Tuesday, June 29, 2010

Kump Gendang Anak Harimau dan Kump Gendang Langgam Mustika

Kumpulan Gendang Langgam Mustika,
Singapura.
(kredit : dari FB Sharingan Ismadi)

Kumpulan Gendang Anak Harimau
Batu Gajah, Perak
(kredit dan dari FB Kump Gendang Anak Harimau)

Tiada perkataan lain terucap dari bibir, melainkan syukur kepada Allah apabila melihat perkembangan pelatih-pelatih dari Perak dan Singapura. Meskipun masih di tahap awal, alhamdulillah sudah dijemput untuk bergendang. Syukur kepada Allah. Semoga mereka dapat mengembangkan lagi di tempat masing-masing disamping melanjutkan lagi pembelajaran dalam pergendangan silat aliran utara.

Friday, June 25, 2010

Awang Batil




Artikel ini disalin dari laman blog Awang Batil
(sekiranya tuan punya blog tidak bersetuju disiarkan di sini, mohon dimaklumkan gemalakasturi@yahoo.com supaya ia boleh dipadam. Tujuan pemaparan di blog ini adalah untuk mengumpul seberapa banyak peralatan dan permainan muzik Melayu untuk tatapan umum agar generasi akan datang tidak lupa dan kenal akan rupa budi bangsanya sendiri.)

Di negara Malaysia, terdapat tokoh-tokoh yang memperkembangkan sastera rakyat. Tokoh-tokoh tersebut dikenali sebagai penglipurlara. Pada zaman dahulu, penglipur lara akan bercerita dari sebuah rumah ke sebuah rumah. Cerita-cerita tersebut bersambung-sambung dan memakan masa selama beberapa malam untuk dihabiskan.

Di antara tokoh-tokoh penglipurlara tersebut dikenali sebagai Awang Batil. Seseorang penglipurlara digelar Awang Batil kerana semasa mempersembahkan ceritanya, Awang Batil akan memukul sebuah batil yang berbunyi nyaring sambil bercerita dengan menggunakan melodi seolah-olah sebuah nyanyian ringkas. Irama pukulan batil itu bertindak sebagai muzik latar ketika Awang Batil bercerita.

Di negeri Perlis terdapat seorang tokoh Awang Batil iaitu Encik Mahmud bin Wahid (kini Allahyarham) sebagai penglipurlara. Beliau tinggal di Kampung Pokok Sena Chuping, Perlis.
Bakat beliau kini telah digantikan oleh anaknya iaitu Encik Ramli bin Mahmud.
Seseorang yang ingin mewarisi cerita-cerita Awang Batil hendaklah menyediakan sirih pinang, sintuk, asam dan kemian kepada gurunya. Apabila muridnya ditepuk bermulalah si murid mempelajari cerita-cerita Awang Batil sambil memukul batilnya.

Pukulan batil itu amat besar gunanya. Irama dari pukulan batil itulah sebagai sumber ilham cerita yang menjelma di fikirannya. Ketika itu juga seseorang Awang Batil dapat membahagi-bahagikan ceritanya. Bila pukulan itu terhenti maka akan terputuslah ilham sesebuah cerita.

Sebelum memulakan sesebuah persembahan cerita, Awang Batil terlebih dahulu menjalankan upacara tradisi iaitu memasukkan air ke dalam batil kemudian menyapu ke kepala dan mukanya. Dia menyuap pinang tiga piak, kemian diasap dan batil diriba lalu bermulalah persembahan Awang Batil. Upacara memulakan sesuatu persembahan terpaksa memakan masa kira-kira setengah jam. Dia menggunakan jampi dan mentera. Jampi itu termasuklah bertabik atau memberi salam kepada tuan rumah, kepada gurunya dan meminta dijauhkan daripada mara bahaya.

Ketika persembahan dilakukan, selain memukul batil dia juga menggunakan topeng. Ada dua buah topeng yang digunakan iaitu topeng hulubalang dan topeng Wak Nujum. Apabila sesuai dengan watak-watak dalam sesebuah cerita lalu dipakailah topeng-topeng tersebut.

Ini tentulah lebih menarik perhatian penonton. Topeng tersebut diperbuat daripada kayu, biasanya kayu tui dan disapukan dengan warna kemerah-merahan. Persembahan Awang Batil ini dengan cara berseloka yang amat menggelikan hati. Beginilah permulaan ceritanya :

Hei! Riuh rendah gegak gempita,
Inilah hamba nak mula cerita,
Hang tengok kat aku, aku tengok kat hang,
Hang kuit aku, aku kuit kat hang,
Hang gelak kat aku, aku gelak kat hang,
Hang jeling kat aku, aku jeling kat hang,
Hang kejip mata, aku kenyut misai,
Hei beginilah mula ceritanya……

Di antara cerita-cerita yang sering dipersembahkan ialah : Raja Dewa Lok, Raja Bersiung, Raja Berdarah Putih, Anak Lang Pak Belang, Cerita Angan-angan, Jabat Jabit, Abu Nawas dan Awang Ada Duit Semua Jadi.

Persembahannya sering diadakan di majlis–majlis perkahwinan dan di malam-malam keramaian. Biasanya tempat persembahannya dibuat di rumah kecil setinggi 3 atau 4 meter. Di keliling rumah tersebutlah penonton-penonton mengikuti ceritanya sehingga dinihari. Sesebuah cerita persembahannya kadang-kadang memakan masa dua sehingga lima malam. Cerita yang bersambung-sambung ini biasanya dipersembahkan di sebuah rumah yang menjemputnya mempersembahkan Awang Batil terutama lepas musim menuai padi.


SENARAI CERITA AWANG BATIL


1. Mek Siti Galin
2. Awang Akar Larak
3. Awang Biawak
4. Awang Denoi
5. Awang Geliga Embun
6. Awang Malim Awang Leman
7. Awang Segan
8. Jabak Dan Jabek
9. Malim Deman
10. Raja Dewa Lok
11. Raja Darah Putih
12. Raja Marakarma atau Awang Betui
13. Raja Radin Mas atau Pak Long Nujum
14. Raja Sultan Dewa atau Awang Ada Duit Semua Jadi
15. Si Tokong Boge atau Batu Belah
16. Thap Thin Thong

PERALATAN AWANG BATIL

Terdapat beberapa jenis peralatan yang digunakan di dalam sesebuah persembahan Awang Batil. Alat utama adalah batil yang diperbuat dari tembaga. Batil digunakan untuk memainkan rentak sebagai mengiringi persembahan, batil dipukul dan Awang Batil menyanyikan ritma rasminya. Topeng juga adalah penting untuk menunjukkan sesuatu watak di dalam penceritaanya. Selain dari alatan tersebut, alat muzik violin, rebana anak dan serunai juga digunakan. Awang Batil perlu mahir bermain alatan muzik tersebut.

BATIL

Batil adalah alat yang paling penting yang digunakan di dalam sesuatu persembahan awang batil.Batil yang digunakan diperbuat daripada tembaga. Batil ialah bekas yang digunakan untuk menakung air di dalamnya. Batil yang digunakan oleh En Ramli adalah peninggalan dari arwah bapanya iaitu Pak Mahmud. Didalam batil tersebut terdapat tulisan yang telah hampir pudar dan sukar untuk dibaca. Mengikut En Ramli, ianya adalah petikan dari kitab Tajul Muluk.



TOPENG

TOPENG TOK NUJUM

TOPENG HULUBALANG


Menurut En Romli, kedua-dua topeng ini telah berusia lebih dari 300 tahun. Topeng ini dibuat dari kayu 'tui'. Topeng ini digunakan ketika awang batil bercerita tentang watak hulubalang, ahli nujum atau jin. Ianya diwarnakan dengan warna merah dan putih.

REBANA

Rebana yang digunakan di dalam sesebuah persembahan awang batil diperbuat daripada kayu nangka. Encik Ramli membuat sendiri rebana ini. Kulit yang digunakan pula ialah dari kulit kambing. Kulitnya ditegangkan dengan menggunakan tali yang diperbuat dari rotan. Lagu-lagu yang biasa dimainkan dan diiringi dengan pukulan rebana ini ialah seperti Umpan Jinak Di Air Tenang dan Manis Manis Manis yang berentak joget.

SERUNAI


Berbeza dengan serunai kelantan, serunai ini hanya berukuran 14 inci panjang. Ianya lebih merupakan serunai tradisional perlis. Serunai ini dibuat dari kayu nangka dan dihiasi dengan ukiran daripada tulang lembu yang ditanam di atas batang nangka tersebut. Terdapat tiga bahagian pada serunai tersebut iaitu kecopong atau serombong, badan dan naling. Pipitnya dibuat dari daun tai dan diikat dengan benang. Terdapat enam lubang pada bahagian atas badannya dan satu lubang di bahagian bawahnya. En Ramli membuat sendiri serunai ini mengikut kesesuaian dengan cara ia bermain.

Keratan akhbar Kosmo! Rabu 28 November 2007.

Akhbar harian Kosmo telah menyiarkan artikel dalam ruangan Rencana Utama sempena Festival Kesenian Rakyat Malaysia 2007 anjuran KeKKWA yang berlangsung di ibunegara.
Dalam gambar tu, saya dan Tok Awang sedang mempersembahkan Awang Batil di Time Square.

Keratan akhbar harian Kosmo!

Pada masa ini, hanya terdapat seorang sahaja penggiat Awang Batil iaitu Encik Romli Mahamud. Beliau adalah seorang petani. Beliau mempersembahkan Awang Batil iaitu sebuah persembahan seni penceritaan tradisional atau penglipurlara yang menggabungkan cerita dan muzik dengan menggunakan batil sebagai alat iringan untuk bercerita. Minat Romli terhadap Awang batil bermula sejak zaman kanak-kanaknya kerana beliau sering mengikuti persembahan yang dilakukan oleh bapanya iaitu En Mahmud bin Wahid yang juga penutur Awang Batil pada masa dahulu.

Romli mula mempelajari seni Awang Batil daripada bapanya pada tahun 1966 dengan mengikuti setiap persembahan yang dilakukan oleh bapanya. Walaubagaimanapun Romli tidak pernah menyampaikan Awang Batil secara solo atau berseorangan sehinggalah tahun 1997. Persembahan secara solo beliau bermula pada tahun 1977 di Tasik Melati, Perlis.

Romli mula terlibat dengan aktiviti kesenian bermula dari umurnya lapan tahun dimana beliau bermain gendang terinai iaitu sebuah kumpulan muzik yang mengiringi tarian tradisional melayu klasik. Sejak tahun 1993 hingga 1996, Romli bekerja sebagai pemuzik tradisional di Badan Kesenian Pulau Pinang. Pada masa itu beliau sering mengikuti badan tersebut medngadakan persembahan hingga ke luar negara seperti Hadyai dan Geneva. Pada tahun 1998 beliau telah mempersembahkan Awang Batil dalam sebuah rancangan terbitan TV3 iaitu Majalah 3. Tahun 2001 beliau telah membuat persembahan di Singapura yang dianjurkan oleh Kerajaan Negeri Perlis.

Pada tahun 2003 pula beliau telah merakamkan Awang Batil untuk Jejak Bahasa, iaitu sebuah program Dewan Bahasa dan Pustaka dalam TV3. Pada 12 April tahun yang sama, beliau telah merakamkan Awang Batil untuk program Kazanah Irama dalam RTM 1. Beliau juga sering mengadakan persembahan di sekolah-sekolah dan universiti-universiti tempatan.

Pada tahun 2004, pihak DIGI telah mengambil inisiatif untuk memperkembangkan seni ini. Pihak Digi telah megadakan program memperkembangkan seni ini dengan menghantar Romli untuk mengajar murid-murid sekolah sekitar negeri Perlis tentang persembahan Awang Batil. Pihak KeKKWA juga telah mengadakan Program Perantisan Awang Batil yang mana ianya bertujuan memperkembangkan seni ini supaya ianya tidak hilang begitu sahaja memandangkan ianya tidak mempunyai pewaris. Seramai enam orang aktivis seni di negeri Perlis telah terpilih untuk mengikuti program ini termasuklah saya sendiri.

Atas usaha dan inisiatifnya di dalam bidang seni, beliau telah di anugerahkan Pingat PJK sempena Hari Keputeraan DYMM Raja Muda Perlis pada tahun 2006.

HASRAT AWANG BATIL (ENCIK ROMLI BIN MAHMUD)

Orang Seni biasanya adalah seorang yang sensitif, begitu juga dengan Romli. Romli, yang lebih mesra saya panggil dengan panggilan Bang Li telah meluahkan rasa hatinya kepada saya sendiri pada malam 22 Nov 2007 di Hotel Plaza Kuala Lumpur. Dalam perbualan kami, beliau seolah-olah sedikit kecewa dengan persembahan Awang Batil yang kini semakin kurang mendapat sambutan. Pada pagi sebelumnya kami berdua telah membuat persembahan di Time Square Kuala Lumpur dan persembahan itu ternyata kurang mendapat sambutan.

Ini terjadi mungkin kerana penonton yang rata-rata terdiri dari pelancong antarabangsa."Bang Li rasa tak seronok la cikgu, sekarang ni persembahan Awang Batil dah tak dapat sambutan macam dulu dah, budak-budak pun dah tak mau tengok dah Awang Batil ni" katanya. Ekoran dari rungutan itu, saya mengambil inisiatif untuk melakukan sesuatu supaya kekecewaanya dapat diubati.

Pada malam itu juga saya memanggil dua orang kawan saya iaitu Yusri Edoo (Raja Lawak Pertama Astro dan Saiful Andree Jan untuk berbincang tentang perkara tersebut. Setelah berbincang, kami membuat keputusan yanag mana untuk persembahan pada keesokan harinya kani akan melakonkan semula tentang cerita yang dituturkan oleh Awang Batil. Ini bererti persembahan Awang Batil akan diberi nafas baru, Awang Batil bercerita dan kami akan melakonkan cerita tersebut dalam bentuk persembahan teater.

Keesokkannya, di Pasar Budaya, kami telah melaksanakan apa yang kami rancang, ternyata mendapat sambutan hangat dari penonton yang rata-rata faham dengan lakonan yang kami lakukan. Awang Batil tersenyum puas dengan persembahan pada hari itu, dan kami bertiga gembira dapat mengubati kekecewaan Tok Awang Batil. Walaubagaimanapun, Awang batil yang 'original' tetap kami utamakan dan tidak akan hilang oleh pembaharuan tersebut.

GAMBAR LAKONANN TEATER AWANG BATIL DI PASAR BUDAYA PADA 23 NOV 2007




Kisah Awang Akar Larak – sinopsis oleh Sulong Ismail

Pada suatu ketika ada seorang petani yang hidupnya terlalu miskin. Oleh kerana kecewa dengan kemiskinanya beliau akhirnya bertekad untuk mencabut nyawanya sendiri dengan menggantung diri menggunakan seutas tali dari akar larak.

Sebelum berjaya berbuat demikian datang seorang tua menasihati agar beliau tidak berbuat demikian kerana katanya ajal akan datang sendiri apabila tiba masanya. Orang tua tadi mencadangkan agar Awang menjadi seorang bomoh dengan dia sebagai pembantunya.

Setelah berjaya mengubati beberapa pesakit dengan bantuan orang tua itu maka nama Awang mula terkenal di merata tempat hingga akhirnya Sultan mendapat tahu dan bercadang untuk menguji kebolehan Awang.

Akhirnya Awang dipanggil ke istana untuk mengubati Sultan (yang pura-pura sakit). Setelah melihat keadaan Sultan yang ‘sakit’ maka Awang pun memberitahu Sultan yang beliau akan mangkat sebentar lagi maka Sultan pun marah dan terus mengusir Awang dari situ.

Tidak lama kemudian Sultan pun betul-betul mangkat dan setelah menteri-menteri bermesyuarat maka dicadangkan agar Awang dilantik sebagai Sultan yang baru. Maka bermulalah zaman kewangan Awang.

Tidak lama kemudian datanglah orang tua tadi menemui Awang sekali lagi dan memberitahu bahawa sekarang tibalah masanya Awang akan mati. Awang amat susah hati dan tidak mahu mati kerana sekarang dia sudah senang. Namun setelah beberapa kali tawar-menawar dengan orang tua itu akhirnya Awang pun meninggal dunia.

Serunai Terinai

Artikel ini disalin dari laman blog Meratip.
(sekiranya tuan punya blog tidak bersetuju disiarkan di sini, mohon dimaklumkan gemalakasturi@yahoo.com supaya ia boleh dipadam. Tujuan pemaparan di blog ini adalah untuk mengumpul seberapa banyak peralatan dan permainan muzik Melayu untuk tatapan umum agar generasi akan datang tidak lupa dan kenal akan rupa budi bangsanya sendiri.)

Sebenarnya aku sudah lama mengenali permainan tradisional ini kerana seorang saudara aku yang agak sebaya merupakan seorang pemain serunai. Umum mengetahui bahawa peniup didgeridoo perlu memahirkan dirinya dengan teknik yang dipanggil circular breathing. Jadi aku berpendapat sementelah serunai juga memerlukan teknik yang serupa adalah rugi kiranya aku tidak mempelajarinya. Balik sahaja ke kampung halaman aku bertanya Mak Ngah aku andai dia tahu mana-mana guru untuk aku mempelajari alat musik ini. Menantu Mak Ngah yang aku panggil abang Choh kemudiannya mengsyorkan aku untuk bertemu dengan seorang saudaranya yang bernama Encik Romli. Keesokan harinya aku pun ke rumahnya dengan ditemani oleh abang Choh dan ayah. Sekadar satu kunjungan dan disamping itu juga untuk memberitahu hajat di hati ini. Beliau dengan hati yang terbuka sudi menerima aku sebagai pelajarnya.

Bermula dari hari itu aku pun mempelajari teknik bermain serunai dengan beliau. Secara lebih tepatnya permainan serunai terinai. Sebelum ini aku menyangka bahawa serunai itu hanya satu sahaja jenisnya iaitu serunai silat yang selalu aku lihat dan dengar. Rupanya ada serunai silat, serunai kelantan dan juga serunai terinai yang mana masing-masing mempunyai suara dan lunaknya yang tersendiri. Encik Romli yang lebih mesra aku panggil Pak Li sebenarnya adalah seorang penglipur lara yang di gelar Awang Batil. Pak Li juga amat handal bermain alatan musik yang lain seperti biola, gendang dan akordian. Saban malam aku berulang-alik ke rumah beliau berteman seorang saudara aku yang juga punyai minat yang sama. Kami belajar secara santai. Sekali sekala berhenti dan membalut rokok daun yang tersedia di hadapan Pak Li. Isterinya juga ramah melayan kami berdua. Hidangan teh o suam tidak pernah tidak terhidang. Dalam adab berguru ada peraturannya. Pak Li tidak mengajar kami bermain gendang walaupun beliau agak hebat dalam permainan gendang terinai. Katanya, perlu fokus pada satu-satu alatan pada satu masa. Jangan sekejap hendak bermain gendang, sekejap hendak bermain serunai.

Kalaupun aku pernah belajar memukul gendang (yang mana aku sememangnya tidak pandai pun) hanyalah ketika aku mengikut Pak Li pergi memantau kumpulan terinai yang lain melakukan latihan. Andai kata dia tiba lewat, dapatlah aku mencuba alatan-alatan yang lain di tempat latihan. Aku hanya sempat beberapa ketika sahaja berguru dengan Pak Li. kerana kemudiannya aku kembali ke kota metropolis ini. Hajat di hati mahu menyambung kembali pembelajaran yang terbantut dahulu. Serunai terinai aku pun sepi tersimpan dalam gobok. Mungkin juga mengulang semula dari asas kembali. Kerana aku sudah lupa akan taghaknya dan juga lagu-lagu yang sempat aku pelajari dulu. Sayang juga kalau tidak dipegang seni ini.

Serunai Daun Kelapa/Nyiur

Gambar dari laman blog Cukelat

----------------------------------------------


Tulisan di bawah ini diambil dari blog : adiatsauri


Kredit kepada tuan tanah Adiatsauri

Serunai daun kelapa ini merupakan salah satu ciptaan yang direka oleh komuniti kanak-kanak di kampung sebagai salah satu alat permainan bagi mengisi masa lapang. Turut dicipta, selain serunai ini adalah lastik, bedil rocoh, jebak burung dan pelbagai lagi jenis ciptaan yang dianggap sesuai untuk dimainkan mengikut musim-musim tertentu. Serunai ini biasanya dibentuk seperti tanduk, iaitu mirip kepada tanduk kerbau dan daun kelapa yang dipilih adalah yang masih muda.

Reaksi pertama anak aku ketika di-unjuk-kan kepadanya serunai daun kelapa -
Jebeh jah..

Cubaan pertama - x tubek bunyi.

Setelah beberapa kali mencuba - serunai ini akan jadi hok aku!

(sekiranya tuan punya blog tidak bersetuju disiarkan di sini, mohon dimaklumkan gemalakasturi@yahoo.com supaya ia boleh dipadam. Tujuan pemaparan di blog ini adalah untuk mengumpul seberapa banyak peralatan dan permainan muzik Melayu untuk tatapan umum agar generasi akan datang tidak lupa dan kenal akan rupa budi bangsanya sendiri.)

Macam-macam Jenis Serunai (Kemaskini Ke-2)

Entri kali ini, saya cuba mengumpul jenis-jenis serunai yang terdapat di Malaysia untuk tatapan, rekod KGGK dan peminat muzik tradisional. Ini adalah kemaskini dari entri yang terdahulu. Sumber didapati di sekitar internet dan akan disebutkan dari laman web mana ia diambil.

Serunai nobat (dari laman web Sembang Kuala).


Serunai nobat jenis ini biasanya dimainkan oleh kumpulan nobat sebelah utara. Saya tidak pasti pula tentang jenis dan bentuk serunai kumpulan nobat negeri lain. Adakah ia sama ataupun berbeza.

----------------------------------------------------
Serunai Aliran Utara

Bentuknya agak pelik sedikit, namun ciri-ciri cenderung pada serunai yang dimainkan di sebelah utara Semenanjung (sumber gambar : Muzium USM). Saya letakkan di sini kerana bentuknya sedikit berbeza dengan yang saya biasa lihat.

-------------------------------------------------------------------

Serunai Aliran Utara

(Kedah, Perlis, Perak, Pulau Pinang) - Serunai yang biasanya dimainkan untuk muzik Gendang Silat, Gendang Peribumi, Mek Mulung dan Wayang Gedek dan juga Nobat (namun bentuknya sedikit berbeza). Kebanyakan serunai jenis ini adalah buatan Kedah. Manakala Perlis ada sedikit berbeza bentuk serunainya walaupun masih sama.

----------------------------------------------------------

Serunai Daun Kelapa

Masa saya kecil dulu, selalu juga buat serunai jenis ni.
Gambar Ihsan dari laman web KPKK

----------------------------------------------------------------------------

Pi Nai


serunai yang dimainkan dalam ensemble muzik Wayang Gedek pada asalnya (menerima pengaruh dari Wayang Kulit Siam - Nang Thalung) namun kemudiannya ditukar kepada serunai aliran utara yang biasa dilihat.
Gambar ihsan dari Musicologie.Org

---------------------------------------------------------------------------

Serunai Kelantan

Gambar (dari laman web KSU Pointer)

Gambar (dari laman web Kraftangan Malaysia)

Instrumen yang biasa dimainkan untuk permainan silat aliran pantai timur, Mak Yong (sesekali dimainkan), Tarinai, Menora dan Main Peteri (jarang dimainkan). Manakala dalam Wayang Kulit Kelantan juga digunakan namun saiznya agak kecil sedikit untuk menghasilkan bunyian yang berbeza. Serunai silat dan Wayang Kelantan ada sedikit perbezaan dari segi saiz dan panjangnya. Ini saya dapati ketika mempelajari serunai wayang kulit di Aswara dulu.

---------------------------------------------------------------

Serunai Perlis

Dari laman blog Awang Batil

Ini pula jenis serunai yang biasa dimainkan dalam persembahan rakyat, Terinai dan Awang Batil. Serunainya hanya mempunyai 6 lubang di atas, dan 1 di bawah. Jenis ini hanya terdapat di Perlis sahaja. Saya ada juga menyimpan sebatang, hadiah dari seorang kawan. Nanti saya muat naikkan di sini untuk tatapan semua.

--------------------------------------------------------

Serunai Batang Padi

Serunai Batang Padi

Sejenis serunai yang diperbuat daripada batang padi dan dikatakan mempunyai keunikan serta keunggulan yang tersendiri. Ianya dicipta dalam beberapa jenis dan bentuk. Lelidahnya iaitu sounding device adalah sama seperti yang terdapat pada alat 'Klarinet Berkembar' dari negara Timur Tengah. Serunai Batang Padi ditiup secara menegak pada bahagian hujungnya yang lebih kecil. Ianya sering dipersembahkan oleh kanak-kanak belasan tahun untuk memainkan muzik-muzik eksperimental yang diilhamkan daripada lagu-lagu yang berkembang dalam teater Wayang Kulit ataupun Silat. Secara praktiknya, Serunai Batang Padi telah menjadi 'alat perintis' kepada kebanyakan tokoh Serunai yang ada di Kelantan khususnya dan juga di kawasan-kawasan perkampungan di negeri-negeri lain yang mempunyai kawasan penanaman padi.

- Maklumat dan gambar diambil (juga kredit) dari laman web KPKK

Gendang Silat Pahang

Entah kenapa malam ini saya tergerak hati untuk mencari maklumat tentang gendang silat Pahang. Ya, mungkin juga saya teringat kampung di sana. Sudah lama tidak balik. :(

Saya salin dan letakkan di sini sebagai tatapan dan memautkan ke lama asalnya. Takut juga nanti akan hilang begitu sahaja dari internet dan blognya ditutup.

Gendang Silat Pahang
------------------------------

Gendang Pahang versi Kg Batu Sawar

EN Mat Nor dan Mat Gedohok

Uncle Satan

Para Pelapis Gendang Pahang Batu Sawar

"Ia merupakan seni tradisi yang mendapat pengaruh Islam yang mendalam. Muzik ini dipercayai dibawa oleh Dato’ Purba Jelai dan penyebarannya dilakukan oleh tiga generasi. Gendang Pahang mempunyai lagunya yang tersendiri dikenali sebagai Bujang Hilir. Muzik ini dimulakan dengan rentak pembukaan dan di akhiri dengan rentak membunuh atau rentak mati di samping rentak-rentak yang lain. Gendang Pahang dimainkan ketika majlis perkahwinan dan adat istiadat istana serta untuk mengiringi persembahan silat dan Tarian Inai. Alat muzik yang digunakan ialah gendang anak, gendang ibu dan gong. Gendang Pahang tidak terhad kepada golongan lelaki sahaja kerana wanita juga terlibat dalam kesenian ini." Petikan untuk definisi ini telah diambil dari lama blog Muzik Tradisional di sini.

Di Kampung Batu Sawar kumpulan gendang Pahang ini dianggotai oleh 3 sekawan yang diketuai oleh En Mat Nor, Uncle Satan dan juga Mat Gedohok. Mereka adalah antara golongan yang cuba menghidupkan kembali seni tradisional yang semakin dilupakan pada masa ini.

Menurut kata En Mat Nor, kumpulan Gendang Pahang Batu Sawar ditubuhkan pada sekitar 2007. Sekerang ini terdiri dari dari 3 pemain. Kumpulan ini memiliki 2 gendang dan 1 Gong dan akan ditambah lagi mengikut penerimaan masyarakat Kg Batu Sawar. Menurut beliau lagi, anak anak muda Kampung Batu Sawar juga telah menunjuk minat yang tinggi dalam mempelajari permainan seni tradisional Gendang Pahang ini. Dengan ini ianya menunjukan satu peringkat postif yang maner muzik tradisioanal masih lagi diterima pada masa kini.

Menurut penduduk kampung Batu Sawar, Suatu ketika dahulu, Permainan gendang Pahang ini diiringi dengan Silat Pulut dan Juga tarian piring. Ianya sering dimainkan di majlis-majlis kenduri perkhawinan dan juga keraian kampung. Namun begitu ianya seakan ditelan zaman. Dengan usaha 3 sekawan ini diharap dapat menghidupkan kembali sesuatu yang telah lama hilang. (artikel ini pula dari blog Perpustakaan Desa PNM Batu Sawar)

Ulasan - Gendang silat Pahang tidak mempunyai serunai. Hanya gendang ibu, anak dan gong sahaja. Harapan saya agar ia dapat dipelajari oleh anak muda di sana agar ia tidak ditelan zaman dan hilang begitu sahaja.

lagi gambar pemain gendang silat Pahang
(dari laman fotopages anak Pahang)

p/s : Kalau ada sesiapa yang mempunyai maklumat tentang gendang silat Pahang, sila emel gemalakasturi@yahoo.com

Along, Cucu Pak Teh Mat Khir

Ini merupakan gambar lama, saya masih menyimpannya. Daripada artikel di akhbar ? Dia masih kecil sewaktu kami bertandang ke rumah Pak Teh Mat Khir untuk belajar gendang. Sekiranya-kiranya dalam sekitar 3-4 tahun. Kini sudah bersekolah rendah. Kata Pak Teh, dia tidak belajar pun, cuma setiap kali orang bergendang, dia ada duduk mendengar. Berkat selalu mendengar orang bergendang, kalau tiada orang bergendang, dia akan pukul, kata Pak Teh Mat. Sedari kecil, sudah biasa dengar orang bergendang, sudah besar senang sahaja bila diajar sedikit.

Saturday, June 19, 2010

Kembara Alang & Un - Kg Kerbau, Naka, Kedah

Ini adalah gambar kiriman Alang, salah seorang 'Tok Kalau' dalam KGGK. Kebetulan Un juga balik ke Kedah, jadi depa pi rumah Pak Teh Mid. Agaknya malam tu, Pak Teh ajak depa ke sana untuk bergendang. Menyambung silaturrahim dengan geng gendang di sana. Bertarikh 18 Jun 2010.

Friday, June 18, 2010

Terbang Melayang DI Selayang - 12 Jun 2010

Cuaca agak tenang pagi itu. Setibanya di sana, kami melihat persiapan masih belum ada apa-apa. Dek lapar yang menggigit, kami singgah dahulu di kedai mamak yang berhampiran untuk mengalas perut. Alhamdulillah, tuan rumah menyediakan pentas yang besar (sama dengan pelamin raja sehari). Luas dan cukup selesa seperti lazimnya jika bermain di dewan yang mempunyai pentas. Terima kasih kami ucapkan. Ini kerana ada juga tuan rumah yang menghampar karpet di atas lantai dewan; pun tetap kami bermain. Begitulah adanya orang gendang. Kut mana pun duduk, mereka tetap bermain ...

Dewan Sri Siantan, itulah dewan yang pertama kali KGGK bermain di situ. Acara yang dimulakan dengan permainan gendang silat dan diselang-selikan dengan DJ yang bertugas. Syukurlah semua berjalan lancar hingga ke akhir majlis. Meskipun cuaca agak hangat di petang itu, namun makanan dan air yang dihidangkan amat menyelerakan. Apatah lagi, kali ini pemain jemputan, Safarin (anak Pak Teh Mat Khir) bersama kami. Saling bertukar pemain gendang dan serunai.

Apa-apa pun, tahniah kepada pengantin dan terima kasih kerana menjemput kami untuk memeriahkan majlis.

Related Posts with Thumbnails

  © Blogger templates ProBlogger Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP