Tuesday, June 2, 2009

Gendang Silat Sendeng




Kebetulan, minggu lepas saya balik ke kampung kerana menghantar kakak ipar saya untuk majlis perkahwinannya. Namun dalam perjalanan pulang, kami singgah ke majlis perkahwinan di Bukit Kangkar (Parit Pelampong). Cuaca agak panas, matahari berdiri di atas kepala. Saya tersengih-sengih apabila melihat sekumpulan anak-anak muda berpakaian hitam, segak dengan setanjak di kepala sedang membuat persembahan silat.

Tapi yang lebih menarik hati saya adalah bunyi-bunyian yang mengiringi para pesilat yang sedang beraksi. Bunyian gendang kumpulan silat sendeng itu menyebabkan saya terdorong untuk menghampiri dan meninjau-ninjau. Dapatlah 2, 3 gambar yang saya tangkap untuk kenang-kenangan dan berita di blog. Kedengaran irama Tari Inai dan Gendang Perang bergema, saling sulam-menyulam mengiringi persembahan silat. Agak lama juga saya tidak mendengarnya. Kalau dahulu di Muar, memang selalu kedengaran muzik ini. Dan seperkara lagi, telinga saya sudah lama tidak menikmati irama gendang silat Jawa di Muar yang mengalun lembut sambil menyaksikan orang-orang tua bermain silat pulut.

Mungkin satu hari nanti saya berkesempatan untuk menonton permainan silat Jawa dan menikmati irama gendang silat Jawa yang sudah lama saya tidak dengar. Modah-mudahan adik-adik dari kumpulan silat sendeng ini akan meneruskan perjuangan sampai bila-bila. Amin.

1 comments:

Anonymous,  June 2, 2009 at 7:34 PM  

semoga permainan gendang silat akan berkembang di mana-mana ... syabas sdr penulis ...

Related Posts with Thumbnails

  © Blogger templates ProBlogger Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP