Wednesday, February 15, 2012

Itulah Nilai Seni Bangsa Sendiri - Di Manakah Nilai Cintamu?


Sumber : Artis Malaysia

Cuba bandingkan bayaran artis Malaysia yang diterima dengan kami? Tentunya ada yang membaca dan mungkin sinis berkata dalam hati, 'Ah mereka itu kan artis, sudah biasa masuk akhbar, tv, majalah, radio, ada album.'

Mari lihat yang ini pula : 


Sumber : Jom Skodeng

Oh yang ini pula artis besar dalam industri, padanlah bayaran mereka banyak.  Biasalah ... 
 .
Di bawah ini pula kadar bayaran untuk belajar muzik di Yamaha Music School. Cuba lihat betul-betul, bayaran untuk individu.



Rasanya sudah sampai masanya bercakap tentang perkara ini. Sudah hampir 14 tahun dalam bidang ini (ini belum dikira orang-orang tua kita yang lebih lama dari kami), bayarannya tidaklah begitu besar. Berapa agak-agaknya bayaran persembahan kebudayaan seperti kami? Ikhlas cakap, untuk majlis perkahwinan yang biasa, tidak pernah lebih dari jumlah bayaran RM 1,000.00 untuk kadar masa 3 jam. Untuk majlis besar-besar pula tidak lebih dari bayaran RM 2, 000.00 (Kalau ada yang menerima lebih daripada ini, alhamdulillah). 

Bagaimana bayaran sekiranya untuk penggambaran stesen televisyen atau produksi penerbitan swasta? Pernah terjadi kepada kami, RM 200.00 (Untuk sehari, dari pagi sampai petang dan jumlah tersebut di bahagi kepada empat orang). Paling-paling tinggi pun kami pernah terima tidak lebih dari RM 1,000.00 (Untuk sehari pagi sampai maghrib). Agak-agak kalau untuk artis berapa ya? Bolehkah agak-agak tuan/puan membayar dengan harga begitu? Mahukah mereka menerimanya? Itu belum kira produksi yang mengambil kesempatan dan memungkiri janji mereka. Stesen TV besar pun cuma mampu membayar tidak lebih RM 300.00 untuk beberapa hari, untuk seorang sahaja. (Tentu kami dikatakan tidak bersyukur bukan?) 'Ah, kalian ini tidak berterima kasih, mujurlah kami mahu mengambil kisah dan persembahan kalian, kalau tidak tiada siapa yang kenal kalian,' mungkin begitu ujaran mereka, mungkin ...

Kami pun bukanlah semata-mata bersifat materi atau kebendaan sangat, tetapi secara logika akal, cubalah seketika duduk, fikir dan renungkan, berapakah nilaian yang tuan/puan letakkan pada seni budaya bangsa sendiri? Berapa? Itupun masih ada tawar-menawar dan kami masih boleh berlebih kurang. Sebab apa kami masih bermain lagi (dengan izin Allah)? Tidak lain tidak bukan kerana kecintaan pada seni bangsa sendiri yang tiada tolok bandingnya. 

Sebab apa kami masih terus bermain? Sebab cintanya kami pada seni budaya bangsa Melayu yang tinggi nilai harganya daripada bayaran artis-artis tersebut (maaf cakaplah, bukan kami anti atau cemburukan bayaran mereka). Biar pedih luluh hati kami dengan bayaran yang diterima, tetapi kami tetap akan perjuangkan seni ini sampai bila-bila. 

Dan apabila suatu masa nanti, seni ini hanya dapat dilihat di video rakaman atau you-tube, jangan salahkan kami kerana tidak memberitahu, jangan salahkan kerana tidak mengkhabarkannya, jangan salahkan kami kerana anak-anak muda masa kini lebih berselera dengan muzik barat,  jangan kata kami tidak pernah menukilkan tentang ini, jangan salahkan kami sekiranya bangsa asing (luar negeri) mempelajari seni budaya Melayu (khususnya bergendang). Mereka sebenarnya jauh lebih menghargai dari apa yang ada di sini (lihat contoh - silat). Tetapi kepada yang menghargai seni budaya ini, kami amat-amat berterima kasih, terutama kepada barisan guru-guru dan pejuang-pejuang seni tradisi sama ada yang masih hidup atau sudah pergi.

Jangan salahkan kami, kerana itulah nilai yang tuan/puan letakkan pada seni budaya warisan sendiri. Itu belum masuk yang mahukan persembahan secara percuma atas alasan mahu mempromosikan muzik seperti bawaan kami. Itu belum kisah mereka yang liat untuk membayar atau menipu dan tidak membayar langsung. Cukuplah semua ini. Suatu masa nanti apabila kesenian Melayu akan berkubur satu demi satu, janganlah lagi mahu menyalahkan kami atau menyalahkan anak-anak muda yang enggan mempelajarinya.

Zaman sudah berubah, zaman sudah silih berganti, minyak dan tol sudah naik tetapi kami tetap akan setia dengan perjuangan kami sampai bila-bila. Biarpun nilaian tuan/puan hanyalah sekadarnya, namun kami tetap bersyukur kepada Allah dan redho atas ujian ini. Walaupun sesetengah orang kita berkata, 'Kami sayang budaya dan seni kami, inilah warisan kami. Jangan dihina, jangan dicaci!' Namun itu hanya cakap semata-mata, tidak pada tindakan.

Untuk itu, kami berterima kasih kepada semua penggiat seni budaya Melayu tanah air yang menghidupkan seni budaya Melayu tanpa mengenal erti jemu, erti penat, erti pedih, erti luka, erti duka, erti miskin, erti sakit, alhamdulillah. Kalianlah sinar kejora di malam yang sepi dan resah serta gelap-gelita, kalianlah sebenar-benar pendokong nafas bangsa, nyawa dan jasad pertiwi tanah air yang tiada tolok bandingan. Biarpun tanpa sebarang penghargaan, tetaplah kalian berjuang sampai habis-habisan. Sebarkanlah rata-rata ilmu seni budaya Melayu ini ke seluruh pelusuk tanah air. Janganlah kalian lelah dan mengalah pada keadaan yang tidak pernah menyetujui dengan kita.

Terima kasih tuan/puan atas penghargaan dan nilaian kepada kami ... setakat itu sahajalah nilaiannya, dengan nilai yang rendah dan tidak seberapa.

Terima kasih tidak terhingga kepada para pejuang seni bangsa tanah air ...  alhamdulillah.

1 comments:

!_Eo February 15, 2012 at 1:26 PM  

patah tumbuh hilang berganti,
patah sayap bertongkat paruh,
yang lama memberi yang baru mewarisi,
adanya tiada, adanya jauh...

biar rupa sehitam arang,
jangan jadi seperti kacang,
susur semula 'cerita' belakang,
takut kelak 'kita' dicincang.

warisan budaya identiti bangsa,
ditinggal sepi tanpa bicara,
pusaka Melayu sepanjang masa,
tidakkah tahu dunia menghargainya???

Related Posts with Thumbnails

  © Blogger templates ProBlogger Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP