah. Kami berasa lega. Akhir, majlis ditutup dengan ucapan dan pesanan ringkas dari Cikgu Ramli, juga dari pemilik Dewan HR Center, Dato' Hashim yang memberikan kata semangat dan perangsang kepada peserta dan tetamu yang hadir.

KGGK juga mengucapkan ribuan terima kasih yang tidak terhingga kepada pihak GPMS, sdr Abu Huzaifah, Dato' Hashim, Pak Guru Aziz (Seni Gerak Tepat), Pak Zainal (Kuntau Harimau), Pak Hasan, calon perserta yang hadir dan semua yang menjayakan majlis tersebut. Kami menanti bilakah lagi sesi kedua akan diadakan untuk menghabiskan pelajaran asas lagu berjalan. Kepada perserta yang hadir, moga-moga bengkel ini menjadi perangsang agar terus mempelajari gendang silat dan menjadi warisan sampai bila-bila.

Bahagian depan Dewan HR Center - merupakan tempat stokis
makanan kesihanatan Hi Goat dan pelbagai barangan


Juga, khususnya kepada sdr Abu Huzaifah yang sedari mula menghubungi KGGK dan mengendalikan segala tempat, makan minum dan tempat tidur KGGK di sana. Disamping itu, membawa kami berkenalan dengan beberapa otai silat di Melaka. Sesungguhnya, kehadiran KGGK di bumi Melaka hanyalah untuk memeriahkan lagi agenda dunia persilatan di sana. Moga hendaknya berpanjangan silatul rahim yang sudah terjalin.

Bagaikan sirih pulang ke gagang. Melaka, semangatmu, kuseru!

Semoga berjumpa lagi bengkel yang akan datang.

Malam - sebelum balik ke KL

di rumah Khairul

Sebelum pulang ke KL, kami sempat singgah ke rumah salah seorang anggota KGGK yang tinggal di Batu Berendam. Beliau, Khairul juga hadir di sesi sebelah petang bengkel. Lama juga tidak berjumpa beliau, namun harapan kami jalinan persahabatan tidak putus sampai bila-bila hendaknya. Mudah-mudahan juga beliau dapat membantu sedikit sebanyak rakan-rakan gendang di sana untuk terus bergendang, amin, amin, amin.

Laporan Bahagian 1

Read more...
Related Posts with Thumbnails

  © Blogger templates ProBlogger Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP