Wednesday, February 29, 2012

Keindahan Gendang Silat @ Seni Foto


Foto ini terlalu indah, tidak dapat tidak maka saya harus paparkan di sini. 
Kredit kepada Kimi (KGSK) dan Sdr Azmi.

Read more...

Sunday, February 26, 2012

Salawat dan Salam

Ketika pertama kali dimaklumkan oleh tuan yang menjemput untuk majlis ini, saya terdiam seketika. Terfikir mahu main yang bagaimana?

Perjalanan

"Jangan risau, ini untuk mengiring budak-budak bersilat, sempena majlis Maulidur Rasul oleh surau di tempat kami. Jadi, ini aktiviti anak-anak di sekitar situ." 

Majlis : Maulidur Rasul 
Tujuan : Mengiringi persembahan silat
Anjuran : AJK Surau An-Nur, Taman Kasih, Kajang

Saya mengangguk. 

Bila tiba hari yang dijanjikan, 25hb Feb, 2012, kami hadir sedikit lambat. Namun majlis masih belum dimulakan. Lega rasanya. Setibanya di sana, kami disambut oleh Sdr Mazhar yang menjemput kami bergendang. Kami berbual-bual dan pekena nasi lemak dahulu. Kemudian baharulah kami bergendang. 

Selesai tugas kami, giliran adik-adik dari Ribat (tidak ingat dari mana), mendendangkan alunan selawat, burdah dan sebagainya. Untuk seketika, kami duduk di dalam surau dan mahu menikmati pula persembahan mereka yang jarang kami temui.

Tidak lama kemudian kami beransur. Cuma, yang menariknya majlis ini adalah kami ditempatkan di dalam sisi bangunan surau untuk bergendang. Apabila melihatkan ini, saya mula teringat cerita seorang rakan yang pernah melawat Pakistan. Cerita beliau, di masjid sana, alunan zikir, selawat, nasyid diiringi oleh paluan gendang (seakan rebana, atau mungkin gendang muka sebelah) tanpa dilarang oleh pihak masjid. 

Mungkin di sini belum mencapai tahap yang sebegitu. Wuallahua'lam.


 
  Grup Ribat
 
 

p/s : Terima kasih kepada pihak Surau An-Nur, Taman Kasih, Kajang, terutama sdr Mazhar yang menjemput kami untuk bermain.

Read more...

Saturday, February 18, 2012

Perkembangan Gendang Silat Utara di Sekolah-Sekolah KL

Di Kuala Lumpur sejarah gendang di peringkat sekolah bermula sedikit lambat. Berbanding dengan negeri-negeri di sebelah utara, terutama Kedah ia sudah lama dimasukkan sebagai salah satu ko-kurikulum. Pada tahun 2007, SMK Cheras, adalah salah sebuah yang terawal mengambil jurulatih luar sebagai tenaga pengajar. 

Sebelum dari itu, kami pernah bermain untuk mengiringi kontijen silat sekolah KL pada awal tahun 2000. Ketika itu juga muzik silat belum lagi dipertandingkan, hanya sebagai pasukan iringan semata (kalau tidak silap saya). Tidak lama kemudian, baharulah ia dipertandingkan. Dan ketika itulah bermula era permainan gendang silat di sekolah-sekolah.

SMK Cheras mengambil kami untuk melatih pasukan gendang silatnya, dan pertama kali mewakili kontijen silat sekolah KL. Saya yang mengajar ketika itu, tidaklah menaruh harapan yang terlalu tinggi, memandangkan ia masih baru dan tidak mempunyai pengalaman membuat persembahan atau masuk bertanding. Kemudian, selama dua tahun berturut-turut, ia mewakili untuk kontijen KL. Selepas dari itu, selama dua tahun, tiada sekolah pun di KL yang mengambil mana-mana jurulatih luar mengajar. 

Pada tahun 2009, kami dihubungi oleh pihak SMK Seksyen 2, Wangsa Maju untuk melatih pasukan sekolah mereka. Dengan ketiadaan peralatan dan serba-serbinya yang kurang, sdr Sharul melatih dan membawa pasukan gendang silat dalam senarai 10. Meskipun tidak menang, ia telah membuka mata pihak sekolah di KL. Kemudian tahun berikutnya, 2011, alhamdulillah pasukan gendang silat dari SMK Seksyen 2 sekali lagi mewakili pasukan iringan kontijen KL. Walaupun ada juga pasukan gendang silat yang berteraskan ensemble idifon, ternyata gendang silat yang berasaskan tiupan lebih menyerlah dan memikat juri pertandingan.

Ketika pertandingan silat sekolah-sekolah di Sarawak lah, yang membuka mata wakil sekolah-sekolah KL bahawa pasukan gendang silat dari KL punya peluang yang besar dan cerah untuk menyerlah. Pasukan gendang silat sekolah KL, walaupun mendapat tempat ke-4, namun jumlah perbezaan mata tidaklah begitu besar. Syukur alhamdulillah, selepas dari itu, gendang silat semakin mendapat tempat di hati para pendidik SMK.


Hinggalah Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan KL (JPWPKL) memanggil kami dan dipertanggungjawabkan untuk menjadi fasilitator bagi Kursus Gendang Silat peringkat WP KL pada 14 Nov - 18 Nov 2011, termpat di Haji Dorani resort (laporannya boleh di baca di sini). Kursus yang memakan masa hampir 5 hari tersebut berjaya menghasilkan para pelajar yang mampu bermain gendang lagu berjalan (irama selingan/lagu rakyat) dan gendang silat. Meskipun ia masih tahap asas, namun kebolehan dan bakat yang ada pada mereka amat menyerlah. Kami sebagai fasilitator berharap benar agar pihak JPWPKL berpuashati dengan gaya dan kaedah kami melatih para pelajar tersebut. Harapan kami, semoga akan ada lagi siri kursus yang sebegini untuk melatih para pelajar, bukan sekadar untuk pertandingan bahkan sebagai salah satu warisan peninggalan lama yang perlu ada penggantinya pada suatu masa kelak. 

2012 menjelang sudah, namun masih terlalu awal untuk menerka sama ada perkembangan gendang silat di peringkat sekolah akan berkesinambungan atau tidak. Kami sentiasa mendoakan yang terbaik, dan dengan adanya kursus selanjutnya sebagai penambahkemahiran  skil permainan yang sudah ada., dapatlah bakat pelajar-pelajar terus berkembang dan tidak terhenti di satu tahap sahaja.

Selain itu, kami juga berdoa agar perkembangan gendang silat di sekolah-sekolah, tidak kira di SMK atau SR akan terus mendapat sambutan. Bukan untuk kami, tetapi untuk kesinambungan warisan yang terus berjalan tanpa mengira siapa yang menjadi jurulatih dan apa juga kekangan serta permasalahan yang timbul.

Kami pula, sebagai fasilitator akan menambaik dan mengemaskinikan lagi kaedah mengajar yang bersesuaian dan memudahkan lagi kefahaman para pelajar yang mengikuti kelas atau kursus gendang silat, Insya-Allah. Dengan ada bantuan dari pihak guru, sekolah dan JPWKL, tentunya pengembangan gendang silat di sekolah2 KL akan menjadi lebih teratur dan mudah serta dapat ditanamkan lagi semangat kecintaan pada seni budaya bangsa Melayu selain untuk pertandingan. Amin.

p/s : Terima kasih kepada JPWPKL, pihak sekolah, guru dan pelajar yang terlibat sama dalam kursus atau pertandingan, mahupun dalam memastikan permainan ini akan berterusan sampai bila-bila.

- SMK sudah mengorak langkah, ayuh pendidik di SR, mari sama-sama kita hidupkan seni bergendang di sekolah tuan/puan!

Sila klik sini untuk menghubungi kami. 

Read more...

Thursday, February 16, 2012

KURSUS SEMBAH KERIS


KURSUS SEMBAH KERIS bersama Azlan Ghanie
Adat & Adab mengangkat KERIS
TARIKH: 4 MAC 12
BAYARAN : RM150 Seorang

Anjuran bersama MAJALAH SENI BELADIRI
makan/minum dan disediakan dan juga Sijil..

Pertanyaan lanjut hubungi pejabat SB : 03 4025 5379(meli/idzhar)

Read more...

Wednesday, February 15, 2012

Wayang Kulit Pak Dain


Wayang Kulit Pak Dain


'Lebih kurang 6 km dari bandar Kota Bharu, merentasi jambatan Sultan Yahya Putera, melalui jalan Palekbang ke Tumpat, di atas tapak seluas suku ekar di Kampong Morak, Palekbang, Kelantan. Galeri Wayang Kulit Melayu Tradisional Kelantan telah dibina. Pembiayaan pembinaannya ditanggung oleh Muhammad Dain bin Othman. Seorang pesara Kaki Tangan Awam Kerajaan Malaysia  dan Tok dalang Wayang Kulit Wayang Kulit Melayu Tradisional Kelantan, pada tahun 2008.'  (Sumber : klik sini)

Ini mungkin tentu sahaja memberikan inspirasi kepada kami untuk bertindak melakukan sesuatu. Sebelum ini sudah ada angan-angan, tapi apabila melihat usaha yang dilakukan oleh Pak Dain ini, kami lebih teruja dan bersemangat untuk menjalankan usaha pemeliharaan seni budaya dalam konteks yang lebih luas. Bagi kami, usaha beliau amat dipuji, biarlah apa pun yang diperkatakan orang (sudah barang tentu ada cakap-cakap kurang manis dan molek tentang usaha beliau ini di belakang-belakang), namun dia tetap melakukannya demi kesinambungan warisan wayang kulit Kelantan.

Paling dramatik adalah apabila segalanya ditanggung sendiri oleh beliau, tanpa mengharap bantuan mana-mana pihak. Ini sesuatu yang mulia, bahkan kami akan berbincang dengan teman-teman yang mahu melakukan usaha-usaha ke arah pemuliharaan dan pemeliharaan seni budaya Melayu agar tidak terkubur ditelan zaman. Selain dari itu, ia menjadi pusat maklumat, latihan, perkhidmatan penerangan, promosi dan jualan yang berkaitan dengan wayang kulit, termasuklah kraftangan, vcd dan sebagainya.



Objektif Penubuhan:

  1. Melatih dan memupuk bakat baru dalam seni muzik wayang kulit, yang telah begitu ketandusan pemuzik-pemuzik pelapis.
  2. Melahirkan seorang dalang wayang kulit yang berpengetahuan dan mahir aspek perdalangan, bukan sekadar seorang pemain wayang kulit.
  3. Memastikan seni persembahan Wayang Kulit Melayu Kelantan Tradisional tidak pupus.
  4. Mewujudkan satu pusat akses dan pameran wayang Kulit Melayu Tradisional Kelantan.
  5. Sumber rujukan dan aktiviti pelancongan.
Terima kasih atas penubuhan pusat ini,  ia memberi semangat dan inspirasi kepada golongan baru seperti kami untuk mencontohi usaha yang baik ini. Kami yakin bahawa tempat ini kurang diketahui terutama golongan di luar Kelantan (saya juga hanya kebetulan sahaja terjumpa laman web ini ketika mencari maklumat tentang gendang dan serunai). 

Semoga pejuang-pejuang seni budaya Melayu terus kukuh dan agam diri bagi meneruskan sinambungan warisan kita. Amin.

 Wayang Kulit Kelantan sudah melebarkan sayapnya, termasuk di Kuala Lumpur, bila pula Wayang Gedek mahu melakukan perkara yang sama? Percayalah, di sini terdapat ramai insan-insan yang teruja untuk mempelajari seni ini dengan bersungguh-sungguh, mahu mewarisinya, tetapi tidak berdaya untuk pergi jauh-jauh kerana komitmen lain. 

Kami di sini menanti dengan penuh harapan, moga-moga permainan wayang kulit ini dapat dikembangkan bukan hanya untuk masyarakat Kelantan, Jawa atau Kedah tetapi juga untuk yang lain, begitu juga dengan Wayang Gedek atau Wayang Purwo. Usaha-usaha untuk mengenegahkannya tidak perlulah ditunggu bantuan mana-mana pihak, tetapi melainkan berusaha bergerak sendiri, dengan titik peluh sendiri. Dikir barat, gendang silat, kompang sudah lama ada pertandingan di peringkat kebangsaan, wayang kulit bila lagi?

KAMI SEDANG MENANTI KALIAN PEJUANG SENI WAYANG KULIT UNTUK MENYAHUT PANGGILAN KAMI!

Read more...

Aktiviti Silat Sekolah KL

Maklumat terkini sekiranya tiada perubahan tentang aktiviti SILAT Sekolah2 KL.

1. Pertandingan silat sekolah2 KL dan Putrajaya akan diadakan di stadium Tasik Titiwangsa bermula 7 hingga 11 mei 2012.

2. Pertandingan Silat Sekolah-Sekolah Malaysia akan diadakan di Perlis bermula 4 hingga 8 Jun 2012.

3.Kursus pemantapan wasit/juri sekolah2 Kuala Lumpur akan di adakan pada akhir bulan April 2012.

4. Pertandingan Pencak Silat Asean School Games kali ke-4 di adakan di Surabaya, Indonesia bermula 28 Jun hingga 6 Julai 2012.
Sumber : Cikgu Hazli Adnan, PT Silat Sekolah-Sekolah KL
 

Read more...

Itulah Nilai Seni Bangsa Sendiri - Di Manakah Nilai Cintamu?


Sumber : Artis Malaysia

Cuba bandingkan bayaran artis Malaysia yang diterima dengan kami? Tentunya ada yang membaca dan mungkin sinis berkata dalam hati, 'Ah mereka itu kan artis, sudah biasa masuk akhbar, tv, majalah, radio, ada album.'

Mari lihat yang ini pula : 


Sumber : Jom Skodeng

Oh yang ini pula artis besar dalam industri, padanlah bayaran mereka banyak.  Biasalah ... 
 .
Di bawah ini pula kadar bayaran untuk belajar muzik di Yamaha Music School. Cuba lihat betul-betul, bayaran untuk individu.



Rasanya sudah sampai masanya bercakap tentang perkara ini. Sudah hampir 14 tahun dalam bidang ini (ini belum dikira orang-orang tua kita yang lebih lama dari kami), bayarannya tidaklah begitu besar. Berapa agak-agaknya bayaran persembahan kebudayaan seperti kami? Ikhlas cakap, untuk majlis perkahwinan yang biasa, tidak pernah lebih dari jumlah bayaran RM 1,000.00 untuk kadar masa 3 jam. Untuk majlis besar-besar pula tidak lebih dari bayaran RM 2, 000.00 (Kalau ada yang menerima lebih daripada ini, alhamdulillah). 

Bagaimana bayaran sekiranya untuk penggambaran stesen televisyen atau produksi penerbitan swasta? Pernah terjadi kepada kami, RM 200.00 (Untuk sehari, dari pagi sampai petang dan jumlah tersebut di bahagi kepada empat orang). Paling-paling tinggi pun kami pernah terima tidak lebih dari RM 1,000.00 (Untuk sehari pagi sampai maghrib). Agak-agak kalau untuk artis berapa ya? Bolehkah agak-agak tuan/puan membayar dengan harga begitu? Mahukah mereka menerimanya? Itu belum kira produksi yang mengambil kesempatan dan memungkiri janji mereka. Stesen TV besar pun cuma mampu membayar tidak lebih RM 300.00 untuk beberapa hari, untuk seorang sahaja. (Tentu kami dikatakan tidak bersyukur bukan?) 'Ah, kalian ini tidak berterima kasih, mujurlah kami mahu mengambil kisah dan persembahan kalian, kalau tidak tiada siapa yang kenal kalian,' mungkin begitu ujaran mereka, mungkin ...

Kami pun bukanlah semata-mata bersifat materi atau kebendaan sangat, tetapi secara logika akal, cubalah seketika duduk, fikir dan renungkan, berapakah nilaian yang tuan/puan letakkan pada seni budaya bangsa sendiri? Berapa? Itupun masih ada tawar-menawar dan kami masih boleh berlebih kurang. Sebab apa kami masih bermain lagi (dengan izin Allah)? Tidak lain tidak bukan kerana kecintaan pada seni bangsa sendiri yang tiada tolok bandingnya. 

Sebab apa kami masih terus bermain? Sebab cintanya kami pada seni budaya bangsa Melayu yang tinggi nilai harganya daripada bayaran artis-artis tersebut (maaf cakaplah, bukan kami anti atau cemburukan bayaran mereka). Biar pedih luluh hati kami dengan bayaran yang diterima, tetapi kami tetap akan perjuangkan seni ini sampai bila-bila. 

Dan apabila suatu masa nanti, seni ini hanya dapat dilihat di video rakaman atau you-tube, jangan salahkan kami kerana tidak memberitahu, jangan salahkan kerana tidak mengkhabarkannya, jangan salahkan kami kerana anak-anak muda masa kini lebih berselera dengan muzik barat,  jangan kata kami tidak pernah menukilkan tentang ini, jangan salahkan kami sekiranya bangsa asing (luar negeri) mempelajari seni budaya Melayu (khususnya bergendang). Mereka sebenarnya jauh lebih menghargai dari apa yang ada di sini (lihat contoh - silat). Tetapi kepada yang menghargai seni budaya ini, kami amat-amat berterima kasih, terutama kepada barisan guru-guru dan pejuang-pejuang seni tradisi sama ada yang masih hidup atau sudah pergi.

Jangan salahkan kami, kerana itulah nilai yang tuan/puan letakkan pada seni budaya warisan sendiri. Itu belum masuk yang mahukan persembahan secara percuma atas alasan mahu mempromosikan muzik seperti bawaan kami. Itu belum kisah mereka yang liat untuk membayar atau menipu dan tidak membayar langsung. Cukuplah semua ini. Suatu masa nanti apabila kesenian Melayu akan berkubur satu demi satu, janganlah lagi mahu menyalahkan kami atau menyalahkan anak-anak muda yang enggan mempelajarinya.

Zaman sudah berubah, zaman sudah silih berganti, minyak dan tol sudah naik tetapi kami tetap akan setia dengan perjuangan kami sampai bila-bila. Biarpun nilaian tuan/puan hanyalah sekadarnya, namun kami tetap bersyukur kepada Allah dan redho atas ujian ini. Walaupun sesetengah orang kita berkata, 'Kami sayang budaya dan seni kami, inilah warisan kami. Jangan dihina, jangan dicaci!' Namun itu hanya cakap semata-mata, tidak pada tindakan.

Untuk itu, kami berterima kasih kepada semua penggiat seni budaya Melayu tanah air yang menghidupkan seni budaya Melayu tanpa mengenal erti jemu, erti penat, erti pedih, erti luka, erti duka, erti miskin, erti sakit, alhamdulillah. Kalianlah sinar kejora di malam yang sepi dan resah serta gelap-gelita, kalianlah sebenar-benar pendokong nafas bangsa, nyawa dan jasad pertiwi tanah air yang tiada tolok bandingan. Biarpun tanpa sebarang penghargaan, tetaplah kalian berjuang sampai habis-habisan. Sebarkanlah rata-rata ilmu seni budaya Melayu ini ke seluruh pelusuk tanah air. Janganlah kalian lelah dan mengalah pada keadaan yang tidak pernah menyetujui dengan kita.

Terima kasih tuan/puan atas penghargaan dan nilaian kepada kami ... setakat itu sahajalah nilaiannya, dengan nilai yang rendah dan tidak seberapa.

Terima kasih tidak terhingga kepada para pejuang seni bangsa tanah air ...  alhamdulillah.

Read more...

Artikel 2 - Sekapur Sirih, Seulas Pinang

Artikel sebelumnya - sila baca di sini.

Seperti tertulis dalam artikel-1, perihal bersirih pinang terbahagi kepada :

1.) Hidangan makanan
2.) Adat-istiadat
3.) Perubatan 

Maka, seperti yang disebutkan, rata-rata aliran gendang silat utara masih mengamalkan adat bersirih-pinang ini. Pernah juga saya ditanya perlu sangatkah adat ini? Wajib sangatkah adat bersirih pinang, kalau tiada, tidak bolehkah? 

Adat-Istiadat

Maka, dalam perihal ini, adat memberi sirih pinang jatuh dalam katogeri adat-istiadat. Maka bergendang silat (aliran utara), memang memastikan supaya calon penggendang baru akan menjalani adat ini sebagai satu kewajaran. Namun, ini bukan bermakna ia adalah wajib. Terpulang pada masing-masing.

Paling mudah, kalau mahu dilihat konteks zaman moden, begini :

1) Pernahkah tuan/puan memasukki suatu kelab tanpa mendaftar?
2) Bolehkah tuan/puan memasukki sekolah/IPT tanya membayar yuran?
3) Dapatkah seorang guru di Yamaha Music School mengajar tuan/puan tanpa mendaftar dan membayar yuran terlebih dahulu?
4) Atau bolehkah tuan/puan mengikuti kelas Silat/Karate/Aikido/Tae Kwan Do/Ninjutsu tanpa mendaftar terlebih dahulu? 

Jawapannya tuan/puan lebih tahu.

Persoalannya lagi, mengapa kalau adat perkahwinan masih lagi menggunakan, kita kata meminang? Tentu jawapannya adalah untuk meminang anak dara/gadis di sebelah pihak tersebut.

Begitulah dalam perihal gendang silat aliran utara, ia dapatlah disimpulkan seperti ini :

1) Sebagai 'tandaan berguru' - menunjukkan dengan siapa kita berguru / school of thought (sila baca di sini apakah maksudnya - School Of Thought) Aliran guru mana yang dipelajari serta diamalkan. 

2) Meminang ilmu - seperti juga meminang anak dara, maka konsep yang serupa terpakai dalam perihal bergendang ini. Seseorang itu pergi 'meminang' ilmu yang ada pada seseorang guru itu untuk dipelajari.

3) Akad - terdapat dalamnya lafaz ijab dan kabul antara murid dengan guru sebagai tanda memberi dan menerima. Calon penggendang tersebut akan melafazkan ucapan mahu mempelajari dan guru menerimanya. Lagipun ia selari dalam syariat Islam yang mengutamakan lafaz ijab dan kabul dalam urusan muamalat.  (sila rujuk lafaz ijab kabul dalam muamalat -  sini)

4) Tanda Kesungguhan - bermakna, calon penggendang tadi bersusah-payah mencari sirih, pinang, kapur dan dibawa mengadap guru gendang tersebut untuk belajar. Kesungguhan calon tadi adalah sebagai satu tanda bahawa dia memang akan belajar dengan sepenuh hati.

5) Adab - Selain itu, sebagai lambang bahawa calon penggendang itu mengadap seseorang dengan adab dan tertib untuk mengambil ilmu yang hendak dipelajari. Itulah adab untuk belajar sesuatu, bukan sahaja dalam bergendang, tetapi dalam segala segi yang melibatkan ilmu dan guru.Selain itu, inilah salah tanda kasih dan cinta orang Melayu pada adatnya yang penuh dengan tertib, halus dan tinggi nilai estetikanya.

6) Tanda Kasih-Sayang - sebagai tanda terima dan kasih-sayang seseorang guru tadi kepada calon penggendang tadi,, dia akan menyediakan sirih pinang atau pinang piak untuk diberikan semula kepada calon penggendang agar dimakan. 

7) Ketinggian Adat Melayu - orang Melayu hidup penuh beradat, dan salah satunya adalah bersirih pinang.  Falsafah yang terselit  dalam adat bersirih pinang ini mempunyai nilai-nilai murni, kasih sayang, kecintaan terhadap ilmu, adab terhadap guru, keikhlasan yang tinggi, setia dan janji dan sebagainya yang membawa pada kesempurnaan akhlak.

8) Restu Dan Doa - Tidak ada siapa yang tahu bagaimana seseorang guru itu mendoakan anak muridnya. Tapi yang diketahui umum, lazimnya guru akan mendoakan yang baik-baik untuk kemajuan dan masa hadapan yang cemerlang kepada muridnya. Jadi, siapa tahu guru kepada guru, kepada guru ke guru mendoakan supaya selamat hidup, aman damai, jadi manusia, senang faham, mudah terima pelajaran, tak bongkak dan sombong. Insya-Allah, dalam bergendang, guru-guru juga mendoakan perkara yang sama, turun-menurun dan bertali-arus kepada yang bersirih pinang dan dari salasilah ilmunya. Dan tidak kurang juga pentingnya restu selain dari doa.

Bagaimana Kalau Saya Tidak Mahu Bersirih Pinang?
Jawapannya : Boleh, tetapi persoalannya, cuba tanya diri sendiri agaknya bolehkah aku masuk sekolah/IPT dengan tidak mendaftar, bolehkah aku masuk kelas Yamaha Music School dengan tidak mendaftar, bolehkah aku belajar seni beladiri tanpa mendaftar sebagai ahli persatuan? Bolehkah aku masuk rumah seseorang tanpa memberi salam?

Ataupun begini, mahukah guru di Yamaha Music School mengajar aku tanpa mendaftar terlebih dahulu sebagai ahli atau pelajar? 

Tentunya, Yamaha Music School akan memberi promosi dan menerangkan serba-sedikit tentang peralatan, jenis muzik dan serba-sedikit tetapi akhirnya seseorang itu terpaksa mendaftar juga kalau mahu tahu selanjutnya. Tidak begitu?

Dalam bergendang juga begitu, boleh sahaja ditunjukkan asas-asas dalam permainan gendang silat dan sebagainya, tetapi mahu tahu lebih lanjut maka hendaklah seseorang itu mendaftar terlebih dahulu. Apa caranya? Caranya adalah dengan bersirih pinang, itu sahaja.

Tapi Saya Boleh Belajar Dengan Meniru, kan?
Jawapannya : Ya, boleh silakan. Rakam sahaja mana-mana permainan dan persembahan gendang silat, malah berlambak di You-Tube dan internet, boleh sahaja tiru dan ajuk. Tetapi persoalannya ialah begini, betulkah cara aku meniup itu? Betulkah cara aku memukul gendang itu? Betulkah bunyian yang dihasilkan aku? Kalau belajar tanpa guru itu apa ya? Tentu masing-masing tahu jawapannya. Dan siapa pula yang mengesahkan bahawa permainan yang ditiru dan diajuk itu betul?

Dan kalau ditanya berguru dengan siapa, apa jawapan yang harus diberikan? Saya berguru dengan You-Tube? Saya belajar dengan video rakaman? Saya belajar gitu-gitu aje, tiru-tiru dan tengok orang bermain?

Tapi Bukankah Itu Cuma Adat?
Jawapannya : Ya, memang betul. Kalau begitu, hendak pergi meminang anak dara orang, bawa sahajalah coklat, ayam KFC atau McDonald atau sate kajang. Kalau begitu, tak perlu pergi sekolah atau IPT, belajar sahaja dari internet dan buku. Belajar seni beladiri pun boleh belajar dari VCD atau tiru sahaja di You-Tube.

Tapi Saya Tidak Mahu Bersirih Pinang?
Jawapannya : Ya, sudah tentu juga boleh, mungkin ada guru boleh mengajarnya tetapi kena cari sendiri. Kalau ditanya kami, kami juga tidak tahu di mana mahu mencarinya. 

Saya Belajar Juga Dengan Orang Itu Tanpa Bersirih Pinang
Jawapannya : Ya, sudah tentu boleh, tapi apakah tandaan berguru dengannya?

Boleh Saja Saya Tiup Serunai dan Bergendang Tanpa Belajar Dengan Guru? Dan Saya Hanya Belajar Tiru dari Rakaman, You-Tube?
Jawapan : Ya, silakan. Siapa kata tidak boleh? Terpulanglah pada diri masing-masing.

Bunyi Yang Saya Hasilkan Sama Sahaja? 
Jawapan : Ya, sama tapi tak serupa.

Kesimpulan

Dalam perihal adat istiadat bersirih pinang adalah suatu kewajaran, tanda betapa tinggi nilainya zat budi akal fikir orang Melayu dalam sesuatu tatacara dan mempelajari ilmu. Jikalau mahu dibandingkan dengan zaman ini, boleh dikatakan ia sebagai 'mendaftar'. Sekiranya tidak mahu, boleh sahaja dan terpulang pada diri masing-masing. Ia bukanlah sesuatu yang wajib tetapi amat wajar sekali diberi perhatian dan cuba bandingkan dengan apa yang diperkatakan di atas tadi tentang mempelajari muzik moden, atau pergi sekolah atau mahu belajar ilmu beladiri. Moga tulisan faqir ini dapat membuka cakrawala pemikiran dan menambahkan lagi kefahaman kita tentang salah satu adat istiadat dalam dunia orang Melayu, khususnya yang bersangkutan dengan gendang silat aliran utara. Kalau ada kekurangan, mohon diberi pencerahan lagi, kami masih belajar dan terus akan belajar, Insya-Allah. Juga didoakan agar yang membaca artikel yang tidak seberapa ini mendapat manfaat dunia dan akhirat, amin.

Read more...

Tuesday, February 14, 2012

Artikel 1 - Sekapur Sireh, Seulas Pinang

 Pinang dihulur sudilah makan;
      Sirih beralas ukiran gangsa;
Tepak sirih kami dahulukan;
     Tanda adat budaya bangsa. (sumber : sini)

Memakan sirih pinang adalah merupakan suatu adat atau amalan masyarakat di sekitar Asia Tenggara. Sama ada kaum Melayu, India mempunyai ragam dan cara tersendiri dalam menggunakannya sebagai hidangan mahupun hal-hal yang melibatkan adat-istiadat.

Cuba lihat perihal sirih ini :

Sirih adalah tanaman tropis, tumbuh di Madagaskar, Timur Afrika, dan Hindia Barat. Sirih yang terdapat di Semenanjung Malaysia ada empat jenis, yaitu sirih Melayu, sirih Cina, sirih Keling, dan sirih Udang. Dalam bahasa Indonesia, dikenal berbagai nama jenis sirih seperti sirih Carang, Be, Bed, Siyeh, Sih, Camai, Kerekap, Serasa, Cabe, Jambi, Kengyek, dan Kerak. Sirih, konon melambangkan sifat rendah hati, memberi, serta senantiasa memuliakan orang lain. Makna ini ditafsirkan dari cara tumbuh sirih yang memanjat pada para-para, batang pohon sakat atau batang pohon api-api tanpa merusakkan batang atau apapun tempat ia hidup. Dalam istilah biologi disebut simbiosis komensalisme. Daun sirih yang lebat dan rimbun memberi keteduhan di sekitarnya.

(Sumber: sini)

Pinang :

Pinang dalam bahasa Hindi buah ini disebut supari, dan pan-supari untuk menyebut sirih-pinang. Bahasa Malayalam menamakannya adakka atau adekka, sedang dalam bahasa Sri Lanka dikenal sebagai puvak. Masyarakat Thai menamakannya mak, dan orang Cina menyebutnya pin-lang.

(Sumber: sini)
Boleh dikatakan secara ringkasnya penggunaan sirih pinang dalam adat Melayu :
Penggunaan sirih dan pinang boleh dilihat dalam pelbagai aspek kehidupan masyarakat.

Makanan
Selepas penat mengerjakan bendang atau menuai padi, petani kebiasaannya memakan sirih sambil berbual-bual. Para nelayan pula membawa bekal sirih dan pinang semasa turun ke laut untuk menangkap ikan. Di dalam sejarah, para raja di istana memakan sirih sebagai santapan waktu rehat.

Adat Istiadat
Sirih dan pinang memainkan peranan penting di dalam adat istiadat Melayu terutamanya dalam perkahwinan, bermula dari waktu merisik, pertunangan, menikah, bersanding dan beradu.

Simbol dan pengantara Orang Melayu terutama di zaman dahulu sangat tertib dan halus dalam berkomunikasi. Sirih digunakan sebagai:-
  1. Hadiah ibu bapa kepada guru Al-Quran, sebagai tanda menyatakan keikhlasan hati menyerahkan anak-anak mereka mengaji dibimbing oleh guru tersebut.
  2. Sirih Perangsang menyemarak semangat dan menenang hati kepada perajurit ketika berperang.
  3. Mengundang seseorang ke majlis, tepak sirih dihulur, jika sirih dimakan ia menandakan undangan tersebut diterima.
Perubatan dan petua Melayu lama

Daun Sirih
Sirih dan pinang banyak digunakan dalam perubatan tradisional. Kebanyakannya digunakan secara luaran. Tuk Dukun adalah orang yang berperanan dalam penggunaan sirih pinang dalam konsep perubatan ini berserta jampi dan mentera. Selain untuk perubatan secara tradisional, sirih juga digunakan sebagai petua-petua Melayu.

Ringkasnya penggunaan bersirih pinang dalam masyarakat Melayu :

1) Hidangan makanan
2)  Adat-istiadat
3) Perubatan - klik sini

Antara makna dan falsafah yang cantik tentang bersirih pinang :

1) Sirih - Dimengertikan sifatnya yang merendah diri dan sentiasa memuliakan orang lain, sedangkan dirinya sendiri adalah bersifat pemberi. Ini disebabkan dengan sifat memanjat pohon sirih di atas junjung atau pokok sakat atau juga pokok api-api yang digemairnya dan dalam masa yang sama tidak merosakkan junjung itu.

2) Pinang - Digambarkan sebagai lambang keturunan orang yang baik budi pekerti, tinggi darjatnya serta jujur. Bersedia melakukan sesuatu perkara dengan hati terbuka dan bersungguh-sungguh. Ia memadankan sifar pokok pinang itu yang tinggi lurus ke atas serta mempunyai buah yang lebat dalam setandan.

3) Kapur - Melambangkan hati seseorang yang putih bersih serta tulus, tetapi jika keadaan tertentu yang memaksanya ia akan berubah lebih agresif dan marah.
 

sirih_pinang_cov.jpg (128902 bytes)


Bacaan lengkap tentang sirih pinang, sila klik sini.

Lagi tentang artikel sirih pinang - klik sini.

Perihal Tepak Sirih : 

Jenis-Jenis Tepak Sirih


* Sirih Puan = tepak sirih yang berbentuk segiempat tepat




* Sirih Pinang = tepak sirih berbentuk bujur sangkar



* Sirih adat = tepak sirih yang dilengkapi dengan kuntum melor serta disalut dengan kain balundru bertekat emas atau tenunan  songket


* Sirih Adat rekabentuk diraja dan pembesar Istana / upacara perkahwinan



* Lain-Lain sirih adat


Jadi, di dalam perihal ini, mengikut adat-istiada Melayu lama, makanya pergendangan aliran silat utara, rata-ratanya mengamalkan adat memberi sirih pinang kepada guru sebagai tandaan hormat dan bersungguhnya untuk mempelajari seni bergendang. (akan disambung pada artikel ke - 2) - sila baca di sini.

Read more...

Diskusi Sihat Di Fan Page KGGK

Sekitar perbincangan di Fan Page KGGK : 'Orang gendang tidak pernah melupakan orang silat tetapi orang silat selalu tertinggalkan kami, benarkah begitu? Mari kita bincang ...'







Read more...

Monday, February 13, 2012

Akademi Fatani dan Kursus Gendang Silat

Kebetulan semalam saya berkelapangan, sempat juga saya menyinggah ke Akademi Fatani untuk melihat teman-teman yang membuat kursus asas pengenalan muzik silat. Kehadiran saya hanyalah berjumpa rakan-rakan seperjuangan sambil berborak bicara hal-hal berkaitan. Kursus bermula dari jam 3 hinggalah 6 petang. Dalam masa yang kesekejapan itu, para perserta diberikan penerangan dan cara permainan aliran PSGFM secara ringkas dan menurut rakan, ia mungkin akan disambung lagi pada masa akan datang.



KGGK mendoakan moga-moga tercapai apa ingin dilaksanakan, semoga gendang silat terus hidup sampai bila-bila, amin. Tahniah kepada rakan-rakan PSFGM, khususnya Akademi Fatani yang menganjurkan kursus tersebut.

Read more...

Sunday, February 12, 2012

Himpunan Wajadiri PLKU 24-25 MAC 2012

Kami di PLKU dengan rasa rendah diri, amat berbesar hati menjemput sekalian gurulatih-gurulatih Gayong, anak-anak Gayong, sahabat-sahabat persilatan lain & sahabat-sahabat FB dari seluruh pelusuk negara untuk menghadirkan diri pada acara yang akan berlansung ini nanti. Semoga kehadiran anda nanti akan dapat mengeratkan lagi ukhwah kita sesama agama, sesama insan, sesama bangsa & negara tercinta juga menambah imarah kepada majlis tersebut. InsyaAllah..

We at PLKU, with great honour & pleasure; invites all Gayong's gurulatihs, Gayong practitioners, members from other silat organisations & all our FB friends to attend this upcoming event. Our wish for your presence then would create greater friendship/ukhwah amongst Muslims & amongst citizen of this beloved country. InsyaAllah.
Sumber : sini


* KGGK dijemput sebagai kumpulan gendang pengiring demonstrasi silat pada 24 Mac 2012, Insyallah. Terima kasih kepada Kelab Gayong PLKU atas jemputan tersebut.

Read more...

Kenal Panggung



Panggung Eksperimen, UM
Masuk adalah percuma
12 April 2012
8.30 malam


Read more...

Thursday, February 9, 2012

Imam Hj Mansur

Beliau adalah salah seorang wira tidak didendang yang sempat saya bertemu pada tahun-tahun penghujung sebelum beliau 'pergi', seingat saya di penghujung tahun 90'an. Ketika itu, kami (saya, Cikgu Ramli, Abang Jo, Abang Din, Azam) mahu membeli peralatan gendang silat. Ketika itu, beliau masih sihat dan boleh bercerita panjang. Selain itu, beliau juga merupakan guru yang mengajar Allahyarham Pak Teh Cha untuk bergendang dan membuat gendang.Tempatnya juga di Batu Kurau, Perak.

Allahyarham Imam Haji Mansur (lebih dikenali sebagai Pak Ngah Mansur)
Kredit gambar dri FB Guru Alzahari

Ketika itu saya masih baru belajar dan hanya mendengar sahaja perbualan mereka. Tapi sempat juga melihat beliau bergendang dan berceloteh tentang orang bermain gendang ketika itu. Selain dari merupakan guru gendang, pembuat gendang, beliau juga merupakan salah seorang Guru Gayung Fatani yang dikenali ramai hinggalah kini, namanya disebut-sebut (al-fatehah). 

Kenangan Pak Ngah (bergendang) ketika majlis bersilat di UM, awal tahun 1990. 
Bersama Allahyarham Guru Utama PSGFM, 
Tuan Haji Anuar Wahab (serunai) (al-fatehah).

 Selain dari itu, tidak banyak yang saya ketahui tentang beliau, hanya tahu beliau guru bermain gendang disamping seorang guru silat, serta juga imam. Sekiranya ada sesiapa yang mengenali beliau semasa hayatnya (dari konteks bergendang, sudi-sudilah berkongsi di sini). Mudah-mudahan akan ada pengganti beliau nanti, pandai bertukang gendang, bergendang dan bersilat.

* Sempena entri di bawah "Kisah Malang Insan Seni," KGGK mahu mengabadikan mana-mana guru gendang silat yang sudah pergi sebagai rekod dan rujukan pada sesiapa pada masa akan datang. Selain itu, supaya jasa mereka tidak dilupa dan dikenang sampai bila-bila. Kalau ada sesiapa berhajat untuk berkongsi, sila emel gambar, nama, tempat dan ceritakan sedikit maklumat tentang guru gendang atau serunai atau pembuat peralatan gendang silat tersebut, sila emel kepada gemalakasturi@yahoo.com. Jangan lupa beri nama anda yang mengirim emel tersebut.

Terima kasih.

Read more...

Kisah Malang Seorang Insan Seni

Sumber gambar (Fan Page FB Bersamamu TV3)

Kebetulan malam semalam saya membuka TV dan terlihat rancangan Bersamamu, TV3. Kisah insan seni, pembuat alat muzik tradisional yang hidup melarat dan terbiar sesudah uzurnya. Hati saya pilu, dan turut terheret dalam kesyahduannya. Namun apa kan daya, jauh beribu batu tangan sampai. Harapnya, artikel ini dapat membantu sedikit sebanyak resah hidup yang melanda keluarga, cuma sayang saya dapat lihat separuh sahaja rancangan ini. 

"Salam, jangan lupa temujanji anda esok Bersamamu menemui anda minggu ini kisah insan seni yang merupakan pembuat peralatan muzik tradisional dari negeri Cik Siti Wan Kembang yang kini kian uzur dan tidak mampu lagi untuk menghasilkan alat muzik yang tiada tolok bandingnya...." - Sedutan tulisan di Fan Page Bersamamu TV3

 Di mata umum, saya membaca Fan Page Bersamamu TV3, hanyalah saranan dan cadangan yang belum tentu akan terlaksana. Punbegitu, kita faham dan mengerti situasi yang berlaku. Harap-harap adalah YB mana-mana yang datang menjenguk Pak Da. Jangan masa mahu pilihanraya sahaja mahu turun padang dan melihat rakyat. Apa pun, kami di KGGK mengharapkan agar ada pihak yang dapat bertindak untuk membantu insan seperti ini, bukan sahaja di Kelantan, tapi di seluruh negara. 


Kalaulah insan-insan seni seperti pelakon dan muzik moden ada yang membela, mengapa insan seni tradisi seperti ini tidak ada dana dan sebagainya. Mengapa mereka tidak dimasukkan ke dalam katogeri tersebut, mendapat pembelaan yang sewajarnya?Terima kasih pada TV3 yang prihatin dengan kesukaran yang dialami oleh penggiat2 seni tanah air. Sebenarnya banyak lagi kisah-kisah seperti ini yang berlaku, tapi cukuplah ia sebagai pengajaran.

Jangan esok, orang nak salahkan penggiat seni tradisi kenapa tak teruskan perjuangan. Dan tak hairan juga mengapa anak-anak muda kini lebih akur pada muzik moden yang menjami masa hadapan mereka jika dibandingkan dengan muzik tradisi. Namun begitu, pejuang-pejuang seni haruslah bertindak bijak untuk mempromosi dan tampil ke hadapan juga bagi mengenegahkan seni ini agar terus dikenali dan tidak dilupakan oleh generasi akan datang. 

p/s : Kalau blog pun malas nak kemaskini, tak tahu nak cakaplah, payah bersuruh baru nak buat. Memang tak hairanlah kalau seni ini ....

TERIMA KASIH KEPADA PEJUANG-PEJUANG SENI TRADISI YANG TIDAK PERNAH MENGALAH DAN TERUSKANLAH PERJUANGAN SAMPAI BILA-BILA!

Read more...

Tuesday, February 7, 2012

Maestro Sralai - Koantam Ming Music Master

 Seng Norn
Maestro Sralai (serunai Khmer, Koantam Ming Music Master), Ling Srey, 83 - "There is no document written down. It's not like studying at school. IT ONLY EXISTS INSIDE THE BODY. So, you have to have it inside you." Another maestro of Koantam Ming Music,  said, "I won't let Koantam Ming Music dissapear in the future.
 

Ling Srey 

Sralai - sejenis alat tiupan yang menyamai sistem serunai 
Tanah Melayu dari segi pernafasan yang bersambung. (sumber - sini)
Moga-moga maestro serunai, gendang dan pemuzik tradisional di Tanah Melayu ini mendapat perhatian yang sewajarnya, amin.  

Read more...

Saturday, February 4, 2012

Pakku Sudin




Dan yang ini pula adalah sebuah kumpulan yang sepertinya allahyarham Pakku Syahadat (Al-fatehah). Ada bunyian gendang dan tiupan serunai serta nyanyian lagu-lagu tradisional, Hindustan dan Melayu. Rakamannya boleh dikatakan cukup elok, namun disebabkan tiada usaha dan promosi, maka ia tidak tersebar luas. Namun alhamdulillah, saya dizinkan Allah terjumpa dengan album ini. Jadi, saya simpan sebagai koleksi dan kenangan, walaupun kasetnya sudah rosak.

Apa perkembangan kumpulan ini, tidaklah diketahui sama ada masih wujud atau tiada. 

Nama album : Pakku Sudin
Terbitan dan Edaran : Panca Alpha Production Sdn Bhd
Harga : RM 9.90

Read more...

Gendang Peribumi (Muzik Tradisional Silat)

Yang ini juga lama saya perolehi. Ketika mengunjungi Pulau Langkawi, salah sebuah kedai yang berhampiran di Makam Mahsuri menjualnya. Tidak bertangguh saya sambar terus, dalam tahun 2000 saya membelinya. Ketika melawat di situ, saya memang sudah dengar maklumat ada kumpulan gendang yang bermain, tapi sayang ketika itu jatuh pada hari Jumaat, jadi, tiada persembahan. Dapat kaset ini pun jadilah.

Tajuk album : Gendang Peribumi (Muzik Tradisional Silat)
'Kenangan Makam Mahsuri'
Pancang Perak Ent. Langkawi


Senarai lagu

Maklumat tentang kumpulan yang bermain ini langsung tiada. Apa nama kumpulan, bila dirakam tidak ada. Cuma ada senarai lagi dan kaset yang dijual dengan serba sederhana buatannya. Tak mengapalah, janji dapat dengar. :)

Read more...

Irama Kuda Kepang




Salah sebuah irama yang menyubur kebanyakan di daerah Johor dan sekitar beberapa tempat di Selangor dan di mana masyarakat berketurunan Jawa tinggal. Irama kuda kepang diberi nama. Masih lagi kedapatan di sesetengah tempat yang memainkan permainan ini, tapi sedikit sukar dan jarang ditemui dalam kebanyakan persembahan.

Ketika zaman saya kecil di kampung dahulu, memang kerap juga menonton permainan ini, biasanya malam sebelum majlis perkahwinan akan diadakan persembahan ini. Tapi kini agak sukar untuk melihatnya. Seronok bukan kepalang, meskipun sesekali menyelinap perasaan gentar menontonnya, tapi ia amat menghiburkan. 

Kaset ini saya perolehi lama dahulu daripada seorang pengurus di Kukup Resort, Johor. Terima kasih kepada beliau, ketika itu tiada internet lagi, jadi baru sekaranglah dapat dipaparkan serta mengucapkan terima kasih kepada beliau.Seingat-ingat dalam dalam pertengahan 90'an kaset ini diperolehi. Saya sudah lupa tarikh sebenanrnya kerana agak lama.

Read more...
Related Posts with Thumbnails

  © Blogger templates ProBlogger Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP