Saturday, February 18, 2012

Perkembangan Gendang Silat Utara di Sekolah-Sekolah KL

Di Kuala Lumpur sejarah gendang di peringkat sekolah bermula sedikit lambat. Berbanding dengan negeri-negeri di sebelah utara, terutama Kedah ia sudah lama dimasukkan sebagai salah satu ko-kurikulum. Pada tahun 2007, SMK Cheras, adalah salah sebuah yang terawal mengambil jurulatih luar sebagai tenaga pengajar. 

Sebelum dari itu, kami pernah bermain untuk mengiringi kontijen silat sekolah KL pada awal tahun 2000. Ketika itu juga muzik silat belum lagi dipertandingkan, hanya sebagai pasukan iringan semata (kalau tidak silap saya). Tidak lama kemudian, baharulah ia dipertandingkan. Dan ketika itulah bermula era permainan gendang silat di sekolah-sekolah.

SMK Cheras mengambil kami untuk melatih pasukan gendang silatnya, dan pertama kali mewakili kontijen silat sekolah KL. Saya yang mengajar ketika itu, tidaklah menaruh harapan yang terlalu tinggi, memandangkan ia masih baru dan tidak mempunyai pengalaman membuat persembahan atau masuk bertanding. Kemudian, selama dua tahun berturut-turut, ia mewakili untuk kontijen KL. Selepas dari itu, selama dua tahun, tiada sekolah pun di KL yang mengambil mana-mana jurulatih luar mengajar. 

Pada tahun 2009, kami dihubungi oleh pihak SMK Seksyen 2, Wangsa Maju untuk melatih pasukan sekolah mereka. Dengan ketiadaan peralatan dan serba-serbinya yang kurang, sdr Sharul melatih dan membawa pasukan gendang silat dalam senarai 10. Meskipun tidak menang, ia telah membuka mata pihak sekolah di KL. Kemudian tahun berikutnya, 2011, alhamdulillah pasukan gendang silat dari SMK Seksyen 2 sekali lagi mewakili pasukan iringan kontijen KL. Walaupun ada juga pasukan gendang silat yang berteraskan ensemble idifon, ternyata gendang silat yang berasaskan tiupan lebih menyerlah dan memikat juri pertandingan.

Ketika pertandingan silat sekolah-sekolah di Sarawak lah, yang membuka mata wakil sekolah-sekolah KL bahawa pasukan gendang silat dari KL punya peluang yang besar dan cerah untuk menyerlah. Pasukan gendang silat sekolah KL, walaupun mendapat tempat ke-4, namun jumlah perbezaan mata tidaklah begitu besar. Syukur alhamdulillah, selepas dari itu, gendang silat semakin mendapat tempat di hati para pendidik SMK.


Hinggalah Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan KL (JPWPKL) memanggil kami dan dipertanggungjawabkan untuk menjadi fasilitator bagi Kursus Gendang Silat peringkat WP KL pada 14 Nov - 18 Nov 2011, termpat di Haji Dorani resort (laporannya boleh di baca di sini). Kursus yang memakan masa hampir 5 hari tersebut berjaya menghasilkan para pelajar yang mampu bermain gendang lagu berjalan (irama selingan/lagu rakyat) dan gendang silat. Meskipun ia masih tahap asas, namun kebolehan dan bakat yang ada pada mereka amat menyerlah. Kami sebagai fasilitator berharap benar agar pihak JPWPKL berpuashati dengan gaya dan kaedah kami melatih para pelajar tersebut. Harapan kami, semoga akan ada lagi siri kursus yang sebegini untuk melatih para pelajar, bukan sekadar untuk pertandingan bahkan sebagai salah satu warisan peninggalan lama yang perlu ada penggantinya pada suatu masa kelak. 

2012 menjelang sudah, namun masih terlalu awal untuk menerka sama ada perkembangan gendang silat di peringkat sekolah akan berkesinambungan atau tidak. Kami sentiasa mendoakan yang terbaik, dan dengan adanya kursus selanjutnya sebagai penambahkemahiran  skil permainan yang sudah ada., dapatlah bakat pelajar-pelajar terus berkembang dan tidak terhenti di satu tahap sahaja.

Selain itu, kami juga berdoa agar perkembangan gendang silat di sekolah-sekolah, tidak kira di SMK atau SR akan terus mendapat sambutan. Bukan untuk kami, tetapi untuk kesinambungan warisan yang terus berjalan tanpa mengira siapa yang menjadi jurulatih dan apa juga kekangan serta permasalahan yang timbul.

Kami pula, sebagai fasilitator akan menambaik dan mengemaskinikan lagi kaedah mengajar yang bersesuaian dan memudahkan lagi kefahaman para pelajar yang mengikuti kelas atau kursus gendang silat, Insya-Allah. Dengan ada bantuan dari pihak guru, sekolah dan JPWKL, tentunya pengembangan gendang silat di sekolah2 KL akan menjadi lebih teratur dan mudah serta dapat ditanamkan lagi semangat kecintaan pada seni budaya bangsa Melayu selain untuk pertandingan. Amin.

p/s : Terima kasih kepada JPWPKL, pihak sekolah, guru dan pelajar yang terlibat sama dalam kursus atau pertandingan, mahupun dalam memastikan permainan ini akan berterusan sampai bila-bila.

- SMK sudah mengorak langkah, ayuh pendidik di SR, mari sama-sama kita hidupkan seni bergendang di sekolah tuan/puan!

Sila klik sini untuk menghubungi kami. 

0 comments:

Related Posts with Thumbnails

  © Blogger templates ProBlogger Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP