Thursday, October 18, 2012

29 Sept : Majlis Malam Pendekar UKM

  
 
Seawalnya kami sudah dimaklumkan ada rehersel untuk majlis ini, namun kami tidak memenuhi hasrat mereka untuk sampai lebih awal, hanya jam 5.45 kami. Tambahan pula hari hujan dan jalan selepas tol Sungai Besi sesak yang amat. Bukan ada apa-apa, tetapi kereta banyak dan dibawa perlahan agaknya. Selesai sahaja rehersal, kami minum di kafe, solat maghrib dan bersiap-sedia untuk majlis yang akan bermula jam 8 malam


Majlis yang gilang-gemilang itu adalah untuk mendaulatkan seni beladiri. Meskipun dalam cuaca sedemikian rupa, namun sambutan penonton agak menggalakan, tambah pula dengan kehadiran grup PERSIM (Persaudaraan Silat Melayu). Memang meriah. Tahniah kepada Kelab ARTISUKMA dan penganjur, terutama En. Roslan Salam yang menjemput kami untuk menjadi pasukan gendang pengiring pada malam tersebut.

 

Read more...

Monday, September 17, 2012

Semalam Di Bukit Kiara


Majlis : Walimatul Urus
Tempat : Kelab Golf Perkhidmatan Awam (KGPA),
Bukit Kiara, KL.
Tarikh : 16 Sept 2012


Alhamdulillah, majlis yang diadakan di KGPA berjalan lancar, dan tugas kami sebagai kumpulan penyeri dalam majlis dapatlah dilaksanakan dengan izin Allah. Majlis tersebut adalah merupakan majlis perkahwinan puteri anakanda Cikgu Din (Lian Padukan), dengan suasana yang penuh gemilang dan dijalankan berserta dengan adat-adat Melayu yang cukup indah.

Menyinggah di Masjid Pusat Bandar Damansara

Tambahan pula dengan adanya persembahan silat dari Perguruan Lian Padukan, majlis menjadi berseri-seri. Inilah kali kedua kami bermain di sini atas jemputan beliau. Sebelum dari ini, atas jemputan beliau juga tetapi majlis anak saudaranya.

Dengan Cikgu Ramli

Seperti biasa, tugas KGGK adalah mengiringi persembahan silat, berarak dan juga mengiringi perjalanan pasangan mempelai turun dari singgahsana untuk bersantap. Kebetulan kami terserempak dengan rakan-rakan dari PUSAKA (Perkerisan KL dan Busana Tradisi), menjadikan kami begitu teruja. Diserikan pula dengan letupan bunga api yang memancar-mancar di udara, menjadikan majlis ini bertambah-tambah meriah. Sekalung tahniah diucapkan kepada pasangan mempelai dan juga tuan rumah yang mengadakan majlis yang penuh gemilang dan 'hidup'.

Namun disebabkan rakan kami ada tugas, kami terpaksa beransur awal; hanya sempat menikmati sedikit juadah dan hiburan dari kumpulan Bale Bale. Apapun, alhamdulillah majlis berlajan lancar.

p/s : Terima kasih kepada tuan rumah, Cikgu Din Lian Padukan yang menjemput kami, rakan-rakan dan kenalan.

Read more...

Malam Gema Pusaka (Pusaka Gayong)


Majlis : Gema Pusaka
Tempat : Institut Perguruan Bahasa Melayu, KL
Tarikh : 15 Sept 2012


Sehari sebelum majlis tersebut, rehersel diadakan bagi memastikan perjalanan majlis lancar. Hampir jam 1 pagi saya beransur sesudah rehersel tersebut. Majlis yang penuh dengan adat dan istiadat tersebut itu dirasmikan oleh YM Dato Raja Abdul Majid (Guru Pak Ndak Majid), kemudian dilancarkan pula oleh En. Maliki (Presiden Majlis Belia Malaysia) sebagai tanda pertubuhan ini kembali meneruskan aktivitinya di KL berkesinambungan dari yang lalu.

Sebagai kumpulan pengiring, kami turut rasa teruja dalam majlis yang gilang-gemilang ini. Menyaksikan majlis yang penuh dengan adat-istiadat silat Melayu ini sangat menarik. Tambahan pula ucapan Guru Pak Ndak Majid yang bersemangat dan sungguh mengujakan. Rasanya, kalau ada anak-anak muda di luar sana yang mendengarkannya pasti akan turut bersemangat. Selain dari itu, acara penganugerahan selempang kepada para jurulatih turut diadakan.


p/s : Terima kasih kepada Cikgu Azrul yang menjemput kami untuk memeriahkan lagi majlis tersebut. Juga kepada rakan dari Kump Gendang Songket Emas.

Kredit gambar : Cikgu Azrul dan Tuan Cheeze Nan.

Read more...

Majlis Anugerah Cemerlang Ko-Kurikulum & Sambutan Raya


Alhamdulillah, majlis yang diadakan berjalan lancar. Bagi para penggendang adik-adik dari SMK Yaakob Latif, inilah kali pertama mereka mengadakan persembahan di sekolah sendiri. Sebelum ini, hanya di pertandingan peringkat sekolah KL. Pelbagai perasaan yang dirasakan oleh adik-adik ini, namun alhamdulillah berjaya juga melaksanakan sekolah untuk menjadi pengiring kepada VIP yang datang melawat sekolah, juga persembahan di atas pentas.

Moga-moga berkekalan, dan terus bergendang sampai bila-bila walaupun persekolahan akan berakhir bagi beberapa penggendang tersebut. Amin.

Read more...

Tuesday, September 11, 2012

Kelas Serunai



Inilah kali pertama saya mengadakan kelas serunai sahaja tanpa gendang. Memandangkan sejak 7 - 8 yang lalu ramai yang menghantar emel untuk belajar serunai sahaja, maka wujudlah kelas ini. Sedangkan sebelum ini, terasa malas juga untuk membuatnya.

Tapi yang menariknya ada seorang pelajar muzik dari UiTM yang mempelajarinya, adalah merupakan salah seorang tenaga pengajar muzik sambilan di Yamaha Music School turut mengikuti kelas ini. Lebih menarik apabila wujudnya perbualan sebegini :

Saya : Mahalkah kelas serunai ini?
Beliau : Taklah, murah.
Saya : Kalau di Yamaha bagaimana?
Beliau : Di sana perlu membayar RM 100 untuk setengah jam.
Saya : (Mengangguk, dalam kepala mencongak - kelas aku RM 50.00 untuk 4 jam, bermakna 1 jam bersamaan dengan nilai RM 12.50 sahaja).

Kemudian, saya teringat kembali iklan yang dinaikkan telah dikomen oleh seorang yang tidak berani untuk memperkenalkan dirinya yang sebenar membuat komentar bahawa saya hendak berniaga dan mencari untung, bukannya mahu mengembangkan seni budaya, sambil itu membandingkan dengan salah sebuah institusi muzik tanah air yang sudah establish dan punya tempat yang sesuai serta kemudahan yang ditanggung sepenuhnya oleh Kerajaan.

Mengapa? Mengapa saya membuat kelas dengan bayaran per sesi? Untuk mencari untung? Untung sangatkah dengan RM 100 untuk dua orang pelatih dan tambahan pula saya menghadkannya hanya tiga orang pelajar per sesi. Tentunya tidak bukan, sekiranya sudah ditolak duit minyak, sewa tempat dan sebagainya? Kalau saya mahu membuat duit, sudah pasti saya tuliskan maksimum 50 orang dalam satu sesi, maka bolehlah saya untung.

Selain itu, saya tidak mahu sekiranya bayaran secara bulanan memberatkan para pelatih seandainya mereka punya hal dan komitmen lain serta tidak dapat hadir ke kelas. Jadi, sekiranya para pelatih merasakan minggu tersebut dia lapang, maka boleh hadir. Sekiranya tidak lapang, tidak perlu hadir dan tidak merugikan mereka sama sekali.

Jadi, kepada yang berkomentar tersebut, sekiranya banyak duit, pergilah ke kelas Yamaha Music School sahaja dan belajarlah di sana atau ke Institusi yang disebutkannya itu. Kadang kala orang sangat skeptikal dan jelas tergambar dalam pemikirannya bahawa kiranya muzik moden, oh itu tidak mengapa - mereka sudah maju dan punya tempat yang ada standard. Muzik kita, oh ini muzik kampungan, percuma pun tidak mengapa. Nyata yang menjatuhkan seni budaya Melayu itu, bukanlah orang lain, melainkan bangsanya sendiri. Dan lagi pemikirannya masih terjajah serta belum merdeka dalam sudut pemikiran untuk menaikkan martabat muzik tradisi Melayu. Kesian ... orang sudah lama ke bulan, tetapi dia masih duduk termenung di tepi kolam menanti bulan jatuh ke riba.

Ingin saya nyatakan di sini bahawa bayaran tersebut hanyalah untuk penat semata dan tidak sesekali menjual 'ilmu' kerana ilmu tidak boleh dinilai dan dijual-beli dengan wang ringgit. Kalau saya mahu mengaut keuntungan dan berdagang, tentunya saya akan mengenakan caj yang tinggi. Kepada yang berkomentar itu, saya berterima kasih tetapi nyata saudara inilah antara salah seorang yang MENJATUHKAN nilai seni dan martabat budaya orang Melayu sendiri. Mungkin juga dia belum pernah lihat akademi muzik tradisional rakan kita yang berbangsa Cina punya institusi sendiri - lengkap dengan segala macam peralatan, tempat yang selesa, peralatan tradisional semata mengembangkan serta memelihara seni budaya bangsa mereka dengan penuh dedikasi.

Saya menuliskan ini hanyalah untuk menyatakan pendirian saya bahawa seni tradisi orang Melayu punya harga yang jauh lebih mahal dari apa kita terfikir. Jauh, jauh. Pun begitu, tetaplah saya perjuangkan meski apa cabaran sekalipun. Biarlah seribu tohmahan dan fitnah melanda, saya hanya berserah kepada Allah Ta'ala semata yang lebih tahu akan niat di hati. Wuallahua'lam.

- Khairul -

p/s : Selalunya orang kita akan memerhati dahulu, tidak berani ke tengah, tidak berani mengambil risiko dan mencari jalan selamat. Tetapi apabila orang lain sudah berjaya, dia pun akan mengambil bahagian dan kesempatan dalam acara yang sama.

Read more...

Bergondang Kek Nogori Sembilan











Majlis : Pelancaran Revolusi dan Transformasi Tanjak
8hb September 2012
Ladang Alam Warisan, Kg Tengah,
Seri Menanti, Negeri Sembilan.


Inilah buat kali pertama, kami menyaksikan ramai orang Melayu berbusana Melayu yang pelbagai, dari baju hinggalah ke tengkolok. Memang meriah dan sangat menarik. Asalnya, hanya mahu membawa Kump Gendang Sidang Kencana sebagai pendedahan dan promosi. Kami menjangka hanya bermain lagu-lagu selingan sahaja. Namun, atas permintaan pihak penganjur, kami diminta untuk mengiringi pertandingan silat seni yang diadakan.

Walaupun Sidang Kencana masih baru dan belum belajar lagu silat, namun kami sempat berbincang bagaimana mahu mengatasi dan membantu untuk memeriahkan majlis tersebut. Akhirnya kami membuat keputusan untuk tidak menghampakan pihak penganjur dengan memainkan gabungan muzik Cak Lempong dan Serunai silat aliran utara. Gendang dengan rentak 'Bayon'. Alhamdulillah dapatlah menunaikan hajat penganjur hinggalah ke akhir pertandingan.

Selesai majlis, kami mengambil peluang untuk meronda dan melihat pameran yang diadakan, sementara persembahan Kuda Kepang dan Barongan berlangsung di satu sudut yang berhampiran dengan pintu masuk. Setelah puas melihat, kami mula beransur apabila jam sudah menunjukkan lebih kurang 6.15 petang.

p/s : Terima kasih kepada Sdr Shahrul Fadzly dan Geng Busana Tradisi yang memberikan peluang kami bermain dan layanan yang terbaik kepada kami. Juga kepada rakan-rakan di majlis serta pihak-pihak yang terlibat. Majlis ini sekaligus menandakan bahawa Busana Melayu tradisi akan terus kekal hidup dengan izin Allah, amin.

Read more...

Monday, September 10, 2012

Taklimat Ringkas Tentang Gendang Silat




Gambar sekitar majlis

Majlis : Perjumpaan Dunia Seni Silat Melayu (DSSM) Ke-5
2 September 2012
Taman Tasik Titiwangsa, KL


Alhamdulillah, meskipun di saat-saat akhir pihak penganjur meminta untuk menggantikan aktivitis Busana Tradisi yang tidak dapat hadir, semuanya berjalan lancar. Dapatlah sedikit sebanyak, penerangan tentang dunia gendang silat dapat diberikan, sekaligus sebagai promosi dan pendedahan semula tentang dunia yang jarang mendapat perhatian daripada mana-mana pihak sama ada kerajaan ataupun swasta. Syukurlah.

Read more...

Tuesday, August 28, 2012

Bergendang Di Johor

Pasangan mempelai dan tuan rumah yang menjemput kami

Gabungan Kump Gemala Kasturi, Warisan Tebrau dan Lawi Merah

25 Ogos 2012
Taman Desa Perwira
Johor Bahru, Johor.


Perubahan tarikh yang berkali-kali menyebabkan beberapa anggota Kump Gendang Warisan Tebrau tidak dapat hadir untuk bermain. Kebetulan itu kenduri adik ipar abang saya di sana, jadi saya memang akan ke sana. Namun, disebabkan kekurangan ahli untuk bergendang, Kump Gendang Lawi Merah dijemput serta.

Silat pengantin dari anak buah pengantin

Pada hari tersebut, wakil Kump Gemala Kasturi, Warisan Tebrau dan Lawi Merah bergabung tenaga memeriahkan majlis perkahwinan pasangan mempelai serta tetamu yang hadir. Suasana di Johor yang tidak biasa dengan permainan ini menarik minat ramai tetamu. Alhamdulillah, semuanya selamat dan lancar berjalan, saya bersyukur sangat. Sambutan juga menggalakan, moga-moga ia menjadi titik tolak pada berkembangnya permainan gendang silat di Johor Bahru, amin.

Makan time ...

Juga terima kasih kepada Sdr Kamarul Azhar yang menjemput kami untuk bermain, juga layanan 1st class dari pihak yang menjemput.

Read more...

Asam Pedas Muar!



Memang antara yang terbaik! Restoran Rosli di Parit Jawa. Berhampiran dengan selekoh untuk ke Pantai Leka. Memang pedas dan menganga kalau makan tapi terbaik! Malam selepas bergendang, ke situlah kami bersembang dan berborak. :) Malam tersebut pekena ikan Mayong dan Cencaru. :) Terima kasih kepada tuan rumah yang membelanja kami.

Read more...

Bergendang Di Hari Raya


Latihan bersama

Hari raya sudah menjelang, moga-moga semuanya berbahagia di hari lebaran ini. Ya, sesudah hampir sebulan latihan gendang ditangguhkan, maka menjelmalah pula hari latihannya, tambahan pula saya mendapat jemputan dari abang Bro dari JB. Kalau tak berlatih langsung, mahu terkucil juga jari nak meniup.

Kebetulan memang saya beraya di Muar setiap tahun, dan Lawi Merah juga di Muar; maka janji dipadu untuk berlatih sama-sama sebelum ke Johor. Ingatkan Warisan Tebrau cukup ahli, tapi disebabkan hal-hal tertentu mereka kekurangan ahli untuk bergendang pada 25 Ogos. Maka, saya meminta bantuan Lawi Merah untuk itu.

Sdr Amir

Amir Lela Rentaka pula beraya di rumah mentuanya, saya pun pergi mengambilnya di Jalan Bakariah dan membawa sekali berlatih di rumah ahli Lawi Merah, Mohd Zahir. Alhamdulillah, dapatlah juga kami berlatih lebih kurang 2 jam sebelum menutup. Selesai latihan kami mengeteh di Restoran Asam Pedas di Parit Jawa.

Macam sahur! Jam 2 pagi makan nasi berlaukkan asam pedas

21 Ogos

Laporan : Khairul

Read more...

Saturday, August 18, 2012

Berhubung Dengan KGGK - ASAP!

Makluman kepada mereka yang menempah KGGK pada 1 September 2012, mohon untuk berhubung semula dengan kami kerana nombor penghubung tidak dapat dikesan. Juga kami memohon maaf atas segala ketidakselesaan ini.

Terima kasih.

Read more...
Related Posts with Thumbnails

  © Blogger templates ProBlogger Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP