Wednesday, January 25, 2012
Monday, June 15, 2009
Aksi Tomoi!
Inilah kali pertama saya bermain serunai untuk kejohanan Tomoi yang berlangsung di Stadium Titiwangsa pada hari sabtu malam yang lepas. Seawalnya Un mengatakan bahawa guru kami, Pakcik Din Guai akan turun dari Pahang. Jadi, mula-mula saya hanya ingin berjumpa dengan beliau, tapi serunai saya standby juga. Manalah tahu pakcik menyuruh saya meniup. Kebetulan sdr Azhar Tekpi agak lapang pada malam itu. Petang itu saya menghantar sms bertanyakan samada dia ada kelapangan atau tidak. Terima kasih saya kepada sdr Azhar yang bersusah payah mengambil saya kerana kereta sudah tamat road tax nya.
Alhamdulillah, malam itu sdr Azhar tiba dalam jam 9.30, lebih kurang. Saya menyangkakan bahawa sudah terlambat. Dengan keadaan kesesakan luar biasa di kawasan tasik titiwangsa, saya malas nak fikir samada sudah lewat atau tidak, yang penting dapat berjumpa dengan pakcik Din. Setibanya di stadium, saya tidak terdengar apa-apa kecuali kebisingan lagu-lagu yang mengiringi peserta Tomoi yang masuk ke gelanggang. Tidak bertangguh, saya membeli tiket dan menuju ke tempat gendang.
Wah! Memang bingit sekali dengan suara penyokong-penyokong yang hadir. Sorak-sorai memenuhi suasana. Saya duduk di sebelah pakcik yang berehat sebentar. Tak lama kemudian saya teringat sdr Azhar yang terpaksa memarkir kereta agak jauh. Sms diterima, saya bergegas mencari sdr Azhar, rupa-rupanya dia sudah masuk menggunakan tiket gendang, chis, percuma!
Ketika itu perlawanan ketiga. Saya hanya duduk dan bersembang dengan pakcik apabila perlawanan dihentikan untuk seketika. Dada saya mula berdebar dan badan naik seram sejuk. Dalam hati teringin sekali bermain serunai mengiringi aksi petinju Tomoi pada malam itu. Tapi perasaan gemuruh menguasai memandangkan suasana yang bergegar, juga kerana permainan gendang Tomoi pada malam itu adalah dari aliran gendang Kelantan. Sudahnya saya diam, tapi perlahan-lahan saya membasahkan lidah serunai. Pakcik Din yang faham debaran hati saya, cepat-cepat menggesa saya untuk menggantikan tempatnya dengan alasan beliau ingin ke tandas.
Dada saya duk, dak, duk, dak… Tapi saya bertawakal, alang-alang serunai sudah menghala ke mikrofon, saya tiup sahaja apabila pengaracara mengumumkan ‘langkah sembah’ oleh petinju Tomoi – perlawanan keempat. Jari-jari saya menari di atas batang serunai, melayangkan lagu Tomoi aliran Kedah, meskipun saya menyedari bahawa lagu gendang Tomoi itu adalah dari aliran Tomoi Kelantan. Saya berserah.
Masuk pusingan kedua dan ketiga, hati saya sudah tenang dan mula memahami rentak dan corak permainan gendang Tomoi Kelantan, telinga saya mencari bunyi gong untuk menyelaraskan dan menyesuaikan serunai Tomoi Kedah dan gendang Tomoi Kelantan. Makin lama, makin laju rentak gendang. Tidak sempat saya mengalunkan bunga lagu Tomoi, hanya ambil yang asas dan sesekali sahaja saya sulamkan bunga lagu Tomoi Kedah. Masuk pusingan kelima dan keenam, gendang semakin rancak, sejajar dengan aksi dan langkah peninju yang semakin agresif.
Apabila perlawanan tamat, dapatlah saya berehat seketika. Pusingan keenam alunan serunai berpindah semula kepada pakcik Din. Saya hanya memerhati dan menikmati perlawanan Tomoi. Sesekali lagak gadis yang naik ke pentas sambil memegang kadbod yang bersaiz sederhana mencuri perhatian penonton. Saya senyum sahaja. Semasa berakhirnya perlawanan ketiga, hadiah dan cenderamata diberikan kepada para peserta sebelum perlawanan seterusnya.
Semasa memerhatikan peninju Tomoi menarikan langkah sembah yang menarik, saya terkenang sambil berfikir kenapakah perlawanan silat olahraga tiada mempamerkan seni yang sebegini sedangkan kita mempunyai pelbagai aliran dan tentunya tari silat yang bermacam ragam dan bentuk itu menarik hati. Di Kelantan, pertandingan Silat Jatuh sudah mempamerkan mutu dan persembahan yang jauh lebih menarik dari silat olahraga yang cuma memaparkan aksi silat yang sudah tidak mencerminkan ketinggian mutu dan nilai seni dan estetika persilatan yang cantik dan murni.
Jam sudah menunjukkan angka 12, tapi perlawanan masih diteruskan. Dalam pemerhatian saya, perlawanan kedua terakhir adalah yang paling menarik kerana aksi dan agresif dipamerkan. Tumbukan dan sepakan saling bertukar dan menyulam pula dengan buah-buah Tomoi yang selalu saya perhatikan dalam filem-filem aksi dan purba








