Tabuh Gendang dan Langsing Serunai di Jitra & Pendang
Jam 11.30, saya tercangak-cangak di hentias bas Bukit Jalil. Rasanya, lama juga tidak ke Kedah menaiki bas. Termenung bila melihat suasana di situ sambil mencari-cari platfom 7. Matahari di atas kepala menggigit ubun-ubun. Melihatkan jam jarum jam sudah tepat menunjukkan waktu jam 12, bas masih tidak kelihatan.
Apabila bas tiba, saya cepat-cepat menaiki - untuk menghilangkan rengsa bahang di hentian tersebut. Seat untuk seorang, cantik - tidak bertangguh bas Durian Burung meluncur ke destinasi yang ditetapkan. Lebih kurang jam 6.45 petang, saya turun di Jitra.
Rakan sealiran sudah menunggu - sdr Fauzi. Kami pun pekena kueh teow di depan Yawata. Kata Fauzi, sedap kueh teow di situ. Tapi sebabkan cap free, saya sental sahaja. Hanya hampir jam 12.30 malam, barulah sdr Bulat sampai. Kami sambung sembang dan akhirnya masing-masing sudah keletihan. Beransurlah kami ke rumah Pak Teh Mat.
Hari Pertama 27.10 (Penggambaran di rumah Pak Teh Mat Khir, Pak Teh Mid, Hanim dan Tok Saat)
Pagi
Pagi-pagi lagi En Amin sudah menelefon mengatakan bahawa mereka akan sampai sekejap lagi. Menggelupur saya bangun kerana risau mereka sampai, saya takdan mandi lagi ... hehehe. Memang tepat jam 9, van TV3 terpacul di hadapan rumah. Tabik! Masa memang depa jaga sungguh, Tak bertangguh pula saya menelefon Pakteh yang sibuk menguruskan beberapa majlis pada hari tersebut. Memang sejak dari mula penggambaran, depa memang tepat dari segi masa.
Apabila semua sudah ada, penggambaran dijalankan di luar rumah. Lokasi yang dirasakan mempunyai sudut yang terbaik dan cantik dipilih oleh krew tv3. Tikar dibentang, gendang, gong dibawa. Sementara itu, krew tv3 sibuk memasang alat dan kamera. Saya dan Bulat hanya memerhatikan sambil mengambil beberapa keping gambar untuk diabadikan di FB KGGK dan blog.
Selanjutnya sesi penggambaran dimulakan. En Amin mula menemuramah Pakteh dengan pelbagai pertanyaan dan persoalan. Satu demi satu dijawab dan diterangkan, hinggalah membawa pada demo gendang silat Kedah dan Patani. Saya pun disuruh berlakon juga, memukul gendang. Hentam!
Dari rumah Pakteh, kami ke rumah Hanim pula, kenduri kahwin dia. Hanim dulu ni merupakan salah seorang (penggendang anak) ahli kumpulan Srikandi, di bawah seliaan Pakteh juga. Tapi kini sudah berpecah kerana masing-masing membawa haluan.
Tidak cukup dengan rumah Hanim, kami ke Kampung Malau pula. Menurut Pakteh ada kenduri cucunya berkhatan. Apa lagi krew tv3 macam pucuk dicita ulam mendatang, selepas Zohor kami tiba di sana, jam 2 petang. Kami tumpang van mereka, dan dari tepi jalan kami dapat melihat beberapa khemah didirikan. Bunyi paluan gendang silat dan tiupan serunai segera menyucuk dan menggesa saya untuk keluar dari perut van dengan pantas. Dapatlah berjumpa dengan rakan2 yang lama tak jumpa.
Persembahan silat pulut oleh otai-otai
Sementara krew tv3 macam lipas kudung, mengambil gambar dan rakaman orang bergendang dan bersilat. Satu demi satu pasukan dan pasangan silat masuk bermain. Saya rasa puas benar dapat melihat orang bersilat dan bergendang. Dan bertambah puashati dapat membawa krew tv3 ke rumah Tok Saat untuk merakam di majlisnya.
Namun masa berlalu begitu pantas, jam sudah menunjukkan 3 petang. Saya dan krew tv3 bergegas pula untuk ke rumah Pakteh Mid di Kuala Lanjut, Pendang. Perjalanan hanya mengambil masa 40 minit sahaja dari Jitra.
Petang
Setibanya di sana, saya dapat melihat satu suasana yang menarik. Bangsal dipenuhi oleh pemain gendang yang asyik dan leka mengalunkan irama warisan. Sementara ibu2 dan anak2 memenuhi ruang dan bagaikan ada temasya kecil yang berlangsung. Namun, akhirnya barulah saya tahu Pakteh Mid membuat kenduri kecil sempena kehadiran krew tv3 dan kami yang hadir.
Pihak krew tv3 tidak bertangguh. Terus mengatur tempat dan lokasi yang terbaik untuk merakam perjalanan hidup Pakteh dan juga permainan irama gendang silat. Saya dan Bulat keletihan, hanya melepak di tepi dan menyaksikan krew tv3 yang sibuk menjalankan tugasannya. Duduk di tepi rumah, kami berbual-bual dengan anak-anak Pakteh. Sehingga lewat jam 7 petang, barulah penggambaran selesai.
Dari wawancara, hinggalah rakaman ringkas cara membuar serunai dilakukan. Saya hanya senyum lega kerana dapat membawa mereka ke sini. Dan bertambah lega pula, kerana tidak perlu berlakon. Diri memang kepenatan yang sangat amat. Hujan renyai-renyai turun tatkala senja menginjak tubir masa, saya dan Bulat keletihan.
Malam
Meskipun sesi penggambara sudah selesai, namun pada sebelah malam selepas Isyak, sesi bergendang di teruskan. Mula-mula saya dan bulat bermain. Santak ke pukul 10, Bang Li (peniup serunai), datang. Saya lega, kerana masih belum mandi sedari petang tadi. Dalam masa kesibukan orang bergendang, saya menyelinap keluar dari bangsal dan membersihkan diri. Selepas itu, hanya duduk di bawah dan memerhatikan dari jauh.
Semakin larut, semakin jadi bergendangnya. Lagu yang ditiup tak putus-putus. Irama padang pasir, lagu-lagu lama Melayu, lagu Hindustan sulam menyulam. Hanya sesudah hampir selesai bergendang, saya menghampir bangsal kerana terasa ingin mencuba tiup serunai Bang Li yang merengek-rengek. Memang sedap sungguh serunai beliau, tapi kalau tak pandai ambil angin dan menggayakan, jadi sumbanglah. Dalam hati, teringin juga nak ada serunai yang bunyi macam itu.
Selesai orang bergendang, saya dan Pakteh Mid, meniup pula serunai-serunai yang dipesan oleh rakan-rakan dari Melaka. Jenuh mencari suara, mali yang sesuai, pipit yang elok. Dalam hati saya, memang tak mudah untuk memilikki serunai yang elok suaranya. Patutlah harga serunai agak tinggi, padanlah dengan kesukaran untuk membuat dan mencari suaranya. Santak jam 3 pagi, barulah selesai lima batang serunai. Sobri (anak pakteh) pula sibuk membuat mali tambahan yang dipesan oleh rakan-rakan gendang di KL dan Perak.
Hampir dua jam, Sobri dengan teliti membuatnya. Saya puashati melihat keadaan mali yang begitu. Pakteh kepenatan, saya sambung menyembang pula dengan Sobri sehingga jam 5 pagi. Ayam sudah berkokok, barulah saya merebahkan diri di atas tilam yang disediakan. Sungguh, sungguh bukan mudah untuk menghasilkan serunai yang baik. Jadi, padanlah dengan harga yang sebegitu. Kalau orang dengar macam mahal, tapi bila sudah lihat sendiri baru saya tahu betapa bukan mudah untuk menghasilkan serunai yang baik suaranya.
28.11
Oleh kerana perjalanan krew tv3 akan ke Gurun dan balik ke KL, saya minta jasa baik En Amin untuk menumpang van. Alhamdulillah, akhirnya kami terdampar pula di Gurun. En Amin singah sebentar untuk membuat rakaman majlis Seminar ADMAA (Awang Daud Martial Arts Academy). Lama juga kami berada di situ sementara menantikan majlis selesai.
Hingga jam lebih kurang 3/3.30 petang, kami bergerak semula ke KL dalam keadaan hujan lebat dan renyai hinggalah sampai KL. Jam lebih kurang 12.30 kami tiba di KL dengan selamatnya, alhamdulillah.
Ucapan terima kasih kepada : Pak Teh Mat Khir sekeluarga, keluarga Hanim, Keluarga dan rakan-rakan Tok Saat, keluarga Pak Teh Mid dan rakan-rakan beliau. Juga kepada krew tv3 yang bertungkus-lumus mengambil gambar dan rakaman.
Akan datang di Jengka 6, Pahang - sesi penggambaran terakhir, Insya-Allah.
0 comments:
Post a Comment