Showing posts with label Belasungkawa. Show all posts
Showing posts with label Belasungkawa. Show all posts

Thursday, February 9, 2012

Imam Hj Mansur

Beliau adalah salah seorang wira tidak didendang yang sempat saya bertemu pada tahun-tahun penghujung sebelum beliau 'pergi', seingat saya di penghujung tahun 90'an. Ketika itu, kami (saya, Cikgu Ramli, Abang Jo, Abang Din, Azam) mahu membeli peralatan gendang silat. Ketika itu, beliau masih sihat dan boleh bercerita panjang. Selain itu, beliau juga merupakan guru yang mengajar Allahyarham Pak Teh Cha untuk bergendang dan membuat gendang.Tempatnya juga di Batu Kurau, Perak.

Allahyarham Imam Haji Mansur (lebih dikenali sebagai Pak Ngah Mansur)
Kredit gambar dri FB Guru Alzahari

Ketika itu saya masih baru belajar dan hanya mendengar sahaja perbualan mereka. Tapi sempat juga melihat beliau bergendang dan berceloteh tentang orang bermain gendang ketika itu. Selain dari merupakan guru gendang, pembuat gendang, beliau juga merupakan salah seorang Guru Gayung Fatani yang dikenali ramai hinggalah kini, namanya disebut-sebut (al-fatehah). 

Kenangan Pak Ngah (bergendang) ketika majlis bersilat di UM, awal tahun 1990. 
Bersama Allahyarham Guru Utama PSGFM, 
Tuan Haji Anuar Wahab (serunai) (al-fatehah).

 Selain dari itu, tidak banyak yang saya ketahui tentang beliau, hanya tahu beliau guru bermain gendang disamping seorang guru silat, serta juga imam. Sekiranya ada sesiapa yang mengenali beliau semasa hayatnya (dari konteks bergendang, sudi-sudilah berkongsi di sini). Mudah-mudahan akan ada pengganti beliau nanti, pandai bertukang gendang, bergendang dan bersilat.

* Sempena entri di bawah "Kisah Malang Insan Seni," KGGK mahu mengabadikan mana-mana guru gendang silat yang sudah pergi sebagai rekod dan rujukan pada sesiapa pada masa akan datang. Selain itu, supaya jasa mereka tidak dilupa dan dikenang sampai bila-bila. Kalau ada sesiapa berhajat untuk berkongsi, sila emel gambar, nama, tempat dan ceritakan sedikit maklumat tentang guru gendang atau serunai atau pembuat peralatan gendang silat tersebut, sila emel kepada gemalakasturi@yahoo.com. Jangan lupa beri nama anda yang mengirim emel tersebut.

Terima kasih.

Read more...

Wednesday, March 23, 2011

Salam Takziah Untuk Pemain Serunai & Gendang

sila klik gambar untuk besarkan saiz

Salam takziah buat keluarga En Ishak Husin, Tualang, Pokok Sena. Seorang pemain gendang dan peniup serunai yang terlibat dengan kemalangan ngeri di Pendang pada 21 Mac 2011.

sila lihat juga entri 1, entri 2 dan entri 3.

Read more...

Tuesday, March 22, 2011

Berita Kemalangan - Elak Lembu Besar!

ZIARAH...keluarga dan kenalan menziarahi jenazah Ahmad

di Kampung Alor Rela, semalam.

Sumber : Di salin daripada Metro Online

ALOR SETAR: “Saya ternampak seekor ‘lembu besar’ berwarna hitam melintas secara tiba-tiba. Saya cuba mengelak tapi gagal,” kata Rashidi Ahmad, pemandu van yang terbabit dalam kemalangan mengorbankan lima guru silat di Jalan Titi Haji Idris, Pendang dekat sini, awal pagi semalam.



Rashidi, 24, memandu van Ford Econovan membawa lapan penumpang yang dalam perjalanan pulang selepas mengadakan pertunjukan silat di majlis perkahwinan ahli keluarga seorang daripada mangsa di Sungai Buloh, Selangor, kelmarin.

Seorang daripada yang terbunuh dalam kejadian jam 3.30 pagi itu ialah ayah Rashidi, Ahmad Ismail, 60, dari Kampung Alor Rela, Langgar, yang maut di tempat kejadian. Turut maut di tempat kejadian Juhari Darus, 65, dari Kampung Pering, Kodiang dan Jumaat @ Saad Mat Akhir, 65, dari Malau, Jitra.

Sudin Idris, 65, dari Kampung Telaga Mas dan Eshak Awang Kechik, 78, dari Kampung Tualang, Pokok Sena, pula meninggal dunia pada jam 9 dan 11.45 pagi semalam ketika dirawat di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini.


Rashidi, Ariffin Mahazon, 56, dan Mohd Idris Mohd Senapi, 20, dirawat sebagai pesakit luar manakala seorang lagi penumpang, Che Ishak Hussin, 54, ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital sama.

Menurut Rashidi, selepas cuba mengelak ‘lembu besar’ hitam itu, van dipandunya terbabas dan melanggar sebatang pokok berhampiran sawah.

“Selepas itu, saya tak ingat apa berlaku. Apa yang saya tahu, saya berada di tepi jalan sebelum ternampak ayah masih berada di tempat duduk penumpang hadapan van dan dipercayai sudah meninggal dunia kerana tersepit,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Alor Rela, Langgar, dekat sini, semalam. Rashidi dan semua penumpang van berkenaan adalah guru silat yang juga ahli Persatuan Persilatan dan Pergendangan Negeri Kedah.

Mereka bertolak dari Sungai Buloh dengan diikuti sebuah kenderaan lain berkonvoi untuk pulang ke Kedah, kira-kira jam 6 petang kelmarin dan kejadian berlaku ketika van dipandu Rashidi menghala ke Langgar dari arah Pendang. Rashidi berkata, dia tidak mengantuk ketika memandu kerana sepanjang perjalanan mereka berhenti rehat di lima hentian rehat dan rawat (R&R) Lebuhraya Utara-Selatan sebelum meneruskan perjalanan pulang.

“Ayah tak banyak bercakap cuma ketika berhenti di hentian R&R Bukit Gantang, Perak, dia singgah minum bersama rakan-rakannya manakala saya duduk di meja lain.


“Sejak di Sungai Buloh lagi hati saya tak tenteram kerana berasakan sesuatu yang bakal berlaku, namun saya cuba melupakannya. Akhirnya berlaku kemalangan ngeri ini sehingga menyebabkan kematian ramai termasuk ayah,” katanya.


Rashidi yang juga anak keenam daripada tujuh beradik berkata, sebaik ternampak ‘lembu hitam’ melintas jalan, dia tidak sempat berbuat apa-apa kerana jalan raya di situ gelap dan hanya menyedari kemalangan itu sebaik berada di bahu jalan.

Dia dipercayai tercampak keluar melalui tingkap van akibat rempuhan kuat itu yang menyebabkan dia berada dalam keadaan separuh sedar dan dibawa ke HSB untuk mendapatkan rawatan dengan menaiki ambulans.

“Setahu saya, kawasan itu tidak pernah ada lembu pun dan kalau ada sekali pun hanya waktu siang, tetapi jarang pula ada waktu tengah malam dan awal pagi.

“Saya reda dengan apa yang berlaku kerana kehilangan ayah dalam sekelip mata selain rakannya yang menjadi orang kuat dalam persatuan silat itu,” katanya.

Read more...

Monday, March 21, 2011

Al-Fatehah Buat Mereka Yang Pergi

Pagi-pagi tadi saya menerima panggil dari Jan Serunai, Perlis. Terkejut besar mendengarnya, tapi Allah lebih mengetahui, terutama apabila melihat senarai nama yang dihantar oleh Jan. Saya terus menghantar mesej kepada Sharul ttg itu. Memang semalam Sharul ada bercerita tidak dapat berjumpa dengan mereka di Sungai Buloh. Mereka dijemput bergendang di rumah Tok Ayah Haji Mat. Saya pula baru sampai dari Muar, Johor.

Berita ini amat menyedihkan, tambahan pula menjelang petang kami mendapat khabar 5 orang yang pergi meninggalkan kita. Mereka bukanlah orang lain, kalau kami bertandang ke Jitra sana, memang selalu juga bertemu di majlis-majlis dan kenduri perkahwinan. Terakhir, semasa penggambaran untuk majalah 3. Dan itulah kali terakhir saya dan Sharul berjumpa dan melihat Pak Long Ad dan Tok Awang bersilat (di sana menggelarnya Hulk Hogan).

Sementara pemandu van tersebut, Shidi, merupakan rakan gendang kami dan juga anak kepada salah seorang allahyarham guru silat, Pak Ndak Mat (di sana menggelarkannya Pakmat Kambin). Sharul menelefon Pak Teh Mat Khir bertanyakan tentang perkara tersebut. Dikatakan Shidi melanggar sebatang pokok. Dalam berita jam 8 pula dilaporkan pemandu mengelak sesuatu, melanggar pokok lalu menjunam ke dalam petak bendang. Sekilas, terpandang pula seorang lagi mangsa, juga rakan kami, Mat Deris dalam keadaan yang agak parah. Ya Allah ....

Ketika sedang minum dengan Sharul, saya menerima mesej dari Pak Teh Mat Khir mengatakan bahawa TV9 datang menemuramahnya tentang kejadian ini. Rupa-rupanya, bukan sahaja TV9, malah TV3 dan RTM 1 juga membuat liputan tentang perkara ini. Manakala selepas menerima berita tersebut, status Gemala Kasturi dinaikkan untuk mengkhabarkan tentang berita yang menyayat hati tersebut. Terima kasih kepada rakan-rakan yang meletakkan pautan dari The Star Online dan Berita Harian Online yang juga menulis tentang perkara yang sama.

Jadi dalam senarai kami, yang meninggalkan kita adalah :

1) Tok Awang Johari Darus @ Hulk Hogan (Kodiang)
2) Jumaat @ Saad Mat Akhir @Pak Long Ad (Jitra)
3) AhmAD Ismail @ Pak Ndak Mat @ Pak Mat Kambin (Langgar)
4) Lebai Sudin Idris (Pokok Sena)
5) Hj Ishak Awang Kechik (Tualang)

Kelima2 merupakan guru-guru silat yang dikenali ramai di sana.


Published: Monday March 21, 2011 MYT 9:36:00 AM
Updated: Monday March 21, 2011 MYT 9:40:04 AM

Four silat masters die in road accident

ALOR SETAR: Four silat masters died and five others were injured when the van they were travelling in was involved in an accident at Jalan Titi Haji Idris here.The incident occurred at about 3am on Monday when they were on their way to Pendang.It is learnt that the silat masters were returning home from a competition in Kuala Lumpur.



4 guru silat maut, 5 cedera kenderaan terbabas di Alor Setar

2011/03/21
ALOR SETAR: Empat guru silat yang dalam perjalanan pulang selepas membuat persembahan di majlis kenduri terbunuh, manakala lima cedera selepas van yang mereka naiki terbabas sebelum merempuh pokok di Jalan Langgar-Tanah Merah berdekatan titi Haji Idris di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 pagi itu menyebabkan tiga daripada mangsa meninggal dunia di tempat kejadian, manakala seorang lagi mangsa maut ketika dirawat di hospital Sultanah Bahiyah di sini, kira-kira jam 9 pagi tadi.

Sementara mesej dari seorang rakan kami pula :

ALFATIHAH...Asmkum..kpd seluruh Jemaah seperjuangan.dgn penuh rasa kasìh ingin memberitahu rombongan gendang silat pak su mat dari kedah yg di terajui oleh ayah kandung ayah lie singa telah berlaku kemalangan menuju pulang ke kedah semalam dari sg buluh 4 orang termasuk AYAH KANDUNG AYAH LIE SINGA telah kembali ke rahmatullah


Ucapan takziah kepada seluruh keluarga yang kembali ke rahmatullah dan juga seluruh keluarga yang terlibat dengan kemalangan tersebut. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh mereka dan ditempatkan di kalangan orang-orang yang soleh - al fatehah ...

p/s : Dunia persilatan tanah air kehilangan 5 butir permata sekaligus

kredit @ sumber : Sdr Jan Serunai, Sdr Huzaifah, Pak Teh Mat Khir, Sdr Fauzi , Sdr Mat Arip, Kak Yanti, PESAKA, Brandon, Star Online, Berita Harian Online, Metro Online.

Read more...

Friday, February 11, 2011

Kembalinya Seorang Pejuang Seni Budaya Ke Rahmatullah

Ketika menerima berita perginya almarhum guru kami, Pakcik Din b. Guai, saya sedang berbual-bual dengan sdr Sharul jam 2.00 pagi. Terus kami bergegas ke sana dengan disertai oleh Cikgu Ramli. Setibanya di Jengka 25, saya menerima panggilan Abg Zizi yang bertanyakan hal tersebut. Apabila sampai saja di rumah almarhum guru, orang sudah mulai berpusu datang. Saya bersalam-salaman dan terus ke dalam. Dada saya sebak, duduk di sisi jenazah guru saya, perlahan saya, cikgu ramli dan sharul membaca yasin dan tahlil. Untuk kali terakhir, saya melihat wajah Pakcik Din dan mengucup dahinya. Sesudah itu, kami beredar kerana memberi laluan kepada tetamu lain untuk membaca yasin.

Ketika dalam perjalanan ke Jengka 6, seribu kenangan menerjah, terutama kenangan ketika pertama kali jumpa dengan beliau di Felda Bukit Mendi, Pahang untuk bersirih pinang. pada tahun 1998. Ketika itulah saya mula mengenali wajah beliau.

"Kalau kita main gendang ni, kita kena jaga tingkah laku. Jangan pi main tempat orang kita bawa pesen kita di tempat latihan...." Antara nasihat beliau. "Kalau hang reti, hang kena buatlah, " ketika ditanya untuk membuat artikel pasal gendang silat di majalah SB dalam tahun 2001

Orangnya periang, kalau bercerita memang tak kering gusi dibuatnya. Sememangnya beliau merupakan guru kesayangan di kawasan Jengka dan sekitar Pahang. Anak muridya mencecah ribuan kalau mahu dihitung, termasuklah GK yang menerima asuhan dan didikan daripada beliau.

Terlalu banyak kenangan GK dengan beliau samada pengalaman di Jengka atau di KL. Setiap kali bertandang ke KL, kami memang tidak pernah dilupakan oleh beliau. Ketika itu jugalah kami akan bertemu beliau. Segala nasihat, panduan, petua mahupun dalam bidang agama, beliau berikan akan kekal dalam ingatan sehingga ke akhir kalam.

Ketika di sana, orang ramai tidak putus-putus menziarahi, hinggalah ke saat pengebumian, ramai yang mengiringi. Semasa hayat beliau, memang beliau orang banyak kenalan, tambahan pula beliau seorang pemain serunai. Tidak kira berada di mana, beliau sentiasa disenangi oleh rakan dan sahabat. Sempat juga kami berjumpa dengan Pak Man Misai, sahabat karib beliau.

Tidak berapa lama, selepas disembahyangkan di rumah, kami bergerak menuju ke kawasan perkuburan di situ juga. Kami beramai-ramai ke mengiringi almarhum ke sana untuk kali terakhir. Hanya selepas bebrapa ketika, barulah kami beransur ke rumah beliau. Sementara menanti untuk kembali ke KL, saya bagai terpandang-pandang beliau sedang senyum. Dengan misainya yang memutih, percakapannya, senyumnya, tawanya bagai ternampak-nampak.

Semasa beliau mengunjungi sdr Sharul di KL baru-baru ini, saya sempat berjumpa dan bersembang dengan beliau hingga 4 pagi. Banyak perkara yang dikhabarkan, banyak nasihat dan panduan disampaikan, tidak putus-putus. Sejak 1998 saya mengenali beliau, sehinggalah pertemuan terakhir, beliau masih sama, tidak berubah. Masih gembira untuk memberi nasihat dan tidak lokek dalam petua bergendang.

Pernah juga beliau berkata agar permainan gendang silat kena kembangkan walau dengan apa cara sekalipun. "Tidak kiralah bengkel ka, seminar ka ... tak kisah, yang penting dikembangkan. Cara mana, itu tak kisah." Itulah jawapan beliau ketika saya memohon izin untuk mengadakan bengkel gendang silat baru-baru ini di Melaka. Sesungguhnya, beliau adalah antara guru GK yang amat kami hormati. Wibawa beliau dan ketokohannya sebagai seorang guru dan pemimpin amat disenangi.

Artikel wawancara saya di majalah SB dengan
almarhum Pakcik Din sekitar tahun 2001.
Sila klik untuk besarkan saiz.


Pakcik Din akan sentiasa kami ingat dan kenang. Semadilah wahai guru yang tercinta dalam aman dan tenang. Kami warga KGGK dan seluruh warga pergendangan di Tanah melayu ini mendoakan semoga rohmu ditempatkan di kalangan orang-orang yang soleh, al-fatehah.
(ketika menulis entri ini, perasaan saya sebak, sebak yang amat ...)

p/s : salam takziah kepada seluruh keluarga almarhum Pakcik Din Guai, anak-anak murid, saudara-mara dan sahabat handai beliau.

Read more...

Wednesday, January 5, 2011

Perginya Seorang Peniup Serunai

Dua hari lepas sewaktu bangkit dari tidur, selfon saya berbunyi, tanda mesej masuk. Nama Abg Mat Telok Intan tertera. Apabila membuka sahaja mesejnya - "abg mat dah takdak, ni adik angkat dia." Saya kaku sebentar. Ingatan saya terbang ke Bukit Merah, sewaktu pertama kali saya dan KGGK bertemu dengannya. Rupanya itulah pertemuan kali pertama dan terakhir. Namun beberapa kali saya menelefon beliau bertanyakan keadaan sewaktu beliau sedang gering, namun Allah lebih menyayanginya.

Tidak menyangka dengan tubuhnya yang sederhana besar, misai yang tebal itu amat peramah orangnya. Banyak perkara yang kami bualkan. Tentang perkembangan dunia gendang silat, tentang pengalaman beliau bermain serunai. Tentang serunai batang cabainya ...

Allahyarham Abg Mat meniup serunai, sebelah kiri saya (tanpa songkok)

Dan kini ia menjadi sebuah kenangan yang terpahat kukuh di ingatan. Saya dan ahli KGGK mendoakan agar roh beliau dicucuri rahmat oleh Allah dan ditempat di kalangan orang-orang yang soleh dan beriman. Amin, amin, amin, al-fatehah. Salam takziah buat keluarga, saudara-mara dan sahabat handai allahyarham.

Read more...

Friday, December 17, 2010

Al-Fatihah Buat Allahyarham Pak Raden Karno

Sebentar tadi baru menerima khabar dari guru kami di Kedah bahawa seorang guru gendang silat, Pak Raden Karno, yang juga merupakan rakan kepada guru kami, kembali ke rahmatullah. Al-Fatehah. Semoga rohnya dicucuri rahmat oleh Allah dan ditempatkan di kalangan orang-orang yang soleh.

Pemergian beliau adalah merupakan satu kehilangan yang besar dalam dunia pergendangan silat Melayu aliran utara. KGGK mengucapkan salam takziah buat keluarga, saudara-mara dan sahabat handai beliau.

Read more...

Saturday, August 7, 2010

Terkenang Pak Teh Cha : 1998 - 2009 (Ketika mula mengenali hingga saat pemergiannya)

Pak Teh Cha

Al-Fatihah


Hampir setahun berlalu, hati saya tiba-tiba terkenang kepada salah seorang guru serunai dan gendang kami di Batu Kurau, Perak. Tambahan pula, bulan ramadhan menjelang tiba. Kenangan-kenangan lalu menusuk dan bermain di layar benak. Namanya panggilannya Pak Teh Cha. Namun Allah lebih menyayanginya, pemergiannya amat memilukan saya.

Bermain di Taiping dengan kump Pak Teh Cha

Mulanya saya mendapat berita yang pakteh tidak berapa sihat. Lalu saya menelefon bertanyakan khabar beliau. Lama saya berbual dengannya di telefon. Keadaan ekonomi dan masa ketika itu tidak mengizinkan saya untuk menziarahi beliau sewaktu itu. Jadi, telefonlah sebagai penghubung bertanyakan khabar berita pakteh di sana. Sedari itu, saya dan Bulat merancang untuk melawat pakteh pada hari raya, namun sms yang diterima daripada Cikgu Deen (salah seorang murid pakteh), membuatkan saya kemamar sebentar. Hari raya hampir menjelang 2, 3 hari lagi. Hati saya menangis hiba, tertunduk pilu dalam keadaan yang terdiam. Diam, sediam-diamnya. Apa pun saya redha dan menerima berita itu sebagai satu ketentuan yang sudah tertulis.

Saya bermain (tiup serunai) ketika kenduri kahwin di rumah Pak Teh Cha

Saya mula mengenali pakteh pada tahun 1998, iaitu ketika saya terlibat dalam dunia pergendangan Melayu ini. Mengikuti Cikgu Ramli yang ketika itu sering bertandang ke rumahnya untuk menziarahi dan membeli gendang buatan beliau. Ketika itu jugalah saya mengenali rakan sekumpulan beliau, Awang Peteh, Pak Su, Din Setera dan ramai lagi.

Kalau kami tiba di sana, selalu sahaja pakteh akan menelefon terlebih dahulu rakan-rakannya untuk bergendang bersama. Sayang, ketika itu saya tidak punya kamera dan tidak pernah terfikir untuk merakamkannya dalam bentuk visual; hanya dalam kotak memori sahaja. Bukan setakat itu, malah pakteh membawa kami untuk bergendang di sekitar kampung di Batu Kurau atau Taiping sekiranya beliau mendapat jemputan dan kami berada di sana sewaktu itu.


Dengan beliau jugalah, pertama kali saya mendengar perkataan Bismillah serunai (salah satu istilah dalam permainan serunai untuk merujuk kepada siapa kita berguru). Namun saya tidak bersembang panjang lebar dengan pakteh kerana tak tahu apa yang diperbualkan. Saya hanya menjadi pendengar setia apabila Cikgu Ramli berbual-bual dengannya serta rakan-rakan pakteh yang lain. Seingat saya, hanya apabila KGGK tertubuh dan pergi ke sana sendiri, barulah saya pandai sikit berbual dengan pakteh dan faham sedikit tentang perbualan berkenaan dunia bergendang serba sedikit.

Dari situ saya mula menaruh azam untuk mempelajari pengetahuan yang dan bunyi yang diajar oleh pakteh. Pada pendengaran saya (orang lain saya tak tahu), Bismillah dan lagu silat yang ditiup semacam 'pedih' tapi 'aman' di telinga. Saya kira Cikgu Deen dan rakan-rakan KGGK faham apa yang saya maksudkan. Begitu juga dalam perihal pergendangan, tidak sedikit usaha dan jasa yang dicurahkan kepada kami. Baik dari segi ilmu bergendang mahupun bimbingan dalam dunia pergendangan. Semuanya masih tersemat kukuh dalam ingatan. Itu tidak dikira pula, entah berapa banyak gendang yang kami borong daripadanya.

Pak Teh Cha - dalam kenangan KGGK ...

Entri Lepas KGGK bergendang di Baru Kurau bersama Pak Teh Cha.
Entri Cikgu Deen - salah seorang murid Pak Teh Cha

Read more...
Related Posts with Thumbnails

  © Blogger templates ProBlogger Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP