Monday, June 7, 2010

Tari Ular Di Kg Perlis, Bukit Merah Taiping, 28 Mac 2010

Abg Mat meniup serunai, sebelah kiri saya (tanpa songkok)

Saya hampir terlupa memasukkan entri kami ke Kampung Perlis, Bukit Merah, Taiping. Tapi setelah melihat gambar abang Mat Telok Intan, saya teringat kembali kisah kami bergendang di sana. Memang dua sebelum entri ini ditulis, abg Mat menghubungi saya, mengatakan beliau bergendang di Surau Haji Jabar, Setapak. Tapi saya tidak dapat datang kerana ketiadaan kenderaan ketika itu. Lagipun malam yang sama kami bergendang di Taman Melawati.


Sebetulnya, saya mengikut Sdr Sharul ke Kedah kerana agak lama tidak ke sana. Bersama Alif dan Rizal, kami ke rumah Pak Teh Mat Khir. Nanti saya masukkan entrinya. Pesan beliau sebelum kami beransur agar ke Bukit Merah, Taiping untuk membantu rakan pergendangan di sana kerana dihubungi oleh Pakcik Man. Setibanya di sana, hampir maghrib. Jalan masuk ke sana pun memang agak dalam. Sangkakan tidak jauh sangat. Berliku-liku perjalanannya, termasuklah melepasi sebuh tasik/empangan yang besar.

Nama tempat tersebut adalah Kampung Perlis, kerana menurut Pak Teh Mat Khir, di situ terdapat ramai orang-orang Perlis yang bermastautin di situ. Lepas sahaja tol Bukit Merah, saya menghubungi Pakcik Man, beliau menghantar anak buahnya untuk mengambil kami di situ. Setibanya di rumah Pakcik Man, kami mandi dan solat maghrib terlebih dahulu. Sempat juga kami berbual-bual.

Pakcik Man mengatakan dulu, memang mereka menjemput Pak Teh Mat ke situ untuk mengajar gendang tetapi tidaklah lama sangat, kerana jadual Pak Teh Mat yang agak sibuk. Disebabkan itu, saya dan rakan-rakan yang sememangnya mahu pulang ke KL disuruh oleh Pak Teh atas jemputan mereka.

Malam itu rupanya majlis meraikan sempena tamatnya khatam Silat Seni Warisan di situ. Kami pun tumpang seronok juga memandangkan itulah kali pertama kami tiba di situ. Acara dimulakan dengan beberapa ucapan rasmi Tok Ketua kampung, wakil ADUN dan dua, tiga lagi ucapan. Sampai masanya, barulah adik-adik dari perguruan Silat Warisan mempersembahkan permainan mereka. Kami suruh oleh abang Mat untuk makan terlebih dahulu. Terpaksalah kami makan dengan malu alah kerana duduk semeja 'orang-orang besar'. Bukan malu alah apa, tak selesa nak makan lebih-lebih :) Tambahan pula selepas itu, abang Mat mengatakan kami akan bergendang pula, sedangkan lau-pauk, huh ... memang sedap. Ikan keli bakar, masak lemak cili api dan sebagainya. Cepat-cepat saya mengambil kerusi yang paling hujung, jauh sedikit daripada tetamu VIP.

Selepas makan, kami bergendang pula. Beberapa pasang adik-adik bersilat, mempersembahkan seni permainan Silat Warisan. Dan acara yang paling menarik adalah mengiringi permainan ular, oleh Pak Ya, guru Silat Warisan. Sebelum itu, Pak Ya mempersembahkan permainan api.


"Main lagu Sangam lepas ni. Nak iring permainan ulaq," kata abg Mat. Berderau sekejap darah saya apabila terdengar perkataan ular, Saya senyum dan angguk.

Tak lama kemudian Pak Ya membawa kotak ke tengah gelanggang persembahan. Saya pun tak bertangguh memainkan lagu sangam (Bol Radha Bol). Dimulakan dengan tari ular, dan permainan ular kapak (agakan saya). Kemudian yang paling meresahkan adalah permainan ular tedung.

Saya memainkan lagu 'Nagin' pula. Kali ini persembahan bertambah panas. Ular tedung itu kata abg Mat baru sahaja dijumpai di bendang 3 hari sebelum persembahan. Saya menelan air liur. "Bukan jenis jinak ni, masih liar!" tambah abg Mat lagi.

Persembahan yang dipertontonkan memang mencemaskan. Adik-adik silat bertempiaran melompat dan melarikan diri apabila ular itu mula merayap dengan bebas, tetapi masih dalam kawalan Pak Ya. Walau apa pun, saya berdebar juga apabila ular itu meluru ke tempat kami bergendang. Hehehe ... Lama juga permainan tersebut, hinggalah tamat permainan alhamdulillah tiada apa-apa perkara buruk yang berlaku.

Saya memberitahu abg Mat, kalau ular itu datang dekat, memang saya lompat. Abg Mat cuma gelak dan mengatakan jangan risau kerana dalam kawalan Pak Ya. Apa pun bermain di Bukit Merah merupakan kenangan manis yang kami takkan lupakan sampai bila-bila pun. Tambahan pula layanan Pakcik Man dan abg Mat yang amat ramah dan selesa. Terima kasih orang Kampung Perlis yang baik hati dan ramah!

0 comments:

Related Posts with Thumbnails

  © Blogger templates ProBlogger Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP