Tuesday, May 31, 2011

Irama Serunai Kan Bergema Lagi - Amin!

Gambar peserta bengkel

Seharian menjadi jemputan AVA di bengkel asas serunai, agak meletihkan tetapi kepuasan tidak dapat diperkatakan lagi apabila melihat peserta dapat setidak-tidaknya menyambung nafas untuk bermain serunai. Sesi dimulakan dengan teori dan pengenalan pada serunai. Memandangkan bengkel seperti ini memerlukan praktikal hand to hand, maka ia tidak lama. Terus saja ke sesi cara untuk mengambil nafas agar sentiasa bersambung. Syukurlah, dapat juga peserta melaksanakan teori yang diberikan. Teknik yang mudah cuba diberikan melalui pengalaman bengkel yang lepas. Lebih kurang setengah jam, barulah semua peserta dapat mengaplikasikan teori dan teknik yang diberikan.

Masuk pula ke sesi ke-2, penerangan tentang alat 'serunai' diberikan. Saya cuba seboleh mungkin untuk memperkenalkan secara rinci agar peserta dapat mengetahuinya. Mudah-mudahan ia dapat memberikan satu pengetahuan baru tentang serunai yang selama ini disebut-sebut. Kata orang, 'tak kenal, maka tak cinta.' Kemudian teori dan praktikal meniup 'mali' tanpa serunai diadakan. Memandangkan ia adalah suatu perkara yang baru, maka penerangan diberikan agar dapat menjaga ia sebaik mungkin. Risau juga saya, kerana mali serunai kawan2 KGGK. Kalau rosak ke patah ke ... aduhai. Alhamdulillah tiada yang rosak sehingga ke akhir bengkel.Seronok, akhirnya para peserta dapat meniup mali tanpa putus angin, meskipun kesukaran tergaris di wajah peserta, namun dapat juga akhirnya para peserta meniup.

Melihatkan 13 orang peserta dari pelbagai aliran persilatan, dari pelbagai negeri, saya sangat teruja dan berharap agar ia tidak terputus hanya di bengkel sahaja. Yang datang dari Johor, dari Melaka, Selangor - saya respek sungguh. Memang begitulah caranya untuk mendapat ilmu, kata orang - hendak seribu daya.

Seketika berehat, teman-teman dari KGGK tiba. Alhamdulillah, saya beterima kasih kepada semua ahli KGGK yang hadir pada hari tersebut untuk memberi sokongan kepada saya dan para peserta. KGGK membuat persembahan, walaupun menurut AVA, akan bermain dengan peserta, namun tidak ada lagi yang mampu untuk meniup lagu. Dek kerana itu, saya menukar program dengan menjemput ahli KGGK yang lain membuat persembahan.


Kemudian sesi ketiga diambil oleh Cikgu Ramli. Kali ini para peserta diberi peluang untuk meniup peralatan serunai dengan lengkap. Cikgu terus saja menerangkan kaedah dan teknik yang 'ringan' dan mudah agar para peserta dapat mengikuti. Pelbagai bunyi yang dihasilkan, meski begitu, peserta tetap tabah untuk meniup. Sampai kembung2 pipi masing-masing menahan nafas dan cuba menyambungnya semula. Gelihati juga melihat ragam dalam bengkel ini.

Hingga jam 5, barulah bengkel berakhir. Harapan saya moga2 peserta dapat menjalani latihan dengan sedikit ilmu yang dicurahkan. Ada juga katanya peserta yang sudah mempunyai set gendang silat, wah ... itu sudah bagus. Mudah-mudahan para peserta tidak pulang dengan tangan kosong dan dapat mempraktikan ilmu yang diperolehi.

Kesimpulannya - bengkel ini menjadi bukti bahawa segelintir kecil dari kita masih sayangkan seni budaya bergendang. Alhamdulillah.

laporan lain di AVA -sila klik sini.

Saturday, May 28, 2011

Semalam Di Melaka - 27.5.11

Semangat - itulah yang membuatkan kami sampai ke Melaka malam semalam. Bersama Azhar, dari Kump Seri Keramat, kami berdua meredah angin malam bagi menyampaikan hajat dan amanah untuk menghantar gendang yang ditempah oleh rakan di sana. Disebabkan keterlewatan masa, kami hanya sampai di sana jam lebih kurang 9.30 dan terus menyertai Sdr Huzaifah dan Malek, dari Kump Arya Putra - sesi ngeteh! Dan berkenalan pula dengan abg Zul, kami bersembang hinggalah sdr Masrizal muncul (yang menempah gendang).

Gendang anak - Huzaifah, Ibu - Malek :
Kump Gendang Arya Putra


pangkin bergendang di gelanggang gerak tepat

Seronok benar dapat bertemu kawan-kawan dalam minat dan aliran yang sama. Disebabkan itu, apabila cerita orang bergendang, maka bergendang jugalah malam tadi. Memandangkan jam sudah 11 malam, kami tidaklah bermain banyak lagu. Hanya sebagai tanda sama-sama meraikan kawan dan dapat berseronok - itu sahajalah. Tapi yang paling penting dapat memperbaharui semula silaturrahim setelah hanya berhubung di selfon. Dan suasana mesra pun terjalin, ukhuwah bertambah subur dan kukuh.

Bertempat di gelanggang Silat Gerak Tepat di Bukit Baru Dalam, irama warisan ini bergema lagi. Syukurlah rakan-rakan di Melaka sangat prihatin tentang pengembangan silat dan gendang silat. Siap ada gelanggang dan tempat orang bergendang. Bila mengenangkan perkara itu, saya antara perasaan sayu dan gembira. Sayu kerana kami di KL sini pun tiada tempat yang proper untuk bergendang, gembira kerana alhamdulillah, atas izin Allah dapatlah irama gendang utara ini kembang bergerak perlahan-lahan ke selatan tanah air.

Memandangkan kami tidak boleh lama kerana hari ini ada urusan masing-masing, jam 12.30 malam kami beransur semula ke KL. Syukurlah ... jam 2.30 lebih kurang kami sampai.

Friday, May 27, 2011

Kenangan Di Felda Bukit Mendi

sdr Ijan - baju belang paling kiri, pakcik - tiup serunai

Dua foto di atas ini membuatkan teringat ketika pertemuan pertama dengan allahyarham Pakcik Din Guai. Sekitar tahun 2000, di Felda Bukit Mendi, Pahang. Itulah kali pertama saya bersua wajah dengan beliau. Terima kasih kepada sdr Ijan Pahang yang mencetuskan ilham untuk ke sana. Bagai orang mengantuk disorong bantal, ketika itu, saya, cikgu ramli, abg jo dan azam satu kereta, bersama dengan rakan-rakan di Batu 7, Gombak. Kami ke sana atas satu hajat - mahu belajar lagi ilmu gendang.

Kenangan itu masih subur di benak. Melihat pakcik meniup serunai ketika itu membuatkan kami terpegun. Asyik dan mendayu tiupan beliau. Kami di sana dua hari 1 malam. Bergendang, bergendang dan terus bergendang. Teringat kata-kata pakcik,"Yang dah ada tu takpalah, tambah pulak yang baru. Jadi koi banyak cara main." Wajah-wajah abg Juli, abg bad (kini salah seorang ahli kump gendang 5 sahabat) dan abg2 senior dalam bergendang. Saya jadi memar, teringin benar mahu meniup seperti beliau.

Semua itu sudah tinggal kenangan, hampir 11 tahun berlalu, namun ingatan tak pernah terpadam terhadap kenangan di sana. Al-fatehah buat beliau yang banyak menumpahkan kasih, asuh dan asah buat KGGK selain guru yang ada. Akan abadi dan terpahat dalam ingatan sampai bila-bila.

Wednesday, May 25, 2011

Festival Silat Seni Dunia Melayu Dunia Islam

Tempat : Melaka Mall, Jalan Lebuh Air Keroh, Melaka
Tarikh : 3 - 6 Jun 2011
Masa : 10pg - 11 mlm

Pautan di FB

- Satu program anjuran Bersama Sekretariat Dunia Melayu Dunia Islam dan PESAKA.
- Program ini akan menonjolkan pelbagai pertubuhan dan Persatuan Seni beladiri dari dalam dan luar negara dengan sokongan Kerajaan Negeri Melaka.
- Persembahan Seni Beladiri dalam dan Luar Negara (MALAYSIA, INDONESIA, SINGAPURA, BRUNEI dll)
- Menghimpun Guru-guru Persilatan dari seluruh Negara Dunia Melayu Dunia Islam

- Akan dirasmikan oleh YAB DATUK Seri Mohd Ali bin Rustam, Presiden PESAKA merangkap Ketua Menteri Melaka.

Konvensyen & Konvokesyen Seni Beladiri MAGMA 2011



Tarikh : 29 Mei 2011 (Ahad)
Masa : 8.30 pagi - 6.30 petang

Tempat :
Dewan Toh Puan Norashikin,
Kompleks Darul Puteri
No. 564, Jalan Cheras, Km.6
Kuala Lumpur, Malaysia

Semua dijemput hadir.

Naskhah Kumpulan Artikel Gendang Silat

Ini adalah sebuah buku yang saya sedang usahakan penerbitannya secara DIY. Memandangkan ia hanya tinggal editing, saya kira dalam masa sebulan lagi, Insya-Allah, akan diterbitkan di bawah label AVA. Ia adalah artikel-artikel yang pernah saya tulis di Majalah Senibeladiri sekitar tahun 2000-2001. Memandangkan manuskrip ini adalah sebuah dokumentasi tentang gendang silat, maka ia tidak mendapat sambutan daripada penerbit, dengan alasan ia tidak komersial.

Jadi, tunggu apa lagi ... terbit sendirilah. Hampir sepuluh tahun ia tersimpan dan sampailah masanya ia diterbitkan tanpa perlu menunggu mana-mana pihak lagi melainkan usaha sendiri. Lagipun terbit, edit dan semua dilakukan sendiri adalah lebih bebas untuk memotong dan menokok tambah kira dibandingkan dengan menghantar kepada penerbit di luar. Sambil itu, ia tidaklah perlu menunggu que dalam senarai penerbit yang tentunya akan memakan masa. Seperkara lagi, kadang-kadang jenis penerbitan berbentuk dokumentasi berkaitan seni budaya ini royaltinya tidak ke mana. Dalam masa setahun sahaja, penulis buku seperti ini akan melangut, dan penerbit pun sepi tanpa khabar berita.

Ya, pokok pangkalnya, terbitlah sendiri. Usahalah sendiri. Dan secara relatifnya, ia hanya akan dicetak sendiri menggunakan printer biasa, dan tidak akan difotostat untuk mendapatkan sedikit kualiti. Ia tidaklah secanggih sekiranya diterbitkan oleh penerbit. Namun yang terlebih penting ia diharapkan dapat menjadi rujukan sederhana pada peminat seni gendang tanah air. Meski ia tentunya banyak kekurangan, tapi saya percaya ia dapat diperbaiki dari masa ke semasa. Diharapkan pembeli tidaklah memfotokopi hasil 'kecil' ini.

Semoga pembaca akan dapat manfaat dari usaha yang terdaya ini daripada saya. Apabila sudah siap sepenuhnya, ia akan dijual hanya melalui blog sahaja. Itulah sahaja yang saya termampu buat masa ini. Mudah-mudahan ia mendapat sambutan, amin.

Monday, May 23, 2011

Karnival Koperasi KL : 23 Mei 2011

YB Menteri - Sidang Akhbar

Tiga serangkai - Veron, Alif, Sharul

Syukur alhamdulillah, majlis yang bertemakan koperasi yang dianjurkan oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia berjalan lancar, semua atas izin Allah. Meskipun pertanyaan agak lambat daripada pihak pengurusan acara, namun dapatlah juga kami menunaikan hajat mereka untuk menambahserikan majlis yang diadakan. Seawal lagi, saya sudah dapat mengagak Jalan Medah Tuanku yang berhadapan dengan Maju Junction akan menjadi sesak. Di hari biasa pun sesak, apatah lagi majlis diadakan di situ. Tapi kami tak patah semangat, tugas tetap dijalankan.

Pandangan dari belakang pentas

Seawal sehari sebelumnya, taklimat ringkas diadakan. Hanya 10.30 malam barulah dapat diadakan. Sempat jugalah saya dan Azhar Tekpi berborak dari 8.30 - banyak juga topik yang dapat diperbincangkan. :)

Jam 10 pagi, kami baru sampai. Jangkaan untuk raptai penuh pada jam 8.30 pagi tersebut, saya kira baru dimulakan, kerana kami sempat lagi menyertai walaupun jam sudah menunjukkan 10.15 pagi. Tak dan lama, jam 11 pagi menteri pun tiba. YB Dato' Sri Ismail Sabri b. Yaakob tiba dengan paluan kompang. Bahagian kami tiba apabila YB mengetuk gong tiga kali tanda majlis dirasmikan. Ayam Didik bergema. Kemudian ketika YB melakukan lawatan tapak, kami bermain lagi dalam 3 lagu. Selesai sudah hajat penganjur.

Suasana majlis

Tapi hari ini, tugas meniup serunai diserahkan kepada sdr Sharul, jadi dapatlah saya berehat, main gong. Apa-apa pun, kami ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada sdr Azhar Tekpi yang menjemput kami bermain, juga Sdr Hisyam selaku Pengurusan Acara yang bertugas, SKM dan sekalian yang terlibat dalam menjayakan majlis tersebut. Wuallahua'lam.

Sunday, May 22, 2011

Profil Dalam Bentuk Salinan DVD @ Softcopy

Profil dalam bentuk ini sudah lama kami inginkan. Hanya pada tahun 2007, barulah ia menjadi kenyataan. Semasa majlis di Putrajaya dulu, kami mengupah seorang kamera man untuk mengambil gambar dan rakaman video. Lalu terhasillah profil kami dalam bentuk ini. Ia sangat berguna, pernah juga KGGK membekalkan kepada mereka yang bertanya tentang aktiviti dan pengalaman kami, jadi kami berikan profil dalam bentuk kertas dan juga softcopy.

Dalam profil DVD @ softcopy perlulah mengandungi, antaranya :

a) Sejarah penubuhan kumpulan
b) Pengalaman bermain (tarikh dan nama majlis)
c) Lagu-lagu yang dimainkan
d) Contoh lagu (video klip)
e) Gambar-gambar (kumpulan, peralatan, majlis dan sebagainya)
f) Nama ahli dan nombor untuk dihubungi
g) Emel kumpulan
h) mp3 (yang dimainkan oleh kumpulan itu sendiri)

Inilah antara perkara yang selalu ditanyakan oleh mereka yang mahu memanggil sesebuah kumpulan gendang, terutama dari syarikat swasta. Kita akan bekalkan mereka dengan ini agar memudahkan mereka. Sebab kadangkala ia dibawa ke dalam perbincangan atau mesyuarat. Meskipun ia nampak kecil, tapi ia akan banyak memudahkan mereka yang memanggil atau menjemput kita untuk membuat keputusan. Sekian.


Saturday, May 21, 2011

Pertandingan Silat Sekolah2 Kuala Lumpur 2011

Syukur alhamdulillah, Kumpulan Gendang Sekawan Bintang, dibawah asuhan sdr Sharul Nizam memenangi juara untuk peringkat KL. Diberitakan pertandingan silat kebangsaan pada tahun ini akan diadakan di Sarawak. Tahniah kepada sdr Sharul dan pasukan gendang, moga mendapat sedikit kejayaan hendaknya di sana. Apa-pun dalam bertanding, kalah menang itu perkara biasa. Yang penting terus bergendang sampai bila-bila.

Friday, May 20, 2011

Suatu Kisah, Suatu Cerita Hikayat Penglipurlara

"Kalau kita semaikan muzik tradisional ini dalam dada anak-anak kita, anak-anak muda kita, nescaya satu hari muzik lain akan mengambil tempat, kerana dalam dada mereka kosong tidak ada apa-apa...." Itulah kata-kata allahyarham Tan Sri P.Ramlee.

Hati saya bagai tersiat-siat menonton dokumentarinya yang ditayangkan di History Channel, Astro. Sebenarnya sudah lama saya ingin menontonya tapi tidak berkesempatan, jadi terpaksalah menontonya di You-Tube sahaja. Klik sini.

Sepanjang perjalanan hidupnya, jatuh bangun sebagai seorang anak seni itu sebenarnya sudah lama dirasakan oleh orang yang berjuang dalam muzik tradisional. Malah pejuang muzik tradisi tidak pernah inginkan nama, tapi cukuplah sekadar punya waris untuk berjuang dan menyambung tradisi bergendang. Lagipun mana ada rancangan sama di televisyen atau radio yang mempromosikan muzik tradisional gendang silat. Bak kata, salah seorang guru Wayang Kulit saya, "Mana ada rancangan tv yang mempromosi muzik tradisi ni?" Namun P Ramlee, saya kira lebih beruntung kerana mampu dan sempat melalui zaman-zaman kegemilangannya. Dikenali ramai dan memenangi pelbagai anugerah di peringkat tempatan dan antarbangsa. Itupun orang tidak menghargainya di saat-saat akhir beliau, apatah lagi untuk pejuang-pejuang muzik tradisional.

Memang benar, sejauh manakah muzik tradisi ini secara amnya dipromosikan secara betul dan teratur? Mungkin ada, tapi hanya sebahagian kecil sahaja yang mendapat tempat, tetapi bukan semua. Sebab itulah saya katakan bahawa inilah perjuangan yang harus dipikul oleh seluruh pengamal pergendangan Melayu agar muzik tradisi akan terus berkekalan, khususnya pemuzik gendang silat. Berjuang bukanlah untuk mencari populariti tapi cukuplah sekadar ia akan menjadi wadah dan pemyambung kepada generasi akan datang. Apakah tidaknya kita akan menyesal bahawa suatu masa nanti, muzik gendang silat ini mampu didengar melalui mp3 atau ditonton di You-Tube sahaja?

P Ramlee - suatu nama yang besar dalam industri tanah air pun diperlakukan sedemikian oleh orang di sekelilingnya apabila nama sudah jatuh. Tapi itulah anak seni dan perjuangannya. Kalau kata orang 'hidup itu suatu perjuangan,' maka saya pula kata 'perjuangan itu suatu kehidupan.' Bagi barisan guru-guru gendang silat yang berjuang tanpa meminta balasan dan tidak pula berkehendak pada apa-apa, saya mewakili KGGK ... amat, amat berterima kasih kerana sudi mengongsikan ilmunya kepada kami, dengan izin Allah. Kalau tidak, tidaklah kami mengenal apa itu serunai, gendang dan sebagainya.

Berbalik pada cerita P Ramlee, sungguh-sungguh saya katakan bahawa pernah berlaku lebih teruk lagi daripada makan nasi dan telur. Saya sangat terharu apabila mendengar ceritanya. Umpamanya kisah peniup serunai Kumpulan Pak Din Lambung atau Pak Din Johan, siapa yang peduli tentang kisah hidupnya yang hingga ke akhir hayat menyayat hati. Mungkinlah secara peribadi saya tidak pernah bertemu atau berbual sembang dengannya, tapi apa yang dia dapat, sedangkan lagu-lagu tiupannya sering berkumandang di majlis/pertandingan silat. Kadangkala ada yang menggunakan Lagu Kedah atau Lagu Petani (seperti yang tertera di kaset) sebagai lagu iringan untuk bersilat dalam pertandingan. Tiada apa pun dia dapat, cuma usaha pihak rakaman yang mengambil kumpulannya merakam album itu adalah sekurang-kurangya memperkenalkan pada dunia tentang kewujudan muzik gendang silat secara menyeluruh.

Tapi pernahkah di dalam majlis yang menggunakan bunyian dari rakaman mereka itu memberi kredit atas mereka. Tanyalah kepada diri sendiri. Ataupun dalam majlis silat memberi penghargaan kepada mana-mana kumpulan muzik silat? Kalau adapun boleh dibilang dengan jari. Kini lagunya (Kumpulan Pak Din Lambung) bertaburan di intenet untuk dimuat turun, apakah mereka itu mendapat royalti daripada rakaman tersebut atau bagaimana? Tiada siapa yang tahu. Bagaimana yang terjadi kepada P Ramlee apabila Shaw Brothers mengatakan 'the property is ours,' tak kurang, tak lebih agaknya itulah yang berlaku.

Justeru, pengamal pergendangan silat Melayu harus mengambil peristiwa ini sebagai suatu iktibar agar ia dapat diatasi dengan seberapa segera. Cara mana untuk berjuang, atas masing-masing. Selagi ada kederat, selagi itulah kita berjuang untuk menghidupkan muzik silat ini seperti yang dilakukan oleh guru-guru kita. Jangan sesekali patah kandar, terus berehat. Mari ktia terus berjuang sampai bila-bila. Pedulikan tentang anugerah, nama, pangkat - marilah kita berjuang dengan seikhlasnya demi memartabatkan muzik gendang silat Melayu. Ayuh!

Dan kisah P Ramlee diberikan pelbagai anugerah selepas kematiannya, apa guna? Apa gunanya lagi? Semua itu sudah berlalu, barulah kita mahu menangisinya? Begitulah dengan muzik gendang silat, yang masih ada ini, belajarlah bersungguh-sungguh sebelum apa yang pernah dikhabarkan oleh almarhum guru kami, Pak Din Guai tentang dia berjumpa dengan salah seorang pelancong dari Singapura ketika bermain di Makam Mahsuri. Hendaknya jangalah sampai terjadi begitu, amin.

Laman web tribute kepada allahyarham Tan Sri P Ramlee. Al-fatehah untuk beliau, Ramli Puteh @ P Ramlee.

Buku Konsep Muzik Silat Baku

Tajuk : Konsep Muzik Silat Baku

Penulis : Nik Mustapha & Raden Karno A. Hamid
Terbitan : Kementerian Kebudayaan, Kesenian & Pelancongan.

Ini adalah satu-satunya dokumentasi buku yang menyentuh secara rinci tentang notasi muzik gendang silat yang dinamakan 'Muzik Silat Baku.' Seperti yang difahami, bahawa 'baku' di sini bermaksud yang seragam, standardize - merangkumi empat alat asas iaitu serunai, gendang ibu, gendang anak dan gong. Namun penekanan yang diberikan dalam buku ini adalah kepada muzik gendang silat aliran utara.

Topik-topiknya merangkumi peralatan, melodi, sistem notasi dan konsep masa. Selain itu, ia menyentuh tentang proses, teknik penggendangan, huraian ringkas tentang rentak, huraian berkenaan fungsi rentak dan hubungannya dalam kontek persembahan dan selebihnya pada notasi serunai dan gendang ibu, anak.

Ulasan :

Secara amnya, ia bolehlah dikatakan suatu usaha yang baik dalam mendokumentasikan salah satu cabang seni budaya Melayu, yakni gendang silat (tumpuan kepada aliran utara); dan wajarlah ia diangkat serta diperluaskan kepada sistem pendidikan, terutama di sekolah atau IPT. Dalam pada masa yang sama, dapatlah ia dijadikan sebagai panduan atau rujukan asas dalam mengenali dan mempelajari asas bermain muzik gendang silat utara.

Notasi gendang anak dan ibu diperturunkan secara ringkas agar dapat difahami dengan mudah. Gendang ibu merangkumi 9 bunyian asas termasuklah penutup (tapi tiada buka lagu kedah 'chak' ibu dan anak). Istilah yang digunakan juga adalah istilah umum untuk membolehkan kefahaman pada peringkat yang meluas. Sebab, kalau diikutkan permainan gendang Lagu Kedah @ Lagu Silat (istilah biasa yang disebut Lagu Silat oleh kebanyakan penggendang aliran utara) mempunyai istilah-istilah yang khusus untuk pemahaman yang lebih tepat. Namun bagi saya, lambat-laun mereka yang mempelajari gendang ini haruslah mengambil inisiatif bertanya kepada mereka yang biasa dengan permainan gendang silat aliran utara.

Kemudian padanan notasi serunai, gendang ibu dan anak Lagu Kedah diperturunkan. Masih lagi pada tahap asas secara penuh. Apa pun buku ini hanyalah bingkisan kecil, usaha kedua penulis yang mahu melihat agar permainan gendang silat ini berterusan, dan dapatlah dikaji secara ilmiah pada masa akan datang. Usaha ini wajarlah dipuji dan mendapat sokongan dari pihak-pihak berkenaan. Namun buku ini seperti lazimnya tidak mungkin akan dipasarkan sepertimana buku lain terbitan kementerian berkenaan. Ia hanya tersimpan dan hanya orang-orang tertentu sahaja yang mendapat akses.

Saya kira pelajaran dalam buku ini juga merupakan aturan pergendangan @ silibus pelajaran yang diterapkan dalam subjek gendang silat bagi kursus Jurulatih Seni Budaya Negara (JSBN) yang diadakan suatu ketika dahulu; yang kini sudah suam-suam kuku. Bunyia-bunyian ibu itu dapat saya ketahui kerana saya juga menghadiri kursus ini dahulu.

Berbalik kepada buku ini, walaubagaimana pun pernah saya bertanyakan kepada rakan penggendang yang juga bermain muzik moden dan mampu membaca notasi. Kata beliau, notasi yang dihasilkan terdapat juga kelemahannya. Ada susunan yang kurang tepat dan tidak kena. Meskipun umum mengetahui bahawa allahyarham Pak Raden adalah merupakan salah seorang guru gendang silat aliran utara, namun penulisnya, Nik Mustapha bukanlah pemain muzik gendang tradisi silat kedah. Jadi tidak hairanlah kiranya berlaku kelemahan dalam penyusunan notasi.

Bagi saya yang tidak berapa faham tentang notasi ini, masih lagi berpegang bahawa membaca buku ini adalah untuk pemahaman asas. Sekiranya mahu mempelajarinya, mestilah berguru seperti yang dimaklumi ramai. Kerana masing-masing faham bahwa apa maksudnya kalau belajar tidak berguru? Tak perlulah saya ulas tentang itu, namun sistem untuk mempelajari gendang silat adalah secara berguru, bukan secara membaca. Kalaupun dia mampu membaca notasi yang tersebut, tetaplah jua dia perlu untuk mengadap guru sebagai pembuka jalan kepada ilmu dalam bidang pergendangan.

Kesimpulannya, buku ini hanyalah asas dan boleh dibaca untuk difahami. Secara jelas, apa pun ilmu pergendangan ini perlulah berguru. Imam Syafie menyatakan, "Sesiapa yang tafaqquh (mengambil faham) dari perut kitab, maka dia telah kehilangan hukum-hakam". Para ulamak juga menyebutkan, "Antara kebodohan terbesar, adalah menjadikan helaian-helaian sebagai syaikh". baca lanjutnya tentang belajar tanpa guru di sini.

Kredit dan al-fatehah kepada :
1) Almarhum Tuan Guru Hj. Anuar Abd. Wahab - yang memberikan saya buku ini untuk difotokopi.

2) Almarhum Tuan Raden Karno A.Hamid - yang memberikan sumber dan maklumat untuk buku ini ditulis dan disusun oleh Tuan Nik Mustapha.

p/s : Sesiapa yang berhajat untuk memiliki buku ini (dalam bentuk fotostat), boleh memberikan nama, alamat untuk penghantaran dan no telefon ke emel serunaifaqir72@gmail.com Setiap buku dicaj RM 30.00 (untuk upah fotosat dan penghantaran secara pos ekspres). No. akaun Maybank @ CIMB (sila pilih) hanya diberikan melalui emel. Terima kasih.

Wednesday, May 18, 2011

Laporan Bengkel Penyelarasan Muzik Seni Silat Kebangsaan 1994

Sekali lalu membaca laporan ini, dapat saya mengertikan bahawa ia adalah suatu bengkel yang memperbincangkan tentang penyelarasan untuk menghasilkan muzik silat Malaysia. Ia diadakan selama 3 hari oleh Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan (nama lama bagi Kementerian Penerangan, Komunikasi & Kebudayaan), dengan kerjasama PESAKA, UM, DBKL. Menurut senarai peserta dalam laporan ini adalah seramai 37 peserta yang mewakili pelbagai badan, aliran, majlis dan perguruan silat.

Diantara perbincangan yang diadakan meliputi sekitar :

i) Penyelarasan identiti muzik silat
ii) Pergerakan persembahan silat
iii) Peta wilayah muzik silat
iv) Kategori silat seni dalam pertandingan
v) Alat muzik asas
vi) Ciptaan baru
vii) Ciri-ciri muzik silat
viii) Peraturan pertandingan gendang
viiii) Alat dan nama lagu

Umum mengetahui bahawa irama gendang silat di tanah air terdiri daripada pelbagai bentuk, rupa peralatan dan bunyiannya. Maka bengkel ini antara lain adalah untuk menyelaras dan menghasilkan bentuk-bentuk muzik gendang silat baru tanpa menjejaskan keaslian muzik gendang tradisi yang asal. Usaha ini suatu perkara yang harus dipuji tapi ke manakah agaknya pergi resolusi yang diputuskan dalam bengkel tersebut? Ke mana hilang semuanya?

Dan bagaimana agaknya pula mahu memadukkan bunyian utara, pantai timur dan selatan? Apakah secara tidak langsung ianya akan menjejaskan keaslian bunyian gendang silat yang asal? Meskipun pada telinga orang luar yang tak tahu menahu tentang muzik gendang silat di Malaysia, merasakan bahawa itulah muzik kita, namun masyarakat di tanah air lebih mengerti. Saya tidak nampak logiknya di situ. Apapun perbahasan dan perbincangan ini sudah lama berlalu, hampir 17 tahun ia sudah berlalu. Kini, gendang silat masih di takuk yang lama. Bukanlah maksud saya untuk menidakkan hasil dan usaha yang dilakukan selama ini untuk menaikkan gendang silat Melayu, tapi apakah kini ia sudah berganjak ke suatu arah yang lebih baik atau bagaimana? Atau kini ia sudah terbengkalai begitu sahaja?

Sebab itu, KGGK dengan kerjasama AVA, mengambil inisiatif untuk mengadakan bengkel gendang silat secara sendiri tanpa pertolongan dan bantuan mana-mana pihak, demi melihat perkembangan khususnya aliran gendang silat utara, terutama di sebelah KL dan ke negeri di bawahnya, seperti Melaka, Negeri Sembilan, Johor dan termasuklah Singapura.

Ini semua dilakukan tidak lain tidak bukan demi melihat kesinambungan muzik ini agar berterusan sampai bila-bila. Biarpun tanpa kemudahan yang fasiliti yang lengkap, namun inilah sekadar usaha yang mampu dilakukan oleh KGGK bagi menyambung usaha barisan guru yang sudah sekian jerih menyampaikan ilmu ini kepada generasi kini. Bak pepatah kata lama, "Bagaimana gendang, begitulah tarinya." Bagaimana pula sekarang muzik gendang silat boleh dimansuhkan dari pertandingan peringkat kebangsaan dan dunia? Ini sangat-sangat tidak boleh diterima, di manakah logik dan berapa kuatkah alasan yang diberikan hingga terjadi sedemikian rupa? Sedangkan muzik silat sudah bergema berbelas-belas tahun di arena pertandingan di setiap peringkat, bagaimana ia boleh dimansuhkan begitu sahaja?

Tinggalah kini (kalau ditinjau dari pihak Kementerian), hanya Kementerian Pelajaran yang masih mengekalkan muzik gendang silat dan sekaligus dipertandingkan di peringkat sekolah. Terima kasih KGGK ucapkan kepada seluruh warga Kementerian Pelajaran. Sekurang-kurangnya, KPM menjadi agen penggalak ke arah perkembangan muzik ini. Biarpun hanya di peringkat sekolah, namun ia menjadi petanda bahawa muzik gendang silat, insyallah tidak akan pupus sampai bila-bila.

Kepada seluruh penggiat pergendangan silat Melayu, saya ucapkan terima kasih kerana ANDALAH penyambung warisan bagi memastikan muzik gendang silat tidak akan berkubur sampai bila-bila. Teruskan usaha yang murni ini, dan jangan sesekali kita berundur walau apa jua rintangan yang melanda. Hadapilah dengan tabah dan sentiasa berdoa dan bertawakkal kepada Allah agar akan terus ada penyambung wadah seni budaya Melayu ini. "TAKKAN MELAYU HILANG DI DUNIA!

Salah Sebut

Tidak kisahlah, sama ada salahkah, atau salah panggilkah, atau salah mengertikah, atau salah sebutkah, semuanya dikategorikan sebagai kesilapan yang seharusnya diperbetulkan dengan seberapa segera.

Salah sebutan @ panggilan yang sering berlaku dan terjadi terhadap kumpulan gendang (mungkin bukan semua) terjadi tidak kira dari pihak tuan rumah atau DJ atau Emcee. ataupun dari masyarakat sendiri. Meskipun bukan semua, tetapi itulah yang kerap berlaku di majlis sama ada majlis perkahwinan dan sebagainya, malah pernah juga terjadi pada KGGK dalam majlis yang amat rasmi dan berprotokol. Antaranya menyebut kumpulan gendang sebagai :

i) kumpulan nobat
ii) kumpulan nafiri
iii) kumpulan rodat
iv) kumpulan kompang

Dan yang paling terjdi adalah nombor i) dan ii). Amat jauh sekali beza antara permainan gendang silat dan gendang nobat, baik dari segi fizikal peralatan mahupun status atau hierarki dalam permainan muzik tradisi Melayu. Tentunya, muzik nobat hanyalah dikhususkan untuk raja dan sultan semata untuk majlis yang berkaitan, sedangkan muzik gendang silat secara umumnya untuk majlis atau persembahan yang berkaitan dengan silat. Sebutannya sahaja sudah berbeza apatah lagi dari banyak seginya.

Ada pula menyebut serunai sebagai :

i) nafiri
ii) seruling
iii) trumpet

Mudah-mudahan dengan penerangan serba ringkas ini dapat mendatangkan pengetahuan dan manfaat buat semua. Sayugia dengan itu, dapatlah masyarakat mengenal dan membezakan permainan gendang silat dengan muzik tradisi yang lain, Insya-Allah.

Kumpulan Gendang - Kumpulan Gamelan?

Di bawah berikut adalah surat jemputan yang ditujukan pada KGGK sebagai bukti dan contoh bahawa permainan gendang silat masih lagi tidak dikenali. Tandanya perjuangan masih jauh dan terletak di atas bahu para pengamal gendang di seluruh tanah air agar ia menjadi permainan yang dikenali. Teringat kata-kata Ku Seman Ku Hussein dalam salah sebuah artikelnya di Mingguan Malaysia yang mengatakan bahawa seni budaya di tanah air ibarat tomato. Maksud yang saya faham bahawa seni budaya di sini sudah tidak menjadi darah daging lagi. Sekadar ada, jangan tiada langsung.


Apa fikir teman-teman seperjuangan? Adakah kita masih lagi tidak mahu berjuang bersungguh-sungguh dalam membangunkan permainan gendang silat? Blog kumpulan gendang masih sepi dan tidak dikemaskini dengan cerita terbaru? Masih lagi mahu bermalas-malasan? Saya menyeru kepada teman-teman seperjuangan, marilah kita sama-sama menggembeling tenaga dan memperbaharui iltizam dalam memperjuangkan irama ini secara bersungguh-sungguh, insyallah, suatu masa nanti akan ada hasilnya, amin.

Gendang punya buat, gamelan dapat nama. Beruntung orang gamelan, tahniah kepada anak bangsa kita yang tidak mahu mengambil tahu tentang budaya sendiri. Ia tampaknya kecil pada sesetengah orang dan merasakan ia adalah remeh-temeh dan tak perlulah dipersebsar-besarkan tentang isu ini. Tapi harus diingat, yang kecil itulah nanti yang akan merebak menjadi besar dan menjadi barah dalam masyarakat orang Melayu kita.

Marilah wahai rakan-rakan sekalian, kita memperkasakan kumpulan gendang dan irama yang kita cintai ini, ayuh!

Tuesday, May 17, 2011

Murtabak Singapore



Orang Muar semua tahu tentang murtabak ni. Malah di sekitar Muar sewaktu bulan puasa, kedapatan juga peniaga yang menjualnya. Kelazatannya, tak boleh nak cakap, nanti kata saya promo lebih-lebih pula. Ada juga kedai di Parit Naib Kadir yang menjual murtabak yang sama, tapi harga lebih murah, mutu dan rasanya tetap sama - ada kelas!

Lokasi : Tanjung Agas, Muar

Sate Madura

Saya sudah lama teringin untuk mewujudkan label - makanan ni. Tujuannya hanyalah untuk mempromosikan makanan tradisi orang Melayu kita. Seringkali dalam kembara atau latihan bergendang di satu2 tempat, kadangkala kami dibawa oleh rakan-rakan untuk menikmati juadah tempatan di situ. Rugi pula rasanya kalau saya tidak mengabadikan di blog ini, sambil2 mecatatkan laporan bergendang, sambil2 promo makanan di tanah air. Sekian.

Untuk entri ketiga ini, saya ingin memperkenalkan sate madura ... sodap banget! Sekali cuba terasa nak cuba lagi! Meskipun namanya 'madura' tapi kita kan serumpun, apa kisah ... janji sedap.

Sate Madura

kuah kacang, katanya tidak dimasak tetapi diasah - memang sedap!

Lokasi : Sekitar Taman Melawati, KL

Monday, May 16, 2011

Selamat Hari Guru 2011

Untuk tahun ini KGGK tidak mahu terlepas lagi dari mengucapkan selamat hari guru dan iringan doa sejahtera, kesihatan berkekalan, murah rezeki dan bahagia dunia akhirat kepada barisan guru KGGK yang sejak dahulu sudi mengongsikan ilmu pergendangannya. Ibarat kata sesetengah orang, daripada mereka, mengenallah kami sedikit sebanyak A, B, C dalam dunia bergendang dan berserunai. Kami bersyukur amat dengan izin Allah, kerana dengan kesudian barisan guru menerima kami sebagai murid. Memang kalau mahu dihitung tidak terbalas jasa mereka.

Apa yang mampu dilakukan adalah meneruskan perjuangan dan warisan pergendangan Melayu aliran utara ini setakat mana yang daya. Tidak boleh dibayangkan bagaimana penat lelah guru2 terdahulu memastikan (dengan izin Allah) untuk memperpanjangkan seni ini agar sentiasa berkesinambungan dan berterusan sampai bila-bila. Tentunya banyak halangan dan cabaran dalam mengembangkan ilmu bergendang ini, jika dibandingkan dengan kami yang masih mentah lagi ini.

Segala nasihat dan pesan serta pengajaran sentiasa melekat di sanubari dan akan segar sampai bila-bila, dan kami juga berdoa agar ia akan berpanjangan hingga ke generasi akan datang. Dan pada hari 15hb terteralah Hari Guru seluruh Malaysia, maka dengan itu, kami KGGK mengucapkan sekali lagi selamat hari guru kepada barisan guru kami yang dikasihi. Kepada yang sudah tiada, mari sama2 kita sedekahkan bacaan fatehah buat mereka, bukan sahaja utk guru2 KGGK tetapi juga kepada seluruh guru2 gendang silat yang sekian tabah dan setia menaburkan jasa dan bakti kepada anak bangsa. Jasamu kami akan kenang sampai bila-bila. Terima kasih wahai guru sekalian ... terima kasih dan terima kasih.

Memperkasakan Kumpulan Gendang : Bahagian 1

Entri kali ini berlainan sedikit. Sengaja saya tuliskan agar dapat dikongsi bersama dengan para pembaca dan menjadi suatu iktibar kepada kita semua hendaknya. KGGK sudah hampir mencapai 11 tahun usianya. Begitu juga dengan kumpulan gendang rakan-rakan lain yang usianya malah hampir mencecah puluhan tahun, terutama yang berada di sekitar utara. Dan permainan gendang silat ini pun sudah tua benar usianya. Maka semenjak itulah sebenarnya tiada satu usaha yang kukuh untuk menaikkan permainan gendang silat. Ibarat kata, kalau ada pun bagai melepas batuk di tangga.

Usaha-usaha ke arah itu boleh dikatakan hampir kosong persen. Maka dengan sebab itulah umum kurang mengenali mengenali permainan ini, apatah lagi di khalayak yang lebih besar. Timbullah panggilan yang pelbagai terhadap kumpulan gendang, ada yang memanggilnya kumpulan rodat, kumpulan nobat, kumpulan nafiri, kumpulan gamelan (yang kami alami sendiri), begitu juga yang memanggil serunai sebagai seruling, nafiri , trumpet dan sebagainya. Malah ada yang lebih parah apabila bertanya kami, permainan apakah ini?

Bukan setakat itu, malah KGGK pernah mendaftar bawah Jabatan Kesenian KL, tapi sehingga kini tiada sebarang panggilan untuk mengadakan persembahan atau sebagainya. Tapi tidak mengapa, KGGK terus bergerak menjalankan amanah yang diberikan oleh barisan guru-guru.

Baik, sekaranglah masanya untuk kumpulan gendang silat mengatur langkah untuk keluar dari kemelut yang sekian lama melanda dan bergerak lebih jauh secara profesional. Antara cadagannya adalah :

A) DOKUMENTASI

1) Mengadakan Kad Nama (name card) kumpulan gendang masing-masing
Boleh dikatakan sewaktu mengadakan persembahan di mana-mana, akan ada samada orang perseorangan atau pihak penganjur, DJ atau Emcee memintanya sebagai promo atau ada orang lain yang bertanyakan nombor untuk berhubung dengan kumpulan gendang yang membuat persembahan.

2) Mengadakan Profil Kumpulan
Profil ini selalunya diminta apabila yang menjemputnya terdiri dari pihak kerajaan atau swasta atau aktiviti yang melibatkan VVIP, biasanya penganjur akan meminta salinan. Profil hendaklah mengandungi maklumat ahli kumpulan, sejarah penubuhan, pengalaman bermain dan sebagainya. Profil boleh disediakan dalam bentuk dokumen atau softcopy (vcd atau dvd).

3) Mengadakan Resume Peribadi
Ini terutamanya melibatkan hal-ehwal yang mahukan sesebuah kumpulan atau tenaga pengajar itu mengajar di sekolah, IPT atau mana-mana badan kesenian, khususnya untuk mana-mana jurulatih yang akan menjadi tenaga pengajar.

4) Menyiapkan Kertas Kerja
Untuk persediaan kumpulan apabila dipanggil masuk mengajar di mana-mana IPT atau yang melibatkan institusi.

5) Menyediakan Silibus Asas
Ini juga melibatkan persediaan kumpulan apabila dipanggil mengajar di mana-mana badan dan IPT. Pembelajaran sebenarnya masih terletak pada tangan jurulatih yang mengajar. Ini cuma yang dikatakan on paper. Kadangkala kedapatan IPT yang mahukan panduan silibus. Memandangkan ia adalah prosedur biasa, maka kumpulan gendang hendaklah menyiapkan seadanya. Ia samasekali tidak mengikat seseorang jurulatih itu pada silibus ini.

6) Membuat Akaun Facebook dan Blog Kumpulan Masing-Masing
Ini merupakan jurnal (blog) dan hebahan aktiviti kumpulan gendang masing-masing. Hampir 4 tahun KGGK mempunyai blog sejak 2007, alhamdulillah ada juga sedikit perkembangan positif melaluinya. Tujuan fb dan blog ini bukanlah untuk berbangga-bangga mendapat persembahan dari pelbagai pihak dan sebagainya, tetapi ia bersifat laporan untuk mereka yang berminat memanggil sesebuah kumpulan itu membuat persembahan. Ini adalah merupakan dokumentasi bersifat maya dan boleh dibaca oleh banyak pihak. Juga bagus sekali untuk promosi sesebuah kumpulan. Setakat ini hanya beberapa kumpulan sahaja yang aktif berblogging, kebanyakan yang lain blognya berhabuk. Disamping dengan adanya blog ini dapatlah mana-mana individu atau kumpulan yang berminat mencari dan mempelajari irama gendang silat, bolehlah mencari kumpulan gendang yang terdekat di kawasan mereka. Sebab itulah saya mewujudkan GGESIM yang kini sedikit dingin sambutannya.

7) Membuat Akaun Youtube
Semua orang tahu tentang youtube. Jadi, kita sebagai kumpulan gendang, letaklah beberapa buah video klip kumpulan masing-masing dan pautkan ke blog masing-masing. Tujuannya adalah memang ada kedapatkan mereka yang mahu menjemput kumpulan gendang ingin melihat terlebih dahulu bagaimanahkah permainan gendang silat. Jadi, disebabkan kadangkala kekangan masa dan halangan2 lain, maka tidak dapatlah kita menerangkan satu per satu maklumat dan permainan gendang silat. Jadi, untuk menggantikan perkara itu, pautkan video klip yang sudah dimuatnaik ke blog kumpulan masing-masing. Dan ini akan memudahkan penganjur atau mereka yang ingin menjemput melihat contoh permainan yang ada.

8) Menyertai GGESIM
Ini adalah blog untuk mendokumentasi sebanyak mungkin kumpulan gendang yang ada di tanah air. Meskipun kini, agak suam2 kuku dan penyertaannya sedikit dingin akhir-akhir ini, namun saya positif ia adalah untuk jangka masa panjang, akan ada lagi kumpulan2 gendang yang akan menyertainya kelak. Sila klik sini.

p/s : Sekiranya ada cadangan dan pandangan lain-lain, mohon diletakkan di ruangan komen untuk sejahtera dan manfaat dunia pergendangan silat seluruh tanah air. Terima kasih.

Merak Kayangan - Suatu Episod Cinta

pasangan raja sehari

Hari Ahad pula, jemputan bermain di Merak Kayangan. Dua minggu sebelum majlis, Cik Nadia (kini puan) sudah menempah kami. Majlis kali ini bermula agak awal sedikit dan berakhir juga agak awal dalam 2.30 petang. Ketika di sana, saya disapa oleh pengantin lelaki, En Sobri, dalam hati saya macam pernah tengok mamat ni tapi di mana ya. Lama2 baru saya teringat beliau pernah memasuki rancangan realiti tv, Akademi Fantasi musim ke-10 kalau tidak silap saya tapi tidak berjaya.

Namun begitu majlis yang berlangsung, sangat meriah - dengan paduan warna merah sebagai tema, dewan yang mendamaikan. Memang tidak salah lagi kalau majlis yang diadakan itu amat membahagiakan. Saya kata kepada Cikgu Ramli, suasana dalam dewan ini agak mendamaikan jiwa. Beliau senyum sahaja.

Tugas kami dibahagikan pada dua sesi. Sesi pertama jam 11.45 hingga hampir jam 1 petang. Kemudian sewaktu makan, kami bermain lagi, diselang-seli dengan ucapan MC, tayang montaj serta biodata yang dibacakan oleh rakan mempelai.

Terima kasih kepada tuan rumah, Pn Nadia dan suami yang menjemput kami dan rakan2 juga KGGK yang turut menjayakan majlis tersebut. Alhamdulillah.

p/s : Makanan - terbaik!

Putrajaya Oh Putrajaya

Bertempat di Dewan Kejiranan, Presint 9, kami menunaikan hajat tuan rumah yang menjemput kami untuk memeriahkan majlis perkahwinan anaknya. Alhamdulillah majlis berjalan dengan lancar semuanya. Syukurlah sudah dua, tiga kali bermain di situ, jadi tidaklah menggelabah nak cari tempatnya. DJ pun best, cuma satu sahaja yang kurang menarik apabila kami dipanggil kumpulan gamelan. Sedangkan kad nama sudah diberi, siap dengan nama kumpulan. Aduhai ... orang kita.

Bagaimanapun terima kasih kepada tuan rumah kerana sudi menjemput kami untuk menambahserikan lagi majlis walimatulurus anaknya.

Malam

Dek kerana teringat Azam (pemain gendang anak) yang khabarnya gering akibat terjatuh basikal, saya mengajak Cikgu Ramli untuk menziarahinya. Maklumlah, hari untuk ke Singapura sudah tidak lama lagi, risau juga tentang keadaan kesihatannya. Mujurlah hanya tanganya terseliuh dan tidak mengalami sebarang retak atau patah. Kalau tidak kacau juga kerana tempahan tiket kapal terbang ke sana sudah tetap. Alhamdulillah, malam itu hanya tinggal bengkak sedikit dan dijangkakan akan pulih sebelum ke bumi Temasik pada 3-5 Jun kelak.

Hampir jam 11 malam, barulah kami beransur kerana keesokan harinya ada jemputan di Merak Kayangan, Jalan Semarak pula. Kami, ahli KGGK mendoakan agar sdr Azam cepat pulih dan dapat memberikan persembahan yang terbaik di sana nanti, amin.

Monday, May 9, 2011

Bengkel Pembuatan Stanjak @ Destar @ Tengkolok - 25 Jun 2011

Untuk menggalakan lagi perkembangan seni budaya bangsa, KGGK membantu mengiklankan Bengkel Pembuatan Stanjak@Destar@Tengkolok yang diadakan oleh rakan sekutu kami, AVA. Iklannya di bawah : (sila klik sini untuk ke blog mereka)


"Sekali bernama Destar
Keduanya bernama Tanjak
Ketiganya bergelar Tengkolok
Yang di ujung kepala
Dipakai berpatut-patut
Yang beradat berlembaga
Yang beradat berketurunan
Yang dijaga dipelihara
Yang bertempat dan bertepatan
Yang ada asal usulnya."
(sumber asal : Seni Rupa Siti)
Selanjutnya : baca di sini.

Tarikh :

25 Jun 2011 (Sabtu)
Masa :
9pg - 4.30 ptg

Tempat :
PKG Hulu Klang, sila klik peta di sini


Yuran :
RM 150.00 (kepada peserta yang berminat dikehendaki membayar RM 50.00 sebagai booking fees) atau boleh membayar penuh.

Jumlah Peserta :
Terhad kepada 10 orang sahaja


Sila klik di bawah :
Info :
Merupakan bengkel ulangan yang terdahulu atas permintaan ramai. Sepatutnya sudah masuk siri ke-2, tetapi atas permintaan dan maklumbalas yang diterima, AVA mengadakannya semula siri 1 ini.

Objektif :

Untuk mengekalkan warisan pembuatan stanjak di kalangan peminat.


Status Bengkel :

Bengkel ini dibuat secara tertutup atas permintaan pembimbing.


Jenis Ikatan Stanjak Yang Dibengkelkan :
- Solok Timbo
- Lang Menyongsong Angin (Pahang)
-Dendam Tak Sudah

Makan minum disediakan.
Kemudahan tempat solat.

Bengkel pembuatan stanjak yang lepas : klik sini.

Monday, May 2, 2011

Bagai Delima Merekah ...

Mengiringi anak-anak yatim pulang ...

Inilah pengalaman pertama KGGK dijemput oleh wedding planner, D'Jari Artz, dan juga atas permintaan peribadi pihak pengantin perempuan yang mahukan majlis diserikan dengan tiupan serunai dan paluan gendang. Seawalnya Cik Ain (kini Pn Ain) menghubungi secara emel dan mahu menempah, diikuti dengan Cik Syida yang menelefon untuk tempahan dan perbincangan seterusnya.

Tiba hari yang dijanjikan, saya, sdr Sharul & Arif serta Cikgu Ramli terus ke sana. Mujurlah Arif tahu jalan ke situ, jadi mudalah sedikit kerja. Taklah melilau sangat. Terus sahaja disambut oleh Cik Syida. Katanya ada majlis dengan anak yatim, tapi saya tersilap dengar - 'ada majlis dengan Rais Yatim.' Akhirnya saya menjadi gelak kerana perkara yang melucukan itu. Dey, macam mana boleh silap dengar daaa ....

Emcee (uncle Khairi) dan DJ yang super cool

Bersama Uncle Khairi ... (sumber gambar : Blog Mister Emcee)

Pagi2, majlis meraikan anak-anak yatim diadakan. Kami dimaklumkan oleh Uncle Sofi (tak ingat nama) majlis akan bermula jam 1 petang. Mendengarkan itu, kami menyantap terlebih dahulu dan duduk bersembang sesama kami. Tiba waktu yang dijanjikan, majlis berarak dijalankan, itupun pada jam 1.30 petang, dengan paluan gendang keling. Majlis seterusnya diteruskan dengan bacaan doa, kata-kata aluan oleh MC dan iringan lagu dari DJ yang super cool. Majlis bertambah menarik apabila MC yang gerek membacakan teksnya yang disulami dengan pantun-pantun malar segar yang mengujakan. Saya senyum beberapa kali mendengarkan pantun yang adakalanya mencuit hati.

selesai majlis : Mat Arif, Cikgu Ramli & Sharul

Tepat jam 3 persembahan kami selesai dan terus pulang. Petang itu juga menerima panggilan dari rakan kami sdr Akib, Kumpulan Gendang Warisan Pusaka (agaknyalah nama ni...) yang berasal dari Manjoi, Perak. Katanya mereka akan bergendang di Hotel Dorsett dan megundang kami untuk bergendang sama.

Malam

Suasana dalam dewan majlis

Terus sahaja balik dari Kepong, saya dan sdr Sharul bergegas ke Subang Jaya pula, untuk memenuhi hajat rakan-rakan. Setibanya di sana saya berkenalan pula dengan Bang Not Kuehteow (bapa Akib) dan keluarganya. Tapi kami takdan sembang lama, majlis akan bermula pada jam 8. Kami terus bersiap dan menanti saat yang ditunggu.

Sdr Akib dan Shahrul

8.30 malam, pengantin sampai dan kami mengiringinya masuk ke dalam dewan yang serba indah dan bermain lagu silat untuk adik-adik dari perguruan Cimande. Meskipun indah, namun sayang kami dibiarkan duduk tanpa sebarang alas. Katanya, sudah dimaklumkan paling tidak pun duduk di atas karpet, tapi akhirnya dilayan begitu sekali. Hati saya sedikit panas mengenangkan jenis mereka yang melayan pemuzik tradisi semacam ini. Kami pun berlalu tanpa sebarang ucapan terima kasih dari mana-mana pihak sekalipun. Hati panas, perut lapar, cepat-cepat kami beredar.

Gambar kenang-kenangan

p/s : Terima kasih kepada Puan Ain yang menjemput KGGK memeriahkan majlis di rumahnya. Terima kasih juga kepada Akib dan Bang Not yang menjemput kami untuk bergendang di Hotel Dorsett. Terima kasih kepada semua pihak yang terlibat.

Cerita dari blog Uncle Khairi - super cool MC.

Related Posts with Thumbnails

  © Blogger templates ProBlogger Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP