Thursday, March 31, 2011

Sirih Pulang Ke Gagang - Muar, Johor

Kursus Singkat Gendang Silat (Irama Lagu Berjalan) 18-19 Mac 2011

Gambar kenang-kenangan dengan peserta kursus

Bagai sirih pulang ke gagang, saya menerima undangan dari beberapa ahli Persatuan Seni Silat Sendeng Daerah Muar untuk mengadakan kursus singkat ini. Sebelum apa-apa, saya ucapkan tahniah kepada mereka atas semangat dan dedikasi yang ditunjukan sepanjang kursus berlangsung. Memandangkan mereka semua memang sudah boleh bergendang dan meniup serunai, jadi tugas yang diberikan menjadi sedikit mudah untuk ditangani.

Al-maklumlah, balik ke rumah keluarga saya di sana, perbincangan untuk ke sana sudah berlangsung lebih kurang dua bulan sebelum kalau tidak silap saya. Zahir, yang menjadi pengantara bersetuju dalam perbincangan atas tarikh tersebut. Saya memang seronoklah, nak balik kampung sendiri. Dan alhamdulillah, saya sekeluarga balik pada hari Khamis malam, 12 Mac. Dapatlah saya meluangkan masa dengan ibu bapa dan adik beradik yang sudah lama tidak ketemu.

19 Mac (Jumaat malam)

Majlis bermula lebih kurang jam 9 selepas Isyak. Saya dapat rasakan aura semangat apabila tiba di Parit Nipah. Sdr Taufik, sebagai tuan rumah menyambut kedatangan saya. Kami bersembang terlebih dahulu untuk mengetahui latarbelakang peserta kursus yang hadir. Dan tidak lama kemudian Huzaifah dan rakan-rakannya (Kump Gendang Arya Putra) dari Melaka sampai untuk menyertai majlis pada malam tersebut. sifu Aziz (Persatuan Seni Silat Gerak Tepat) yang lebih mesra dengan panggilan abang ajis juga turut hadir.

Kump Gendang Arya Putra, Bukit Bahru, Melaka

Malam itu saya dapat saksikan bahawa apa yang selama ini disebut-sebut oleh barisan guru yang mengatakan bahawa permainan gendang itu insyallah dapat menyatukan dan 'mencari kawan'. Saya bersyukur sangat, alhamdulillah. Gendang hanyalah menjadi asbab, semuanya sudah tertulis bahawa pertemuan dua perguruan atas nama 'gendang silat'. Tidak bertangguh, majlis diserikan dengan permainan kedua-dua belah pihak.

Tidak lama kemudian, Kump Gendang Arya Putra beransur kerana esoknya mereka ada tugasan lain untuk dihadap. Maka tinggalah kami, majlis bergendang diteruskan. Asas-asas 'lagu berjalan' diberikan sebagai pemula ilmu. Beberapa buah dan selak yang ringkas ditunjukan. Alhamdulillah, memang mereka yang asas ini agak mudah memahami dan menerima pelajaran baru. Hampir jam 12 baru kami berhenti.

19 Mac (sabtu)

Majlis diteruskan, seawal pagi saya dan Zahir tiba di sana. Kali ini latih tubi dijalankan. Pemain gendang diasak dengan hebat, latihan dijalankan tanpa rehat hinggalah saya merasa puashati dengan permainan yang ditunjukan. Latihan untuk serunai juga dijalankan dengan serentak. Alhamdulillah, sdr Zahir dan Lokman dapat bermain serunai dengan baik. Semoga latihan serunai dapat dilakukan secara berterusan.

latihan ...

Peserta-peserta yang menjalani latihan dapat saya rasakan kesungguhannya apabila pelajaran yang ditunjukkan dapat dipraktikan sebaik mungkin. Saya sangat berpuashati dengan kesungguhan yang ditunjukan. Sesi diteruskan tanpa henti, walaupun saya maklum pemain gendang mula merasa resah kerana tangan kelihatan merah, namun atas nama semangat, latihan diteruskan.

Menyinggah di masjid Parit Jawa yang
sudah jauh berubah


Sehinggalah pada malam hari, latihan diteruskan. Dengan kehadiran jurulatih mereka, abang mi, saya merasa lega kerana sokongan yang diberikan amatlah memberangsangkan. Kemudian hadir pula seorang lagi jurulatih. Akhirnya lebuh kurang jam 11.45 malam, sesi latihan ditamatkan dengan memberikan kata-kata nasihat. Segala apa yang dicurahkan oleh barisan guru, disampaikan pula kepada mereka. Akhirnya, kami bergambar beramai-ramai dan bersembang panjang sampai larut malam. Tapi kali ini saya balik ke rumah awal sedikit, memandangkan esok pandu ke KL.

Semoga wadah permainan gendang silat dapat memberikan manfaat kepada semua, termasuklah peserta dan mana-mana penggendang silat yang ada.

p/s : Terima kasih kepada Zahir yang menjadi orang kuat untuk mengadakan majlis ini, Taufik - tuan rumah yang menyediakan makan minum, terbaik! Rakan-rakan peserta - teruskan latihan kamu semua sampai berjaya.

Laporan lain di blog Sdr Zahir - klik sini.

Read more...

Kembara Seorang Diri - Ke Pendang : 13-15 Mac 2011

13 Mac


Perkara ini sudah lama dirancang. Disebabkan acapkali rakan-rakan di sini bertanyakan gendang dan serunai, maka saya mengambil keputusan untuk menempah empat set gendang silat sekaligus dengan Pak Teh Mid di Kuala Lanjut, Pendang. Selalunya saya akan bersama sdr Sharul, tapi kali ini saya terpaksa pergi berseorangan, memandangkan dia punya tugasan lain yang perlu dilunasi. dalam benak saya terfikir, " Ke Kedah 5-6 jam berseorangan dalam kereta, aduh!" Tapi janji sudah dimeterai. Cukup masa, saya tidak bertangguh lagi, hari Ahad menjadi pilihan saya. Tanggal 13 Mac, kereta meluncur ke sana.

Memang, memang bosan bila memandu seorang diri ke sana! Tiada rakan bersembang, hanyalah radio yang menjadi teman setia. Sesekali diserang kantuk, saya berhenti di hentian atau RnR yang setia menanti pengembara seperti saya. Seawal pagi, jam 6.45 saya sudah ke sana, hampir jam 1.30 petang, baru saya sampai di rumah Pak Teh. Tiba di sana, saya disambut oleh abang Kob yang menjadi rakan sembang, sementara menanti Pak Teh balik dari tiga buah rumah katanya. Pak Teh ada juga menelefon abang Kob agar saya menyertainya bergendang, tapi saya tak larat. Terlalu mengantuk kerana malam sebelumnya, saya tidur jam 5.30 pagi. Alhamdulillah, bersyukur sangat saya kerana perjalanan dipermudahkan Allah.

Apabila Pak Teh balik, kami bersembang pelbagai topik. Dan tentunya perkembangan gendang silat menjadi topik utama kami, begitu juga dengan khabar rakan-rakan di sini. Sempat juga saya menghubungi rakan di Alor Setar untuk berjumpa di rumah Pak Teh. Alang pula, kebetulan balik ke Perlis, rumah mentuanya. Wah, ada rakan lain juga yang boleh dibawa bersembang nanti, fikir saya. Tapi sebelum itu, Pak Teh menerima panggilan untuk bermain di kampung Telaga Emas. Katanya, main untuk kenduri kahwin seorang imam dan juga rakan kepada allahyarham Tok Baunui @ Tok Banui (bapa Pak Teh Mid).

Malam

Kami lewat sedikit ke sana kampung Telaga Emas kerana menantikan rakan saya dari Alor Setar, Fauzi. Namun kelibat mereka pada jam 9.30 malam melegakan hati saya. Kami ke sana beramai-ramai. Tiga buah kereta cukup untuk membayangkan rombongan kami ke sana, Setibanya di sana, hati saya sedikit berdebar. Maklumkan bergendang di tempat orang lain takkan sama dengan bergendang di tempat sendiri.

Set gendang sudah tercatuk, menanti untuk dimainkan. Seperti biasa, saya digesa oleh Pak Teh untuk membuka tirai. Sebenarnya malu alah untuk buka majlis di tempat orang, tapi saya turuti sahaja walaupun saya bergurau pada seorang abang yang tiup serunai di situ. Namun saya tetap juga digesa olehnya. Tak berlengah, majlis bergendang dibuka dengan Lagu Buka. Selesai 4-5 lagu, tiupan serunai berpindah pada seorang rakan di situ. Majlis bergendang diteruskan. Semakin lama, semakin ramai ahli bergendang yang hadir. Hati saya lega apabila tuan rumah menjemput untuk makan malam. Dapatlah pula saya mendengar orang lain bergendang.

Hampir jam 12.30 rasanya, kami balik. Alang sudah sampai. Kami berborak panjang dengan Pak Teh dan yang lain.

14 Mac

Pagi itu saya berazam untuk mempelajari serba-sedikit tentang perihal pembuatan gendang. Memandangkan gendang yang saya tempah masih ada 2, 3 biji yang belum siap, maka dapatlah saya mempelajari sesuatu. Dimulakan dengan membuang bulu pada kulit kambing, saya tersengih. Pada tangan orang yang tidak pakar seperti saya, memakan masa hampir 30 minit untuk menyiapkannya. Berpeluh sakan saya mengerjakannya. Abang Kob bermurah hati mengajar saya kaedah untuk membuangnya dengan betul agar kulit tidak rosak atau terkoyak.

Sambil-sambil itu, saya menyibukkan diri bertanya macam-macam kepada Sobri dan abang Kob tentang cara-cara untuk membuat gendang. Memang bukannya pekerjaan yang mudah. Bila sudah siap, memang seronok, tapi kalau sudah tahu penat lelah orang membuat gendang, kita tak perlulah tawar menawar tentang harga gendang. Beli sahajalah, jangan banyak soal atau keterlaluan dalam menawar harga sepasang gendang.

Malam

Bergendang lagi! Pada petang sebelumnya, saya dan Alang berlatih-latih juga tiup serunai dan bergendang. Tapi malam ini dengan kehadiran Un Istana Budaya dan rakannya, Man (kalau tak silap saya), gendang berbunyi lagi. Sesudah panjang borak, Un berteriak kepada saya, "Haa dok watpa lagi tu? Buat lagu aaa."

Saya senyum, dan melambai mereka agar menyertai kami di atas wakaf bergendang. Saya, Pak Teh, Alang dan rakan lain bergendang pula. Lepas satu, satu lagu yang dimainkan. Silir berganti irama serunai dan gendang. Dari 'Lagu Berjalan' hinggalah ke permainan gendang silat. Sehinggalah larut malamm, barulah sesi gendang ditamatkan.

Walapun semua sudah mengantuk dan tidur awal, saya dan Sobri masih menyembang hinggalah jam 4 pagi. Letih tapi menyeronokan.

15 Mac

Pagi-pagi lagi saya sudah bersiap. Melihatkan beberapa pasang gendang sudah siap, hati saya berbunga-bunga. Lega, dapatlah kali saya bawa balik 4 sete gendang, dan tak perlulah saya ke sana untuk jangka masa yang panjang bagi mengambil gendang yang ditempah oleh kawan-kawan. Alhamdulillah beberapa set gendang sudah terjual, hanya 2 set saja yang tinggal pada saya, menanti saat dan ketika ia dibeli oleh orang yang berhajat.

Hampir lewat tengahari barulah gendang anak yang terakhir siap. Selesai makan tengahari dan solat zohor, saya mengemaskan barang-barang untuk mengisi dengan gendang. Akhirnya penuh kereta saya. Selesai bersalam-salaman, saya meminta diri untuk beransur, kerana mahu melepasi kawasan Perak sebelum malam menjelma. Hanya lewat jam 11.30 malam saya sampai semula ke KL. Alhamdulillah, selamat semuanya.

p/s : terima kasih kepad Pak Teh sekeluarga, Mak Teh - masakan terbaik! Sobri dan abang Kob yang menunjuk ajar cara-cara memproses gendang. Rakan-rakan di Telaga Emas - teruskan usaha bergendang.

Read more...

Thursday, March 24, 2011

Al-Fatehah

KGGK tidak akan menyiarkan sebarang entri terbaru hingga hujung bulan ini sebagai tanda penghormatan kepada keluarga dan kenalan yang baru kembali ke rahmatullah pada 21 Mac 2011. Sesungguhnya tragedi yang berlaku amat menyayat hati dan KGGK mengucapkan salam takziah kepada semua keluarga yang terlibat.

Read more...

Wednesday, March 23, 2011

Salam Takziah Untuk Pemain Serunai & Gendang

sila klik gambar untuk besarkan saiz

Salam takziah buat keluarga En Ishak Husin, Tualang, Pokok Sena. Seorang pemain gendang dan peniup serunai yang terlibat dengan kemalangan ngeri di Pendang pada 21 Mac 2011.

sila lihat juga entri 1, entri 2 dan entri 3.

Read more...

Tuesday, March 22, 2011

Berita Kemalangan 5 Orang Guru Silat Yang Meninggal di Akhbar Kosmo, Metro & Utusan Malaysia : 22 Mac 2011 (Selasa)

Kosmo
(kredit kepada sdr Azhar Kuntau Tekpi
yang scan di dan letak di FB)


Metro

Utusan Malaysia


sila klik untuk besarkan saiz gambar
berita sebelum ini - sila klik entri 1 dan entri 2

Read more...

Berita Kemalangan - Elak Lembu Besar!

ZIARAH...keluarga dan kenalan menziarahi jenazah Ahmad

di Kampung Alor Rela, semalam.

Sumber : Di salin daripada Metro Online

ALOR SETAR: “Saya ternampak seekor ‘lembu besar’ berwarna hitam melintas secara tiba-tiba. Saya cuba mengelak tapi gagal,” kata Rashidi Ahmad, pemandu van yang terbabit dalam kemalangan mengorbankan lima guru silat di Jalan Titi Haji Idris, Pendang dekat sini, awal pagi semalam.



Rashidi, 24, memandu van Ford Econovan membawa lapan penumpang yang dalam perjalanan pulang selepas mengadakan pertunjukan silat di majlis perkahwinan ahli keluarga seorang daripada mangsa di Sungai Buloh, Selangor, kelmarin.

Seorang daripada yang terbunuh dalam kejadian jam 3.30 pagi itu ialah ayah Rashidi, Ahmad Ismail, 60, dari Kampung Alor Rela, Langgar, yang maut di tempat kejadian. Turut maut di tempat kejadian Juhari Darus, 65, dari Kampung Pering, Kodiang dan Jumaat @ Saad Mat Akhir, 65, dari Malau, Jitra.

Sudin Idris, 65, dari Kampung Telaga Mas dan Eshak Awang Kechik, 78, dari Kampung Tualang, Pokok Sena, pula meninggal dunia pada jam 9 dan 11.45 pagi semalam ketika dirawat di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini.


Rashidi, Ariffin Mahazon, 56, dan Mohd Idris Mohd Senapi, 20, dirawat sebagai pesakit luar manakala seorang lagi penumpang, Che Ishak Hussin, 54, ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital sama.

Menurut Rashidi, selepas cuba mengelak ‘lembu besar’ hitam itu, van dipandunya terbabas dan melanggar sebatang pokok berhampiran sawah.

“Selepas itu, saya tak ingat apa berlaku. Apa yang saya tahu, saya berada di tepi jalan sebelum ternampak ayah masih berada di tempat duduk penumpang hadapan van dan dipercayai sudah meninggal dunia kerana tersepit,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Alor Rela, Langgar, dekat sini, semalam. Rashidi dan semua penumpang van berkenaan adalah guru silat yang juga ahli Persatuan Persilatan dan Pergendangan Negeri Kedah.

Mereka bertolak dari Sungai Buloh dengan diikuti sebuah kenderaan lain berkonvoi untuk pulang ke Kedah, kira-kira jam 6 petang kelmarin dan kejadian berlaku ketika van dipandu Rashidi menghala ke Langgar dari arah Pendang. Rashidi berkata, dia tidak mengantuk ketika memandu kerana sepanjang perjalanan mereka berhenti rehat di lima hentian rehat dan rawat (R&R) Lebuhraya Utara-Selatan sebelum meneruskan perjalanan pulang.

“Ayah tak banyak bercakap cuma ketika berhenti di hentian R&R Bukit Gantang, Perak, dia singgah minum bersama rakan-rakannya manakala saya duduk di meja lain.


“Sejak di Sungai Buloh lagi hati saya tak tenteram kerana berasakan sesuatu yang bakal berlaku, namun saya cuba melupakannya. Akhirnya berlaku kemalangan ngeri ini sehingga menyebabkan kematian ramai termasuk ayah,” katanya.


Rashidi yang juga anak keenam daripada tujuh beradik berkata, sebaik ternampak ‘lembu hitam’ melintas jalan, dia tidak sempat berbuat apa-apa kerana jalan raya di situ gelap dan hanya menyedari kemalangan itu sebaik berada di bahu jalan.

Dia dipercayai tercampak keluar melalui tingkap van akibat rempuhan kuat itu yang menyebabkan dia berada dalam keadaan separuh sedar dan dibawa ke HSB untuk mendapatkan rawatan dengan menaiki ambulans.

“Setahu saya, kawasan itu tidak pernah ada lembu pun dan kalau ada sekali pun hanya waktu siang, tetapi jarang pula ada waktu tengah malam dan awal pagi.

“Saya reda dengan apa yang berlaku kerana kehilangan ayah dalam sekelip mata selain rakannya yang menjadi orang kuat dalam persatuan silat itu,” katanya.

Read more...

Monday, March 21, 2011

Al-Fatehah Buat Mereka Yang Pergi

Pagi-pagi tadi saya menerima panggil dari Jan Serunai, Perlis. Terkejut besar mendengarnya, tapi Allah lebih mengetahui, terutama apabila melihat senarai nama yang dihantar oleh Jan. Saya terus menghantar mesej kepada Sharul ttg itu. Memang semalam Sharul ada bercerita tidak dapat berjumpa dengan mereka di Sungai Buloh. Mereka dijemput bergendang di rumah Tok Ayah Haji Mat. Saya pula baru sampai dari Muar, Johor.

Berita ini amat menyedihkan, tambahan pula menjelang petang kami mendapat khabar 5 orang yang pergi meninggalkan kita. Mereka bukanlah orang lain, kalau kami bertandang ke Jitra sana, memang selalu juga bertemu di majlis-majlis dan kenduri perkahwinan. Terakhir, semasa penggambaran untuk majalah 3. Dan itulah kali terakhir saya dan Sharul berjumpa dan melihat Pak Long Ad dan Tok Awang bersilat (di sana menggelarnya Hulk Hogan).

Sementara pemandu van tersebut, Shidi, merupakan rakan gendang kami dan juga anak kepada salah seorang allahyarham guru silat, Pak Ndak Mat (di sana menggelarkannya Pakmat Kambin). Sharul menelefon Pak Teh Mat Khir bertanyakan tentang perkara tersebut. Dikatakan Shidi melanggar sebatang pokok. Dalam berita jam 8 pula dilaporkan pemandu mengelak sesuatu, melanggar pokok lalu menjunam ke dalam petak bendang. Sekilas, terpandang pula seorang lagi mangsa, juga rakan kami, Mat Deris dalam keadaan yang agak parah. Ya Allah ....

Ketika sedang minum dengan Sharul, saya menerima mesej dari Pak Teh Mat Khir mengatakan bahawa TV9 datang menemuramahnya tentang kejadian ini. Rupa-rupanya, bukan sahaja TV9, malah TV3 dan RTM 1 juga membuat liputan tentang perkara ini. Manakala selepas menerima berita tersebut, status Gemala Kasturi dinaikkan untuk mengkhabarkan tentang berita yang menyayat hati tersebut. Terima kasih kepada rakan-rakan yang meletakkan pautan dari The Star Online dan Berita Harian Online yang juga menulis tentang perkara yang sama.

Jadi dalam senarai kami, yang meninggalkan kita adalah :

1) Tok Awang Johari Darus @ Hulk Hogan (Kodiang)
2) Jumaat @ Saad Mat Akhir @Pak Long Ad (Jitra)
3) AhmAD Ismail @ Pak Ndak Mat @ Pak Mat Kambin (Langgar)
4) Lebai Sudin Idris (Pokok Sena)
5) Hj Ishak Awang Kechik (Tualang)

Kelima2 merupakan guru-guru silat yang dikenali ramai di sana.


Published: Monday March 21, 2011 MYT 9:36:00 AM
Updated: Monday March 21, 2011 MYT 9:40:04 AM

Four silat masters die in road accident

ALOR SETAR: Four silat masters died and five others were injured when the van they were travelling in was involved in an accident at Jalan Titi Haji Idris here.The incident occurred at about 3am on Monday when they were on their way to Pendang.It is learnt that the silat masters were returning home from a competition in Kuala Lumpur.



4 guru silat maut, 5 cedera kenderaan terbabas di Alor Setar

2011/03/21
ALOR SETAR: Empat guru silat yang dalam perjalanan pulang selepas membuat persembahan di majlis kenduri terbunuh, manakala lima cedera selepas van yang mereka naiki terbabas sebelum merempuh pokok di Jalan Langgar-Tanah Merah berdekatan titi Haji Idris di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 pagi itu menyebabkan tiga daripada mangsa meninggal dunia di tempat kejadian, manakala seorang lagi mangsa maut ketika dirawat di hospital Sultanah Bahiyah di sini, kira-kira jam 9 pagi tadi.

Sementara mesej dari seorang rakan kami pula :

ALFATIHAH...Asmkum..kpd seluruh Jemaah seperjuangan.dgn penuh rasa kasìh ingin memberitahu rombongan gendang silat pak su mat dari kedah yg di terajui oleh ayah kandung ayah lie singa telah berlaku kemalangan menuju pulang ke kedah semalam dari sg buluh 4 orang termasuk AYAH KANDUNG AYAH LIE SINGA telah kembali ke rahmatullah


Ucapan takziah kepada seluruh keluarga yang kembali ke rahmatullah dan juga seluruh keluarga yang terlibat dengan kemalangan tersebut. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh mereka dan ditempatkan di kalangan orang-orang yang soleh - al fatehah ...

p/s : Dunia persilatan tanah air kehilangan 5 butir permata sekaligus

kredit @ sumber : Sdr Jan Serunai, Sdr Huzaifah, Pak Teh Mat Khir, Sdr Fauzi , Sdr Mat Arip, Kak Yanti, PESAKA, Brandon, Star Online, Berita Harian Online, Metro Online.

Read more...

Saturday, March 5, 2011

Gendang Silat Terbesar Di Malaysia!


NORDIN Hussin menunjukkan gendang ibu terbesar yang akan digunakan pada majlis perasmian besar-besaran Fiesta Kelantan 2010 pada 16 Jun ini.


KOTA BHARU 8 Jun - Gendang ibu dan gendang anak merupakan alat genderang dalam kesatuan paluan mengiringi persembahan silat, teater tradisional serta tarian klasik istana dan rakyat.



Pasangan alat paluan itu yang memainkan pola-pola paluan secara meningkah bagi pembinaan setiap struktur irama mempunyai kaitan rapat dengan pembentukan corak seni budaya Kelantan dan Melayu umumnya.



Sebagai simbolik kepada peranannya, Pusat Penerangan Pelancongan (TUC) negeri menyiapkan gendang ibu dan gendang anak terbesar yang akan digunakan dalam upacara perasmian Fiesta Kelantan 2010 pada 16 Jun ini.



Alat paluan dua muka itu akan mengiringi persembahan yang menghimpunkan 1,001 pesilat di mana persembahan kedua-duanya itu akan dicatatkan dalam Malaysia Book Of Records.



Ketua Unit Kebudayaan TIC, Nordin Hussin memberitahu, kedua-dua gendang itu dihasilkan oleh tukang dari Pulau Tebu, Tunjong dekat sini, Ayub Isa.



Gendang ibu adalah sepanjang 2.25 meter, muka dengan diameter 1.15 meter manakala gendang anak sepanjang 1.85 meter, disiapkan dalam tempoh sebulan dengan kos RM3,000 setiap satu.



''Ia telah disiapkan agak lama menunggu untuk dipersembahkan dalam program terbesar yang dimuatkan dalam kalendar pelancongan negeri," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.



Mengikut amalan biasa, gendang dipangku di atas riba secara tertib mengikut keselesaan pemainnya dan dipalu dengan tangan pada kedua- dua belah mukanya.Bagi menerbitkan paluan yang lebih lantang, lazimnya kayu pemalu akan digunakan.



''Dengan saiznya yang begitu besar, dalam persembahan itu nanti, setiap gendang akan dipalu oleh dua pemain. Ia juga dalam program lain kelak," ujarnya.



Persembahan gendang terbesar dan himpunan 1,001 pesilat itu merupakan sebahagian daripada acara memeriahkan fiesta yang akan berlangsung di pekarangan Stadium Sultan Muhammad Keempat di sini. Ia akan turut diserikan dengan persembahan tarian kanak-kanak, pertunjukan kawad senyap dan bunga api.




Semalam, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan Kelantan, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, program julung kali diadakan itu satu lembaran baru buat rakyat. Menurut Takiyuddin, majlis perasmian fiesta itu akan diadakan secara besar-besaran dengan disempurnakan oleh Pemangku Raja Kelantan, Tengku Muhammad Faris Petra. Katanya, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak dan Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dijadual menghadiri majlis itu.



sumber asal : Utusan M'sia Online



p/s : sayang, sepatutnya dia letak gambar tukang buat gendang ni ...

Read more...

Lambaian Sukma Di Kalumpang Resort : 1 Mac 2011


Lebih kurang dua minggu saya dimaklumkan oleh sdr Kamarul Azhar dari Ahadancoach bahawa beliau berminat untuk membawa kelainan dalam kursus motivasi yang dikendalikan oleh beliau, anjuran Kementerian Pengajian Tinggi. Berderau darah saya apabila mendengarkan 40 orang peserta, sekaligus mencabar minda untuk saya selesaikan. Tidak bertangguh, rakan2 dihubungi. Kami berbincang bagaimana untuk memenuhi harapan Ahadancoach. Dalam erti kata yang lain, KGGK juga akan menempuh pengalaman baru dan ini bagus untuk penambahnilaian dalam profil kami.

1 Mac - Perjalanan

Seawal jam 4 petang kami sudah bergerak ke sana bagi mengelakan tersangkut di sesak lalu lintas KL. Meskipun slot gendang silat bermula jam 8.30 malam, namun destinasi yang ditujui agak asing. Kami harus cepat ke sana, tambahan pula persediaan awal harus dilakukan - melihat tempat, berbincang dengan Ahadancoach dan sebagainya. Lebih kurang sejam lebih kami tiba di sana. Bau rumput segar mengapung. Bunyian unggas dan nyanyian alam menyambut kedatangan kami. Cepat-cepat saya menggesa agar Sharul menurunkan tingkap kereta, kerana ingin berinteraksi dengan alam.

suasana di Kalumpang Resort

Kalumpang Resort terletak sedikit ke dalam, lebih kurang 15-20 minit untuk sampai kerana jalannya semakin kecil dan hanya boleh dilalui oleh sebiji kereta sahaja akhirnya. Namun bunyi sungai mungkin akan menghilangkan segala kegundahan dan resah. Ah ... jalan sempit tak ada hal!

"Salam bro. Kami dah sampai, ada kat parkir."

"Ok, ok," jawab sdr Kamarul, otai Ahadancoach.

Cikgu Ramli

Kami pun bersalam-salaman dan terus berbincang, sementara Sharul dan Soufikh sudah terjun ke dalam sungai. Cikgu Ramli pula berjalan-jalan di sekitaran sambil menikmati keindahan alam semulajadi.

Malam - Jam 8.30

Sebelum kami dipanggil masuk, sdr Kamarul sudah menayangkan klip video KGGK yang tersiar di Majalah 3 baru-baru ini. Selesai saja, kami masuk dan terus memperkenalkan diri lalu bermain dua lagu sebagai pembukaan.

Sesi penerangan dan latihan dalam kumpulan

Seterusnya majlis dikendalikan oleh Sharul, kumpulan dibahagikan kepada empat. Penerangan ringkas diberikan; bagaimana teori permainan dan praktikalnya nanti kelak. Sesudah itu, kami masing-masing mengendalikan kumpulan yang sudah dibahagikan. Bunyi serunai dan paluan gendang mula kedengaran di sana-sini. Empat kumpulan berpecah dan latihan dijalankan.

persembahan @ pertandingan

Walaupun masa yang diberikan oleh Ahadancoach hanyalah 2 jam sahaja, tapi alhamdulillah. Kerjasama dan kecekapan pelatih kursus menjadikan ia tampak seperti mudah, walaupun sebenarnya agak sukar bagi mereka yang tiada langsung asas dalam mana-mana pukulan muzik tradisi Melayu. Gelak tawa dan usik mengusik di antara peserta terjadi, saya hanya tumpang senyum melihatkan gelagat mereka yang ceria itu.

nama kumpulan dan sesi persembahan @ pertandingan

Sampai waktu, jam 10.15 malam, 4 kumpulan yang mempunyai nama masing-masing mempersembahkan paluan yang dipelajari. Satu demi satu memukul dan suasana menjadi gamat dengan tepuk sorak dan sorai kumpulan masing-masing. Setiap kumpulan mempunyai cara dan corak persembahan yang tersendiri. Saya dan rakan KGGK senyum sahaja melihat telatah mereka yang adakalanya mencuit hati.

kenangan bersama beberapa peserta kursus

Selesai saja persembahan, sdr Kamarul selaku camcom mengulas apakah maksud dan tujuan permainan gendang itu diselitkan dalam kursus ini. Namun ia tidak mengambil masa yang lama kerana selepas sesi itu, peserta mempunyai aktiviti lain untuk diteruskan. Kami dijemput oleh sdr Kamarul untuk menikmati hidangan ringan. Selesai semua, kami bergerak semula, perlahan-lahan menuju ke KL.

p/s : Terima kasih kepada sdr Kamarul Azhar (Ahadancoach) yang menjemput kami, KPT yang membenarkan slot ini, para peserta, dan anggota KGGK yang memberi kerjasama yang baik. Semoga akan ada lagi sesi seperti ini. Selain dari mencara salah satu acara mereka, secara tidak langsung mempromosi semula permainan gendang silat. Alhamdulillah.

Laporan di blog Ahadancoach - di sini

Read more...
Related Posts with Thumbnails

  © Blogger templates ProBlogger Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP