Festival Seni UKM 2010
Seingat saya, sudah beberapa kali juga bermain di majlis kesenian UKM atas jemputan sahabat saya, Noor Azam (salah seorang ahli KGGK dan jurulatih gendang silat di UKM). Kali ini bermain serunai lagi, mengiringi pasukan gendang silat ko-ku UKM. Setelah sekian lama ko-ku gendang silat di UKM (sejak tahun 1998), alhamdulillah, ia masih kekal dalam senarai Pusat Kebudayaan UKM yang terletak di DECTAR (Dewan Canselor Tun Abdul Razak).
Sdr Azam (baju biru)
Malam itu, majlis dimulakan dengan gabungan muzikal kumpulan muzik dan kesenian ko-ku UKM. Acara dibuka dengan tarian dan seterusnya pasukan gendang silat. Segalanya berjalan lancar, kecuali ada sedikit salah maklumat; namun ia tidak mencacatkan majlis. Saya dan sdr Sharul awal-awal lagi sudah bergerak ke UKM untuk mengelakkan trafik yang sesak.
Agak lama juga saya tidak mengunjungi UKM apatah lagi ke DECTAR. Segala nostalgia ketika belajar di sana berputar-putar di kepala. Mana tidaknya, dahulu saya adalah merupakan salah seorang tenaga teknikal pelajar di Pusat Kebudayaan tersebut. Memanjat sana-sini, dengan walkie-talkie. Ketika itu pusat kebudayaan di bawah pimpinan Dr Shaharudin yang kini berada di UMS. Ah, kenangan ...
Moga-moga pusat kebudayaan terus melestarikan seni dan budaya Melayu. Pasukan wayang kulit mana ya? Sudah bubarkah? Telinga saya tidak dengar lagu Bertabuh yang bilang kalinya dimainkan sewaktu festival kesenian sebelumnya.
0 comments:
Post a Comment