Tanjak Warisan Melayu
(sumber dari : Resam Melayu - sila klik sini)
Tanjak, tengkolok atau destar adalah salah satu busana pada bahagian kepala lelaki Melayu yang sering dikaitkan dengan istana, kepahlawanan dan dipakai dalam pelbagai acara adat istiadat bangsa Melayu. Tanjak pada kebiasaanya akan dipadankan dengan bengkung, sampin dan baju Melayu beserta keris selit bagi pakaian lelaki Melayu.
Tanjak belum lagi dicipta pada zaman sebelum zaman kesultanan Melayu Melaka. Pada zaman itu, hanya sehelai kain digunakan dan diikat di kepala untuk menutup rambut supaya kelihatan kemas. Ikatan kain ini lama kelamaan berubah dan menjadi semakin cantik mengikut peredaran zaman, diolah dan diubahsuai mengikut taraf seseorang itu.
Orang Melayu Melaka telah menggunakan kebijaksanaan mereka untuk mengubah sehelai kain untuk dipakai sebagai penutup kepala. Tanjak dahulunya merupakan lambang status seseorang. Hanya yang berada sahaja pada ketika itu mampu memakainya dan tanjak juga merupakan sebahagian pakaian raja atau sultan. Tanjak raja pada zaman Melaka dibuat dari kain sutera dari China atau India manakala orang kebanyakan menggunakan tanjak dari kain biasa.
Bentuk, rekaan dan lipatan tanjak
Rekaan tanjak biasanya berkait rapat dengan status sipemakai. Apa yang dipakai oleh rakyat biasa berbentuk simpulan dan diubahsuai dari rekaan asal yang dipakai oleh raja. Rakyat tidak boleh memakai bentuk tanjak yang sama dengan bentuk tanjak raja atau sultan.
Kebanyakan tengkolok sekarang dibuat dari kain songket. Untuk membuat tanjak, kain songket bersaiz 31 x 31 diambil dan dilipat dua kepada bentuk tiga segi bersama kertas keras, sebelum digosok dan dijahit. Untuk membuat bentuk tertentu, dawai atau lidi akan dimasukkan bersama lipatan supaya tanjak terbentuk keras dan cantik pada segi tertentu.
Jenis lipatan tanjak
- Dendam Tak Sudah
- Belalai Gajah
- Setanjak Balung Raja
- Sarang Kerengga
- Sekelungsung Bunga
- Ketam Budu
- Kacang Dua Helai Daun
- Solok Timba
- Mumbang Belah Dua
- Sekolongsang Bunga
- Cogan Daun Kopi
- Balung Ayam
- Ayam Patah Kepak
- Pucuk Pisang
- Buana
- Sering
- Getam Pekasam
- Anak Gajah Menyusu
- Pari Mudek
- Lang Menyusur Angin
- Lang Melayang
Jenis tanjak yang dipakai oleh raja atau sultan negeri (sumber: rajamenangis.blogspot.com).
Dendam Tak Sudah : Tengkolok Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong. Tengkolok yang dipakai oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pada hari pertabalan adalah berwarna hitam bersulam benang emas. Lipatannya dinamakan Dendam Tak Sudah yang berasal dari Negeri Sembilan. Pada bahagian hadapan tengkolok ini dipasangkan anak bulan dengan bintang pecah empat belas yang diperbuat daripada emas putih dan di tengah-tengah bintang terletak lambang kerajaan Malaysia yang berwarna-warni.
Dendam Tak Sudah : Tengkolok KDYMM Sultan Kedah Darul Aman. Pakaian D.Y.M.M Sultan Kedah Darul Aman ini adalah ikatan/lipatan baru yang berasaskan kepada lipatan Dendam Tak Sudah dari Negeri Sembilan. Lipatan ini dicipta setelah terjalin perkahwinan diraja antara Kedah dan Negeri Sembilan. Destar daripada kain songket berwarna hitam ini adalah pakaian rasmi baginda. Daun lambaian kasihnya menghala ke kanan manakala pucuk destar yang melambangkan kuasa terletak di sebelah kiri, yang menunjukkan pemakainya adalah raja yang memerintah.
Dendam Tak Sudah : Tengkolok KDYMM Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan. Destar daripada songket berwarna kuning ini adalah pakaian rasmi D.Y.M.M Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan. Sewaktu memakainya, kedudukan pucuknya yang dipanggil “tunas kasih” harus diletak tepat di atas mata kiri dan daun lambaian kasihnya pula dihalakan nke arah kanan. Cara ini menunjukkan pemakainya adalah raja yang memerintah negeri.
Sekelungsung Bunga : Tengkolok KDYMM Sultan Pahang Darul Makmur. Di negeri Pahang Darul Makmur terdapat beberapa jenis destar yang pernah dipakai oleh D.Y.M.M Sultan Pahang. Tengkolok ’Sekelunsung Bunga’ yang diperbuat daripada kain songket yang warna natarnya biru kundang bersulam kencana ini adalah pakaian rasmi yang dipakai D.Y.M.M Sultan Pahang pada masa sekarang.
Walaupun bentuk destar ini agak ringkas dengan bahagian daunnya melonjong ke atas dan bahagian bawahnya mengembang seperti sebuah kelungsung bunga, seperti terdapat perbezaan di antara destar yang dipakai oleh kerabat diraja dengan destar yang dipakai oleh orang biasa, khususnya dari sudut posisi daun dan pucuk destar yang dipanggil ’sula’.
Ketam Budu : Tengkolok KDYMM Sultan Kelantan Darul Naim. Destar jenis ini merupakan lipatan yang dipakai oleh D.Y.M.M sultan dan pembesar di negeri Kelantan, perbezaannya hanya pada warna natar kain destar dan sedikit bentuk bunga pucuk di bahagian atas depan kepala yang menyerupai bunga mekar. Ikat kepala ini dapat dikenali dengan mudah kerana ikatannya menutup seluruh bahagian kepala pemakai, tidak seperti jenis-jenis destar lain yang terdapat di Semenanjung Malaysia.
Ayam Patah Kepak: Tengkolok KDYMM Sultan Perak Darul Ridzuan. Destar berwarna putih bersulam benang perak yang diberi nama Ayam Patah Kepak ini, adalah pakaian khusus untuk D.Y.M.M. Sultan Perak Darul Ridzuan masa kini. Dalam etika berpakaian adat-istiadat melayu, warna adalah unsur penting kerana warna menggambarkan kedudukan atau status sosial seseorang. Putih adalah warna khusus untuk Raja Perak manakala kuning adalah untuk D.Y.T.M Raja Muda dan warna hitam untuk D.Y.A.M Raja Di Hilir, Perak.
Dendam Tak Sudah: Tengkolok KDYMM Sultan Perlis. Tengkolok Dendam Tak Sudah digunakan sebagai pakaian rasmi D.Y.M.M. Tuanku Raja Perlis. Warna natarnya kuning muda, manakala lipatannya sebanyak lima takuk bernama lipatan daun palas.
Setanjak Balung Raja : Tengkolok KDYMM Sultan Selangor Darul Ehsan. Destar daripada jenis kain songket berwarna kuning ini adalah pakaian rasmi D.Y.M.M. Sultan Selangor. Ia dipakai oleh baginda sultan dalam majlis adat istiadat diraja negeri Selangor, seperti istiadat pertabalan, hari keputeraan dan lain-lain. Reka bentuk destar ini diambil daripada tengkolok Balung Ayam dari negeri Perak, setelah terjalin perkahwinan diraja di antara kerabat negeri Selangor dan Perak.
Belalai Gajah : Tengkolok KDYMM Sultan Terengganu Darul Iman. Destar Belalai Gajah adalah pakaian rasmi bagi D.Y.M.M. Sultan Terengganu. Destar ini diperbuat daripada kain songket bunga penuh warna kuning. Daun pada bahagian atas depan destar ini dibentuk secara menggulung ke atas, seakan-akan seekor gajah sedang melambung belalainya. Bahagian bawahnya pula terdapat tiga takuk lipatan dan pucuk destar yang disebut sula diletakkan pada sebelah kanan, melambangkan pemakainya adalah seorang raja.
Corak
Corak berteraskan tumbuh-tumbuhan jelas pada nama beberapa tanjak seperti Mumbang Belah Dua, Sekelongsong Bunga, Cogan Daun Kopi. Pengaruh haiwan pula terpancar pada nama-nama seperti Balung Ayam, Ayam Patah Kepak, Pari Mudek, Lang Menyongsong Angin dan Lang Melayang.
Mengikat tanjak
Cara mengikat tanjak pula bergantung kepada kedudukan orang yang memakainya. Lebih tinggi statusnya, lebih indah dan banyak lipatan kain pada tanjak itu. Kalau raja, penghujung tanjak pasti tinggi dan tajam, iautu melambangkan darjat dan kuasanya. Kalau pendekar, ikatannya lebih kemas dan duduk tegap mencerminkan kegagahannya.
Langkah melipat tanjak
- Langkah bermula
- Risik melangkah
- Risik bertemu
- Cincin dikembang
- Lambai kasih
- Kasih berjawab
- Kasih bermula
- Bertemu kasih
- Gelombang kasih
- Lambaian kasih
Dengan kepelbagaian cara membentuk dan mengikat tanjak, menggambarkan betapa tingginya daya penciptaan pereka-pereka bentuk tanjak tradisi Melayu. Keindahan dan kesenian reka bentuk tanjak masih terpelihara dengan baik dan utuh meskipun zaman silih berganti dan kepentingannya dalam masyarakat moden sudah berkurangan.
Ulasan buku terpilih.
‘Destar Warisan Malaysia: Koleksi Terpilih’, oleh Salmah Zainal Abidin.
Pengarang buku ini, Wan Yahaya Abdullah, seorang pendukung seni warisan Melayu telah mendokumentasikan destar dalam pelbagai aspek melalui bukunya berjudul Destar Warisan Malaysia: Koleksi Terpilih.
Selain sebagai pengarang buku ini, Wan Yahaya juga dikenali kerana kepandaiannya dalam seni mengerus dan seni telepuk. Mengerus ialah suatu kaedah mengilatkan kain songket menggunakan siput supaya benang emasnya sentiasa berseri. Telepuk pula kepandaian menghasilkan bunga-bungaan daripada perada emas yang dilakar di atas kain.
Satu lagi kepandaian beliau ialah mengikat dan menyimpulkan tengkolok dengan lebih seratus cara termasuk yang dipakaikan kepada raja-raja Melayu. Dengan kepandaian dan pengalamannya itu maka buku ini terhasil.
Buku ini membuka gelanggang dengan memperkenalkan maksud dan takrifan destar dan tengkolok serta tempat pemakaiannya. Penghuraian diperkukuh dengan mengutip penjelasan yang terdapat dalam beberapa buku dan kitab lama. Sambil itu beberapa gambar lama, klasik dan berharga dipaparkan sehingga menaikkan semangat dan keindahan tengkolok yang dipakai dengan penuh segak oleh sultan, raja dan hulubalang serta pahlawan Melayu zaman silam.
Wan Yahaya selanjutnya bergerak dengan langkah yang pantas dan tangkas dalam menjelaskan aspek reka bentuk destar. Hampir semua reka bentuk tradisi mempunyai motif, ukiran, pahatan, corak batik dan tenunan serta kelarai anyaman.
Bak menonton seni silat Melayu, dengan gayanya yang mempesona buku ini merakamkan keindahan seni reka bentuk destar Melayu selain menyimpan sejumlah perbendaharaan lama dalam kalimat dan kata bahasa Melayu. Maksud lambang, warna dan corak yang tersirat dalam kesenian pembikinan destar juga dapat difahami dengan membaca buku ini.
Dalam majlis yang dihadiri raja dan sultan, hadirin hanya boleh memakai jenis dan warna destar tertentu sahaja. Pemilihan yang salah akan merosakkan majlis dan dianggap tidak beradab. Destar dipakaikan hiasan dengan tujuan tertentu mengikut kesesuaian jenis kain, warna tanah dan ragam hias yang dikenakan.
Satu lagi seni yang dipaparkan dalam buku ini ialah kaedah mengikat destar dan salah satu yang diberikan ialah cara-cara mengikat destar ‘Dendam Tak Sudah’.
Pemakaian destar tidaklah dapat dilakukan dengan sewenang-wenangnya. Pemakainya mesti mematuhi beberapa peraturan sesuai dengan bentuknya agar dilihat kemas dan rapi. Maka Wan Yahaya memperturunkan serba sedikit peraturan dalam memakai destar yang betul.
Dalam bab destar dan pemakainya, buku ini memperlihatkan bagaimana destar atau tengkolok dikenakan oleh sultan dan raja di semua negeri di Malaysia selain yang dipakai juga di Sabah dan Sarawak sungguhpun negeri tersebut tidak beraja. Ditunjukkan juga destar sebagai pakaian persilatan Melayu. Dengan terbitnya buku ini, dapatlah kita menatap salah satu ketinggian seni bangsa kita zaman-berzaman.
Buku ini ditulis dalam dua bahasa, Melayu dan Inggeris serta dipaparkan gambar berwarna dan hitam putih yang indah dan amat penting sebagai memberi maklumat kepada pembaca khususnya generasi muda. Dalam bentuknya yang mewah dan berkulit keras buku ini tampak meyakinkan dan memang sarat dengan ilmu pengetahuan tentang destar atau tengkolok.
Sesungguhnya buku ini adalah satu-satunya tinggalan yang amat berharga daripada Allahyarham Wan Yahaya Abdullah untuk tatapan kita dan generasi akan datang. Buku ini kini menjadi sebuah dokumentasi yang baik untuk kita merujuk salah satu subjek yang semakin ditinggalkan dalam kehidupan masyarakat kita memandangkan kurangnya buku tentang destar dalam pasaran. Wasalam.
Sumber:
- thestar
- Berita Minggu
- rajamenangis.blogspot.com
- Destar Warisan Malaysia: Koleksi Terpilih
5 comments:
Salam daripada Kumpulan Rajamenangis. Satu blog yang berpotensi baik. Syabas.
Kump Raja Menangis - moga-moga usaha untuk memartabatkan seni budaya berkekalan, amin. Terima kasih atas kunjungan.
Saat bermanfaat bagi bangsa Melayu supaya mereka mengenal tradisi serta warisan Melayu yg sebenarnya. Kita mesti berbangga yg kita adalah bangsa pendekar
Assalamualaikum, saya Mohd Adam Hariz merupakan pelajar tahun akhir Universiti Malaysia Sarawak. Saya sedang melakukan penyelidikan elemen seni dalam Destar Alam Melayu. Jika tuan tidak keberatan boleh beritahu cara untuk mendapatkan buku Destar Warisan Malaysia tersebut. Ini email saya adamharizff98@gmail.com untuk lebih mudah berurusan. Kerjasama tuan amat saya hargai.
To all devotees in Malaysia
Ah Wah Selayang (017-2218183) said...” mca Gombak” YIP KUM FOOK and his groups (Two police, Yap Kok Hwee, Low Kok Meng, and the others) came and rejected all the Buddhist monks at BUDDHIST TEMPLE (SAMNAK SAMBODHI), 19 Jalan 38 Taman Desa Jaya, Kepong...all monks must leave from Temple because YIP KUM FOOK used police and Gangster to disturbed all the monks...Many people get angry with YIP KUM FOOK
Now many Buddhist people don’t like MCA because YIP KUM FOOK created dirty for Buddhists and MCA. Hope MCA members and Buddhist people to care of human-like YIP KUM FOOK, if you would like to know more information, please contact Ah Wah(Selayang)
By DAP, kepong
Post a Comment