Saturday, August 16, 2008

Laporan 15/8/08 - Ampang

Terkejar-kejar juga kami apabila melihat jam sudah menunjukkan pukul 6.45 petang. Menantikan si Mat Arip, bagaikan menunggu bulan jatuh ke riba. Dimaklumi bahawa premis mereka untuk mengadakan walimatul urus agak tersorok dan tahu-tahu sahajalah, kalau orang KL memang ngeri sangat melalui Jalan Jelatek yang penuh sesak, terutama di hari Jumaat begini. Tapi janji tetap janji, maka kami redah juga jalan yang sesak itu, sebelum tiba di Ampang Point, kereta kami membelok ke kiri dan tembus di SMK Ampang. Lega hati saya apabila jam baru menunjukkan 7.15 ptg. Kebetulan disapa oleh suami Kak Jee yang berada di parkir luar.

Persembahan yang bermula lebih kurang 7.50 itu dibuka dengan lagu Tomoi dan saya hanya sempat mendendagkan 3 lagu sebelum diminta berhenti oleh pengendali majlis. Acara yang seterusnya berjalan. Termasuklah menunggu ketibaan pasangan mempelai, jam sudah berlari ke 9.30 malam. Entah berapa batang rokok agaknya sempat disedut sebelum kami bersiap-siap untuk menepuk lagu Pattani bagi mengiringi adik-adik yang mempersembahkan 'bunga tanjung'. Cikgu Ramli mengambil peranan dan saya cuma mengetuk gong sahaja.

Disebabkan kami berada di atas pentas, maka tak dapatlah saya merayap seperti biasa untuk mengambil gambar bergendang dari sudut yang terbaik. Hanya mengambil dari belakang sahaja. Sekian adanya, terima kasih kepada Mael, Kak Jee dan tuan rumah yang menjemput kami untuk memeriahkan lagi majlis tersebut. Setibanya di rumah Cikgu Ramli, aku mengeluh kerana tidak puas meniup serunai. Tentunya esok bermain di Shah Alam, saya rasa lebih selesa, tanpa perlu pada protokol yang pelbagai. Bentang tikar, tala gendang, terus hentam main lagu-lagu.

0 comments:

Related Posts with Thumbnails

  © Blogger templates ProBlogger Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP