Wayang Kulit Pak Dain
Wayang Kulit Pak Dain
'Lebih kurang 6
km dari bandar Kota Bharu, merentasi jambatan Sultan Yahya Putera,
melalui jalan Palekbang ke Tumpat, di atas tapak seluas suku ekar di
Kampong Morak, Palekbang, Kelantan. Galeri Wayang Kulit Melayu
Tradisional Kelantan telah dibina. Pembiayaan pembinaannya ditanggung
oleh Muhammad Dain bin Othman. Seorang pesara Kaki Tangan Awam Kerajaan
Malaysia dan Tok dalang Wayang Kulit Wayang Kulit Melayu Tradisional
Kelantan, pada tahun 2008.' (Sumber : klik sini)
Ini mungkin tentu sahaja memberikan inspirasi kepada kami untuk bertindak melakukan sesuatu. Sebelum ini sudah ada angan-angan, tapi apabila melihat usaha yang dilakukan oleh Pak Dain ini, kami lebih teruja dan bersemangat untuk menjalankan usaha pemeliharaan seni budaya dalam konteks yang lebih luas. Bagi kami, usaha beliau amat dipuji, biarlah apa pun yang diperkatakan orang (sudah barang tentu ada cakap-cakap kurang manis dan molek tentang usaha beliau ini di belakang-belakang), namun dia tetap melakukannya demi kesinambungan warisan wayang kulit Kelantan.
Paling dramatik adalah apabila segalanya ditanggung sendiri oleh beliau, tanpa mengharap bantuan mana-mana pihak. Ini sesuatu yang mulia, bahkan kami akan berbincang dengan teman-teman yang mahu melakukan usaha-usaha ke arah pemuliharaan dan pemeliharaan seni budaya Melayu agar tidak terkubur ditelan zaman. Selain dari itu, ia menjadi pusat maklumat, latihan, perkhidmatan penerangan, promosi dan jualan yang berkaitan dengan wayang kulit, termasuklah kraftangan, vcd dan sebagainya.
Objektif Penubuhan:
- Melatih dan memupuk bakat baru dalam seni muzik wayang kulit, yang telah begitu ketandusan pemuzik-pemuzik pelapis.
- Melahirkan seorang dalang wayang kulit yang berpengetahuan dan mahir aspek perdalangan, bukan sekadar seorang pemain wayang kulit.
- Memastikan seni persembahan Wayang Kulit Melayu Kelantan Tradisional tidak pupus.
- Mewujudkan satu pusat akses dan pameran wayang Kulit Melayu Tradisional Kelantan.
- Sumber rujukan dan aktiviti pelancongan.
Terima kasih atas penubuhan pusat ini, ia memberi semangat dan inspirasi kepada golongan baru seperti kami untuk mencontohi usaha yang baik ini. Kami yakin bahawa tempat ini kurang diketahui terutama golongan di luar Kelantan (saya juga hanya kebetulan sahaja terjumpa laman web ini ketika mencari maklumat tentang gendang dan serunai).
Semoga pejuang-pejuang seni budaya Melayu terus kukuh dan agam diri bagi meneruskan sinambungan warisan kita. Amin.
Wayang Kulit Kelantan sudah melebarkan sayapnya, termasuk di Kuala Lumpur, bila pula Wayang Gedek mahu melakukan perkara yang sama? Percayalah, di sini terdapat ramai insan-insan yang teruja untuk mempelajari seni ini dengan bersungguh-sungguh, mahu mewarisinya, tetapi tidak berdaya untuk pergi jauh-jauh kerana komitmen lain.
Kami di sini menanti dengan penuh harapan, moga-moga permainan wayang kulit ini dapat dikembangkan bukan hanya untuk masyarakat Kelantan, Jawa atau Kedah tetapi juga untuk yang lain, begitu juga dengan Wayang Gedek atau Wayang Purwo. Usaha-usaha untuk mengenegahkannya tidak perlulah ditunggu bantuan mana-mana pihak, tetapi melainkan berusaha bergerak sendiri, dengan titik peluh sendiri. Dikir barat, gendang silat, kompang sudah lama ada pertandingan di peringkat kebangsaan, wayang kulit bila lagi?
KAMI SEDANG MENANTI KALIAN PEJUANG SENI WAYANG KULIT UNTUK MENYAHUT PANGGILAN KAMI!
0 comments:
Post a Comment