Kembalinya Seorang Pejuang Seni Budaya Ke Rahmatullah
Ketika menerima berita perginya almarhum guru kami, Pakcik Din b. Guai, saya sedang berbual-bual dengan sdr Sharul jam 2.00 pagi. Terus kami bergegas ke sana dengan disertai oleh Cikgu Ramli. Setibanya di Jengka 25, saya menerima panggilan Abg Zizi yang bertanyakan hal tersebut. Apabila sampai saja di rumah almarhum guru, orang sudah mulai berpusu datang. Saya bersalam-salaman dan terus ke dalam. Dada saya sebak, duduk di sisi jenazah guru saya, perlahan saya, cikgu ramli dan sharul membaca yasin dan tahlil. Untuk kali terakhir, saya melihat wajah Pakcik Din dan mengucup dahinya. Sesudah itu, kami beredar kerana memberi laluan kepada tetamu lain untuk membaca yasin.
Ketika dalam perjalanan ke Jengka 6, seribu kenangan menerjah, terutama kenangan ketika pertama kali jumpa dengan beliau di Felda Bukit Mendi, Pahang untuk bersirih pinang. pada tahun 1998. Ketika itulah saya mula mengenali wajah beliau.
"Kalau kita main gendang ni, kita kena jaga tingkah laku. Jangan pi main tempat orang kita bawa pesen kita di tempat latihan...." Antara nasihat beliau. "Kalau hang reti, hang kena buatlah, " ketika ditanya untuk membuat artikel pasal gendang silat di majalah SB dalam tahun 2001
Orangnya periang, kalau bercerita memang tak kering gusi dibuatnya. Sememangnya beliau merupakan guru kesayangan di kawasan Jengka dan sekitar Pahang. Anak muridya mencecah ribuan kalau mahu dihitung, termasuklah GK yang menerima asuhan dan didikan daripada beliau.
Terlalu banyak kenangan GK dengan beliau samada pengalaman di Jengka atau di KL. Setiap kali bertandang ke KL, kami memang tidak pernah dilupakan oleh beliau. Ketika itu jugalah kami akan bertemu beliau. Segala nasihat, panduan, petua mahupun dalam bidang agama, beliau berikan akan kekal dalam ingatan sehingga ke akhir kalam.
Ketika di sana, orang ramai tidak putus-putus menziarahi, hinggalah ke saat pengebumian, ramai yang mengiringi. Semasa hayat beliau, memang beliau orang banyak kenalan, tambahan pula beliau seorang pemain serunai. Tidak kira berada di mana, beliau sentiasa disenangi oleh rakan dan sahabat. Sempat juga kami berjumpa dengan Pak Man Misai, sahabat karib beliau.
Tidak berapa lama, selepas disembahyangkan di rumah, kami bergerak menuju ke kawasan perkuburan di situ juga. Kami beramai-ramai ke mengiringi almarhum ke sana untuk kali terakhir. Hanya selepas bebrapa ketika, barulah kami beransur ke rumah beliau. Sementara menanti untuk kembali ke KL, saya bagai terpandang-pandang beliau sedang senyum. Dengan misainya yang memutih, percakapannya, senyumnya, tawanya bagai ternampak-nampak.
Semasa beliau mengunjungi sdr Sharul di KL baru-baru ini, saya sempat berjumpa dan bersembang dengan beliau hingga 4 pagi. Banyak perkara yang dikhabarkan, banyak nasihat dan panduan disampaikan, tidak putus-putus. Sejak 1998 saya mengenali beliau, sehinggalah pertemuan terakhir, beliau masih sama, tidak berubah. Masih gembira untuk memberi nasihat dan tidak lokek dalam petua bergendang.
Pernah juga beliau berkata agar permainan gendang silat kena kembangkan walau dengan apa cara sekalipun. "Tidak kiralah bengkel ka, seminar ka ... tak kisah, yang penting dikembangkan. Cara mana, itu tak kisah." Itulah jawapan beliau ketika saya memohon izin untuk mengadakan bengkel gendang silat baru-baru ini di Melaka. Sesungguhnya, beliau adalah antara guru GK yang amat kami hormati. Wibawa beliau dan ketokohannya sebagai seorang guru dan pemimpin amat disenangi.
Artikel wawancara saya di majalah SB dengan
almarhum Pakcik Din sekitar tahun 2001.
Sila klik untuk besarkan saiz.
almarhum Pakcik Din sekitar tahun 2001.
Sila klik untuk besarkan saiz.
Pakcik Din akan sentiasa kami ingat dan kenang. Semadilah wahai guru yang tercinta dalam aman dan tenang. Kami warga KGGK dan seluruh warga pergendangan di Tanah melayu ini mendoakan semoga rohmu ditempatkan di kalangan orang-orang yang soleh, al-fatehah.
(ketika menulis entri ini, perasaan saya sebak, sebak yang amat ...)
p/s : salam takziah kepada seluruh keluarga almarhum Pakcik Din Guai, anak-anak murid, saudara-mara dan sahabat handai beliau.
2 comments:
..salam takziah dari saya kepada keluarga beliau..
..saya juga berasa kehilangan beliau..apatah lagi saya pernah mendapat tunjuk ajar beliau dalam dua tiga lagu yang saya mainkan..
..semuga arruh beliau diberikan kemudahan atas segala urusan 'di sana' serta ditempatkan di kalangan para solihin..insya Allah..aminnnn..
amin, amin
Post a Comment