Showing posts with label Wayang Kulit. Show all posts
Showing posts with label Wayang Kulit. Show all posts

Saturday, March 24, 2012

Pak Berahim (Ibrahim Senik)

Sedang asyik meniup irama wayang kulit

Ternyata tidak ramai orang yang mengenalinya, kecuali dunia pergendangan Melayu, itupun kalau mereka pernah berurusan dengan beliau. Saya mengenalinya ketika belajar bermain serunai Wayang Kulit di ASK (kini dikenali sebagai ASWARA). Ketika itu masih di bangunan lama. Semangat membara ketika itu membuatkan saya tidak mengira apa sahaja jenis serunai, janji boleh tiup, saya belajar. Dan ini adalah orang yang memperkenalkan dunia tiupan serunai wayang kulit Kelantan.

Meskipun tidak lama belajar, namun jugalah mengutip sedikit sebanyak pengalaman dari otai yang sudah lama berkecimpung dalam dunia seni Kelantan, terutama wayang kulit. Mahal sangat pengalaman belajar dengan beliau. Orang lembut, steady dan sentiasa melemparkan senyuman. Kalau belajar main serunai dengan beliau, memang mudah untuk difahami (bagi sayalah) dan diikuti. Mungkin sebab ada asas bermain serunai, jadi mudah sedikit.

Saya kira pengalaman beliau sangat banyak, meskipun tiada ada yang membukukan sejarah dan pengalaman beliau dalam berserunai, namun bagi diri saya, saya amat menghargai beliau, cuma hasrat untuk mendalami tidak sampai dek kekangan masa dan tugas ketika itu. Tapi sesekali ketagih, saya tiup juga serunai irama wayang kulit. :)

Terima kasih tidak terhingga kepada beliau yang memperkenalkan irama serunai wayang kulit kepada saya, kalau orang lain tidak mahu menulis tentang beliau; atau memberikan penghargaan beliau, saya kira tulisan yang secebis ini dapat merakamkan seorang pemain serunai Kelantan yang berpengalaman luas dalam dunia seni budaya Melayu Kelantan. Harapan saya, agar rakan-rakan lain dapat memperkenalkan lagi guru, tukang buat serunai dan gendang, pemain serunai, gendang yang otai atau sesiapa sahaja dengan menghantarkan emel pada gemalakasturi@yahoo.com untuk dipaparkan di sini agar menjadi rekod dan rujukan pada masa akan datang.

Laporan - Khairul

Read more...

Wednesday, February 15, 2012

Wayang Kulit Pak Dain


Wayang Kulit Pak Dain


'Lebih kurang 6 km dari bandar Kota Bharu, merentasi jambatan Sultan Yahya Putera, melalui jalan Palekbang ke Tumpat, di atas tapak seluas suku ekar di Kampong Morak, Palekbang, Kelantan. Galeri Wayang Kulit Melayu Tradisional Kelantan telah dibina. Pembiayaan pembinaannya ditanggung oleh Muhammad Dain bin Othman. Seorang pesara Kaki Tangan Awam Kerajaan Malaysia  dan Tok dalang Wayang Kulit Wayang Kulit Melayu Tradisional Kelantan, pada tahun 2008.'  (Sumber : klik sini)

Ini mungkin tentu sahaja memberikan inspirasi kepada kami untuk bertindak melakukan sesuatu. Sebelum ini sudah ada angan-angan, tapi apabila melihat usaha yang dilakukan oleh Pak Dain ini, kami lebih teruja dan bersemangat untuk menjalankan usaha pemeliharaan seni budaya dalam konteks yang lebih luas. Bagi kami, usaha beliau amat dipuji, biarlah apa pun yang diperkatakan orang (sudah barang tentu ada cakap-cakap kurang manis dan molek tentang usaha beliau ini di belakang-belakang), namun dia tetap melakukannya demi kesinambungan warisan wayang kulit Kelantan.

Paling dramatik adalah apabila segalanya ditanggung sendiri oleh beliau, tanpa mengharap bantuan mana-mana pihak. Ini sesuatu yang mulia, bahkan kami akan berbincang dengan teman-teman yang mahu melakukan usaha-usaha ke arah pemuliharaan dan pemeliharaan seni budaya Melayu agar tidak terkubur ditelan zaman. Selain dari itu, ia menjadi pusat maklumat, latihan, perkhidmatan penerangan, promosi dan jualan yang berkaitan dengan wayang kulit, termasuklah kraftangan, vcd dan sebagainya.



Objektif Penubuhan:

  1. Melatih dan memupuk bakat baru dalam seni muzik wayang kulit, yang telah begitu ketandusan pemuzik-pemuzik pelapis.
  2. Melahirkan seorang dalang wayang kulit yang berpengetahuan dan mahir aspek perdalangan, bukan sekadar seorang pemain wayang kulit.
  3. Memastikan seni persembahan Wayang Kulit Melayu Kelantan Tradisional tidak pupus.
  4. Mewujudkan satu pusat akses dan pameran wayang Kulit Melayu Tradisional Kelantan.
  5. Sumber rujukan dan aktiviti pelancongan.
Terima kasih atas penubuhan pusat ini,  ia memberi semangat dan inspirasi kepada golongan baru seperti kami untuk mencontohi usaha yang baik ini. Kami yakin bahawa tempat ini kurang diketahui terutama golongan di luar Kelantan (saya juga hanya kebetulan sahaja terjumpa laman web ini ketika mencari maklumat tentang gendang dan serunai). 

Semoga pejuang-pejuang seni budaya Melayu terus kukuh dan agam diri bagi meneruskan sinambungan warisan kita. Amin.

 Wayang Kulit Kelantan sudah melebarkan sayapnya, termasuk di Kuala Lumpur, bila pula Wayang Gedek mahu melakukan perkara yang sama? Percayalah, di sini terdapat ramai insan-insan yang teruja untuk mempelajari seni ini dengan bersungguh-sungguh, mahu mewarisinya, tetapi tidak berdaya untuk pergi jauh-jauh kerana komitmen lain. 

Kami di sini menanti dengan penuh harapan, moga-moga permainan wayang kulit ini dapat dikembangkan bukan hanya untuk masyarakat Kelantan, Jawa atau Kedah tetapi juga untuk yang lain, begitu juga dengan Wayang Gedek atau Wayang Purwo. Usaha-usaha untuk mengenegahkannya tidak perlulah ditunggu bantuan mana-mana pihak, tetapi melainkan berusaha bergerak sendiri, dengan titik peluh sendiri. Dikir barat, gendang silat, kompang sudah lama ada pertandingan di peringkat kebangsaan, wayang kulit bila lagi?

KAMI SEDANG MENANTI KALIAN PEJUANG SENI WAYANG KULIT UNTUK MENYAHUT PANGGILAN KAMI!

Read more...
Related Posts with Thumbnails

  © Blogger templates ProBlogger Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP