Tuesday, November 23, 2010

Semalam Di Muar


Untuk beberapa hari berada di Muar, Johor dapatlah saya melunaskan niat untuk berjumpa dengan beberapa rakan dan guru. Meskipun begitu, hampir seharian saya keluar hingga ke malam untuk bertemu mereka. Pada awalnya, mahu menziarahi atok (isteri saya), namun mereka tiada. Rancangan bertukar semerta. Saya terus menelefon abg Ahmad Putra dan meziarahinya, menjadikan aktiviti menziarahi beliau yang pertama. Sepatutnya petang-petang sedikit baru berjumpa beliau, namun ada hikmah. Kalau sebelah petang, menurutnya, beliau tiada kerana menghantar anaknya ke matrikulasi Negeri Sembilan.

Pelatih Tadah Kuntau dari High School, Muar sedang dilatih

-Jalan Timbalan, Rumah Rakan Muda- begitulah mesej yang dihantar melalui sms. Saya ingat-ingat lupa cuma dapat mengagak sahaja. Yup, ia berada di hujung tanjung, dahulunya merupakan bangunan Belia Malaysia, cawangan Muar. Dan sebelum itu, saya pernah bekerja dengan En Osman OSHA di situ. Saya bersyukur. Masuk sahaja saya terpandang remaja lingkungan belasan tahun sedang bersilat. Wajah abg Mat segera terpacul di celah remaja yang berdiri.

"Tadah Kuntau," bisik saya sendiri sambil mengeluarkan selfon untuk menangkap beberapa gambar sesudah bersalaman dengan abg Mat. Saya biarkan sahaja beliau meneruskan aktiviti mengajar silat. Dahulunya, kuntau ini hanya diajarkan di depan/bersebelahan rumah abg fauzi (kalau tak silap saya) sahaja. Saya pun tumpang sekaki bersilat, maklumlah orang muda. Dapat jugalah pecah peluh di gelanggang yang duruskan oleh abg Mat. Sebelum bersilat di situ, saya dimaklumkan oleh rakan-rakan di Parit Jawa bahawa di situ ada silat. Saya meninjau beberapa kali sebelum mengambil keputusan untuk turut menyertainya. Kemudian gelanggang berpindah ke laman rumahnya di Jalan Daud.

Dengan abang Mat Putra

Abang Mat - satu keluarga bersilat!

Sehinggalah saya bekerja di KL, saya sudah jarang bertemu dengan abg Mat kecuali kalau balik kampung. Panjang juga cerita dengan abg Mat. Mungkin kalau ada masa lain, saya ingin mengabadikan kisah Tadah Kuntau yang low profile ini di majalah Senibeladiri. Insya-Allah. Banyak perkara yang diperbualkan, dari silat, gendang dan pelbagai macam kisah yang kami kongsikan. Namun masa agak cepat berlalu, kami pun faham akan tugasan abg Mat yang perlu bergerak ke Negeri Sembilan pula. Cepat-cepat saya minta untuk mengambil gambar sebagai kenang-kenangan dan untuk diabadikan di blog KGGK.

Malam

Selepas menziarahi bapa saudara isteri saya, kami bersiap-siap pula untuk berjumpa dengan abg Mi (abg Nadzmi), seorang peniup serunai dan jurulatih dari Pertubuhan Seni Silat Sendeng Malaysia. Ini satu lagi sahabat yang sudah lama saya tidak ketemu. Kalau zaman pertengahan 90-an dahulu, rumahnya menjadi mangsa kami hentam bergendang dan berlatih tiup serunai. Waktu itu, abg mi masih bujang, bolehlah.

Petang itu abg mi sibuk kerana menghadiri jemputan majlis kahwin, jadi kata beliau, "Malam ni Apis, kita makan di kedai asam pedas aje lah."

"Di mana tu?"

"Kat Parit Tarom Laut, kedai Pak Isa."

"Ok, ok. Yalah... jumpa di sana." Walhal saya pun bukannya tahu di manakah kedai itu. Hanya bertanyakan bapa saudara isteri saya. Namun jaraknya tidaklah begitu jauh dari rumah bapa saudara/atuk. Hanya 5 minit perjalanan sudah sampai.

Penulis dengan Abang Mi (baju putih)

Sampai sahaja saya lihat dua mangkuk asam pedas sudah terhidang. Teringat pula kisah makan asam pedas di Melaka sewaktu bengkel gendang silat di sana. Saya bersalaman dengan abg mi. Sudah lama tidak jumpa, tentu banyak perkara yang ingin diperkatakan. Dan topik terhangat tentulah kisah gendang dan serunai.

Kalau orang gendang jumpa orang gendang, begitulah halnya. Lama juga kami berbual hinggalah anak saya mengadu sakit dan mengajak kami untuk segera balik. Kalau tidak, sudah tentu lama lagi saya berbual dengan abg mi. Insya-Allah, kalau tak ada apa-apa aral, saya akan balik lagi Muar dan tentunya ketika itu, saya pergi seorang diri sahaja. :)

0 comments:

Related Posts with Thumbnails

  © Blogger templates ProBlogger Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP