Aku Bagai Seorang Pendatang ...
Sejak pertemuan terakhir, hampir 7 bulan tidak berjumpa dengan Johan Ariff ni. Alhamdulillah, dia masih mengekalkan imej bersih macam budak sekolah lagi. Manalah tau, dah duduk Brunei, kembali menjadi sibuta dari gua hantu ... hehehe (Jangan marah Jo). Ya, 7 bulan lamanya dia menimba pengalaman di Brunei sebagai guru muzik di sekolah muzik apa entah (lupa pula nak tanya nama sekolah muzik apa tadi, dok gasak menyembang sampai lupa ...). Tapi kali ini, rokok saya tidak habis sekotak macam dulu, itu yang penting.
Puas berada di sana, nampak gaya macam nak kembali ke tanah air sendiri. Maklumlah duduk di tanah baru, tempat orang, manakan sama dengan tanah tumpah dah sendiri. Namun dari apa yang diceritakan oleh Jo, di Brunei sendiri, muzik tradisional tidak begitu mendapat sambutan. Mungkin sedikit berbeza di sini. Ada yang dapat perhatian, ada yang pergi jauh sampai ke luar negara. Tapi yang pasti geng2 gelek nampak dada dan perut sudah jauh pergi ... jauhhhh. Tinggallah orang gendang yang masih mencari ruang agar dapat berdiri sama tinggi, duduk sama rendah. Perjuangan namanya. Tak mengapalah, biar lambat asalkan suatu masa nanti gendang silat akan menjadi satu permainan yang mahsyur di seluruh Malaysia hendaknya, amin. Nah, ini tugas yang sama2 harus digembling oleh pemain muzik gendang silat di seluruh tanah air.
Memang benarlah kata orang2 tua, 'hujan emas di negeri orang, lebih baik hujan batu di negeri sendiri.' Sejauh mana pengalamanya di sana, seindah mana bumi orang, kampung halaman tempat darah tumpah juga yang dirindukan. Harap-harap Jo akan balik ke sini terus. Meskipun begitu seronok juga dengar cerita orang namun bukan mudah untuk duduk di negeri orang yang kedai mamaknya tutup jam 6 petang. Fuh, kalau di sini buat macam tu, tak taulah orang yang kaki melepak kat kedai mamak nii, yang hilang akal pun ada agaknya! Bersih, hilang semua, terus lepak kat beranda rumah main dam haji aje. Tapi pengalaman paling sadis adalah bila beliau merasakan seperti pendatang asing, sama je macam pendatang di sini, ketika berurusan dengan imigresen sana. Kad pengenalan pun warna hijau ... pendatang ... 'aku bagai seorang pendatang' - Francesca Peter. Gelak besar saya mendengarnya.
Tapi kut mana pun, mendengarnya bercerita membuat saya terfikir juga, agaknya ada sesiapa sanggup duduk di sana sekiranya ada jemputan mengajar gendang silat? Jam 12 lebih sedikit, kami pun berpamitan, dengan harapan insya-allah aka berjumpa lagi sekiranya ada kelapangan, ruang dan waktu. Mudah-mudahan diizinkan Allah, amin.
0 comments:
Post a Comment