Wednesday, February 15, 2012

Artikel 2 - Sekapur Sirih, Seulas Pinang

Artikel sebelumnya - sila baca di sini.

Seperti tertulis dalam artikel-1, perihal bersirih pinang terbahagi kepada :

1.) Hidangan makanan
2.) Adat-istiadat
3.) Perubatan 

Maka, seperti yang disebutkan, rata-rata aliran gendang silat utara masih mengamalkan adat bersirih-pinang ini. Pernah juga saya ditanya perlu sangatkah adat ini? Wajib sangatkah adat bersirih pinang, kalau tiada, tidak bolehkah? 

Adat-Istiadat

Maka, dalam perihal ini, adat memberi sirih pinang jatuh dalam katogeri adat-istiadat. Maka bergendang silat (aliran utara), memang memastikan supaya calon penggendang baru akan menjalani adat ini sebagai satu kewajaran. Namun, ini bukan bermakna ia adalah wajib. Terpulang pada masing-masing.

Paling mudah, kalau mahu dilihat konteks zaman moden, begini :

1) Pernahkah tuan/puan memasukki suatu kelab tanpa mendaftar?
2) Bolehkah tuan/puan memasukki sekolah/IPT tanya membayar yuran?
3) Dapatkah seorang guru di Yamaha Music School mengajar tuan/puan tanpa mendaftar dan membayar yuran terlebih dahulu?
4) Atau bolehkah tuan/puan mengikuti kelas Silat/Karate/Aikido/Tae Kwan Do/Ninjutsu tanpa mendaftar terlebih dahulu? 

Jawapannya tuan/puan lebih tahu.

Persoalannya lagi, mengapa kalau adat perkahwinan masih lagi menggunakan, kita kata meminang? Tentu jawapannya adalah untuk meminang anak dara/gadis di sebelah pihak tersebut.

Begitulah dalam perihal gendang silat aliran utara, ia dapatlah disimpulkan seperti ini :

1) Sebagai 'tandaan berguru' - menunjukkan dengan siapa kita berguru / school of thought (sila baca di sini apakah maksudnya - School Of Thought) Aliran guru mana yang dipelajari serta diamalkan. 

2) Meminang ilmu - seperti juga meminang anak dara, maka konsep yang serupa terpakai dalam perihal bergendang ini. Seseorang itu pergi 'meminang' ilmu yang ada pada seseorang guru itu untuk dipelajari.

3) Akad - terdapat dalamnya lafaz ijab dan kabul antara murid dengan guru sebagai tanda memberi dan menerima. Calon penggendang tersebut akan melafazkan ucapan mahu mempelajari dan guru menerimanya. Lagipun ia selari dalam syariat Islam yang mengutamakan lafaz ijab dan kabul dalam urusan muamalat.  (sila rujuk lafaz ijab kabul dalam muamalat -  sini)

4) Tanda Kesungguhan - bermakna, calon penggendang tadi bersusah-payah mencari sirih, pinang, kapur dan dibawa mengadap guru gendang tersebut untuk belajar. Kesungguhan calon tadi adalah sebagai satu tanda bahawa dia memang akan belajar dengan sepenuh hati.

5) Adab - Selain itu, sebagai lambang bahawa calon penggendang itu mengadap seseorang dengan adab dan tertib untuk mengambil ilmu yang hendak dipelajari. Itulah adab untuk belajar sesuatu, bukan sahaja dalam bergendang, tetapi dalam segala segi yang melibatkan ilmu dan guru.Selain itu, inilah salah tanda kasih dan cinta orang Melayu pada adatnya yang penuh dengan tertib, halus dan tinggi nilai estetikanya.

6) Tanda Kasih-Sayang - sebagai tanda terima dan kasih-sayang seseorang guru tadi kepada calon penggendang tadi,, dia akan menyediakan sirih pinang atau pinang piak untuk diberikan semula kepada calon penggendang agar dimakan. 

7) Ketinggian Adat Melayu - orang Melayu hidup penuh beradat, dan salah satunya adalah bersirih pinang.  Falsafah yang terselit  dalam adat bersirih pinang ini mempunyai nilai-nilai murni, kasih sayang, kecintaan terhadap ilmu, adab terhadap guru, keikhlasan yang tinggi, setia dan janji dan sebagainya yang membawa pada kesempurnaan akhlak.

8) Restu Dan Doa - Tidak ada siapa yang tahu bagaimana seseorang guru itu mendoakan anak muridnya. Tapi yang diketahui umum, lazimnya guru akan mendoakan yang baik-baik untuk kemajuan dan masa hadapan yang cemerlang kepada muridnya. Jadi, siapa tahu guru kepada guru, kepada guru ke guru mendoakan supaya selamat hidup, aman damai, jadi manusia, senang faham, mudah terima pelajaran, tak bongkak dan sombong. Insya-Allah, dalam bergendang, guru-guru juga mendoakan perkara yang sama, turun-menurun dan bertali-arus kepada yang bersirih pinang dan dari salasilah ilmunya. Dan tidak kurang juga pentingnya restu selain dari doa.

Bagaimana Kalau Saya Tidak Mahu Bersirih Pinang?
Jawapannya : Boleh, tetapi persoalannya, cuba tanya diri sendiri agaknya bolehkah aku masuk sekolah/IPT dengan tidak mendaftar, bolehkah aku masuk kelas Yamaha Music School dengan tidak mendaftar, bolehkah aku belajar seni beladiri tanpa mendaftar sebagai ahli persatuan? Bolehkah aku masuk rumah seseorang tanpa memberi salam?

Ataupun begini, mahukah guru di Yamaha Music School mengajar aku tanpa mendaftar terlebih dahulu sebagai ahli atau pelajar? 

Tentunya, Yamaha Music School akan memberi promosi dan menerangkan serba-sedikit tentang peralatan, jenis muzik dan serba-sedikit tetapi akhirnya seseorang itu terpaksa mendaftar juga kalau mahu tahu selanjutnya. Tidak begitu?

Dalam bergendang juga begitu, boleh sahaja ditunjukkan asas-asas dalam permainan gendang silat dan sebagainya, tetapi mahu tahu lebih lanjut maka hendaklah seseorang itu mendaftar terlebih dahulu. Apa caranya? Caranya adalah dengan bersirih pinang, itu sahaja.

Tapi Saya Boleh Belajar Dengan Meniru, kan?
Jawapannya : Ya, boleh silakan. Rakam sahaja mana-mana permainan dan persembahan gendang silat, malah berlambak di You-Tube dan internet, boleh sahaja tiru dan ajuk. Tetapi persoalannya ialah begini, betulkah cara aku meniup itu? Betulkah cara aku memukul gendang itu? Betulkah bunyian yang dihasilkan aku? Kalau belajar tanpa guru itu apa ya? Tentu masing-masing tahu jawapannya. Dan siapa pula yang mengesahkan bahawa permainan yang ditiru dan diajuk itu betul?

Dan kalau ditanya berguru dengan siapa, apa jawapan yang harus diberikan? Saya berguru dengan You-Tube? Saya belajar dengan video rakaman? Saya belajar gitu-gitu aje, tiru-tiru dan tengok orang bermain?

Tapi Bukankah Itu Cuma Adat?
Jawapannya : Ya, memang betul. Kalau begitu, hendak pergi meminang anak dara orang, bawa sahajalah coklat, ayam KFC atau McDonald atau sate kajang. Kalau begitu, tak perlu pergi sekolah atau IPT, belajar sahaja dari internet dan buku. Belajar seni beladiri pun boleh belajar dari VCD atau tiru sahaja di You-Tube.

Tapi Saya Tidak Mahu Bersirih Pinang?
Jawapannya : Ya, sudah tentu juga boleh, mungkin ada guru boleh mengajarnya tetapi kena cari sendiri. Kalau ditanya kami, kami juga tidak tahu di mana mahu mencarinya. 

Saya Belajar Juga Dengan Orang Itu Tanpa Bersirih Pinang
Jawapannya : Ya, sudah tentu boleh, tapi apakah tandaan berguru dengannya?

Boleh Saja Saya Tiup Serunai dan Bergendang Tanpa Belajar Dengan Guru? Dan Saya Hanya Belajar Tiru dari Rakaman, You-Tube?
Jawapan : Ya, silakan. Siapa kata tidak boleh? Terpulanglah pada diri masing-masing.

Bunyi Yang Saya Hasilkan Sama Sahaja? 
Jawapan : Ya, sama tapi tak serupa.

Kesimpulan

Dalam perihal adat istiadat bersirih pinang adalah suatu kewajaran, tanda betapa tinggi nilainya zat budi akal fikir orang Melayu dalam sesuatu tatacara dan mempelajari ilmu. Jikalau mahu dibandingkan dengan zaman ini, boleh dikatakan ia sebagai 'mendaftar'. Sekiranya tidak mahu, boleh sahaja dan terpulang pada diri masing-masing. Ia bukanlah sesuatu yang wajib tetapi amat wajar sekali diberi perhatian dan cuba bandingkan dengan apa yang diperkatakan di atas tadi tentang mempelajari muzik moden, atau pergi sekolah atau mahu belajar ilmu beladiri. Moga tulisan faqir ini dapat membuka cakrawala pemikiran dan menambahkan lagi kefahaman kita tentang salah satu adat istiadat dalam dunia orang Melayu, khususnya yang bersangkutan dengan gendang silat aliran utara. Kalau ada kekurangan, mohon diberi pencerahan lagi, kami masih belajar dan terus akan belajar, Insya-Allah. Juga didoakan agar yang membaca artikel yang tidak seberapa ini mendapat manfaat dunia dan akhirat, amin.

0 comments:

Related Posts with Thumbnails

  © Blogger templates ProBlogger Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP