Suatu Kisah, Suatu Cerita Hikayat Penglipurlara
"Kalau kita semaikan muzik tradisional ini dalam dada anak-anak kita, anak-anak muda kita, nescaya satu hari muzik lain akan mengambil tempat, kerana dalam dada mereka kosong tidak ada apa-apa...." Itulah kata-kata allahyarham Tan Sri P.Ramlee.
Hati saya bagai tersiat-siat menonton dokumentarinya yang ditayangkan di History Channel, Astro. Sebenarnya sudah lama saya ingin menontonya tapi tidak berkesempatan, jadi terpaksalah menontonya di You-Tube sahaja. Klik sini.
Sepanjang perjalanan hidupnya, jatuh bangun sebagai seorang anak seni itu sebenarnya sudah lama dirasakan oleh orang yang berjuang dalam muzik tradisional. Malah pejuang muzik tradisi tidak pernah inginkan nama, tapi cukuplah sekadar punya waris untuk berjuang dan menyambung tradisi bergendang. Lagipun mana ada rancangan sama di televisyen atau radio yang mempromosikan muzik tradisional gendang silat. Bak kata, salah seorang guru Wayang Kulit saya, "Mana ada rancangan tv yang mempromosi muzik tradisi ni?" Namun P Ramlee, saya kira lebih beruntung kerana mampu dan sempat melalui zaman-zaman kegemilangannya. Dikenali ramai dan memenangi pelbagai anugerah di peringkat tempatan dan antarbangsa. Itupun orang tidak menghargainya di saat-saat akhir beliau, apatah lagi untuk pejuang-pejuang muzik tradisional.
Memang benar, sejauh manakah muzik tradisi ini secara amnya dipromosikan secara betul dan teratur? Mungkin ada, tapi hanya sebahagian kecil sahaja yang mendapat tempat, tetapi bukan semua. Sebab itulah saya katakan bahawa inilah perjuangan yang harus dipikul oleh seluruh pengamal pergendangan Melayu agar muzik tradisi akan terus berkekalan, khususnya pemuzik gendang silat. Berjuang bukanlah untuk mencari populariti tapi cukuplah sekadar ia akan menjadi wadah dan pemyambung kepada generasi akan datang. Apakah tidaknya kita akan menyesal bahawa suatu masa nanti, muzik gendang silat ini mampu didengar melalui mp3 atau ditonton di You-Tube sahaja?
P Ramlee - suatu nama yang besar dalam industri tanah air pun diperlakukan sedemikian oleh orang di sekelilingnya apabila nama sudah jatuh. Tapi itulah anak seni dan perjuangannya. Kalau kata orang 'hidup itu suatu perjuangan,' maka saya pula kata 'perjuangan itu suatu kehidupan.' Bagi barisan guru-guru gendang silat yang berjuang tanpa meminta balasan dan tidak pula berkehendak pada apa-apa, saya mewakili KGGK ... amat, amat berterima kasih kerana sudi mengongsikan ilmunya kepada kami, dengan izin Allah. Kalau tidak, tidaklah kami mengenal apa itu serunai, gendang dan sebagainya.
Berbalik pada cerita P Ramlee, sungguh-sungguh saya katakan bahawa pernah berlaku lebih teruk lagi daripada makan nasi dan telur. Saya sangat terharu apabila mendengar ceritanya. Umpamanya kisah peniup serunai Kumpulan Pak Din Lambung atau Pak Din Johan, siapa yang peduli tentang kisah hidupnya yang hingga ke akhir hayat menyayat hati. Mungkinlah secara peribadi saya tidak pernah bertemu atau berbual sembang dengannya, tapi apa yang dia dapat, sedangkan lagu-lagu tiupannya sering berkumandang di majlis/pertandingan silat. Kadangkala ada yang menggunakan Lagu Kedah atau Lagu Petani (seperti yang tertera di kaset) sebagai lagu iringan untuk bersilat dalam pertandingan. Tiada apa pun dia dapat, cuma usaha pihak rakaman yang mengambil kumpulannya merakam album itu adalah sekurang-kurangya memperkenalkan pada dunia tentang kewujudan muzik gendang silat secara menyeluruh.
Tapi pernahkah di dalam majlis yang menggunakan bunyian dari rakaman mereka itu memberi kredit atas mereka. Tanyalah kepada diri sendiri. Ataupun dalam majlis silat memberi penghargaan kepada mana-mana kumpulan muzik silat? Kalau adapun boleh dibilang dengan jari. Kini lagunya (Kumpulan Pak Din Lambung) bertaburan di intenet untuk dimuat turun, apakah mereka itu mendapat royalti daripada rakaman tersebut atau bagaimana? Tiada siapa yang tahu. Bagaimana yang terjadi kepada P Ramlee apabila Shaw Brothers mengatakan 'the property is ours,' tak kurang, tak lebih agaknya itulah yang berlaku.
Justeru, pengamal pergendangan silat Melayu harus mengambil peristiwa ini sebagai suatu iktibar agar ia dapat diatasi dengan seberapa segera. Cara mana untuk berjuang, atas masing-masing. Selagi ada kederat, selagi itulah kita berjuang untuk menghidupkan muzik silat ini seperti yang dilakukan oleh guru-guru kita. Jangan sesekali patah kandar, terus berehat. Mari ktia terus berjuang sampai bila-bila. Pedulikan tentang anugerah, nama, pangkat - marilah kita berjuang dengan seikhlasnya demi memartabatkan muzik gendang silat Melayu. Ayuh!
Dan kisah P Ramlee diberikan pelbagai anugerah selepas kematiannya, apa guna? Apa gunanya lagi? Semua itu sudah berlalu, barulah kita mahu menangisinya? Begitulah dengan muzik gendang silat, yang masih ada ini, belajarlah bersungguh-sungguh sebelum apa yang pernah dikhabarkan oleh almarhum guru kami, Pak Din Guai tentang dia berjumpa dengan salah seorang pelancong dari Singapura ketika bermain di Makam Mahsuri. Hendaknya jangalah sampai terjadi begitu, amin.
Laman web tribute kepada allahyarham Tan Sri P Ramlee. Al-fatehah untuk beliau, Ramli Puteh @ P Ramlee.
0 comments:
Post a Comment