Laporan Bergendang Di Batu Kurau, 23.11.08


Lama juga saya tidak saya dan rakan-rakan tidak bertemu dengan salah seorang guru serunai dan gendang kami. Banyak perkara yang diborakkan sehingga lepas maghrib.
Namun akhirnya, kami bergendang di rumahnya terlebih dahulu sebelum makan malam di rumah Pak Su Heri. Lama benar rasanya tidak bergendang dengan PakTeh Cha, hingga tertangguh-tangguh untuk pergi makan ke rumah pengantin lelaki.
Sebelum ke sana, Cikgu Deen (rakan bergendang yang saya kenali melalui inernet) tiba. Saya katakan padanya kenapa lambat sampai. Beliau tersenyum mengatakan baru sahaja pulang dari Terengganu.

Sesi Majlis Perkahwinan

Pagi jam 10, kami sudah tiba di rumah pengantin. Apabila ditanya pada Cikgu Deen, kenapa tidak bergendang sama, beliau hanya menjawab, "Kami tak kena." Saya mengangguk tapi masih berharapan mereka akan turut bermain sama.
Selang beberapa ketika, kami menerima panggilan dari rakan kami di Kedah yang sedang dalam perjalanan ke situ.
Sementara menunggu mereka sampai, kami bergendang terlebih dahulu. Akhirnya, barulah Pak Ndak, (Pak Mat) Pak Ngah, Shidee serta rakan-rakanya sampai. Hati saya merasa sedikit lega kerana ada rakan lain yang turut bergendang serta meniup serunai.

Setelah tempat bergendang dibentangkan, kami pun mula bergendang. Hanya 2, 3 lagu sahaja yang saya tiup dan kemudiannya corong serunai diserahkan kepada Shidee. Dapatlah juga saya berhenti rehat dalam keadaan cuaca panas yang menggigit. Setibanya pasanagan mempelai, kami mengiringi pula mereka dengan permainan Gendang Peribumi (Gendang Kelin), tapi sayang saya tidak dapat merakamkan gambar semasa mengiring sebab saya bermain serunai.

Dalam hati saya memang lega benar kerana ramai orang yang bergendang pada hari tersebut. Petang, kami kembali ke rumah Pak Teh Cha. Selepas makan malam, kami beransur semula ke KL. Terima kasih kepada Pak Ndak, Pak Ngah, Shidee dan rakan-rakan, juga kepada Cikgu Deen dan Zul yang menjemput kami bergendang di rumahnya. Kepada Chai Hassan dan Pak Su Heri, kami ucapkan tahniah dan terima kasih yang tidak terhingga kerana menjemput kami untuk bergendang di rumahnya. Noktah.
0 comments:
Post a Comment