Tanjak Warisan Negeri Sembilan
admin
p/s : Kepada mana-mana empunya artikel yang tidak membenarkan ia dipaparkan di sini, sila maklumkan kepada gemalakasturi@yahoo.com. Kami akan memadamkannya serta-merta.
---------------------------------------------------------------------
artikel sebenarn dipetik dari Berita Harian)
Dendam Tak Sudah, Sarang Kerengga dan Kacang Dua Helai Daun. Pasti ramai beranggapan ini tajuk lagu atau album, tetapi hakikatnya inilah kebanggaan rakyat Negeri Sembilan yang merujuk kepada jenis tengkolok atau lebih dikenali sebagai destar.
Keunikan itu bukan saja terletak kepada namanya, tetapi juga perbezaan dan jenis lipatan tengkolok yang menjadikannya amat istimewa. Malah keistimewaannya terus bertahan sehingga membolehkan tanjak warisan itu terus menjadi simbol kebanggaan masyarakat Melayu sejak zaman-berzaman.
Dendam Tak Sudah misalnya, ialah lipatan khas untuk yang di-Pertuan Agong pertama, Almarhum Tuanku Abdul Rahman dan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan. Malah apabila baginda ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong, destar itu turut menjadi tanjak rasmi Yang Di Pertuan Agong sehingga ke hari ini.
Sudah pasti, rahsia keunikan destar atau tanjak ini terletak kepada pembuatnya yang bukan sekadar berlapikkan pengalaman, tetapi kemahiran, minat serta kreativiti.
Inilah keistimewaan dimiliki Md Isa Md Ali, 72, yang masih gigih meneruskan usaha menghasilkan pelbagai jenis destar tradisional baik bagi kegunaan kerabat diraja, barisan kenamaan dan orang kebanyakan serta butik pengantin sekitar Negeri Sembilan.
Namun, bagi Md Isa, antara pengalaman paling berharganya adalah menghasilkan destar bagi Almarhum Tuanku Abdul Rahman.
“Pengalaman mengambil ukuran kepala Almarhum Tuanku Abdul Rahman bagi membuat destar baginda sememangnya kenangan yang tidak akan dilupakan sepanjang hayat saya. Saya berusia 16 tahun ketika itu dan berkhidmat di Istana Seri Menanti, Negeri Sembilan sebagai Boi (tukang angkat makanan Raja).
“Saya dipanggil mengadap oleh Tuanku Abdul Rahman kerana baginda mahukan saya melipatkan destar Dendam Tak Sudah untuknya,” katanya ketika ditemui di Kompleks Kraf, Jalan Conlay, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Dendam Tak Sudah adalah lipatan khas untuk Tuanku Abdul Rahman dan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan malah apabila baginda ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong Pertama, destar itu turut menjadi tanjak rasmi Yang Di Pertuan Agong sehingga ke hari ini
Bercerita pengalamannya ketika bergelar Boi untuk Tuanku Abdul Rahman yang dipanggil ‘Ayah’, Md Isa berkata, rapatnya hubungan dia dan Tuanku menyebabkan baginda tunduk menghulurkan kepala ketika mahu diukur Md Isa.
“Ketika itu memang saya berasa sangat rendah diri dan malu kerana ‘Ayah’ menundukkan kepalanya ke arah saya. Saya sempat tunduk sembah tapi baginda menyergah menyuruh saya cepat-cepat mengambil ukuran,” katanya.
Almarhum juga, kata Md Isa, seorang Raja yang sederhana dan begitu merendah diri sehinggakan baginda akan masuk sendiri ke dapur mengambil makanan jika ingin santap di luar waktu makan.
Mengimbau pengalamannya, Md Isa berkata, dia mahir menghasilkan destar sejak berusia 14 tahun apabila dipanggil Datuk Gajah Mohd Raub supaya datang ke rumahnya di Kampung Sungai Layang, Seri Menanti, Negeri Sembilan.
Bimbangkan ilmu yang dimiliki tidak diperturunkan kepada sesiapa, Datuk Gajah memanggilnya untuk datang belajar teknik melipat destar Negeri Sembilan.
Datuk Gajah pernah berkhidmat dengan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Almarhum Tuanku Muhammad ibni Almarhum Tuanku Antah di Istana Seri Menanti sebelum menjadi Tukang Payung kepada Tuanku Abdul Rahman.
“Datuk Gajah juga tukang lipat destar kepada Tuanku Muhammad dan anakandanya, Tuanku Abdul Rahman malah dia antara yang mahir melipat destar di Seri Menanti ketika itu,” katanya sambil leka memasukkan lidi ke dalam songket yang hampir siap membentuk destar.
Selama enam bulan berulang alik dari rumahnya di Bukit Tempurung, Md Isa diajar teknik melipat lima jenis ikatan destar Negeri Sembilan dinamakan Dendam Tak Sudah, Sarang Kerengga, Kacang Dua Helai Daun, Solok Timbo dan Olong Menyongsang Angin.
Menurut Md Isa, Sarang Kerengga dikatakan direka dan dilipat sendiri oleh Almarhum Tuanku Muhammad dan tiada orang lain yang boleh memakainya selain baginda.
“Begitu juga dengan destar Kacang Dua Helai Daun yang menjadi tanjak rasmi bagi Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan selain Dendam Tak Sudah yang turut dikhaskan untuk upacara istiadat istana.
Dipetik dari Berita Harian
0 comments:
Post a Comment