Thursday, March 18, 2010

Warisan gendang silat



GENDANG yang baik ialah gendang yang mengggunakan
kayu pokok nangka, kayu pokok kelapa dan kayu pokok cempedak.



"KALAU sehari Pak Tih tak bergeduk, rasanya macam kehilangan. Macam orang bercinta tapi kekasih hati tak ada di depan mata," kata Hamid Abdullah, 48, disambut derai ketawa mereka yang hadir.

Raut wajah Hamid, atau Pak Tih Mid bagi orang kampung, ceria bila diminta menceritakan tentang gendang silat oleh sekumpulan wartawan di Kampung Kuala Lanjut.

Pak Tih Mid mengambil sebiji gendang silat yang terletak di dinding bangsalnya lalu diletakkan di atas riba.
Sambil meriba sebiji gendang silat, jari-jemarinya mengetuk-ngetuk perlahan bahagian permukaan atas dan bawah gendang berukuran 53.3 sentimeter (sm) itu.

Mulutnya ramah menceritakan seni tradisional yang diwarisi daripada bapanya itu sambil sesekali beliau membetulkan lilitan kain di kepalanya.
Menurut Pak Tih Mid, beliau adalah generasi keempat yang meneruskan kepakaran keluarganya itu. Daripada 15 adik-beradik, Pak Tih Mid merupakan anak kelima dan satu-satunya anak yang meneruskan minat bapanya.

"Saya bermain gendang sejak berumur 14 tahun. Lepas tu, tak pernah berhenti hingga ke hari ini," jelas Pak Tih Mid yang masih lagi menyimpan gendang pertama hasil tangannya kira-kira 30 tahun yang lalu.

Malah beliau turut menyimpan gendang berusia lebih 70 tahun milik bapanya.

Memang sudah menjadi rezeki Pak Tih Mid apabila pasukan Gendang Budaya Warisan Pak Tih yang ditubuhkannya sejak 20 tahun lalu menjadi antara punca pendapatannya menyara keluarga.

Selain dimainkan pada upacara di gelanggang silat, beliau turut bergendang pada majlis-majlis perkahwinan. Adakalanya kumpulan Pak Tih Mid dijemput bagi memeriahkan majlis sambutan kemerdekaan, perasmian dan majlis menyambut wakil rakyat.

Bayaran yang dikenakan di antara RM600 hingga RM2,000 bergantung kepada lokasi, masa dan majlis. Ada majlis yang hanya memerlukan gendang semata-mata, ada juga yang turut melibatkan alat muzik iringan seperti serunai, tamborin dan gong.

Kepakaran Pak Tih Mid memang terbukti apabila beliau boleh memainkan lima biji gendang serentak. Selain itu, hanya dengan mendengar bunyinya sahaja, Pak Tih Mid sudah tahu kualiti sesebuah gendang.

"Lebih nipis kulit yang digunakan, bunyinya lebih sedap dan melengking," kata Pak Tih Mid.

Menurutnya, kualiti gendang bergantung kepada ketegangan kulit lembu dan kambing yang digunakan sebagai permukaan gendang. Kulit lembu digunakan untuk bahagian bam (bahagian bawah yang mengeluarkan bunyi rendah) manakala kulit kambing digunakan untuk bahagian cang (bahagian atas yang mengeluarkan bunyi tinggi).

"Kemudian rotan batu digunakan sebagai baluh iaitu bingkai pengikat atau pencengkam bam supaya lebih tegang," jelas Pak Tih Mid yang memiliki 10 pasang gendang terdiri daripada gendang silat, gendang ****** dan gendang joget.



Bagi Pak Tih Mid, sungguhpun kerja menyiapkan sesebuah gendang agak renyah, tetapi kerana minat dan sayang terhadap warisan itu, beliau tetap meneruskan usahanya.

"Gendang yang baik ialah gendang yang mengggunakan kayu pokok nangka, kayu pokok kelapa dan kayu pokok cempedak," jelasnya yang turut membuka gelanggang dan mengajar Silat Gayung Melayu.

Menurut Pak Tih Mid, panjang gendang yang paling baik ialah 55 sm kerana tidak lenguh dipegang dan harganya boleh mencecah RM800 ke atas.

"Kayu itu kita jadikan badan gendang. Kerja-kerja membuang isi tengah lebih mudah dijalankan pada musim hujan kerana kayu akan lembut atau direndam di dalam air supaya ia kembang," terang Pak Tih Mid.

Setelah itu, kulitnya akan dibuang sehingga licin menggunakan pahat dan juga mesin serta kertas pasir. Kemudian barulah kerja memasang bam dan cang dijalankan.

"Kerja menyiapkan sebiji gendang adakalanya mengambil masa sebulan termasuk waktu menunggu batang pokok dan kulit kambing serta lembu tadi kering. Ia perlu dikikis licin bagi membuang bulu dan kesan lemak kering sebelum dipasang," jelas Pak Tih Mid meringkaskan cara-cara membuat gendang.

Pak Tih Mid juga sangat gembira apabila pihak Kraftangan Malaysia (Kedah) memperuntukan bantuan sebanyak RM5,000 untuk membina bengkel bersebelahan rumahnya. Ia juga sebagai satu galakan terhadap usaha mengekalkan warisan gendang.

Selain bengkel, pihak kraftangan turut menyalurkan bantuan kewangan berjumlah RM20,000 dalam bentuk mesin dan barang seperti kulit lembu untuk membuat gendang.

Kini, Pak Tih Mid tersenyum lega apabila minatnya itu ditunjukkan tiga daripada lapan orang anaknya.

Anak-anaknya Mohd Sabri, 25, Mohd Shabi, 17, dan Mohd Faizal, 16, sering berlatih dan membuat persembahan gendang bersama Kumpulan Gendang Budaya Warisan Pak Tih.

"Saya mula bermain sewaktu darjah tiga dan kini sepenuh masa membuat gendang. Saya fikir, kalau bukan saya dan adik-adik, siapa lagi yang akan meneruskan usaha ini," kata Mohd Sabri. - Bernama

0 comments:

Related Posts with Thumbnails

  © Blogger templates ProBlogger Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP